Ada orang yang memang tidak boleh atau tidak suka makan ‘seafood’ atas alasan tersendiri ekoran mereka kurang peka dengan manfaat makanan laut terhadap tubuh badan.
Ia juga mungkin disebabkan oleh mereka terlalu prihatin dengan mudarat makanan laut seperti mana yang diuar-uarkan sekali gus membuangnya daripada pinggan menu.
Walaupun pilihan diet atau makanan itu benar adalah hak individu, namun jom teruskan membaca artikel untuk tahu apa kesannya!
Carnitarian, jenis diet tanpa makanan laut?
Untuk pengetahuan anda semua, individu yang langsung tidak makan hasil laut di dalam diet mereka dikenali sebagai golongan Carnitarian dan ia bukan satu perkara pelik.
Seperti pengamal diet jenis Vegetarian, mereka tidak makan ikan dan makanan laut lain namun tetap akan makan sumber daging seperti ayam, lembu, kambing dan lain-lain.
Mereka yang memilih untuk mengamalkan diet jenis ini mungkin mempunyai 2 sebab yang utama:
- Tidak boleh makan seafood – Mereka mempunyai kondisi alergi terhadap makanan laut yang boleh jadi pemicu reaksi alahan termasuk anafilaksis
- Tidak suka makan seafood – Mereka tidak gemar dengan tekstur, bau serta rasa makanan laut sekali gus memilih untuk langsung tidak memakannya
Dalam erti kata lebih mudah, mereka mungkin sedar akan manfaat dan mudarat makanan laut, cuma terpaksa memilih jenis diet ini dalam usaha mengelakkan perkara tidak diingini.
Manfaat makanan laut dari sudut nutrien!
Sebenarnya, kita semua sangat disarankan untuk mengambil seafood kerana ia amat kaya dengan nutrien utama yang penting untuk tubuh badan yang lebih sihat dan kuat.
Berikut adalah antara kebaikan makan makanan laut dari sudut nutrien yang penting untuk anda ambil:
#1. Asid lemak omega-3
Ini adalah sumber nutrisi paling penting daripada pelbagai jenis ikan atau hasil laut lain yang mungkin tidak boleh ditemui dalam hidangan lain selain kuning telur haiwan darat.
Selain itu juga, anda mungkin boleh mendapatkannya daripada sumber asid lemak omega-3 jenis alpha-linolenic acid (ALA) daripada tumbuhan seperti bijian dan kekacang.
Menurut Pakar Diet Kris Sollid, tubuh badan individu juga boleh menukar ALA dari sumber lain ini kepada eicosapentaenoic acid (EPA) dan docosahexaenoic acid (DHA) sekali gus memenuhi keperluan dan kepentingan kedua-duanya.
Manfaat makanan laut #2. Protein
Sama seperti makanan berasaskan daging haiwan lain, makanan laut juga adalah sumber protein yang merupakan salah satu daripada tiga makronutrien diperlukan tubuh badan.
Apa yang lebih menarik, makanan laut juga sebenarnya mengandungi lemak mesra jantung lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan sumber protein daripada haiwan lain.
Manfaat makanan laut #3. Kalsium
Kebanyakan makanan laut adalah tinggi dengan kalsium terutamanya yang dikilangkan dan ditinkan bersama tulangnya seperti ikan sardin, tuna, makerel dan sebagainya.
Kalsium yang juga boleh diperolehi dari sumber lain seperti produk tenusu adalah sangat penting bukan sahaja untuk buat kesihatan tulang dan gigi, bahkan otot serta saraf.
#4. Pelbagai vitamin & mineral
Daging ikan, kerang, sotong dan sebagainya mungkin tidak begitu popular dengan vitamin serta mineral namun masih mengandungi vitamin dari jenis A, B, D, zat besi, zink, tembaga, fosforus, magnesium, potasium, selenium, iodin dan lain-lain.
Sebagai alternatif jika anda tidak makan makanan laut, vitamin dan mineral ini juga boleh ditemui di dalam pelbagai jenis makanan, minuman atau suplemen tambahan lain.
Pun begitu, anda juga perlu tahu bahawa masih ada mudarat makanan laut seperti merkuri, toksin, parasit, bakteria atau virus jika ia tidak dimasak dan dihidang dengan betul.
Wujudkah kesan buruk tidak makan seafood?
Sekiranya anda adalah salah seorang pengamal diet jenis Carnitarian, anda mungkin tidak perlu rasa risau dengan risiko malnutrisi kerana sumber nutrisi itu sangat luas.
Sama ada dari laut atau di darat, anda masih boleh mendapatkan sumber seperti protein, kalsium, vitamin dan mineral asalkan anda lebih peka dengan diet yang seimbang.
Apa yang mungkin kalian perlu risau adalah anda mungkin kurang dari segi zat asid lemak jenis EPA dan DHA kerana ikan serta makanan laut lain adalah sumber utama.
Akibatnya, ramai pakar berpendapat bahawa anda yang tidak mendapatkan manfaat makanan laut ini mungkin lebih tinggi risiko inflamasi sistemik serta pelbagai penyakit kronik lain seperti sakit jantung, kondisi autoimun dan diabetes jenis 2.
Konklusinya, anda yang tidak boleh atau tidak suka dengan makanan laut perlu mendapatkan nutrisi penting bagi menggantikan nutrien yang anda hilang daripadanya.
[embed-health-tool-bmr]