backup og meta

Kenapa Anda Perlu Ada 2 Papan Pemotong Di Rumah?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/06/2020

    Kenapa Anda Perlu Ada 2 Papan Pemotong Di Rumah?

    Berapa ramaikah antara kita yang memiliki beberapa papan pemotong dengan tujuan khusus di rumah? Kami yakin bahawa hampir kesemua daripada kita menggunakan papan yang sama untuk pelbagai tujuan. Tetapi tahukah anda bahawa, tabiat seperti ini menyebabkan papan anda berada dalam keadaan yang tidak bersih dan merisikokan kesihatan anda?

    Sudah menjadi kebiasaan budaya kita untuk menggunakan papan pemotong yang sama dengan pelbagai tujuan. Bawang, sayur, daging dan makanan bermasak biasa dipotong di atas papan yang sama. Mungkin terdapat sedikit pembaharuan yang perlu kita lakukan bermula daripada hari ini, iaitu dengan menyediakan beberapa papan pemotong berasingan untuk tujuan khusus.

    Dua papan pemotong?

    papan pemotong

    Dalam satu tinjauan yang dijalankan di United Kingdom, 40% daripada lebih 2,000 individu menggunakan papan pemotong yang sama untuk tujuan memotong daging dan juga sayur. Jumlah ini mungkin berbeza dan jauh lebih tinggi bagi penduduk di Malaysia kerana kita juga memiliki tabiat seperti itu. Mulai hari ini, anda disarankan untuk memiliki sekurang-kurangnya dua papan khas; satu untuk bahan basah dan satu lagi untuk bahan kering dan makanan dimasak. 

    Mengapa perlu begini? Untuk pengetahuan anda, daging atau ayam mentah boleh meninggalkan bakteria salmonella dan campylobacter pada papan pemotong dan boleh menyebabkan keracunan makanan. Bayangkan jika anda menggunakan papan yang sama untuk memotong murtabak yang dibeli di pasar malam atau mengupas buah epal. Bakteria penyebab keracunan makanan ini boleh berpindah ke makanan yang sedia dimakan dan mencemarkannya dengan lebih mudah. 

    Dalam satu kajian lain juga menyatakan, papan ini memiliki kekotoran sebanyak 200 kali ganda berbanding tempat duduk tandas. Ingin tahu sebanyak mana kekotoran tersebut? Papan pemotong memiliki jumlah bakteria sebanyak 24,250 bagi setiap sentimeter persegi. 

    5 tip mudah pastikan kebersihan papan pemotong anda

    papan pemotong

    #1. Basuh sebelum guna

    Anda mungkin tidak pasti apa yang telah berada pada permukaan papan pemotong sebelum anda menggunakannya. Oleh itu, cuci dahulu dan lap dengan kering sebelum menggunakannya terutama jika anda memotong sesuatu yang sedia dimakan seperti roti, sandwic dan murtabak.

    #2. Jangan lap sahaja, basuh

    Ada sesetengah individu yang gemar untuk mengelapa sahaja permukaan papan tersebut tanpa membasuhnya untuk kegunaan lain. Ini sangat membahayakan kesihatan anda. Kajian menyatakan kain lap dapur merupakan antara objek yang paling kotor di dalam rumah anda. Oleh itu, elakkan daripada mengelap tanpa membasuh terlebih dahulu. 

    #3. Gunakan sabun pencuci

    Tidak cukup dengan hanya siraman air, anda juga perlu mencuci dengan menggunakan sabun pencuci. Sabun pencuci membantu membasmi kuman yang terdapat pada papan anda. 

    #4. Gunakan papan pemotong berasingan

    Ini mungkin langkah yang paling penting. Sediakan papan yang berlainan untuk tujuan berbeza. Satu papan untuk pemotongan bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging. Satu papan lain digunakan untuk memotong sayur dan buah. Manakala satu papan lain pula untuk tujuan pemotongan bahan makanan bermasak.

    Ini kerana mikroorganisme yang ada pada sayuran dan bahan mentah lain berbeza.

    Bayangkan jika anda tidak mencuci papan pemotong tersebut dengan bersih, tentu sahaja bakteria yang ada pada daging berpindah ke salad yang ingin anda makan mentah. Eauuu…

    #5. Tukar papan pemotong anda

    Ini mungkin antara yang paling sukar untuk dibuat, dengan alasan untuk tidak membazir. Tahukah anda, papan pemotong yang telah mempunyai rekahan atau calar lebih mudah dicemari dengan bakteria. Bakteria bersembunyi didalam rekahan dan calar yang ada pada papan tersebut. Oleh itu, tukar papan anda sekiranya sudah mula bertukar warna atau bercalar dengan banyak.

    Mitos berkenaan papan pemotong

    papan pemotong

    #1. Bakteria akan mati dengan cepat

    Ada yang mengatakan, bakteria akan mati dengan cepat pada permukaan papan yang anda gunakan. Walau bagaimanapun, tanggapan ini adalah salah. Ini kerana, bakteria atau kuman yang menyebabkan keracunan makanan boleh hidup dalam beberapa ketika atas permukaan papan tersebut

    #2. Boleh bersih dengan hanya menggunakan air

    Untuk pengetahuan anda, cucian papan dengan hanya menggunakan air paip tidak benar-benar membersihkan papan yang telah anda gunakan. Anda masih perlu menggunakan sabun dengan kandungan yang mampu membunuh bakteria.

    #3. Hanya makanan mentah yang boleh sebabkan pencemaran pada papan

    Ada yang mengatakan, hanya makanan mentah seperti daging, ayam atau ikan yang boleh mencemarkan papan yang digunakan. Mungkin anda tidak tahu, bahawa sayur-sayuran juga boleh mencemarkan papan dan menyebabkan keracunan. Terdapat beberapa kes keracunan sebelum ini yang disebabkan oleh E.Coli daripada sumber daun bawang dan juga kentang.

    Kesimpulan

    Jangan tunggu sehingga papan anda berwarna hitam atau merekah untuk anda mula menukarnya dengan yang lain. Ada yang lebih dahsyat, mereka masih tidak menukar papan tersebut walaupun ia telah terbelah dua, berkemungkinan akibat pertempuran antara Naruto dan Sasuke yang terjadi di dapur mereka. Hebat bukan?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan