Beguk dan Thyroid: Jangan Keliru

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda tentu pernah terkeliru antara beguk dan thyroid (atau tiroid). Mana satukah berkaitan dengan iodin? Mana satu perlu disapu dengan nila?

Artikel ini akan merungkai kekeliruan tersebut.

Memahami anatomi

Beguk dan thyroid adalah 2 penyakit yang berbeza sama sekali. Kedua-duanya juga melibatkan 2 organ berbeza. Beguk menjejaskan kelenjar parotid, manakala thyroid pula melibatkan kelenjar tiroid.

Untuk memahami perbezaan antara kedua penyakit dan organ ini, anda perlu tahu di manakah kedudukan sebenarnya.

Pertamanya adalah kelenjar parotid. Organ ini terletak di bahagian pipi, di bawah dan hadapan kedua-dua belah telinga. Ia adalah sejenis kelenjar yang berfungsi menghasilkan air liur di dalam mulut. Selain parotid, terdapat juga beberapa kelenjar lain yang menghasilkan air liur seperti submandibular dan sublingual.

Kedudukan kelenjar parotid

Thyroid pula terletak di bahagian hadapan leher. Kedudukannya lebih bawah daripada biji halkum. Ia juga adalah sejenis kelenjar dan merupakan sebuah organ yang sangat penting. Ia merembeskan hormon tiroid yang berfungsi mengawal metabolisme badan. Jika fungsinya terganggu, banyak sistem di dalam badan akan turut terjejas.

Kedudukan kelenjar tiroid

Bagaimana ingin membezakan kedua-duanya?

Paling mudah adalah melalui kedudukan atau posisi bengkak. Berdasarkan kepada anatomi yang telah dijelaskan di atas, beguk adalah bengkak di bahagian pipi, manakala thyroid pula adalah bengkak pada bahagian hadapan leher.

Walau bagaimanapun, terdapat juga punca-punca lain yang menyebabkan bengkak di bahagian muka dan leher. Contohnya, bengkak nodus limfa, lipoma (ketumbuhan sel lemak) dan osteoma (ketumbuhan tulang).

Apakah punca penyakit ini?

Beguk adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus beguk atau mumps virus. Jangkitan ini menyebabkan radang pada kelenjar parotid (parotitis) sehingga menjadi bengkak dan sakit. Kelenjar parotid juga boleh bengkak disebabkan oleh tumor dan batu karang.

Thyroid (atau lebih tepat goitre) pula mempunyai banyak punca. Paling biasa adalah kekurangan iodin di dalam badan. Sebab lain adalah atoimun dan tumor.

Adakah rawatannya berbeza?

Memandangkan puncanya adalah berbeza, maka rawatan juga sudah pasti berbeza.

Bagi penyakit beguk, tiada ubat khusus untuk melawan virus beguk. Apa yang boleh dilakukan adalah langkah-langkah untuk mengurangkan simptom seperti ubat demam, tuam ais pada bengkak, rehat dan banyakkan minum air. Vaksin adalah langkah terbaik sebagai pencegahan.

Thyroid pula dirawat bergantung kepada sebab. Jika kurang iodin, suplemen iodin adalah langkah yang baik (bukan sapu nila!). Kini, semua garam yang ada di pasaran mengandungi iodin. Jadi, kes thyroid bengkak disebabkan kurang iodin sangat jarang ditemui.

Jangan terkeliru antara beguk dan thyroid. Kedua-duanya adalah penyakit yang berbeza.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut