Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Bulan Ramadan kembali lagi. Bagi seluruh orang Islam, pastinya ia adalah bulan yang paling dinanti-nantikan. Namun, bagi sesetengah golongan yang menghidap penyakit tertentu mungkin akan berasa risau apabila tiba bulan puasa. Ini termasuklah mereka yang menghidap masalah gastrik. Jadi, adakah tip berpuasa Ramadan bagi pesakit gastrik?
Ini jawapannya.
Tip berpuasa Ramadan bagi pesakit gastrik
Pelbagai persediaan pastinya dilakukan bagi menghadapi bulan ini dengan jayanya sebelum meraikan lebaran.
Selain persediaan rohani, yang pastinya sangat penting, jangan sesekali mengabaikan persediaan fizikal yang tentunya terlibat secara langsung dalam ibadah puasa. Bagaimana anda ingin berpuasa jika badan tak sihat?
Bagi pesakit gastrik, keghairahan menyambut Ramadan kadangkala terganggu dengan kebimbangan serangan gastrik yang mungkin datang ketika berpuasa.
Jangan bimbang. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Ikuti tip berpuasa ramadan bagi pesakit gastrik agar anda dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan.
Apa itu gastrik?
Gastrik atau gastritis adalah keradangan pada lapisan dalam perut. Ia boleh diklasifikasikan kepada akut (secara tiba-tiba dan dalam tempoh yang singkat) atau kronik (dalam tempoh yang lama).
Keradangan adalah tindak balas badan terhadap jangkitan atau bahan yang boleh merengsa bahagian badan, dalam kes ini adalah lapisan perut.
Sel darah putih akan mengeluarkan beberapa bahan kimia seperti bradykinin, serotonin dan prostaglandin. Hasilnya, bahagian yang terbabit akan bengkak, merah, panas dan kehilangan fungsi.
Walaupun ia adalah tindak balas yang bertujuan melindungi badan dari jangkitan dan bahan yang membahayakan, kadangkala mekanisme perlindungan itu sendiri boleh mendatangkan bahaya sehingga menyebabkan pembentukan ulser pada perut.
Keadaan usus pesakit gastrik.
Apakah punca gastrik?
Punca utamanya adalah bakteria H. pylori dan penggunaan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) secara berlebihan dalam tempoh yang lama.
Bakteria H. pylori adalah sejenis bakteria yang hidup di dalam perut sebahagian manusia. Kehadirannya di dalam perut boleh menyebabkan keradangan.
Kehadiran H. pylori di dalam perut tidak semestinya menyebabkan penyakit gastrik tetapi pesakit gastrik kebiasaannya akan ditemui H. pylori di dalam perut mereka.
Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) juga boleh menyebabkan gastrik. Contoh NSAIDs adalah:
Aspirin
Ibuprofen
Naproxen
Celecoxib
NSAIDs bekerja dengan mengurangkan penghasilan prostaglandin E1, iaitu merupakan bahan kimia yang berfungsi melindungi lapisan perut dari dihakis oleh asid perut.
Hasilnya, perut akan terdedah kepada asid dan menyebabkan keradangan dan mungkin ulser.
Ada juga punca lain bagi gastrik yang jarang berlaku seperti penyakit autoimun dan alahan makanan.
Tanda-tanda gastrik
Tanda-tanda dan simptom gastrik kebiasaannya tidak jelas. Ia boleh berlaku dalam banyak keadaan lain.
Anda perlu menjalani pemeriksaan doktor bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.
Tanda-tanda dan simptom gastrik ialah:
Sakit perut yang semakin teruk apabila perut kosong
Mual
Muntah
Hilang selera makan
Perut kembung
Kerap sendawa
Hilang berat badan
Berdasarkan tanda-tanda dan simptom di atas, doktor akan membuat penilaian dengan maklumat dari sejarah perubatan anda serta beberapa ujian makmal untuk mengesahkan kehadiran bakteria H. pylori.
Tip berpuasa Ramadan bagi pesakit gastrik: Ini pilihan makanan untuk gastrik
Bercakap tentang gastrik, pemakanan pastinya memainkan peranan yang penting.
Memandangkan simptom gastrik semakin teruk apabila perut kosong, sudah tentu ia akan mendatangkan masalah semasa berpuasa. Lalu bagaimana anda harus mengatur pemakanan anda?
Anda boleh berpuasa seperti biasa asalkan anda mengambil makanan yang betul dan waktu pemakanan yang tepat.
Pertama sekali, jangan sesekali lupa untuk bersahur. Selari dengan tuntutan agama Islam, sahur adalah sangat digalakkan.
Makan semasa sahur akan memberikan anda bekalan tenaga sepanjang hari sehingga waktu berbuka.
Sebaiknya adalah untuk lewatkan waktu sahur hampir dengan azan subuh. Ini bertujuan memastikan tempoh perut tidak menerima makanan lebih singkat.
Selepas sahur, jangan terus tidur! Tunggu sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam sebelum tidur bagi mengelakkan masalah ketidakhadaman dan pedih ulu hati yang akan mengganggu puasa anda.
Kedua, berbuka puasa secara sederhana. Jangan sampai terlebih makan.
Ia hanya akan menyebabkan ketidakhadaman dan merangsang serangan gastrik. Mulakan dengan sesuatu yang ringan seperti kurma dan air kosong.
Selepas selesai solat maghrib, sambung dengan hidangan berat tetapi tidak berlebihan. Selain mengelakkan gastrik, ia boleh mengelakkan mengantuk ketika solat tarawih.
Berkaitan moreh pula, sebaiknya dielakkan. Tetapi pelawaan dari kariah masjid tidak selalunya mampu ditolak. Jadi, cuba kurangkan pengambilan makanan seboleh mungkin.
Pemilihan makanan adalah sangat penting. Elakkan makanan dan tabiat yang merangsang serangan gastrik. Antara yang perlu dielakkan sebagai tip berpuasa Ramadan bagi pesakit gastrik adalah:
Minuman berkafein seperti kopi dan teh
Makanan berasid seperti buah limau, oren dan tomato
Makanan pedas
Makanan berlemak tinggi seperti mentega, coklat, santan dan keju
Makanan tinggi fiber seperti epal, oat, lobak merah dan brokoli
Makanan rendah lemak seperti ikan dan ayam
Makanan berasid rendah atau berakali tinggi seperti sayur-sayuran
Makanan mengandungi probiotik seperti tempe dan yogurt
Banyakkan minum air putih
Makanan yang disarankan diambil semasa bulan puasa.
Jika anda masih mengalami gastrik selepas mengamalkan diet dan tabiat makan di atas, anda mungkin perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Anda mungkin memerlukan ubat bagi mengawal asid di dalam perut.
Apakah ubat dan rawatan untuk gastrik?
Tidak semua pesakit gastrik memerlukan ubat. Kadangkala, perubahan pada tabiat makan dan diet sahaja sudah mencukupi.
Namun bagi kes yang tidak dapat dikawal melalui diet dan tibat makan, bantuan dari ubat-ubatan mungkin diperlukan.
Ubat-ubatan yang tersedia bagi rawatan gastrik adalah:
Anti-asid. Ia mengurangkan pengeluaran asid di dalam perut seterusnya kerengsaan dan keradangan. Contohnya aluminum hydroxide, magnesium hydroxide dan magnesium tricylicate
Perencat reseptor H2. Ubat ini menghalang reseptor H2 di dalam sel perut yang bertanggungjawab menghasilkan asid. Contohnya cimetidine dan ranitidine
Perencat pam proton. Ini adalah antara ubat yang paling efektif dalam mengurangkan pengeluaran asid dengan merencat pam proton di dalam sel perut dari melepaskan asid ke dalam perut. Contohnya omeprazole, pantoprazole dan esomeprazole
Antibiotik. Ubat ini diperlukan bagi pesakit yang disahkan mengandungi bakteria H. pylori di dalam perut mereka. Pengambilan antibiotik selama 2 minggu sangat berkesan dalam membunuh H. pylori. Antara antibiotik yang biasa digunakan ialah amoxicillin, clarithromycin dan metronidazole
Ibadah puasa adalah satu kewajipan bagi orang Islam. Kita tidak seharusnya menjadikan keadaan kesihatan sebagai alasan untuk kita bermudah-mudah dalam meninggalkan ibadah ini. Namun, jangan pula kita bertindak melulu dengan berpuasa dalam keadaan sakit sebelum menilai risikonya.
Ambil jalan tengah. Dunia perubatan moden telah banyak merungkai penyakit yang dahulunya tidak dikenal pasti.
Dapatkan nasihat perubatan dari doktor berdekatan dengan rumah anda. Ramadan seharusnya menjadi sesuatu yang menyenangkan dan menyihatkan badan. Jangan jadikan keadaan kesihatan anda sebagai penghalang.
Selamat berpuasa. Ramadan kareem!
Kalkulator BMR
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Dr Shamsul Anuar bin Asmee (10 Julai 2015). Ulser Peptik. Dimuat turun daripada http://www.myhealth.gov.my/ulser-peptik/.
Charles Patrick Davis, MD, PhD (11 Februari 2017). Gastritis (Symptoms, Pain, Home Remedies, and Cure). Dimuat turun daripada https://www.medicinenet.com/gastritis/article.htm#gastritis_definition_and_facts.
Diana K. Wells (10 April 2017). Gastritis Diet (What To Eat and What To Avoid). Dimuat turun daripada https://www.healthline.com/health/gastritis-diet.
Staf Mayo Clinic (17 Mei 2017). Helicobacter pylori (H. pylori) infection. Dimuat turun daripada https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/h-pylori/symptoms-causes/syc-20356171.
Zohra Ashpari dan Erica Cirino (17 Mei 2017). Tips For Limiting Acidic Foods. Dimuat turun daripada https://www.healthline.com/health/acid-foods-to-avoid#1.
Versi Terbaru
15/03/2024
Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim
Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid