backup og meta

Malaysia Pun Pernah Dilanda Virus Japanese Encephalitis, Kenali Penyakit JE!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 19/02/2023

    Malaysia Pun Pernah Dilanda Virus Japanese Encephalitis, Kenali Penyakit JE!

    Malaysia pernah digemparkan dengan penularan penyakit JE atau Japanese Encephalitis pada tahun 90-an terutama sekali di Sarawak.

    Namun, kes yang dilaporkan berkurangan setelah program imunisasi diperkenalkan. Di Sarawak, ia merupakan imunisasi yang wajib diambil oleh bayi berumur 9 bulan dan 21 bulan.

    Tahun lalu, terdapat kes jangkitan dilaporkan di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan di Pontian, Johor. Jika penularan virus ini tidak dibendung, ia boleh menjadi suatu bencana di negara kita.

    Dapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit, dapatkan di sini.

    Apakah itu penyakit JE atau Japanese Encephalitis?

    Penyakit Japanese Encephalitis ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk daripada keluarga Flavivirus yang juga bertanggungjawab untuk penyakit lain seperti demam denggi, demam kuning dan West Nile.

    Virus JE adalah penyebab utama keradangan otak disebabkan virus di Asia. Kes pertama yang dilaporkan ialah pada tahun 1871 di Jepun.

    penyakit je

    Ia disebarkan oleh gigitan nyamuk Culex setelah menggigit ternakan khinzir yang dijangkiti. Nyamuk yang membawa virus tersebut boleh menyebabkan jangkitan kepada manusia, haiwan ternakan lain dan burung yang hidup di kawasan air.

    Walau bagaimanapun, virus Japanese Encephalitis tidak akan berjangkit sesama manusia, ataupun jika memakan daging khinzir yang telah dijangkiti oleh virus tersebut.

    Insiden penyakit Japanese Encephalitis

    Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kejadian tahunan berkaitan dengan penyakit ini bergantung kepada kawasan endemik dan negara yang terlibat.

    Bilangan kes yang dilaporkan boleh terjadi di antara kurang 1 atau lebih 10 individu untuk setiap 100,000 penduduk negara tersebut. Namun, jumlah kes boleh meningkat ketika wabak berlaku.

    Kajian menganggarkan sebanyak 68,000 kes klinikal yang dilaporkan oleh seluruh dunia pada setiap tahun, dengan 13,600 hingga 20,400 kes penularan japanese encephalitis melibatkan kematian.

    penyakit je
    Sumber gambar : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

    Siapakah yang boleh dijangkiti penyakit JE?

    Secara umumnya, penyakit ini lebih senang mempengaruhi kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.

    Kebanyakan kes jangkitan adalah asimptomatik (tidak mempunyai simptom). Dianggarkan hanya 1 dalam setiap 250 kes jangkitan sahaja yang akan menzahirkan simptom.

    Namun, individu pelbagai usia masih boleh terjejas, terutama sekali jika mempunyai penyakit yang melemahkan sistem imun badan.

    Tanda-tanda dan gejala penyakit JE

    Selepas dijangkiti virus Japanese Encephalitis, tanda-tanda dan gejala akan muncul di antara 4 hingga 14 hari.

    Kebiasaannya, ramai penghidap penyakit Japanese Encephalitis hanya mendapat tanda-tanda dan gejala yang ringan ataupun tanpa gejala yang jelas sama sekali.

    Gejala dan tanda-tanda yang utama untuk kanak-kanak ialah sakit perut dan muntah.

    Selain itu, gejala paling teruk yang boleh dialami oleh penghidap penyakit Japanese Encephalitis ialah :

    • Demam bersuhu tinggi
    • Sakit kepala
    • Kekejangan leher
    • Kekeliruan
    • Sawan
    • Kelumpuhan spastik
    • Koma
    • Kematian

    Mengikut WHO, kadar kematian kes boleh mencapai 30% bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda dan gejala penyakit Japanese Encephalitis.

    20-30% pesakit yang masih hidup selepas mengalami tanda dan gejala teruk akan mendapat masalah intelektual, tingkah laku atau neurologi yang berterusan seperti kelumpuhan, sawan berulang atau ketidakupayaan untuk bercakap.

    Baca juga:

    Rawatan dan pencegahan

    Setakat ini, belum ada rawatan yang sah untuk penyakit Japanese Encephalitis. Rawatan sokongan diberikan untuk mengawal gejala serta menstabilkan pesakit. Oleh itu, pentingnya pencegahan kerana belum ada penawarnya lagi.

    Pencegahan boleh dimulakan dari rumah anda sendiri. Tujuan utama adalah untuk mengelakkan diri daripada digigit nyamuk Culex dan membasmi pembiakannya.

    1. Pencegahan daripada gigitan nyamuk

    • Memasang kelambu ketika tidur
    • Menggunakan bahan penghalau nyamuk seperti ubat lingkaran nyamuk, aerosol dan sebagainya
    • Memakai pakaian yang menutup sepenuhnya ketika berada di ladang ternakan khinzir

    2. Membasmi kawasan pembiakan nyamuk

    • Mengelakkan air daripada bertakung
    • Kawasan air bertakung seperti tempayan haruslah ditutup
    • Memastikan sistem perparitan lancar dan tidak bertakung
    • Kawasan ternakan babi haruslah dibersihkan selalu
    • Menyembur racun nyamuk secara berkala

    3. Penyuntikan vaksin bagi golongan yang berisiko mendapat penyakit JE

    • Penternak khinzir
    • Penduduk yang tinggal berhampiran dengan ladang khinzir, terutamanya golongan kanak-kanak (radius 2km)

    penyakit je

    Jadual imunisasi untuk Japanese Encephalitis

    Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dos pertama vaksin ini hanya diberikan kepada bayi berumur 9 bulan dan dos kedua sewaktu umurnya 21 bulan bagi penduduk di Sarawak sahaja.

    Konklusi

    Penyakit JE dapat dielakkan sama sekali jika mengikut cara pencegahan yang betul.

    Jika anda mempunyai tanda-tanda dan gejala yang disenaraikan serta mempunyai faktor risiko, dapatkan rundingan dan rawatan selanjutnya daripada doktor anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 19/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan