backup og meta

Cuba Resipi Nuget Ayam Homemade Ini, Lebih Sihat & Bernutrisi Untuk Anak Di Rumah!

Cuba Resipi Nuget Ayam Homemade Ini, Lebih Sihat & Bernutrisi Untuk Anak Di Rumah!

Ramai daripada kita yang pasti gemar makan nuget ayam. Namun, kebanyakan resepi nugget ayam yang terdapat di pasaran tidaklah begitu menyihatkan. Oleh itu, kami bawakan kepada anda resepi nugget ayam homemade ini agar anda boleh cuba membuatnya sendiri di rumah.

Pasti lebih sedap dan tentunya lebih sihat!

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Resepi nugget ayam di pasaran kurang sihat?

Apabila kita memakan nuget ayam, pastinya kita terfikir bahawa sebahagian besar kandungannya ialah isi daging ayam asli.

Namun, hakikat sebenarnya tidaklah seperti yang kita sangkakan.

Ini kerana, nuget ayam yang dijual di pasaran sebenarnya mengandungi banyak bahan-bahan lain yang tidak begitu menyihatkan.

Walaupun dijual dengan pelbagai jenama, secara umumnya nuget ayam digoreng dengan menggunakan minyak terhidrogenasi selain kandungan pengawet yang tinggi.

Bukan itu sahaja, nuget ayam juga biasanya tinggi dengan kandungan garam dan juga lemak berbanding dada ayam biasa.

resepi nugget ayam homemade

Terdapat satu laporan menyatakan bahawa, bagi setiap enam ketul nuget ayam yang dibeli daripada restoran makanan segera, ia mengandungi sekitar 230 miligram garam.

Jumlah ini adalah sekitar suku jumlah garam harian yang diperlukan oleh tubuh individu dewasa.

Oleh itu, jika anda memakan 10 atau 12 ketul nuget ayam, anda mungkin telah mengambil separuh jumlah garam harian hanya dalam satu hidangan sahaja.

Apa yang lebih mengejutkan, jenama-jenama nuget ayam sejuk beku yang dijual di pasar raya mungkin mengandungi kandungan garam yang lebih tinggi.

Berdasarkan tinjauan oleh Webmd, sesetengah jenama nuget sejuk beku ini mengandungi antara 370 hingga 600 miligram kandungan garam!

Nuget ayam bukan 100% isi ayam sebenar

resepi nugget ayam homemade

Ada satu kajian yang telah dijalankan bagi menilai kandungan isi ayam daripada dua jenama nuget ayam yang dipilih secara rawak.

Hasil kajian mendapati, jenama nuget ayam yang pertama hanya mengandungi 50% isi ayam sebenar. Selebihnya merupakan kandungan lemak, urat dan saluran darah ayam.

Bagi jenama kedua pula, ia hanya mengandungi sekitar 40% isi ayam sebenar dan selebihnya hanyalah kandungan kandungan lemak, cebisan tulang dan juga tisu penghubung.

Ini menunjukkan bahawa, nuget ayam hanya memberikan anda lebih banyak kandungan lemak dan kurang kandungan protein.

Selain itu, nuget ayam juga menyebabkan anda mengambil lebih banyak kandungan garam dan karbohidrat berbanding potongan ayam yang tidak diproses. 

Resepi nugget ayam homemade lebih sihat, kurang kalori

Walaupun nuget ayam homemade juga masih lagi dikategorikan sebagai produk ayam yang telah diproses, namun ia ternyata lebih sihat berbanding produk sejuk beku yang dijual di pasaran.

Ini kerana, dalam proses penghasilan resepi nugget ayam homemade, kita boleh mengawal jumlah garam dan gula yang akan digunakan.

Selain itu, tiada sebarang pengawet yang digunakan dalam penghasilan nuget homemade.

Malah, resepi nugget ayam homemade juga lebih rendah kalori berbanding nuget ayam sejuk beku.

Bagi setiap hidangan nuget ayam homemade, ia mengandungi sekitar 220 kalori. Ia juga hanya mengandungi 5 gram lemak, 12 gram karbohidrat dan juga 30 gram protein.

Cuba resepi nugget ayam homemade ini

resepi nugget ayam homemade

Jika anda teringin memakan nuget ayam tetapi inginkan pilihan yang lebih sihat, anda boleh cuba resepi nugget ayam homemade ini. Pasti enak dan lebih sihat.

Bahan-bahan yang anda perlukan ialah:

  • 500 gram ayam kisar
  • 300 gram tauhu
  • 4 sudu besar oat
  • 1 biji telur
  • 2 inci halia (ditumbuk)
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh lada hitam
  • 100 gram serbuk roti
  • Minyak untuk menggoreng

Ikut langkah-langkah ini:

  1. Dengan menggunakan mangkuk besar, gaulkan bersama isi ayam kisar, tauhu yang telah dihancurkan, oat, telur, halia, garam dan juga lada hitam.
  2. Apabila telah sebati, bentukkan nuget dengan bentuk yang anda gemari. Kemudian salutkan campuran nuget tersebut dengan serbuk roti.
  3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan gorengkan nuget ayam tersebut dengan api yang sederhana. Apabila ia sudah keperangan, terbalikkan nuget dan tunggu sehingga bahagian sebelah lagi berwarna keperangan. 
  4. Apabila sudah masak, angkat dan letakkan di atas tisu dapur untuk menyerap lebihan minyak.
  5. Anda juga boleh membakar atau memanggang nuget ini sebagai kaedah memasak yang lebih sihat.

Alternatif untuk pesakit kardiovaskular

Memandangkan resepi nuget sejuk beku yang dijual di pasaran tinggi kandungan garam, jadi ia berpotensi menyebabkan masalah kesihatan berkaitan jantung jika diambil dengan kerap atau dengan jumlah yang tinggi.

Makanan seperti ini sememangnya perlu dielakkan oleh pesakit-pesakit yang mempunyai masalah berkaitan kardiovaskular seperti pesakit darah tinggi, jantung dan juga strok.

Oleh itu, sebagai alternatif, anda boleh menggunakan resepi di atas yang ternyata lebih sihat jika teringin memakan nuget ayam. Selamat mencuba!

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

There’s Not Much Chicken in That Nugget. https://health.clevelandclinic.org/theres-not-much-lean-chicken-in-that-nugget/. Accessed on July 12, 2022. 

What’s Really in a Chicken Nugget?. https://sentientmedia.org/how-are-chicken-nuggets/. Accessed on July 12, 2022.

What Is Actually in Chicken Nuggets?. https://nutritionfacts.org/2014/11/18/what-is-actually-in-chicken-nuggets/. Accessed on July 12, 2022.

Healthy Chicken Nuggets. https://www.kidney.org/content/healthy-chicken-nuggets-and-fries. Accessed on July 12, 2022.

Homemade Chicken Nuggets. https://nkfs.org/recipe/homemade-chicken-nuggets/. Accessed on July 12, 2022.

Versi Terbaru

03/04/2023

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

BAHAYA Makan GARAM Untuk Pesakit Lemah Jantung, Ini Penjelasannya!

5 Petua Hilangkan Bengkak Kaki Kencing Manis, Antaranya Guna Garam Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/04/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan