Tahukah anda bahawa masyarakat Hawaii beranggapan bahawa pokok buah keras merupakan simbol kepada keamanan, pencerahan dan perlindungan kepada mereka? Disebabkan itu juga, mereka telah mendeklarasikan pokok buah keras sebagai pokok rasmi negara ekoran penggunaannya yang pelbagai pada tanggal 1 Mei, 1959. Persoalannya, apakah sebenarnya manfaat yang wujud di dalam tumbuhan ini?
Setiap kali terdengar atau terbaca mengenai buah keras, pasti anda akan tertanya-tanya apakah fungsi tumbuhan ini, bukan? Ada yang mengatakan bahawa ia mempunyai fungsi dalam masakan, iaitu membuatkan kuah menjadi lebih pekat dan sedap. Pun begitu, bukan setakat itu sahaja manfaat yang boleh diperoleh melaluinya. Sebenarnya, ia juga mempunyai 1001 khasiat terhadap kesihatan dan kecantikan kita.
Ingin mengetahui mengenai tumbuhan ini dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.
Apa itu buah keras?
Buah keras atau nama saintifiknya Aleurites moluccanus adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari keluarga Euphorbiaceae. Perkataan “aleurites” itu sendiri sebenarnya berasal dari Greek yang membawa maksud “penuh dengan tepung”, sesuai dengan penampilannya yang seakan-akan bertepung pada bahagian permukaannya. Dalam pada itu, ia mempunyai pelbagai nama berbeza bergantung kepada bahasa sesebuah negara. Berikut merupakan nama-nama lain bagi tumbuhan ini mengikut masyarakat:
-
- Malaysia – buah keras
- Indonesia – kemiri
- Filipina – lumbang bato
- Myanmar – kyainthee
- Vietnam – lai
- Sri Lanka – kekuna
- Australia – tiairi, tiairi
- China – shi li
- India: katakrote
- Hawaii – kukui
- Sepanyol – nuez de la India
- Inggeris – candlenut, candleberry, Indian walnut
Tumbuhan ini merupakan natif kepada hutan hujan tropika di Malaysia, Indonesia, Australia, Kepulauan Maluku serta banyak lagi pulau di kawasan Lautan Pasifik Selatan. Tumbuhan ini banyak digunakan di dalam industri pembuatan cat, varnis, sabun atau diekstrak sebagai minyak lampu. Selain itu, ia juga merupakan sumber makanan ruji untuk masyarakat Australia dan individu dari negara Pasifik yang lain.
Pokok tumbuhan ini mampu tumbuh sehingga 15 – 25 meter (49 – 82 kaki). Daunnya pula berwarna hijau pucat, berbentuk bujur dan berukuran 10 – 20 cm (3.9 – 7.9 inci) panjang. Isirungnya pula adalah bulat dan berukuran 4 – 6 cm (1.6 – 2.4 inci) diameter. Bijinya pula berwarna putih, berminyak dan terasnya mempunyai lapisan embrio nipis yang disaluti oleh endosperma. Terasnya adalah sumber utama minyak buah keras ini.
Buah tumbuhan ini berwarna seakan-akan krim, lembut, berminyak serta mempunyai kulit yang keras, sesuai dengan namanya. Rasanya pula seringkali diungkapkan sebagai “kuat” dan “keras” jika hendak dibandingkan dengan rasa kekacang lain yang turut mempunyai kandungan minyak yang tinggi di dalamnya. Anda perlu berhati-hati kerana tumbuhan ini adalah bertoksik ketika masih mentah.
Sama seperti pelbagai lagi tumbuhan lain dalam keluarga Euphorbiaceae, tumbuhan ini adalah bertoksik dan hanya akan hilang toksiknya apabila dimasak. Ketika masih mentah, ia mempunyai bau yang sangat unik dan mempunyai rasa yang agak lembut. Selepas dimasak, rasanya akan berubah seakan kacang badam tanpa rasa pahit yang juga selalu ditemui dalam kacang badam.
Kebiasaannya, tumbuhan ini akan dijual di pasar malam atau pasar raya di Malaysia dan Indonesia selepas dituai. Disebabkan oleh kandungan minyaknya yang sangat tinggi, ia sangat mudah menjadi tengik. Jadi, anda disarankan untuk membelinya dalam kuantiti yang sedikit sahaja dan simpan ia di dalam tempat yang kering dan dingin. Paling penting, anda diingatkan untuk memasaknya terlebih dahulu sebelum memakannya untuk menyingkirkan toksik.
Mitos buah keras
Menurut kepercayaan masyarakat Hawaii, buah keras ini adalah jelmaan kepada Kamapua’a iaitu dewa khinzir. Salah satu lagenda menceritakan bahawa seorang wanita yang kalah dengan wanita lain walaupun selepas sedaya upaya cuba mendapatkan perhatian suaminya. Selepas itu, suaminya itu memukulnya dengan pokok buah keras sehingga mati. Disebabkan itu, dia telah dijelmakan kelahiran kedua sebagai wanita dengan hidup yang baru.
Fakta unik dan menarik mengenai buah keras
- Masyarakat yang tinggal di kawasan kepulauan seperti masyarakat Hawaii, Tahiti, Fiji dan lain-lain menggunakan jusnya untuk membuat tatu
- Masyarakat Tonga menggunakan buahnya di dalam upacara ritual kematian
- Buahnya sering dijadikan sebagai mainan seperti guli
- Isirungnya yang telah dihancurkan boleh dijadikan sebagai umpan menangkap ikan
- Kulitnya boleh dicuci, dibersihkan serta dijadikan anting-anting atau pelbagai aksesori perhiasan yang lain
- Kulit, daun dan bunganya selalu dijadikan kalung seperti yang sangat popular di Hawaii
- Di negara kita, buahnya selalu digunakan bersama paku besi dan cengkerang kerang ketika perayaan menuai padi
- Masyarakat kita percaya bahawa air campuran buahnya dengan paku besi dan cengkerang kerang sesuai dijadikan mandian untuk bayi yang demam
- Minyaknya banyak digunakan untuk pelbagai tujuan seperti dijadikan bahan untuk cat, varnis, sabun, penggilap, pengawet industri pembuatan dan perkilangan
- Minyaknya juga sangat popular digunakan dalam industri kosmetik dan penghasilan batik
- Minyaknya turut menjadi intipati rawatan tradisional untuk kulit dan rambut
- Selepas dikerah minyaknya, bijinya boleh dijadikan sebagai baja
- Akarnya boleh diproses menjadi bahan pewarna untuk dibuat baju
- Kayunya boleh diproses menjadi perabot, perkakas dapur, bot atau kanu yang kecil selain sesuai untuk dijadikan sebagai pulpa kertas, kayu api dan mancis
- Minyaknya boleh dijadikan sebagai minyak urut tubuh badan terutamanya bahagian kepada yang biasanya disebabkan oleh meningitis
- Minyaknya biasa dijadikan sebagai minyak wangi yang boleh disapukan kepada seluruh kulit
- Larva yang dinamakan sebagai Agrionome fairmairei akan memakan kayu mati tumbuhan ini
- Masyarakat Hawaii beranggapan bahawa pokok buah keras merupakan simbol kepada keamanan, pencerahan dan perlindungan
- Pada May 1, 1959, pokok buah keras telah dideklarasikan sebagai pokok rasmi negara ekoran penggunaannya yang pelbagai
Kandungan nutrisi buah keras
Ya, mungkin tumbuhan ini mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan dan kecantikan kita, namun apakah kandungan nutrisinya sehingga ia diangkat sebagai salah satu tumbuhan paling berguna buat kita?
Berikut merupakan kandungan nutrisi tumbuhan ini bagi setiap 100 gram:
tenaga (kj) | 1,979.0 kJ |
tenaga (cal) | 473.0 cal |
air | 24.4 mL |
lemak | 49.9 g |
protein | 7.8 g |
karbohidrat | 0.0 g |
karbohidrat kompleks | 0.0 g |
potasium | 876.0 mg |
sodium | 14.0 mg |
fosforus | 1,060.0 mg |
kalsium | 140.0 mg |
magnesium | 410.0 mg |
zink | 2.7 mg |
zat besi | 2.7 mg |
zat tembaga | 6.9 mg |
kadnium | 0.1 ug |
vitamin b1 | 4.2 mg |
vitamin b2 | 0.0 mg |
vitamin b3 | 1.3 mg |
Manfaat buah keras terhadap kesihatan
Mungkin ada yang sudah tahu dan mungkin ada juga yang belum tahu bahawa buah keras mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan kita. Untuk pengetahuan anda, tumbuhan ini sangat popular untuk digunakan untuk tujuan kulinari. Kandungannya yang tinggi dengan minyak menjadikannya sangat sesuai untuk dijadikan makanan, terutamanya di Asia. Minyak ini boleh dijadikan minyak untuk menghidupkan lampu.
Berikut adalah beberapa manfaat buah keras terhadap kesihatan kita:
#1. Membantu mengurangkan risiko sakit jantung
Tumbuhan ini adalah sangat bermanfaat buat individu yang mempunyai kadar kolesterol tinggi kerana ia mampu membantu meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL) dan sangat bagus untuk membantu menurunkan kadar kolesterol jahat (LDL).
Anda juga perlu tahu bahawa tumbuhan ini sangat kaya dengan potasium, yang sangat terkenal dengan keupayaannya untuk merendahkan tekanan darah. Cara ia berfungsi adalah ia akan menyebabkan dinding pada saluran darah relaks sekali gus membenarkan darah untuk mengalir dengan lebih mudah dan bebas ke sistem anda. Ini dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap organ jantung.
#2. Membantu melancarkan sistem penghadaman
Tumbuhan ini adalah sangat kaya dengan serat yang sangat penting di dalam diet untuk fungsi saluran pencernaan anda. Pengambilannya yang kerap mampu melancarkan sistem penghadaman kerana ia mampu membantu pergerakan usus anda ekoran kandungannya yang sangat kaya dengan minyak, yang boleh berfungsi sebagai “julap” semula jadi.
Perubatan tradisonal kita juga percaya ia sangat bermanfaat buat individu yang mengalami cirit-birit kerana kandungan seratnya yang tinggi boleh membantu menstabilkan amaun najis, sekali gus menyelesaikan masalah cirit-birit. Sikapnya yang kaya dengan komponen antimikrobia juga boleh membantu membunuh kuman yang terdapat di dalam makanan atau minuman, yang merupakan punca cirit-birit.
Selain itu, pengambilannya juga dikatakan boleh membantu merawat penyakit disentri, iaitu sejenis penyakit usus.
#3. Membantu melegakan sembelit
Tumbuhan ini sangat kaya dengan serat dan seperti mana yang kita tahu sembelit adalah disebabkan oleh kekurangan pengambilan serat. Jadi, pengambilannya boleh menyelesaikan masalah ini.
Cadangan pengambilannya adalah mencampurkan 1 biji buah keras, 2 biji bawang, 5 gram pulasari, 10 gram kulit kayu manis, 30 gram urang-aring, separuh sudu kecil garam, separuh sudu kecil jintan manis dan campurkan kesemua bahan ini ke dalam 800 cc air putih serta kacaukan sehingga sebati. Kemudian, rebuskan air ini sehingga 400 cc. Selepas itu, tapiskan dan hidangkannya. Ambil sekurang-kurangnya 2 kali sehari untuk kesan yang lebih efektif.
#4. Membantu melawan jangkitan kuman
Tumbuhan ini dikatakan sangat berkesan melawan jangkitan kuman. Meskipun jangkitan kuman tidak begitu berbahaya, ia masih boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada anda. Jadi, cuba ambil bahagian minyaknya dan gunakannya di bahagian tubuh badan yang dijangkiti. Gunakan ia selalu untuk mendapatkan keputusan yang optimum.
#5. Membantu membina otot dan mengawal berat badan
Tumbuhan ini adalah sangat kaya dengan protein. Jadi, ia sangat berkesan untuk membantu membina otot. Selain itu, ia juga sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam usaha menurunkan berat badan. Ini kerana, lebih besar otot, lebih cepat kadar metabolisma. Sebagai tambahan, protein juga adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh tubuh badan untuk membantu tubuh badan membakar kalori anda.
#6. Membantu menguatkan tulang dan sendi
Tumbuhan ini mempunyai kandungan fosforus yang sangat tinggi. Ini sekali gus menjadikannya sebagai sumber makanan yang sangat sesuai untuk menguatkan sendi. Ia berfungsi dengan membantu mengelakkan sendi daripada bengkak dan sakit akibat kekoyakan. Dalam pada itu, kandungan kalsiumnya yang tinggi juga sudah tentu membantu dalam menguatkan tulang kita.
#7. Membantu merawat insomnia
Tumbuhan ini terbukti mengandungi melatonin yang akan membantu anda untuk lebih relaks sekali gus membuat anda lebih lekas tidur. Insomnia yang mungkin disebabkan oleh depresi, terlalu banyak berfikir, terlalu takut akan sesuatu dan lain-lain mungkin akan dapat dirawat dengan pengambilan tumbuhan ini.
#8. Membantu merawat ulser
Tumbuhan ini dikatakan mampu merawat ulser secara tradisional. Caranya, ambil getahnya kemudian campurkannya sedikit dengan santan. Kemudian, sapukan sahaja secara terus kepada bahagian dalam mulut yang mengalami ulser.
#9. Membantu merawat sakit gigi
Tumbuhan ini juga boleh membantu merawat sakit oral. Sama seperti cara tradisional merawat ulser, gunakan getahnya yang telah dicampur dengan santan. Kemudian, sapukannya pada gigi yang mengalami kesakitan. Lakukannya dengan kerap untuk lebih mujarab.
#10. Membantu melegakan demam dalam kalangan kanak-kanak
Tumbuhan ini juga sebenarnya merupakan penawar semula jadi untuk demam. Caranya, ambil minyaknya dan campurkannya dengan air putih. Rebuskannya sehingga ia mengeluarkan aroma. Selepas itu tapiskan dan hidangkan di dalam gelas kosong. Beri kepada anak anda yang sedang demam. Pun begitu, ini hanyalah sekadar rawatan tradisional yang tidak terjamin keberkesanannya. Adalah lebih baik untuk anda membawa anak anda berjumpa doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang lebih lanjut.
#11. Membantu merawat gigitan serangga
Tumbuhan ini juga dikatakan mampu membantu merawat gigitan serangga seperti nyamuk, semut atau lebah. Jadi, jika anda digigit oleh serangga-serangga ini, sapukan ia dengan tumbuhan ini bersama serbuk kunyit. Namun sebelum itu, masak ramuan ini kemudian gaulkan dan hancurkannya sehingga sebati. Pun begitu, anda diingatkan bahawa ada serangga atau haiwan yang mempunyai bisa berbahaya serta mampu membunuh seperti lipan, kala jengking atau labah-labah dan ini tidak boleh dirawat dengan tumbuhan ini. Sebaiknya, berjumpa doktor adalah pilihan yang lebih baik.
Manfaat buah keras terhadap kecantikan
Ya, tumbuhan ini sememangnya sangat bermanfaat buat kesihatan anda. Namun tahukah anda bahawa ia juga adalah bermanfaat untuk kecantikan anda? Buat anda yang belum tahu, buah keras sangat bagus untuk kulit dan rambut anda. Petua orang lama mengatakan bahawa ia hanya perlu disapukan kepada kulit dan rambut untuk mendapatkan hasilnya.
Untuk rambut, dikatakan tumbuhan ini sangat bermanfaat untuk melebatkan rambut. Pasti anda pernah terdengar atau terbaca bahawa ia juga boleh menumbuhkan janggut, misai atau jambang, bukan? Ini mungkin juga berkesan jika anda gunakan ia secara kerap.
Untuk kulit pula, dikatakan tumbuhan ini sangat bermanfaat untuk kerangsaan yang berlaku kepada kulit. Sebagai contoh, ia boleh disapu kepada kulit yang terbakar, bengkak, lebam atau apa-apa iritasi.
Kesan sampingan pengambilan buah keras
Buah keras mengandungi toksik seperti saponin dan phorbol. Jadi, pengambilannya terlalu banyak dan mentah boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan. Antara kesan tersebut adalah sakit perut, cirit-birit, muntah-muntah dan pelbagai lagi masalah usus yang lain.
Sebaiknya, segera berjumpa doktor sekiranya tubuh badan anda mula mengalami masalah selepas sahaja mengambil tumbuhan ini untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang lebih lanjut.
Konklusi
Konklusinya, buah keras juga sangat popular dijadikan sebagai bahan masakan di dalam kalangan masyarakat kita. Ia selalu dimasukkan ke dalam masakan terutamanya kuah, untuk memberi kepekatan kepadanya. Bukan itu sahaja, ia juga digunakan untuk memberi aroma wangi yang boleh membuka selera anda selain memberi rasa yang lebih berlemak ekoran kandungannya yang berminyak. Jika difikirkan kembali, ia tidak begitu mengejutkan kerana tumbuhan ini sudah pasti mempunyai pelbagai kandungan nutrisi yang sangat hebat dan bermanfaat buat kesihatan dan kecantikan kita.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
- Herba: Kawalan Kelahiran Yang Menakjubkan
- Herba yang Boleh Meningkatkan Tekanan Darah
- Herba yang Biasa Digunakan untuk Rawatan Kanser
- Herba dan Manfaat Penggunaannya Terhadap Manusia
- Atasi Sakit Sendi Anda Dengan Herba dan Rempah Berikut
[embed-health-tool-bmr]