Tinea Cruris

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Tinea Cruris?

Tinea cruris atau biasa dikenali dengan kegatalan kelangkang adalah sejenis jangkitan kulit yang disebabkan oleh kulat. Ia biasanya berlaku di kawasan pangkal paha, kawasan kelamin, paha bahagian atas atau punggung. Simptom tinea cruris yang paling biasa adalah ruam berbentuk cincin di kawasan yang dijangkiti. Ia biasanya berlaku pada orang yang hidup dalam persekitaran yang panas dan lembap.

Apakah kebarangkalian Tinea Cruris?

Walau apa pun jantina atau kewarganegaraan anda, anda boleh mendapatkan tinea cruris jika anda sering terdedah kepada persekitaran panas dan lembap. Walau bagaimanapun, ia lebih biasa pada lelaki berbanding wanita. Lelaki mempunyai lebih banyak lipatan kulit di celah kelangkang mereka yang menjadi mudah rengsa dan boleh menimbulkan jangkitan. Orang yang memakai seluar dalam atau pakaian yang ketat, kuat berpeluh atau mempunyai sistem imun yang bermasalah adalah berisiko tinggi untuk mempunyai tinea cruris.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Tinea Cruris?

Simptom biasa tinea cruris termasuklah:

  • Gatal dan rengsa di kawasan yang terjejas;
  • Ruam berbentuk cincin berlaku pada pangkal paha, lipatan kulit, kawasan dalam paha, atau punggung. Ruam tidak biasanya berlaku di skrotum (buah zakar) atau penis (zakar);
  • Kawasan pinggir ruam adalah sangat berbeza dari bahagian kulit lain, mungkin bersisik atau mempunyai benjolan yang kelihatan seperti lepuh;
  • Kawasan tengah ruam mungkin berwarna merah-coklat.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Tinea Cruris?

Tinea cruris biasanya disebabkan oleh organisma kulat yang biasanya tumbuh di kawasan yang hangat dan lembap. Jangkitan kulat ini sering kali disebabkan oleh:

  • Memakai pakaian yang basah, lembap, atau tidak dibasuh (seperti pakaian dalam atau pelindung kemaluan);
  • Berkongsi tuala yang dijangkiti kulat;
  • Mandi yang tidak kerap, terutamanya selepas bersenam atau berpeluh berat dari kerja;
  • Menyentuh orang yang dijangkiti;
  • Anda juga boleh dengan mudah dihinggapi kulat yang biasanya tinggal di permukaan lembap seperti lantai di bilik awam atau bilik ganti;
  • Pergaulan dengan binatang peliharaan yang dijangkiti.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Tinea Cruris?

Tinea cruris dapat disembuhkan, tetapi jika anda tidak menghindari faktor-faktor risiko ini, keadaan anda akan menjadi lebih buruk. Terdapat banyak faktor risiko untuk tinea cruris, seperti:

  • Keadaan panas dan lembap;
  • Kuat berpeluh;
  • Obesiti;
  • Pakaian ketat;
  • Memakai semula pakaian, terutama pakaian dalam atau pelindung kemaluan, sebelum pencucian;
  • Tertukar seluar dengan orang secara tidak sengaja;
  • Mandi yang tidak kerap;
  • Berkongsi tisu atau pakaian dengan orang lain;
  • Menggunakan bilik mandi awam atau bilik persalinan;
  • Gangguan sistem imun.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Tinea Cruris didiagnosis?

Tinea cruris biasanya boleh didiagnosis berdasarkan rupa dan lokasi kegatalan dan ruam. Doktor anda mungkin bertanya mengenai simptom dan riwayat perubatan anda. Dalam sesetengah kes, anda mungkin diminta untuk menjalani ujian makmal mengenai kawasan kulit yang dijangkiti. Ujian biasanya melibatkan mengikis bahagian kulit yang boleh dilihat di bawah mikroskop atau kultur.

Bagaimana pesakit Tinea Cruris dirawat?

Selalunya, tinea cruris boleh dirawat di rumah dengan ubatan belian kaunter dalam bentuk krim, semburan, dan bedak antikulat (antifungal). Tetapi, jika anda tidak pasti mengenai keadaan semasa, rujuk doktor anda untuk melihat jika terdapat sebarang jangkitan yang berpanjangan, terhenti atau berlaku semula. Untuk merawat tinea cruris, ikuti langkah berikut:

  • Pertama, cuci ruam dengan sabun dan air. Kemudian ratakan krim antikulat ke atas ruam dan pastikan krim menutup semua kawasan ruam.
  • Selepas itu, anda disyorkan untuk menggunakan krim atau serbuk antikulat yang mengandungi terbinafine, miconazole, atau clotrimazole. Nama jenama ubatan termasuklah Lamisil, Lotrimin, Micatin, dan Monistat. Produk ini boleh dibeli tanpa preskripsi. Ikuti arahan pada risalah panduannya, dan jangan berhenti menggunakan ubat ini hanya kerana simptom anda telah hilang. Ini penting kerana jangkitan mungkin akan kembali jika anda tidak menyelesaikan tempoh penuh rawatan seperti yang ditunjukkan. Sekiranya simptom tidak bertambah baik selepas 2 minggu, sila hubungi doktor anda.
  • Kadang-kadang anda perlu mengambil ubat antikulat melalui mulut. Ubat ini biasanya perlu diambil untuk masa yang lama, mungkin mencecah berbulan-bulan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Tinea Cruris?

Cara hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin berupaya membantu anda menangani tinea cruris:

  • Mandi dengan kerap untuk memastikan kebersihan diri.
  • Mandi selepas bersenam atau selepas berpeluh dengan banyak.
  • Keringkan kawasan alat kelamin secara menyeluruh selepas dibasuh.
  • Sapukan bedak pengering selepas mandi untuk membantu menjaga bahagian pangkal kering.
  • Pakai seluar kapas, seluar dalam kapas dan pakaian yang ‘bernafas’. Elakkan memakai pakaian yang bergeser dengan kasar pada pangkal paha anda. Sekiranya boleh, basuh seluar dalam dan pelindung kemaluan atau jemur di bawah cahaya matahari.
  • Jangan berkongsi tuala atau pakaian dengan orang lain.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.