Pernahkah anda mendengar mengenai diet Atkins? Bagaimanakah cara diet Atkins ini berfungsi? Apakah pula cara diet Atkins yang betul? Ikuti kupasannya melalui artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkan di sini.
Cara diet Atkins
Cara diet Atkins ialah satu pelan pemakanan rendah karbohidrat yang telah diperkenalkan oleh seorang ahli kardiologi Robert C. Atkins pada tahun 1960.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa diet rendah karbohidrat seperti ini berkesan untuk menurunkan berat badan dan boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan.
Sebab utama mengapa diet Atkins ini sangat berkesan adalah kerana, pengurangan karbohidrat dan peningkatan pengambilan protein menyebabkan selera makan berkurangan.
Ini akan menjadikan seseorang individu tersebut mengambil kalori dengan jumlah yang lebih sedikit secara automatik.
4 fasa cara diet Atkins yang betul yang boleh anda ikuti
Cara diet Atkins mempunyai beberapa fasa penurunan berat badan. Ia bermula dengan pelan makan yang rendah sumber karbohidrat.
Ada empat fasa yang perlu anda ikuti untuk memastikan keberkesanan diet ini. Berikut adalah empat fasa diet Atkins yang betul:
Cara diet Atkins yang betul fasa 1: Induksi
Pada fasa pertama ini, anda langsung tidak boleh untuk mengambil sebarang sumber karbohidrat. Ini termasuklah makanan seperti nasi, roti dan juga pasta.
Anda hanya boleh mengambil sekitar 20 gram karbohidrat daripada sumber tumbuh-tumbuhan. Hanya 10% sumber karbohidrat yang dibenarkan dalam kalori harian anda.
Anda juga hanya boleh mengambil sumber protein dan lemak seperti ikan, ayam, daging, keju dan telur.
Anda tidak perlu mengawal pengambilan minyak dan juga lemak, namun anda tidak boleh mengambil buah-buahan atau sebarang makanan dan minuman manis lain.
Cara diet Atkins yang betul fasa 2: Pengimbangan
Pada fasa kedua ini, anda masih lagi perlu mengambil tidak lebih daripada 20 gram sumber karbohidrat daripada sayur-sayuran.
Segala makanan dan minuman bergula juga perlu dielakkan.
Namun, anda sudah mula boleh mengambil sedikit makanan yang kaya karbohidrat seperti sayur-sayuran lain, kekacang dan biji-bijian.
Ini kerana pada fasa kedua ini, berat badan anda sudah mula berkurangan.
Cara diet Atkins yang betul fasa 3: Pra penyelenggaraan
Pada fasa ketiga ini, anda sudah mula boleh mengambil sumber makanan lain dalam diet harian anda.
Antaranya adalah seperti buah-buahan dan juga bijirin. Anda juga sudah boleh meningkatkan jumlah pengambilan karbohidrat sebanyak 10 gram setiap minggu.
Namun, sekiranya penurunan berat badan anda sudah mula terhenti, maka anda perlu berhenti mengambil sumber karbohidrat tambahan.
Cara diet Atkins yang betul fasa 4: Pengekalan
Pada fasa ini, berat badan anda sudah mencapai tahap seperti yang disasarkan sebelum ini.
Oleh itu, anda boleh mengambil semula sumber karbohidrat seperti biasa.
Namun, anda masih perlu melihat sekiranya berat badan terbaharu itu kekal atau meningkat semula.
[health_tool_article id=’32121″]
Bolehkah ibu yang sedang menyusukan bayi mengamalkan cara diet Atkins ini?
Ibu yang sedang menyusukan bayinya tidak sepatutnya melakukan diet Atkins pada fasa pertama dan kedua.
Ini kerana, pada fasa pertama tersebut, sumber karbohidrat yang diambil oleh tubuh adalah sangat sedikit.
Jika sumber karbohidrat dalam tubuh sangat sedikit, maka tubuh akan melepaskan keton yang boleh merisikokan kesihatan bayi yang sedang menyusu badan.
Keadaan pengeluaran keton ini dikenali sebagai ketoasidosis.
Pelepasan keton yang terlalu banyak dalam aliran darah juga boleh menyebabkan beberapa komplikasi lain termasuklah strok.
Ibu yang menyusukan bayinya boleh melakukan diet Atkins bermula daripada fasa tiga dan seterusnya ke fasa empat.
Ini kerana, pada fasa ketiga dan keempat, pengambilan karbohidrat adalah lebih banyak dan ia akan menjadi sumber tenaga utama untuk tubuh badan.
Dengan itu, keton tidak akan dilepaskan dengan banyak dan boleh mengelakkan keadaan ketoasidosis daripada berlaku.
Cara ini adalah lebih selamat untuk kedua-dua ibu dan juga bayi yang disusukan.
Kesimpulan
Diet Atkins mungkin boleh membantu anda untuk menurunkan berat badan dan ia mestilah dilakukan mengikut fasa yang dinyatakan seperti di atas.
Namun, bagi ibu yang menyusukan bayi, anda tidak boleh melakukan fasa pertama dan kedua kerana ia boleh menjejaskan kesihatan anda dan juga si manja.
Anda boleh mulakan diet Atkins pada fasa ketiga dan juga keempat.
[embed-health-tool-bmr]