Puting Bayi: Perlu Diberikan atau Tidak?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sejak dahulu lagi, ramai ibu bapa yang mengambil pendekatan untuk memberikan puting bayi atau pacifier kepada anak sebagai salah satu cara untuk menenangkan anak. Keputusan untuk memberikan anak puting bayi atau lebih dikenali sebagai puting kosong ini, adalah terpulang kepada ibu bapa. Cuma, anda mungkin ingin tahu kesan pemberiannya kepada anak anda. Jadi, ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenai kesan yang mungkin akan berlaku.

Apa itu puting kosong?

Puting kosong adalah puting bayi yang digunakan sebagai alat penenang yang diperkenalkan oleh Joaquin Martinez bagi menangani masalah wanita tidak dapat tidur kerana bayi meragam.

Alat penenang dianggap sebagai alat selamat yang diberikan kepada bayi untuk dihisap, bentuknya seperti gegelang gigit bagi gigi yang sedang tumbuh atau kelentong bulat di hujung. Tetapi kini, puting kosong diperbuat dari silikon atau getah yang standard, dengan pengadang mulut yang diperbuat dari plastik atau silikon bersama pemegangnya. Puting lateks adalah lebih lembut dan fleksibel dari silikon, tetapi ianya tak tahan lama. Pacifier moden adalah selamat untuk digunakan, senang untuk disteril dan pengadang mulut puting mencegah bayi daripada tercekik atau menelan puting itu.

Adakah baik jika bayi gemar menghisap puting?

Puting Bayi Perlu Diberikan atau Tidak - puting

Ramai ibu bapa mendapati bayi mereka akan lebih tenang jika diberikan puting bayi. Ini kerana, kebanyakan bayi rasa gembira apabila dapat menghisapnya tidak kiralah puting ibunya ataupun puting tiruan. Bagi penggunaan harian, ibu bapa akan menawarkan puting bayi yang banyak dijual di pasaran. Apabila dapat menghisapnya, anda akan lihat tumpuan bayi teralih dan bayi juga mudah untuk terlena selepas letih menghisap pacifier.

Selain itu, aktiviti menghisap pacifier semasa tidur siang dan malam juga dikatakan boleh membantu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS). Walau bagaimanapun, bagi bayi yang menyusu badan, ibu bapa adalah disarankan untuk menawarkan puting bayi selepas usia bayi 3 hingga 4 minggu.

Kesan negatif jika perkenalkan bayi kepada puting

Pemberian puting bayi ada juga kontranya. Sebelum ibu bapa menawarkan anak kepada puting bayi, ketahui dahulu apa kesannya kepada anak anda:

  • Pengenalan awal puting bayi kepada si manja yang masih kecil boleh mengganggu rutin penyusuannya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan pacifier boleh mengurangkan kekerapan sesi penyusuan bayi, malahan, sesetengah bayi akan berhenti menyusu selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada puting bayi. Namun, kajian yang dilakukan kepada bayi yang sihat, dan cukup bulan mendapati tiada impak pada penyusuan bayi.
  • Bayi yang mendapat pacifier juga akan terlalu bergantung kepada puting bayi dan akan menangis jika tidak mendapatnya, tidak kiralah jika hendak tidur, semasa tidur atau selepas bangun tidur.
  • Infeksi telinga meningkat. Terdapat hubung kait yang membuktikan mengenai penggunaan puting bayi untuk jangka masa panjang dan infeksi telinga tengah. Dipercayai bahawa menghisap puting bayi menambah kemungkinan infeksi berpindah dari mulut ke tiub Eustachia (saluran berisi udara yang menyambungkan telinga tengah dengan bahagian belakang tekak). Jika anda memberikannya kepada bayi anda, pastikan anda mengehadkan penggunaannya untuk tidur sahaja, untuk mengelakkan masalah seperti ini.
  • Penggunaan puting bayi untuk jangka masa yang panjang cenderung menyebabkan masalah gigi. Ramai doktor gigi tidak menggalakkan penggunaan puting kosong atau menghisap jari sebab kedua-duanya boleh menyebabkan beberapa masalah apabila gigi tumbuh dan keluar, terutama sekali jika bayi masih menggunakan puting sebagai penenang semasa gigi kekal mereka sedang menembus keluar.
  • Masalah pertuturan. Penggunaan pacifier tidak membolehkan bayi membebel atau babbling, iaitu satu langkah penting untuk bayi anda belajar bertutur dan berkomunikasi.

Adakah saya perlu bagi bayi hisap puting?

Sudah tentu keutamaan ibu bapa adalah menenangkan bayi. Jadi, puting bayi adalah salah satu cara untuk bayi lebih tenang, tenteram dan tidak meragam. Pemberian pacifier tiada salahnya asalkan ibu bapa tidak terlalu menjadikannya sebagai alat utama untuk memudahkan tugas ibu bapa dalam menenteramkan anak. Dapatkan nasihat daripada doktor jika anak anda susah untuk berhenti hisap puting.

Memberikan puting kepada bayi

Terdapat segelintir ibu bapa yang memberikan puting kepada bayi untuk menenangkan bayi mereka, dan terdapat juga ibu bapa yang tidak gemar untuk menggunakannya. Wujud juga ibu bapa yang berpendapat untuk tidak menggunakannya pada ketika bayi masih belum dilahirkan dan akhirnya bertukar fikiran apabila sukar untuk membuat bayi yang menangis untuk bertenang.

