backup og meta

Jangan Suka Minum Manis, Ini Had Gula Yang Boleh Diambil Sehari, Jika Tidak, Membawa Maut!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 04/07/2022

    Jangan Suka Minum Manis, Ini Had Gula Yang Boleh Diambil Sehari, Jika Tidak, Membawa Maut!

    “Rugi kau tak cuba minuman mermaid baru tu. Dah lah sedap, cantik pulak tu! Insta-worthy okay?,” usik Nini kepada teman serumahnya. Apa yang Nini tidak tahu, kadar gula dalam minuman manis itu lebih daripada yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia!

    Ada pelbagai jenis minuman yang viral di Malaysia, dan nampaknya semakin manis dan cantik minuman itu, semakin tinggilah sambutannya! Secawan tak cukup ya!

    Apa yang mungkin kita tidak sedar adalah pengambilan minuman manis yang berlebihan boleh memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang.

    Persoalannya, berapa banyakkah yang dikatakan memudaratkan?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Perbezaan gula tambahan dan natural

    Tidak semua jenis gula memudaratkan. Gula boleh dijumpai secara natural dalam makanan tinggi karbohidrat, buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu.

    Gula di dalam buah-buahan dikenali sebagai fruktosa, manakala di dalam susu dikenali sebagai laktosa.

    Makanan tinggi dalam kandungan karbohidrat mempunyai jumlah gula natural yang memadai untuk tubuh badan kita.

    Contoh makanan tinggi karbohidrat yang mempunyai kadar gula natural ialah:

    • Nasi
    • Mi kuning
    • Pasta
    • Roti
    • Ubi-ubian

    Walaupun kadar gula wujud secara semula jadi dalam makanan, namun gula tambahan sering digunakan dalam makanan yang dimasak atau diproses.

    Gula tambahan yang selalu digunakan ialah gula kasar atau sukrosa dan sirap jagung fruktosa tinggi. Ia mudah didapati dalam makanan atau minuman yang diproses, makanan ringan, kuih-muih, kek dan biskut.

    Pengambilan kadar gula yang tinggi mampu menyebabkan anda mendapat pelbagai jenis penyakit di masa akan datang seperti kencing manis, masalah buah pinggang, masalah jantung dan sebagainya.

    Kadar gula yang diambil di Malaysia

    kadar gula

    Kajian mendedahkan kadar pengambilan gula oleh rakyat Malaysia semakin meningkat setiap tahun.

    Perubahan mendadak yang berlaku ini berkait rapat dengan perubahan gaya hidup kita masa kini.

    Masalah kencing manis di Malaysia semakin banyak dalam kalangan rakyat. Seorang daripada lima rakyat Malaysia kini didiagnosis dengan penyakit kencing manis.

    Selain itu, statistik bagi penyakit kencing manis meningkat dua kali ganda pada tahun 2011, sebanyak 3 juta rakyat berbanding 1.5 juta rakyat pada tahun 2006.

    Statistik menunjukkan pada tahun 2005, sebanyak 30.3 juta kilogram gula per kapita diproses untuk kegunaan rakyat Malaysia.

    Namun begitu, pada tahun 2013, sebanyak 43 juta kilogram gula per kapita disediakan untuk kegunaan domestik di Malaysia, bersamaan dengan 118 gram gula setiap hari.

    Jumlah ini sangat menakutkan kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) cuma mengesyorkan pengambilan gula sebanyak 15-20 juta kilogram per kapita setiap tahun atau 41.1-54.8 gram setiap hari!

    Cadangan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia

    WHO mengesyorkan pengambilan gula tambahan haruslah dihadkan, tidak lebih daripada 10% penggunaan tenaga harian kita.

    Dengan erti kata lain, jumlah purata pengambilan gula tambahan untuk seorang dewasa sepatutnya tidak boleh melebihi 10 sudu teh sehari atau sebanyak 50 gram sehari.

    Jika berat badan anda melebihi normal ataupun mengalami obesiti, sebaiknya anda elakkan pengambilan gula tambahan sama sekali.

    Mudarat pengambilan berlebihan

    Pengambilan gula yang berlebihan untuk jangka masa panjang boleh menjurus kepada banyak penyakit, terutama sekali jika anda mempunyai ahli keluarga yang didiagnosis dengan penyakit yang sama.

    Contoh penyakit yang mudah didapati dek kerana gula ialah:

    • Obesiti
    • Kencing manis
    • Darah tinggi
    • Sakit jantung

    Malaysia mempunyai kadar obesiti yang tertinggi di Asia, sebanyak 64% lelaki dan 65% wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan.

    Statistik kencing manis untuk rakyat berumur 18 tahun ke atas juga meningkat dari 11.6% pada tahun 2005 ke 17.5% pada tahun 2015.

    Cadangan pengurangan kadar gula dalam diet anda

    kadar gula

    Jangan risau, anda masih boleh makan nasi, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti biasa asalkan ia seimbang.

    Masalah yang sering dialami oleh rakyat Malaysia adalah pengambilan kadar gula yang tidak berpatutan dalam minuman manis dan makanan yang diproses.

    Kami faham, kadang-kadang kita mengidam, tetapi janganlah jadikannya sebagai rutin diet anda!

    Akhir sekali, biasakan diri anda dengan pengambilan air kosong yang banyak, dan cuba hadkan pengambilan gula dalam kopi dan teh anda.

    Elakkan meletakkan gula dalam masakan, sebaliknya tukarlah resipi anda dan gunakanlah rempah-ratus seperti kayu manis, buah pala, atau buah dan sayur seperti lemon, limau purut atau lada benggala sebagai penambah rasa dalam masakan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan