Jangkitan buah pinggang

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Jangkitan buah pinggang?

Jangkitan buah pinggang, juga dikenali sebagai pielonefritis, adalah jangkitan tertentu pada saluran kencing. Jangkitan ini bermula pada saluran kencing di bahagian bawah (uretra atau pundi kencing) kemudian bergerak ke bahagian atas saluran kencing (buah pinggang dan ureter). Jangkitan buah pinggang berkemungkinan merebak ke saluran darah dan menyebabkan jangkitan yang membawa maut.

Apakah kebarangkalian Jangkitan buah pinggang?

Data epidemiologi pielonefritis adalah terhad. Satu kajian berdasarkan populasi di Amerika Syarikat menganggarkan bahawa setiap tahun berlaku kira-kira 17 kes bagi setiap 10,000 wanita dan 4 kes bagi setiap 10,000 lelaki. Jangkitan buah pinggang menunjukkan perbezaan  bermusim dan lebih kerap berlaku pada bulan Julai dan Ogos bagi wanita dan pada bulan Ogos dan September dalam kalangan lelaki. Ia boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira usia. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Jangkitan buah pinggang?

Jangkitan buah pinggang mungkin kelihatan seperti jangkitan biasa pada mulanya, tetapi ia kemudian berkembang dengan cepat dan lebih teruk apabila bakteria sampai ke bahagian atas saluran kencing. Tanda dan simptom utama jangkitan buah pinggang ialah:

  • Demam;
  • Pening dan muntah.
  • Sakit belakang, tepi, pangkal paha atau sakit perut;
  • Kerap membuang air kencing, keinginan yang kuat dan berterusan untuk membuang air kencing;
  • Merasa terbakar atau sakit ketika membuang air kecil;
  • Nanah atau darah dalam air kencing anda;
  • Air kencing yang busuk;

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu menghubungi doktor jika anda mempunyai simptom berikut:

  • Jika anda sedang dirawat untuk sebarang jangkitan saluran kencing tetapi tanda dan simptomnya tidak bertambah baik;
  • Jika anda mengalami satu atau lebih simptom utama jangkitan buah pinggang.

Punca

Apakah Punca Jangkitan buah pinggang?

Jangkitan buah pinggang biasanya disebabkan oleh bakteria yang memasuki saluran kencing melalui ureter (tiub yang berfungsi untuk membawa air kencing keluar daripada badan anda), kemudian membiak. Bakteria yang paling kerap ditemui menyebabkan pielonefritis ialah bakteria yang biasa ditemui dalam najis (E. coli atau Klebsiella), manakala bakteria kulit atau bakteria yang lain kurang berkemungkinan untuk menyebabkan pielonefritis.

Aliran darah ke buah pinggang  juga boleh menyumbang kepada penyakit ini dengan membawa bakteria daripada jangkitan di tempat lain dalam badan anda dan kemudian merebak ke buah pinggang anda. Jangkitan buah pinggang boleh berlaku melalui cara ini walaupun jarang terjadi.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Jangkitan buah pinggang?

Terdapat banyak faktor risiko untuk jangkitan buah pinggang, seperti:

  • Anatomi Wanita. Kerana uretra wanita adalah lebih pendek daripada seorang lelaki, bakteria tidak perlu merebak dengan jauh untuk sampai ke pundi kencing. Oleh itu, wanita lebih berisiko tinggi mendapat pielonefritis.
  • Halangan dalam saluran kencing. Apabila aliran air kencing perlahan atau keupayaan anda untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya berkurang, bakteria lebih mudah bergerak sehingga ureter, yang meningkatkan risiko jangkitan buah pinggang;
  • Batu karang;
  • Sistem imun yang lemah, seperti kencing manis atau HIV;
  • Kerosakan kepada saraf sekitar pundi kencing;
  • Penggunaan kateter kencing yang berpanjangan;
  • Masalah kesihatan yang menyebabkan air kencing salah mengalir.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Jangkitan buah pinggang didiagnosis?

Berdasarkan keadaan anda, tanda vital dan simptom, seperti demam dan sakit belakang, doktor boleh memberikan diagnosis awal. Anda mungkin perlu menjawab beberapa soalan, memberikan sampel air kencing untuk mengesan bakteria, darah atau nanah  dalam air kencing anda. Ujian makmal yang mengesan bakteria atau organisma lain dalam darah juga mungkin diperlukan dalam beberapa kes.

Ujian pengimejan yang mugkin diperlukan termasuklah ultrabunyi, imbasan tomografi berkomputer atau sejenis X-ray yang memberikan imej terperinci buah pinggang dan organ-organ yang berkaitan.

Bagaimana pesakit Jangkitan buah pinggang dirawat?

Rawatan pertama jangkitan buah pinggang ialah pengambilan antibiotik. Ubat yang perlu anda ambil dan tempoh masanya bergantung kepada keadaan kesihatan anda, simptom dan bakteria yang dijumpai dalam air kencing. Tanda dan simptom jangkitan buah pinggang akan beransur-ansur hilang dalam masa beberapa hari rawatan. Tetapi anda mungkin perlu meneruskan pengambilan antibiotik selama seminggu atau lebih. Pastikan anda mengahabiskan keseluruhan antibiotik yang ditetapkan oleh doktor anda.

Jika anda mempunyai jangkitan buah pinggang yang teruk, anda mungkin akan dimasukkan ke hospital dan diberikan antibiotik melalui vena pada lengan.

Jika jangkitan buah pinggang berulang, anda mungkin perlu menemui pakar buah pinggang untuk mengenal pasti masalah.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Jangkitan buah pinggang?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani jangkitan buah pinggang:

  • Kenakan haba. Letakkan pad haba pada abdomen, belakang atau sisi untuk mengurangkan rasa sakit;
  • Gunakan ubat tahan sakit;
  • Pastikan anda sentiasa terhidrat. Anda perlu mengambil cecair secukupnya untuk membuang bakteria keluar daripada badan tetapi elakkan minum kopi.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.