Apa itu Biopsi Payudara?

Oleh

enEnglish

Definisi

Apa itu Biopsi Payudara?

Biopsi payudara merupakan suatu prosedur yang disyorkan oleh doktor anda bagi mengeluarkan sampel kecil tisu payudara untuk ujian makmal.

Biopsi payudara dianggap sebagai solusi bagi menilai bahagian yang diragui pada payudara anda untuk menentukan sama ada ia kanser payudara. Terdapat beberapa jenis prosedur biopsi payudara.

Biopsi payudara akan menyediakan satu sampel tisu payudara yang doktor tersebut gunakan bagi mengenal pasti dan mendiagnos kelainan pada sel-sel yang membentuk benjolan payudara, perubahan payudara luar biasa yang lain atau mencurigakan mahupun mengenai penemuan pada mamogram atau ultrasound. Laporan makmal daripada biopsi payudara boleh membantu doktor anda menentukan sama ada anda memerlukan pembedahan tambahan atau rawatan lain.

Mengapakah biopsi payudara dilakukan?

Terdapat beberapa sebab mengapa biopsi payudara dilakukan:

  • Anda atau doktor merasa benjolan atau ketebalan pada payudara anda, dan doktor mengesyaki kanser payudara.
  • Mamogram menunjukkan kawasan yang diragui pada payudara anda.
  • Pengimbas ultrasound mendedahkan penemuan yang mencurigakan.
  • MRI payudara anda mendedahkan penemuan yang mencurigakan.
  • Anda mempunyai puting yang bukan kebiasaan atau perubahan areolar termasuk, berkerak, bersisik, kulit bercawak atau lelehan berdarah.

Langkah berjaga-jaga dan amaran

Apakah yang saya perlu tahu sebelum menerima biopsi payudara?

Ada beberapa maklumat umum yang perlu anda perhatikan sebelum melakukan biopsi payudara:

Risiko yang dikaitkan dengan biopsi payudara termasuk:

  • Payudara lebam dan bengkak.
  • Jangkitan atau pendarahan di kawasan biopsi.
  • Bentuk payudara yang berubah, bergantung kepada berapa banyak tisu yang dikeluarkan dan bagaimana payudara anda sembuh.
  • Pembedahan tambahan atau rawatan lain, bergantung kepada keputusan biopsi.
  • Hubungi doktor jika anda mengalami demam, jika tapak biopsi menjadi merah atau hangat, atau jika anda mempunyai saliran yang berlainan daripada kawasan biopsi. Hal ini boleh menjadi tanda jangkitan yang mungkin memerlukan rawatan segera.

Proses

Bagaimanakah untuk menyediakan biopsi payudara?

Sebelum melakukan biopsi payudara, maklumkan kepada doktor sekiranya anda:

  • Mempunyai sebarang alergi.
  • Mengambil aspirin dalam tujuh hari yang lepas.
  • Mengambil ubatan mencairkan darah (antikoagulan).
  • Tidak mampu untuk meniarap dalam tempoh masa yang lama.

Sekiranya biopsi anda akan dilakukan menggunakan pengimejan resonans magnetik (MRI), maklumkan kepada doktor jika anda mempunyai perentak jantung atau peranti elektronik lain yang ditanam di dalam badan anda atau jika anda hamil atau anda mungkin mengandung. MRI secara umum tidak digalakkan dalam keadaan ini.

Pakai bra semasa janji temu anda. Pasukan penjagaan kesihatan anda boleh meletakkan pek sejuk terhadap bahagian biopsi selepas prosedur, dan bra boleh memegang pek sejuk pada tempatnya serta memberikan sokongan untuk payudara anda.

Apakah yang berlaku semasa biopsi payudara?

Semasa biopsi pembedahan, sebahagian daripada massa payu dara dikeluarkan untuk pemeriksaan (biopsi insisi) atau keseluruhan massa payudara boleh dikeluarkan (biopsi eksisi, eksisi setempat yang luas atau lumpektomi). Biopsi pembedahan biasanya dilakukan di dalam bilik pembedahan menggunakan sedasi yang diberikan melalui vena di tangan atau lengan anda (intravena) dan anestetik setempat untuk memberi rasa kebas pada payudara anda.

Jika massa payudara tidak dapat dirasai, ahli radiologi anda boleh menggunakan teknik yang dikenali sebagai persetempatan wayar untuk memetakan laluan ke massa untuk pakar bedah. Semasa persetempatan wayar, hujung wayar yang nipis diletakkan dalam massa payudara atau hanya melaluinya. Hal ini biasanya dilakukan sejurus sebelum pembedahan.

Semasa pembedahan, pakar bedah akan cuba mengeluarkan keseluruhan massa payudara berserta wayar. Bagi membantu memastikan keseluruhan massa dikeluarkan, tisu dihantar ke makmal hospital untuk mengesahkan sama ada kanser payudara telah dikesan dan jika demikian, bahagian tepi (margin) massa akan dinilai untuk menentukan sama ada sel kanser terdapat dalam margin (margin positif).

Jika sel-sel kanser terdapat pada margin tersebut, anda akan dijadualkan untuk pembedahan lain supaya lebih banyak tisu dapat dikeluarkan. Jika margin jelas (margin negatif), maka kanser telah dikeluarkan secukupnya.

Apakah yang berlaku selepas biopsi payudara?

Selepas prosedur tersebut, anda akan pulang ke rumah dengan hanya pembalut dan pek ais pada kawasan biopsi. Walaupun anda perlu bertenang sepanjang hari, anda mampu meneruskan aktiviti normal anda dalam sehari. Lebam adalah perkara biasa selepas prosedur biopsi jarum teras.

Bagi meringankan kesakitan dan ketidakselesaan selepas biopsi payudara, anda boleh mengambil ubat pelega sakit bukan-aspirin yang mengandungi acetaminophen dan meletakkan pek sejuk yang diperlukan untuk mengurangkan bengkak.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang biopsi payudara, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik arahan anda.

Penjelasan keputusan

Apakah maksud keputusan saya?

Laporan patologi merangkumi butiran tentang saiz dan konsistensi sampel tisu, lokasi kawasan biopsi, dan sama ada kanser, bukan kanser (tidak berbahaya) atau terdapat sel prakanser.

Jika keputusan biopsi payudara anda mendedahkan perubahan payudara yang normal atau tidak berbahaya, doktor anda perlu melihat sama ada ahli radiologi dan ahli patologi bersetuju dengan penemuan tersebut. Kadang-kadang pendapat kedua-dua pakar ini berbeza. Contohnya, ahli radiologi mungkin mendapati bahawa hasil mamogram anda menyatakan lesi yang lebih mencurigakan seperti kanser payudara atau lesi prakanser, tetapi laporan patologi anda mendedahkan tisu payudara adalah normal. Dalam kes ini, anda mungkin memerlukan lebih banyak pembedahan untuk mendapatkan lebih banyak tisu bagi menilai lebih lanjut kawasan tersebut.

Jika laporan patologi anda mengatakan bahawa terdapat kanser payudara, ia akan menyertakan maklumat tentang kanser itu sendiri, seperti apa jenis kanser payudara yang anda alami dan maklumat tambahan, sama ada kanser adalah reseptor hormon positif atau negatif. Anda dan doktor anda kemudian boleh membuat pelan rawatan yang sesuai dengan keperluan anda.

Bergantung kepada makmal dan hospital, julat normal untuk biopsi payudara mungkin berbeza-beza.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 23, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 21, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.