Tip Mengawal Pengunaan Gajet Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Gajet adalah satu revolusi dalam banyak perkara di hari-hari kita. Dengan adanya telefon pintar, banyak urusan yang boleh diselesaikan hanya menggunakan telefon. Selain memudahkan, ia juga menjimatkan tenaga dan masa.

Dalam kemajuan teknologi pada masa ini, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan semasa. Jika kanak-kanak pada zaman dahulu hanya tahu bermain lego, baling selipar dan kejar-kejar, kanak-kanak zaman ini lebih advanced dengan YouTube, Facebook dan Instagram.

Tanpa menolak kelebihan yang ada, penggunaannya haruslah diselia dan dikawal khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan ketagihan dan merencatkan kemahiran sosial anak-anak.

Ikuti tip berikut untuk mengawal penggunaan gajet oleh kanak-kanak.

1. Tetapkan masa

Gajet mempunyai banyak kebaikan. Antaranya ialah ia boleh merangsang kreativiti anak-anak melalui video dan gambar yang bergerak. Terdapat juga banyak permainan video yang berbentuk pendidikan.

Di samping kebaikan yang ada, had masa hendaklah ditetapkan agar mereka tidak menjadi ketagih. Jika anak-anak sudah terbiasa bermain telefon atau iPad, mereka akan sentiasa meminta dari semasa ke semasa.

Setiap kali anda ingin berikan kepada anak-anak anda, hadkan masa kurang daripada 15 minit pada satu-satu masa. Sebaiknya, elakkan penggunaan melebihi 30 minit sehari.

2. Pantau penggunaan

Kanak-kanak sangat mudah terdedah kepada pelbagai jenis kandungan tidak sihat di dalam gajet, khususnya pornografi yang semakin menular dan mudah didapati di dalam internet.

Anda perlu memantau anak anda semasa menggunakan gajet. Lakukan interaksi bersamanya semasa melihat skrin telefon dan tanyakan mereka soalan seperti “apa nama binatang ni?”, “warna apa ni?” atau “macam mana bunyi kucing?”

Bagi kanak-kanak yang lebih dewasa, tanyakan soalan-soalan yang lebih mencabar seperti “macam mana burung boleh terbang?” atau “kenapa kita perlu makan sayur?”

computer

Dengan interaksi yang berlaku, hubungan antara ibu bapa dan anak akan lebih erat. Dalam masa yang sama, minda anak-anak juga akan berkembang. Anda juga boleh letakkan telefon kepada mod parenting control untuk mengelakkan mereka membuka laman-laman yang tidak sepatutnya.

3. Jangan manjakan anak anda dengan gajet

Sebahagian ibu bapa menjadikan telefon sebagai “ubat penenang” apabila anak-anak mereka menangis atau mengamuk. Membuka video di YouTube adalah langkah yang sangat mudah untuk memujuk kanak-kanak yang menangis.

Namun, video tersebut hanyalah solusi sementara dan tidak akan menyelesaikan punca sebenar. Anda seharusnya mencari sebab sebenar anak anda menangis. Contohnya, jika seorang anak anda menangis kerana mainannya diambil oleh adiknya, anda perlu meminta si adik memulangkan semula kepada si abang kerana itu adalah haknya.

Jika anak-anak terlalu dimanjakan dengan gajet, mereka akan lebih mudah mengamuk dan sentiasa meminta-minta.

4. Elakkan gajet ketika ada ramai orang

left out kid

Apabila saudara mara pulang ke kampung, gunakan saat itu untuk membiarkan anak-anak anda bersosial bersama sepupu dan saudaranya. Jika mereka meminta gajet, elakkan daripada menunaikan permintaannya.

Anak-anak perlu belajar bersosial dan berinteraksi dengan persekitarannya. Ia adalah skil yang penting sebelum melangkah ke alam sekolah dan remaja.

5. Tiada gajet dalam dua tahun pertama

Terdapat banyak umur yang digariskan oleh pakar yang berbeza berkenaan umur yang sesuai untuk memperkenalkan gajet kepada anak-anak. Kebanyakan pakar meletakkan umur selepas dua tahun sebelum menggunakan apa-apa gajet.

Umur dua tahun pertama ini adalah waktu yang harus digunakan oleh anak-anak untuk berinteraksi dengan objek-objek fizikal di sekeliling mereka. Ini adalah penting untuk merangsang deria sentuhan mereka yang gagal didapatkan melalui gajet.

6. Tunjukkan contoh teladan yang baik

Inappropriate Teen Role Models Parenting Tips Hello Doktor

Jika anda mengharapkan anak-anak anda agar tidak terlalu kerap menghadap skrin telefon atau iPad, anda harus memulakannya terlebih dahulu. Kanak-kanak sangat mudah terikut dengan tingkah laku orang tuanya.

Banyakkan masa bermain dan berborak dengan anak-anak anda. Elakkan memegang gajet semasa waktu keluarga seperti waktu makan atau berkumpul di ruang tamu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Jun 22, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 2, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut