Bingitnya! Bunyi Apa Tu?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Pernah tak anda dengar bunyi berdesing walaupun tiada benda fizikal yang boleh anda lihat mengeluarkan bunyi tersebut? Bunyi bingit tersebut seringkali dipanggil tinitus. Walaupun ia jarang berlaku disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius, bunyi bingit tersebut boleh membuatkan keadaan seseorang itu tidak selesa. Kerap kali digosok telinga namun tiada perubahan. Nak tahu dengan lebih lanjut berkenaan dengannya? Ikuti artikel ini.

Fisiologi pendengaran

Ramai individu tahu bahawa gelombang bunyi boleh bergerak melalui udara. Namun, tahukah anda, bunyi yang kita dengar ini adalah hasil penukaran gelombang bunyi kepada getaran dan akhirnya signal elektrik yang dihantar ke otak? Pada mulanya, gelombang bunyi akan dikumpul oleh cuping telinga. Ia kemudiannya akan bergerak memasuki ke liang luar telinga sehingga sampai ke struktur membran timpani (struktur gegendang). 

Pertemuan di antara gelombang bunyi dan gegendang telinga tersebut akan membuatkan struktur tengah gegendang telinga, umbo, bergetar mengikut amplitud dan kekerapannya. Semakin tinggi amplitud bunyi, semakin kuatlah tahap getaran membran. Semakin tinggi kekerapan bunyi, semakin lajulah membran tersebut bergetar. Ini akan menyebabkan pergerakan tiga tulang kecil yang melekat pada struktur gegendang telinga dikenali sebagai osikel. 

Getaran tersebut akan terus tersebar ke struktur telinga dalaman melalui pergerakan osikel. Koklea yang mengandungi sel rerambut akan menukarkan getaran tersebut kepada gelombang elektrik sebelum ia dihantar ke otak. Hasilnya, kita dapat mengamati bunyi

Tinitus

Tinitus merupakan terma perubatan yang digunakan untuk menerangkan fenomena bunyi asing yang kedengaran tanpa ada apa-apa sumber yang jelas. Kebiasaannya, ia seperti bunyi yang bingit namun bagi sesetengah individu, bunyinya seakan-akan berdesing. Majoriti mereka yang mengalami tinitus mempunyai masalah kurang pendengaran dan perkara ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa perkara:

  • Bunyi yang kuat
  • Jangkitan kuman pada ruang telinga tengah dan ruang telinga dalam
  • Tumor pada ruang telinga tengah
  • Lelilin telinga
  • Penuaan
  • Masalah neurologikal seperti multiple sclerosis
  • Penyakit yang mempengaruhi keseimbangan seperti penyakit Meniere
  • Ubat ototoksik

Salah satu punca yang kebiasaannya menyebabkan tinitus adalah kerosakan pada struktur sel rerambut di dalam koklea. Seperti yang anda sedia maklum, sel ini bertanggungjawab dalam memastikan pengaliran gelombang elektrik ke otak. Jika ada masalah pada struktur ini, otak tidak akan menerima pengisyaratan daripada koklea. Ini akan mengakibatkan kecelaruan isyarat, disebabkan oleh otak berusaha untuk mengesan signal, sama seperti apabila anda cuba untuk mencari isyarat radio di dalam kereta. Akhirnya, otak mengeluarkan signal yang tidak normal untuk menggantikan input yang hilang, seterusnya menyebabkan tinitus. 

Apa nak buat jika mengalami tinitus?

Jika anda mengalami simptom ini, segeralah berjumpa dengan doktor. Ini kerana terdapat pelbagai jenis punca yang sering dikaitkan dengan tinitus. Jika punca tersebut tidak dirawati, tinitus tersebut akan kekal mengganggu ketenteraman hidup anda. Kadangkala, ubat-ubatan seperti aspirin, antibiotik, antimalaria dan ubat sawan boleh menyebabkan tinitus. Jadi, jangan lupa untuk memaklumkan perkara tersebut kepada doktor anda.

Buat sesetengah individu, tahap kesihatan secara menyeluruh mempengaruhi kebarangkalian untuk mereka mengalami simptom tinitus. Oleh itu, amat penting bagi mereka untuk kekal aktif, mengamalkan gaya pemakanan sihat dan tahap stres yang rendah. Penyakit mental seperti kemurungan, keresahan dan insomnia perlu dirawat untuk mencegah perkara ini. Jika anda terdedah kepada bunyi bising di tempat kerja, gunakan penyumbat telinga.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 17, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 17, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut