Kajian yang dilakukan
Dalam satu kajian dilakukan oleh Cincinnati Children’s Hospital Medical Center melibatkan 47 kanak-kanak sihat, dengan 27 kanak-kanak perempuan dan 20 kanak-kanak lelaki yang berusia antara 3 hingga 5 tahun bersama ibu bapa mereka.
Kanak-kanak terlibat perlu menyelesaikan ujian kognitif standard diikuti dengan diffusion tensor MRI, yang berfungsi untuk mengukur kestabilan saluran bahan putih yang terdapat pada otak.
Manakala, ibu bapa pula diberikan alat pemeriksaan 15-item, ScreenQ (pendedahan kepada gajet dengan skrin) yang berasaskan saranan American Academy of Pediatrics (AAP). Skor ScreenQ kemudiannya dikaitkan secara statistik dengan skor ujian kognitif dan pengukuran MRI yang mengawal aspek usia, jantina dan pendapatan isi rumah.
Kesan pendedahan gajet
Dalam kajian yang diterbitkan dalam JAMA Pediatrics menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai lebih banyak masa menghadap skrin mempunyai integriti struktur saluran bahan putih yang lebih rendah.
Struktur putih ini mempunyai fungsi pada bahagian otak yang menyokong perkembangan bahasa dan mewujudkan kemahiran literasi baru. Kemahiran ini adalah termasuk berkaitan imej (imagery) dan fungsi eksekutif yang melibatkan proses kawalan mental dan pengurusan diri.
Malahan, berdasarkan kajian, kanak-kanak yang terdedah dengan gajet juga mempunyai skor yang lebih rendah dalam pengukuran berkaitan bahasa dan literasi.