backup og meta

Wahai Lelaki, Kanser Testis Tak Sama Dengan Prostat, Kalau Nak Elak Kena Kerap Periksa Kemaluan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/11/2020

    Wahai Lelaki, Kanser Testis Tak Sama Dengan Prostat, Kalau Nak Elak Kena Kerap Periksa Kemaluan!

    Walaupun kanser prostat dan kanser testis adalah dua jenis masalah kesihatan berbeza, namun ramai yang sering menganggap ia sama.

    Persamaannya, kedua-dua jenis kanser tersebut mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi sekiranya didiagnosis pada peringkat awal.

    Namun, tahap kefahaman penghidap dan masyarakat secara umumnya boleh mempengaruhi kecenderungan seseorang untuk melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

    Bagi kanser prostat, ujian saringan kebiasaannya dilakukan pada usia 50 tahun memandangkan 80% kes sering didiagnosis dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas.

    Walau bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser prostat, saringan boleh dilakukan seawal usia 40 tahun.

    Kanser testis pula tiada protokol pengesanan khas. Pada kebanyakan kes, ia dikesan oleh pesakit sendiri semasa mereka melakukan pemeriksaan kemaluan.

    Perbezaan di antara kedua-dua jenis kanser ini perlu difahami memandangkan cara pengesanan dan rawatan yang berbeza.

    Kanser testis, jarang berlaku namun lazim dalam kalangan orang muda

    testis

    Berbeza dengan kanser prostat yang sering didiagnosis dalam kalangan orang tua, kanser testis lebih lazim didiagnosis dalam kalangan orang muda.

    Pengesanannya bergantung kepada pemeriksaan oleh individu itu sendiri atau oleh doktor semasa pemeriksaan rutin.

    Jika dibandingkan dengan kanser prostat, rawatan dan kadar kesembuhan bagi kanser testis adalah lebih baik.

    Walaupun sel kanser telah merebak, ia masih boleh dirawat dengan terapi kemo moden seperti dalam kes Lance Armstrong, seorang pelumba basikal profesional.

    Lelaki yang berusia di antara 15 hingga 35 tahun digalakkan untuk melakukan pemeriksaan kemaluan secara kerap.

    Anda mungkin berminat:

    Ini berikutan pengesanan kanser testis pada peringkat awal mempunyai prognosis (ramalan perkembangan penyakit) yang lebih baik.

    Kunci untuk menjadi konsisten dalam pemeriksaan rutin adalah dengan melakukannya pada tarikh yang sama pada setiap bulan.

    Paling mudah, 1 haribulan. Pemeriksaan boleh dilakukan semasa mandi memandangkan otot skrotum  (kantung) berada dalam keadaan lembut.

    1. Periksa satu testis dalam satu masa.
    2. Gunakan ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu untuk membelek permukaan testis.
    3. Anda perlu ambil perhatian pada permukaan testis sekiranya terdapat tekstur kasar, ketumbuhan kecil atau rasa testis lebih besar daripada biasa.
    4. Jika anda terasa seperti ketumbuhan kecil pada permukaan belakang testis, usah risau. Itu merupakan struktur epididimis, tiub yang membawa sperma keluar.
    5. Kalau terdapat sebarang ketumbuhan, rujuk doktor anda untuk pemeriksaan lanjut.

    Jika doktor anda turut menemui ketumbuhan yang sama, pemeriksaan menggunakan alat ultra bunyi akan dilakukan.

    Ia selamat dan mempunyai kadar ketepatan yang tinggi. Keputusan positif akan disusuli dengan prosedur biopsi (pengambilan tisu ketumbuhan).

    Kanser prostat, kontroversi pada sistem saringan

    kanser prostat

    Walaupun ujian saringan bagi kanser prostat boleh membantu mengesan kanser pada peringkat awal, ketepatan dan intepretasi ujian tersebut mempunyai  isu yang tersendiri. 

    Berbeza dengan negara barat, Malaysia masih mempunyai insiden kanser prostat yang lebih rendah.

    Namun, ia mungkin disebabkan oleh kadar ujian saringan atau tahap kesedaran yang masih lagi rendah.

    Ujian antigen prostat dalam darah (PSA) merupakan parameter makmal utama dalam mendiagnosis masalah kanser prostat.

    Berbeza dengan kanser testis, protokol diagnosis bagi kanser prostat bermula dengan ujian saringan dan pemeriksaan fizikal oleh doktor.

    PSA merupakan cecair protein yang dihasilkan oleh kelenjar prostat bagi membolehkan sperma berfungsi pada tahap optimum.

    Walaupun protein tersebut spesifik untuk kegunaan air mani, ia boleh masuk ke dalam aliran darah dan diukur melalui ujian makmal khusus.

    Oleh sebab PSA dirembeskan oleh tisu prostat sihat dan berpenyakit, sukar untuk kita ramal risiko seseorang itu untuk mendapat kanser prostat.

    Secara amnya, semakin tinggi nilai PSA, semakin besar saiz prostat.

    Ia kelihatan lebih meyakinkan berbanding dengan cara pengesanan kanser testis kan?

    Namun, jumlah PSA di dalam darah turut meningkat apabila seseorang itu mengalami peningkatan usia.

    Tambahan pula, saiz prostat yang besar tidak bermaksud anda mempunyai kanser. 

    Risiko bagi kanser prostat dianggap tinggi bagi mereka yang mempunyai nilai PSA yang tinggi .

    Pun begitu, kajian pada tahun 2004 menunjukkan mereka yang mempunyai bacaan PSA normal juga turut berisiko.

    Lebih kurang 20% penghidap kanser prostat mempunyai nilai PSA dalam lingkungan normal.

    Oleh itu, penting bagi setiap individu untuk memahami kepentingan mendapatkan konsultasi doktor bagi mengesannya pada peringkat awal.

    Konklusi

    Kanser testis dan prostat merupakan dua keadaan kesihatan yang mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi.

    Perkara ini terutamanya jika pengesanan dibuat pada peringkat awal.

    Oleh itu, penting bagi setiap lelaki untuk melakukan pemeriksaan kemaluan secara berkala dan ujian saringan prostat sekiranya berisiko.

    Dapatkan khidmat nasihat perubatan daripada doktor sekiranya anda tidak pasti.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 04/11/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan