Bantu Orang Tua Anda Menjalani Kehidupan yang Sihat

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ibu bapa atau orang tua anda adalah di bawah tanggungjawab anda. Ingatkah lagi semasa kecil saat anda menangis untuk mendapatkan kereta mainan di kedai. Ketika itu, ibu bapa anda dengan sabar melawan kerenah anda demi anaknya yang tersayang.

Kini apabila mereka sudah tua dan berumur, tiba masanya untuk anda membalas jasa mereka. Antara perkara paling penting adalah untuk memastikan orang tua anda dapat menjalani kehidupan yang sihat.

Bagaimana anda boleh membantu mereka?

1. Bawa mereka ke hospital

Warga emas secara amnya lebih mudah mendapat penyakit terutamanya penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kanser. Penyakit-penyakit ini selalunya tidak menunjukkan sebarang simptom.

Sebelum berlaku keadaan yang tidak diingini, sebaiknya adalah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Ini adalah penting sebagai kayu ukur kesihatan semasa bagi merancang pelan kesihatan yang sesuai mengikut keadaan. Anda yang perlu membawa mereka. Jangan mengharapkan mereka untuk pergi sendiri.

2. Pasang pemegang tangan di dalam rumah

Orang tua lebih cenderung untuk jatuh disebabkan penglihatan yang berkurang serta otot dan tenaga yang lemah. Oleh sebab itu, mereka memerlukan sokongan untuk bergerak. Pemegang tangan yang dipasangkan di tempat-tempat tertentu adalah penting bagi mengelakkan jatuh.

Antara tempat yang perlu dipasangkan pemegang tangan adalah:

  • Bilik tidur bersebelahan katil.
  • Di pintu dan dalam tandas.
  • Dapur dan singki.

Pemegang tangan di dalam tandas untuk mengelakkan jatuh

Selain itu, ubah susun perabot di dalam rumah agar sesuai dan memudahkan pergerakan. Bagi rumah dua tingkat, sebaiknya tempatkan mereka di tingkat bawah.

3. Elakkan mereka berseorangan

Hidup berseorangan mendedahkan seseorang kepada banyak bahaya. Bagi mereka yang berumur, ingatan menjadi semakin lemah dan mereka lebih mudah untuk terlepas mengambil ubat-ubatan yang sepatutnya. Jika berlaku kecemasan, keadaan akan menjadi susah jika tiada orang berhampiran yang boleh membantu.

Di samping itu, hidup berseorangan turut meningkatkan lagi risiko keadaan kesihatan mental seperti Alzheimer dan kemurungan.

Walau bagaimanapun, situasi semasa kadangkala membuatkan keadaan ini sukar dielakkan. Ibu bapa yang tinggal di kampung tidak mahu meninggalkan rumahnya untuk berpindah ke bandar. Anak-kanak pula kurang mendapat peluang pekerjaan di kawasan penempatan ibu bapanya.

Oleh itu, setiap orang perlu memikirkan cara terbaik untuk mengelakkan orang tuanya tinggal berseorangan. Jika tidak dapat tinggal di dalam satu rumah, sekurangnya-kurangnya dapat balik menjenguk selalu dan bertanya khabar.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut