Ia boleh membantu menurunkan tekanan darah. Melalui kajian yang menghubungkan nutrien seperti kalium, magnesium dan serat yang terkandung di dalam taugeh dapat menjadikan tekanan darah tinggi lebih rendah.
- Gula dalam darah
Apabila seseorang individu mempunyai tahap gula dalam darah yang tinggi dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Ia adalah ciri utama masalah diabetes dan telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan yang kronik. Oleh sebab ini, profesional perubatan dan kesihatan sentiasa menasihati ramai individu untuk mengekalkan dan memastikan tahap gula dalam darah berada pada tahap yang sihat.
Salah satu cara yang boleh dilakukan adalah dengan mengamalkan memakan taugeh bagi membantu mengurangkan kadar gula dalam darah. Ini kerana komposisi nutrien dalam taugeh baik dalam menurunkan tahap gula dalam darah. Ia tinggi serat dan protein yang menjadikan proses pelepasan gula ke dalam aliran darah menjadi perlahan.
- Berat badan
Terdapat kajian yang dilakukan menunjukkan kandungan serat dan protein dalam taugeh dapat menghalang hormon lapar seperti ghrelin. Tambahan lagi, terdapat kajian tambahan yang mendapati kedua-dua nutrien dalam taugeh ini juga menggalakkan pembebasan dan penghasilan hormon yang menjadikan anda berasa lebih kenyang seperti peptida YY, GLP-1 dan cholecystokinin.
Dengan membuatkan anda berasa kenyang, ia sekali gus dapat mengawal pengambilan kalori dan membantu mengurangkan berat badan anda.
- Kehamilan sihat
Bagi wanita hamil, anda sememangnya akan disarankan untuk mengambil makanan yang tinggi kandungan folat semasa tempoh kehamilan. Ia adalah penting untuk membantu pertumbuhan optimum dan perkembangan bayi dalam kandungan anda. Lebih membahayakan wanita yang tidak mendapat keperluan folat yang mencukupi, berdepan dengan risiko kecacatan kelahiran yang lebih tinggi.
Taugeh mengandungi 80% jumlah pengambilan nutrien makanan yang disyorkan bagi folat dalam satu cawan taugeh yang dimasak, iaitu sebanyak 202 gram. Ia juga tinggi kandungan zat besi, protein dan serat yang sememangnya amat diperlukan oleh individu wanita mengandung.
Namun, individu wanita yang mengandung harus mengelakkan dari memakan taugeh mentah kerana ia berkemungkinan membawa bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan dan berbahaya kepada bayi dalam kandungan. Sebaiknya pastikan taugeh yang hendak dimakan dimasak dengan sebaiknya.
- Radikal bebas
Antara kebaikan yang boleh diperolehi dengan pengambilan taugeh dalam diet pemakanan harian adalah ia dapat mencegah diri kita daripada radikal bebas. Untuk makluman anda, radikal bebas adalah satu keadaan apabila badan kita mengandungi sebatian kimia yang melebihi had yang sepatutnya. Kandungan kimia ini akan berupaya untuk menjejaskan dan mendatangkan kesan kepada sel-sel dalam badan dan menjadikan ia sel yang tidak baik, di mana sel-sel ini akan menyerang sel yang baik dan sihat yang terdapat dalam badan anda.
Jadi bagaimana taugeh dapat membantu menghalang anda daripada radikal bebas? Ini kerana taugeh mengandungi antioksidan yang akan membantu badan melawan sel-sel yang tidak baik. Antioksidan juga berperanan untuk meningkatkan sistem kekebalan dalam badan anda. Ia sekali gus menjadikan badan anda dilindungi daripada radikal bebas yang turut merupakan salah satu punca kanser.
Bahaya taugeh
Taugeh merupakan tumbuhan yang menjadi antara makanan tidak boleh dimakan mentah. Ini kerana proses tumbesarannya berlaku dalam keadaan yang lembap yang berisiko untuk terdedah kepada bakteria seperti salmonella dan E.coli. Bakteria ini tidak akan boleh disingkirkan dengan hanya membasuh tetapi ia perlu dimasak dengan sempurna untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
Berikut adalah beberapa kesan bahaya taugeh jika tidak dimasak dengan betul:
- Kehamilan dan penyusuan
Fasa kehamilan adalah satu peringkat penting bagi seorang individu wanita. Pada waktu ini adalah penting untuk mengambil makanan yang seimbang dan mengandungi nutrien penting seperti vitamin dan mineral.
Taugeh merupakan sumber nutrien penting bagi vitamin B, C, zat besi, folat, kalium dan magnesium serta nutrien lain. Ini menjadikan ia sangat bermanfaat untuk memberikan fasa kehamilan yang sihat.
Tetapi ia juga merupakan satu tumbuhan yang berisiko tinggi untuk mengandungi bakteria sekiranya ia tidak dibersihkan dan tidak mengalami proses tumbesaran yang baik. Seperti yang dinyatakan di atas, ia berisiko untuk membiakkan bakteria salmonella dan E.coli yang boleh menyebabkan masalah seperti cirit-birit, mual, demam, dan masalah serius lain kepada wanita hamil. Jadi sangat penting untuk memastikan ia dimasak dengan sebaiknya. Namun, pengambilannya secara berlebihan pula boleh menimbulkan masalah seperti penyerapan nutrien yang tidak baik, kembung perut dan kekejangan perut serta lain-lain lagi.
- Alahan
Taugeh sememangnya mengandungi sumber nutrien yang sangat baik seperti vitamin, mineral, antioksidan, fitonutrien, dan serat makanan. Kehadiran sebatian baik ini menjadikannya sangat bermanfaat untuk diambil dalam diet pemakanan harian. Namun, bukan semua individu boleh menikmati manfaat daripada tumbuhan ini. Ini kerana sesetengah individu mungkin akan mengalami reaksi alahan seperti kegatalan, berdehit, ekzema, sesak dan pendek nafas, sakit perut, mual, muntah dan cirit-birit.
- Risiko glisemik
Mengambil taugeh dalam kuantiti yang sederhana dan secara tetap adalah sangat baik untuk individu yang menghidap diabetes (kencing manis) dan kepada individu yang berdepan risiko untuk mengalami diabetes. Ia disebabkan indeks glisemik yang rendah dan ini bermakna, tumbuhan ini akan membantu melepaskan gula ke dalam aliran darah pada kadar perlahan dan ia membantu mengawal diabetes.
Tetapi pengambilan taugeh secara berlebihan boleh menyebabkan gula dalam darah turun ke tahap tidak normal yang boleh menimbulkan masalah hipoglikemia (Hypoglycemia), ia merupakan satu keadaan di mana paras gula berada di bawah tahap normal dan individu yang mengalami keadaan ini akan berdepan simptom seperti peluh secara berlebihan, kelaparan yang berlebihan, pengsan, keletihan, mual, muntah dan penglihatan kabur serta lain-lain masalah kesihatan. Jika anda seorang individu yang menghidap diabetes dan telah mengambil ubatan dan memakan taugeh pada jumlah yang berlebihan akan memperburukkan keadaan kesihatan anda.

Resepi masakan taugeh
Seperti yang dinyatakan di atas, taugeh memberikan banyak manfaat dan kebaikan dari aspek kesihatan. Oleh itu, apa kata kita ubah persepsi dan diet pengambilan makanan kita untuk lebih menggemari dan memperbanyakkan sayur taugeh? Jadikan ia sebagai satu makanan yang perlu ada dalam diet kerana manfaat daripadanya adalah sangat banyak dan penting buat kita. Berikut beberapa resepi taugeh mudah dan ringkas yang boleh anda cuba:
#1. Taugeh masak lemak
Bahan yang diperlukan:
- Taugeh
- ½ batang lobak merah, dipotong panjang-panjang
- ½ bawang besar dipotong halus
- 1 ulas bawang putih dipotong halus
- Udang, jika anda mempunyai alahan, anda boleh memilih untuk tidak menggunakan udang, dan menggantikannya dengan ayam
- ½ cawan santan,
- ½ cawan air
- Garam
- Gula
Cara penyediaannya:
- Bancuh santan dengan air. Masukkan ke dalam periuk. Masukkan bawang putih, bawang besar, udang dan lobak merah.
- Bila ia sudah mendidih masukkan taugeh. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Bila taugeh kelihatan hampir layu, tutup api.
- Makanan sudah sedia untuk dihidangkan.
#2. Taugeh goreng
Bahan yang diperlukan:
- 300 gram taugeh kasar
- 2 keping tauhu, dipotong dadu
- 3 biji cili merah
- 3 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 100 gram udang segar, dibuang kulit, jika anda mempunyai alahan makanan laut, anda boleh menggunakan isi ayam dan dipotong kecil
- 50 g daun kucai, dipotong pendek
- 3 sudu makan minyak masak
- Garam secukup rasa
Cara penyediaannya:
- Panaskan minyak dan gorengkan tauhu sehingga masak. Angkat tauhu dan masukkan ke dalam pinggan.
- Cili merah, bawang merah dan bawang putih ditumbuk bersama dan tumiskan. Masukkan udang sehingga wangi.
- Masukkan tauhu, taugeh, daun kucai dan garam. Kacau rata. Biarkan seketika.
- Sedia dihidangkan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda juga mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen