What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Selain Kesihatan Terjejas, Diabetes Turut Beri Kesan Pada 2 Aspek Kehidupan Ini (Termasuk Seks!)

    Selain Kesihatan Terjejas, Diabetes Turut Beri Kesan Pada 2 Aspek Kehidupan Ini (Termasuk Seks!)

    Diabetes adalah sejenis penyakit yang dihidapi oleh ramai orang dalam kalangan masyarakat kita dan kesan penyakit kencing manis bukanlah sesuatu yang ringan.

    Sebagai asas yang kita semua mungkin perlu dan sudah tahu, ia akan melibatkan aspek pengawalan gula dan penjagaan luka agar tidak timbul komplikasi lain kelak.

    Namun, tahukah anda bahawa efek penyakit kencing manis turut beri kesan pada aspek seksual dan urologi penderitanya? Jom teruskan membaca artikel!

    Kesan penyakit kencing manis terhadap 2 aspek ini

    Hakikatnya, penderita diabetes cenderung memfokuskan pada aspek pengawalan gula dan penjagaan luka agar tidak berlaku pemotongan anggota tubuh badan.

    Ya, tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah salah satu daripada komplikasi penyakit kencing manis yang paling ditakuti dan ingin dielakkan oleh semua pesakit.

    Namun, tanpa sedar mereka mungkin telah terlepas pandang akan 2 aspek lain yang sama penting dalam kesihatan serta kehidupan iaitu seksual dan urologi.

    Persoalannya, apakah yang akan berlaku pada 2 aspek ini jika anda adalah seorang pesakit kencing manis? Kami akan cuba huraikannya untuk anda!

    Kencing manis & masalah seksual

    kesan penyakit kencing manis

    Untuk pengetahuan anda, kesan penyakit kencing manis mungkin boleh melibatkan masalah seksual bagi kedua-dua jantina tanpa mengira lelaki atau wanita.

    Ini secara umumnya adalah disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf serta salur darah terutamanya yang wujud dan terletak pada kawasan alat kemaluan.

    Secara tidak langsung, kerosakan ini akan membawa kepada kekurangan dan kehilangan fungsi alat kemaluan yang penting untuk aktiviti seksual penderitanya.

    Khusus bagi lelaki

    Untuk kaum lelaki, terdapat 2 masalah utama berkaitan aspek seksual yang mungkin boleh berlaku sebagai efek penyakit kencing manis, termasuklah:

    Masalah ereksi

    Merupakan mimpi ngeri bagi lelaki, masalah ereksi seperti mati pucuk adalah sangat ditakuti dan ingin dielakkan agar kehidupan bersama pasangan tidak terjejas.

    Pun begitu, kajian menunjukkan bahawa penderita diabetes dikatakan lebih berisiko 2 ke 3 kali ganda mengalaminya berbanding mereka yang sihat tubuh badan.

    Selain kencing manis, ia juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang lain seperti rokok, alkohol, hormon, usia dan kondisi tubuh badan lelaki itu sendiri.

    Bagi menyelesaikannya, pelbagai cara boleh anda cuba termasuklah terapi neuropati, pengambilan ubatan, penyuntikan ubatan, pam vakum dan lain-lain.

    Masalah ejakulasi

    Selain itu, lelaki juga mungkin berisiko mengalami masalah ejakulasi seperti ejakulasi retrograd sebagai kesan penyakit kencing manis yang dihidapi.

    Buat anda yang mungkin belum tahu, ia adalah keadaan di mana air mani lelaki masuk semula ke pundi kencing dan tidak keluar dari zakar di saat ejakulasi.

    Salah satu punca yang menyebabkan ia adalah kerosakan sistem saraf dan salur darah yang berpunca daripada gula dalam darah (glukosa) yang tidak terkawal.

    Selain kaedah perubatan, antara cara untuk mengelakkan kesan penyakit ini adalah dengan sentiasa menyelia dan mengawal kadar glukosa anda untuk aspek seksual lebih sihat.

    kesan penyakit kencing manis

    Khas buat wanita

    Untuk wanita, terdapat banyak masalah utama berkaitan aspek seksual yang mungkin boleh berlaku sebagai efek penyakit kencing manis, termasuklah:

    • Kekeringan faraj apabila bersenggama
    • Kesakitan faraj semasa bersetubuh
    • Lemah libido seksual
    • Lemah respons seksual

    Menurut kajian terkini, didapati masalah-masalah seksual ini lebih berisiko 18% dialami oleh wanita dengan diabetes jenis 1 dan 42% dialami oleh wanita dengan diabetes jenis 2.

    Apa yang lebih membimbangkan adalah, masalah-masalah di atas ini akan menyebabkan kesukaran untuk mereka menikmati dan mencapai orgasma ketika bersama pasangan.

    Jadi, sila dapatkan bantuan perubatan sama ada dari bentuk ubatan, rawatan atau terapi bagi mengurangkan efek penyakit kencing manis ini pada anda.

    Kencing manis & masalah urologi

    Selain aspek seksual, kesan penyakit kencing manis juga akan menjejaskan sistem dan fungsi urologi individu atau dalam bahasa mudahnya, kencing.

    kesan penyakit kencing manis

    Kedua-dua lelaki dan wanita dengan penyakit diabetes mungkin lebih berisiko mengalami masalah urologi seperti berikut:

    • Pundi kencing aktif – Kerosakan saraf akan membuat isyarat dihantar dari otak ke pundi kencing pada waktu yang tidak tepat
    • Masalah otot sphincter – Kerosakan otot akan membuat ia menjadi longgar lantas air kencing mengalir secara tidak terkawal
    • Retensi urin – Kerosakan saraf dan otot akan menyebabkan ketidakmampuan untuk mengosongkan sepenuhnya pundi kencing

    Disebabkan itu, penghidap diabetes perlu untuk mengawal penyakit tersebut bagi memastikan kesan penyakit kencing manis ini tidak berlaku dan bertambah teruk.

    health-tool-icon

    Kalkulator BMI

    Guna kalkulator ini untuk mengira Indeks Jisim Badan (BMI) dan semak tahap kesihatan berat badan anda. Anda juga boleh menyemak BMI anak.

    Lelaki

    Wanita

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Sumber Rujukan
    1. https://www.niddk.nih.gov/health-information/diabetes/overview/preventing-problems/sexual-bladder-problems
    2. https://www.urologyhealth.org/healthy-living/urologyhealth-extra/magazine-archives/spring-2017/diabetes-and-its-impact-on-your-urinary-and-sexual-health
    3. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/erectile-dysfunction/in-depth/erectile-dysfunction/art-20043927
    4. https://care.diabetesjournals.org/content/28/1/177
    5. https://health.clevelandclinic.org/the-link-between-diabetes-and-sexual-dysfunction/
    Gambar penulisbadge
    Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 17/04/2022
    Disemak secara perubatan oleh Dr. Chooi Kheng Chiew