Sudah menjadi satu norma atau budaya bagi rakyat Malaysia untuk menikmati minuman panas seperti teh di pagi hari semasa menikmati hidangan sarapan. Akan tetapi, adakah anda tahu bahawa secawan teh panas bukan sahaja akan meningkatkan risiko diabetes, malahan juga mampu meningkatkan risiko kanser esofagus sebanyak dua kali ganda? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.
Apa itu teh?
Teh adalah minuman yang mempunyai kafein dan dihasilkan daripada daun atau pucuk pokok renek Camellia sinensis atau Camellia thea. Ia boleh dijadikan sebagai minuman panas atau minuman sejuk selain diperbuat daripada cara rendaman atau campuran. Cara pemprosesannya melibatkan pengoksidaan, pemanasan dan pengeringan. Dalam pada itu juga, ia kebiasaannya dicampurkan dengan pelbagai jenis herba, rempah, bunga atau buah untuk memberi rasa yang unik dan menarik.
Jika ditelusuri dari aspek sejarahnya, teh adalah minuman terkenal bangsa Cina sejak 5,000 tahun dahulu lagi. Pun begitu, awal kewujudannya masih lagi merupakan satu legenda yang misteri.
Ada satu cerita rakyat tentang seorang Kaisar yang bernama Shen Nung. Dikatakan pada suatu hari, ketika beliau ingin minum air panas, beberapa daun luruh dari sebatang pohon yang menjuntai tertiup angin lalu jatuh ke cawan air panas beliau dan menyebabkan warnanya berubah. Disebabkan oleh perasaan ingin tahu, beliau pun mencuba rasa larutan air tersebut. Apa yang mengejutkan adalah beliau sangat suka akan rasa air tersebut.
Ada satu lagi cerita rakyat daripada India yang menghubungkan penemuan teh dengan biarawan Bodhidharma. Dikatakan setelah bertapa dan bermeditasi selama 7 tahun lamanya, beliau rasa sangat keletihan. Dalam keadaan yang sangat terdesak, beliau terpaksa mengunyah beberapa helai daun yang tumbuh di sekitar tempat itu. Apa yang mengejutkan adalah beliau mula rasa segar kembali.
Pada awal abad ke-9, seorang biarawan Jepun bernama Dengyo Daishi yang baru sahaja pulang dari pengembaraannya, membawa benih tanaman teh dari Cina. sejak itu, minuman ini mula dikenali di negara Jepun. Pada awal abad ke-17 pula, pedagang dari bangsa Portugis dan Belanda mula memperkenalkan minuman ini ke Eropah. Mereka membawanya melalui jalan darat dari Cina menggunakan kereta yang ditarik oleh unta. Antara bangsa yang menjadi penggemar awal minuman ini adalah bangsa Rusia.
Pun begitu, dari mana sebenarnya asal minuman ini adalah tidak dapat dipastikan ekoran terlalu banyak cerita mengenainya. Apa yang lebih penting adalah minuman ini adalah minuman yang sedap dan menyegarkan selain ia dapat memberi kita tenaga dan khasiat.
Manakala di Asia Tenggara, teh adalah salah satu minuman yang sangat digemari. Di sini, minuman ini boleh dibuat dengan dicampur air panas dan gula atau susu. Pemilihan gula putih atau gula merah serta susu segar atau susu pekat manis adalah bergantung kepada individu. Selain itu, di sini juga sangat popular dengan minuman teh tarik, iaitu teh yang mempunyai buih di atasnya. Antara jenis-jenis minuman ini adalah seperti berikut:
- Teh O
- Teh O limau
- Teh O lemon
- Teh O pudina
- Teh susu
- Teh tarik
Untuk pengetahuan anda, minuman-minuman ini semuanya boleh diminum secara sejuk atau panas mengikut cita rasa anda. Di restoran, anda boleh memesan minuman yang sejuk dengan memesannya sebagai ‘ais’ atau ‘beng’. Jika anda sedang menjaga kadar pengambilan gula, jangan lupa untuk pesan kurang gula, ya? Apa yang penting, kita perlu kurangkan manis dalam minuman sebaliknya lebihkan manis pada senyuman.
Fakta unik dan menarik mengenai teh
- Rakyat Britain minum sekurang-kurangnya 165 juta cawan minuman ini setiap hari
- Pun begitu, Rakyat Ireland minum paling banyak minuman ini dengan 75 peratus populasinya minum sekurang-kurangnya 6 cawan sehari seorang
- Kesemua teh berasa dari tumbuhan yang sama tidak kira ia berwarna hitam, hijau, putih atau oolong
- Ia dikatakan pertama kali ditemukan di Cina oleh Shen Nung pada 2737BC dan digunakan sebagai antidot
- Pokoknya yang paling tertua terdapat di Cina iaitu berusia 3,200 tahun
- 7 peratus daripada manusia sangat memilih bagaimana untuk meminum minuman ini dan tidak membenarkan individu lain membuatnya untuk mereka
- Minuman ini sepatutnya dibiarkan selama 2 minit untuk dibrukan. Pun begitu, 80 peratus daripada kita tidak mahu untuk menunggu sebegitu lama
- Selepas air putih, minuman ini adalah minuman kedua yang paling banyak sekali diminum oleh manusia
Khasiat teh kepada kesihatan
Minuman ini sememangnya menjadi pilihan utama bagi sesetengah individu sebagai santapan sarapan pagi mereka. Rasa yang sedap dan menyegarkan menjadikannya minuman terbaik pada permulaan hari. Di samping itu, ia mungkin bukan sekadar sedap tetapi juga kaya dengan pelbagai khasiat. Apakah khasiatnya?
#1. Mengandungi antioksidan
Antioksidan berfungsi melawan radikal bebas yang dihasilkan oleh sel-sel di dalam tubuh badan. Radikal bebas ini akan berkumpul dan mampu merosakkan sel-sel di dalam tubuh badan sebagai sebahagian daripada proses penuaan. Antioksidan mampu melawan dan melambatkan proses penuaan. Selain itu, mengurangkan radikal bebas turut menurunkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi dan strok.
#2. Meningkatkan sistem imun
Terdapat kajian yang menyimpulkan bahawa minuman ini boleh merangsang sistem imun dan membuatkan sel-sel imun bekerja dengan lebih baik dan efisien. Secara amnya, ia membantu mengurangkan jangkitan dan keradangan.
#3. Mengurangkan masalah penghadaman
Minuman ini telah sekian lama menjadi herba dan ubat tradisional bagi masalah penghadaman. Teh chamomile khususnya sangat baik bagi mereka yang mengalami sindrom usus rengsa di mana kerap cirit-birit dan sembelit. Teh halia pula membantu mengurangkan rasa mual.
Adakah teh akan menyebabkan ketagihan?
Pun begitu, terdapat beberapa kajian dan pendapat yang mengatakan bahawa minuman ini mampu menyebabkan ketagihan yang melampau dan akhirnya akan memberi risiko kepada tahap kesihatan anda. Sejauh manakah kebenarannya?
Menurut kajian yang dilakukan oleh The Tea Association of the USA., Inc, manusia mengambil minuman ini lebih banyak berbanding minuman yang lain. Walaupun ia mempunyai beberapa khasiatnya yang tersendiri, jumlah besar kafein yang terdapat di dalam minuman ini mungkin tidak begitu baik untuk kesihatan anda. Berdasarkan cara dan berapa kerap anda meminumnya, jenis kafein ini mungkin boleh membawa banyak kesan positif atau negatif, bergantung kepada individu.
Sekiranya diambil dalam jumlah yang sederhana, ia mungkin boleh membuatkan fikiran dan tumpuan anda lebih kuat serta boleh menambah tenaga anda. Sebaliknya, jika anda meminumnya terlalu kerap atau dalam kuantiti yang luar biasa untuk masa yang lama, anda mungkin menjadi ketagih kepada kafein. Ini pula adalah satu masalah berat yang tidak boleh dipandang ringan oleh anda.
Ketagihan Kafein
Kafein adalah perangsang kepada sistem saraf pusat. Penggunaannya yang teratur tidak akan menyebabkan pergantungan fizikal yang sederhana. Kafein dalam minuman ini tidak akan memberikan sebarang risiko terhadap fizikal anda seperti yang berlaku kepada ketagihan dadah. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anda ketagih kafein secara fizikal, anda mungkin perasan bahawa pergantungan kepada kafein adalah tidak begitu ketara.
Hakikatnya, badan anda sudah terbiasa dengan kafein di dalam sistem tubuh badan anda. Disebabkan itu, tubuh badan anda akan sentiasa meminta anda untuk mengambil lebih banyak lagi kafein bagi mendapatkan kesannya, seperti kecerdasan atau kecergasan, yang anda rasakan sebelum ini.
Individu yang ketagih kafein boleh mengalami insomnia jika minum minuman ini terlalu banyak kurang daripada 6 jam sebelum tidur. Di samping itu, individu yang lebih sensitif mungkin bukan sahaja akan sukar untuk tidur tetapi juga mempunyai kesan sampingan kafein seperti kegelisahan dan gangguan gastrousus.
Penarikan
Sekiranya anda berhenti mengambil kafein secara tiba-tiba, badan anda akan kehilangan jumlah biasa kafein. Disebabkan itu, ia boleh membuat anda berasa tidak senang atau tidak selesa dalam beberapa hari dengan simptom tertentu.
Simptom penarikan kafein termasuklah:
- Sakit kepala
- Sakit otot
- Keletihan
- Kebimbangan
- Kemurungan
- Cepat marah
- Sukar fokus
Simptom penarikan ini tidaklah serius seperti ketagihan dadah atau alkohol. Ia biasanya akan hilang dengan serta-merta selepas anda terus mengambil minuman ini dalam jumlah yang sama atau lebih dari sebelum ini.
Pencegahan
Ya, walaupun ia bukan merupakan sesuatu yang sangat serius, ia masih tidak boleh dipandang ringan oleh anda. Bagi mengelakkan diri anda daripada ketagih kafein yang terdapat dalam minuman ini, anda boleh mengikuti beberapa cadangan berikut:
#1. Turunkan jumlah kafein yang anda ambil
Pertama sekali, anda boleh mengurangkan jumlah kafein dalam minuman anda dengan menggunakan satu beg minuman ini untuk 3 hingga 4 kali, memendekkan tempoh masa anda membancuh minuman ini dan menurunkan suhu minuman anda.
#2. Elakkan meminum minuman berkafein tinggi terlalu kerap
Seperti kopi, minuman ini dipilih sebagai minuman untuk mengecas tenaga anda dan membuat fikiran anda fokus serta-merta. Walau bagaimanapun anda perlu ingat untuk minum secara sederhana atau anda boleh menjadi ketagih kepadanya dan mengalami banyak kesan sampingan kafein.
#3. Perlahan-lahan mengurangkan pengambilan kafein anda
Jangan berhenti mengambilnya serta-merta. Ia boleh menyebabkan beberapa simptom yang tidak dijangka. Cuba berhenti secara perlahan-lahan. Ia boleh membantu anda mengelakkan simptom yang teruk.
#4. Cuba minuman yang telah dibuang kafein atau bebas kafein
Daripada meminum minuman berkafein, anda boleh menggunakan beberapa alternatif yang lain seperti minuman yang telah dibuang kafein atau bebas kafein.
#5. Minum teh hijau, putih, oolong atau herba
Teh hitam mengandungi banyak kafein. Jadi, apa kata anda cuba yang lain? Anda boleh menukar tabiat anda dengan mencuba teh hijau, putih, oolong atau herba.
Selain daripada kafein, tahukah anda terdapat satu lagi perkara yang anda perlu risau mengenai minuman ini? Perkara tersebut adalah penyataan yang mengatakan teh panas mampu meningkatkan risiko kanser esofagus. Sejauh manakah kebenarannya?
Minum teh panas mampu meningkatkan risiko kanser esofagus?
Pakar menyatakan bahawa meminum air pada suhu 60 darjah Celsius atau lebih tinggi daripada, secara konsistennya dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser esofagus melalui kajian yang dijalankan ke atas 50,000 individu.
Pakar juga menemui bahawa dengan meminum 700 ml minuman ini setiap hari (sekitar 3 cawan) pada suhu 60 darjah Celsius atau lebih tinggi daripada itu mampu meningkatkan risiko kanser esofagus dengan 90% lebih tinggi risiko untuk mendapat penyakit tersebut.
Penulis utama kajian tersebut, Dr. Farhad Islami menasihatkan agar mana-mana individu yang ingin meminum minuman ini supaya membiarkan minuman tersebut untuk sejuk sedikit terlebih dahulu sebelum meminumnya untuk mengurangkan risiko mendapat kanser tersebut.
Kanser esofagus adalah sejenis kanser yang memberi kesan terhadap saluran atau laluan di mana makanan melaluinya daripada mulut ke bahagian perut atau dikenali dengan nama esofagus.
Kajian yang bertajuk “A Prospective Study of Tea Drinking Temperature and Risk of Esophageal Squamous Cell Carcinoma” yang baru diterbitkan oleh International Journal of Cancer pada 20 Mac 2019 tersebut mengkaji tabiat minum 50,045 individu yang berumur antara 40 hingga 75 tahun di bahagian timur laut Iran.
Kajian terbaharu tersebut dijalankan di Iran memandangkan Iran merupakan antara kawasan atau negara yang mana penduduknya menikmati teh dengan suhu yang amat panas, termasuklah penduduk-penduduk di negara China dan Amerika Selatan. Manakala, penduduk-penduduk di Amerika Syarikat dan Eropah menikmati teh mereka pada suhu yang lebih rendah.
Terdapat juga kajian lepas yang menyokong kajian terbaharu ini. Pada tahun 2018, kajian yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine yang bertajuk “Hot Tea Consumption and Its Interactions With Alcohol and Tobacco Use on the Risk for Esophageal Cancer: A Populatin-Based Cohort Study” yang dijalankan di China mendapati, dengan meminum teh yang amat panas bersama-sama dengan merokok dan meminum alkohol boleh meningkatkan risiko “squamous cell carcinoma” atau juga dikenali sebagai “squamous cell cancer” di bahagian esofagus; kanser yang bermula daripada sel squamous.
Pada tahun 2016, agensi kanser bagi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), the International Agency fro Research on Cancer telah membuat pengkelasan bahawa meminum minuman panas dengan suhu melebihi 65 darjah Celsius boleh menjadi carcinogen; bahan yang mampu menyebabkan kanser dalam tisu hidup.
Kajian tersebut berdasarkan yang dijalankan terhadap Mate, sejenis teh yang diminum secara tradisional dengan suhu yang amat panas terutamanya di Amerika Selatan, Asia dan Afrika. Dalam kajian tersebut juga mereka menegaskan bahawa suhu yang amat panas memainkan peranan terhadap pembentukan kanser berbanding jenis minuman ini yang diminum memandangkan hasil kajian turut digunakan ke atas jenis-jenis yang lain.
Saintis dan pengkaji percaya bahawa mekanisma asas yang menyebabkan pembentukan kanser akibat daripada tabiat meminum minuman dengan suhu yang amat panas adalah disebabkan oleh kecederaan jangka masa panjang kepada sel yang melapisi esofagus. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk membiarkan minuman panas anda untuk sejuk terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kecederaan kepada tisu dalaman tubuh sekali gus mengelakkan sebarang peningkatan risiko kanser esofagus memandangkan telah terdapat pelbagai kajian yang menyokong pernyataan ini.
Konklusi
Konklusinya, teh adalah minuman yang sangat sedap dan menyegarkan. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa minuman ini juga sebenarnya adalah racun di dalam penawar. Ini kerana ia mempunyai kandungan kafein yang sangat banyak! Ia adalah berbahaya jika anda mengalami ketagihan kafein kerana anda bergantung kepadanya sahaja. Pun begitu, ia bukanlah seteruk ketagihan dadah atau alkohol.
Selain itu, anda juga perlu berhati-hati jika anda hendak minum minuman ini secara panas. Ini kerana terdapat kajian yang mengatakan bahawa ia mampu meningkatkan risiko kanser esofagus. Jadi, tidak salah rasanya jika anda membiarkan ia suam sedikit sambil menunggu ia terbru terlebih dahulu, bukan? Ataupun, pesan sahaja minuman ini dengan ais. Sudah pasti ia lebih sedap dan selamat.
Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda lebih mengenali mengenai minuman ini dan segala pro dan kontranya bagi menjamin kehidupan yang lebih sejahtera.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
- Adakah Anda Mengambil Terlalu Banyak Kafein?
- Bukan Sekadar Kopi, Kenali Sumber Kafein yang Lain
- Minuman Tenaga Tinggi Kafein, Bukan untuk Remaja
[embed-health-tool-bmr]