Jika anda ingin memberikan bayi anda puting, berikut adalah beberapa perkara yang harus anda pertimbangkan, antaranya:

  • Tunggu dulu sampai bayi biasa dengan rutin penyusuan.
  • Jangan terlalu kerap bagi bayi pacifier. Tawarkannya hanya selepas atau di antara waktu makan. Cuba hadkan pemberian puting bayi untuk masa-masa utama sahaja, seperti semasa serangan kolik atau hanya untuk menenangkan. Ini sekali gus dapat mengurangkan risiko infeksi telinga tengah dan masalah lain.
  • Pilih puting bayi jenis silikon, bebas BPA (bisphenol-A) dan selamat untuk bayi.
  • Pastikan puting bayi bersih sebelum diberikan kepada si manja.
  • Pastikan ia sentiasa bersih – sterilkan sama seperti puting botol.
  • Jangan bagi anak-anak berkongsi puting bayi.
  • Tawarkan bayi puting mengikut saiz yang sesuai dengan usianya.
  • Jangan letakkan sebarang benda manis pada puting bayi kerana akan merosakkan gigi si manja.
  • Ganti puting kosong bayi secara kerap – sama seperti puting botol, periksa jika ada retak, pecah atau lubang, yang boleh menakung kuman, dan gantikan dengan puting baru segera.
  • Sebaiknya “ceraikan” anak anda dari putingnya sebelum usia satu tahun. Ini kerana ia lebih senang untuk dilakukan pada masa ini daripada ketika bayi anda sudah menginjak usia 2 hingga 3 tahun. Dan sebaik-baiknya sebelum gigi kekal keluar, selalunya pada usia enam tahun.

Tip memberhentikan pemberian puting bayi

Sekiranya anda berdepan masalah untuk memberhentikan tabiat ini dan anak anda gemar menghisapnya setiap masa, berikut adalah langkah-langkah yang boleh membantu:

  • Kurangkan masa anak anda dibenarkan menggunakannya secara perlahan-lahan. Jangan terus memberhentikan pemberian puting, kerana ini mungkin boleh menyebabkannya lebih sukar untuk ditenangkan.
  • Beri ganjaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, stiker atau carta bintang – jangan berikan gula-gula untuk menggantikannya.
  • Tunjukkan kepadanya budak perempuan dan lelaki yang lebih tua, yang tidak menggunakan puting – kanak-kanak prasekolah suka dianggap lebih tua.
  • Bertegas dalam mengehadkan masa penggunaannya kepada masa-masa utama sahaja dalam masa sehari, seperti waktu tidur atau ketika dia tidak sihat.

Penjagaan Gigi Bayi & Kanak-kanak

Puting Bayi Perlu Diberikan atau Tidak - penjagaan gigi

Ibu bapa sering menganggap bahawa penjagaan gigi anak hanya bermula selepas gigi mereka tumbuh. Salah tanggapan tersebut. Penjagaan oral dan gigi bayi khususnya, mesti bermula sejak awal, iaitu daripada si manja lahir lagi. Aspek penjagaan perlu lebih diberi perhatian jika anda memberikannya pacifier. Masalah kerosakan gigi bayi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertamanya tumbuh.

Bila gigi pertama bayi tumbuh?

Lazimnya, bayi akan mula tumbuh gigi pertama semasa usia enam hingga lapan bulan, malah ada juga yang baru tumbuh gigi semasa usia setahun. Gigi mereka akan lengkap sepenuhnya semasa usia kanak-kanak tiga tahun.

Bagaimana penjagaan oral untuk bayi dan kanak-kanak?

Penjagaan oral atau mulut bayi perlu dilakukan secara berterusan setiap hari. Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, anda perlu mula menjaga gusi bayi, terutamanya jika bayi anda menghisap puting. Penjagaan gusi ini tidak memerlukan anda untuk menggunakan berus serta ubat gigi. Ibu bapa disarankan untuk melakukan penjagaan gusi dan mulut bayi selepas anak menyusu dan sebelum bayi tidur. Caranya adalah dengan melembapkan kain yang lembut, kemudian, gosokkan lembut pada gusi si manja bagi membersihkan sisa-sisa susu pada mulutnya. Lakukan cara ini sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengelakkan bakteria daripada melekat pada gusi.

Jika gigi pertama bayi sudah tumbuh, teruskan rutin penjagaan oral bayi seperti di bawah:

  1. Bersihkan gigi pertama yang baru tumbuh dengan meletakkan sedikit ubat gigi berfluorida pada kain lembut dan sapukan pada gigi bayi.
  2. Jika gigi geraham sudah tumbuh, anda boleh mula menggunakan berus gigi khas untuk bayi yang banyak dijual di pasaran. Letakkan ubat gigi khas untuk bayi sebesar saiz biji kacang pis pada berus gigi tersebut.
  3. Berus di sekitar lidah dan gusi untuk menghilangkan bakteria tersembunyi dan mengelakkan mulut bayi berbau.
  4. Lakukan rutin ini dua kali sehari iaitu sewaktu bangun tidur pada waktu pagi dan pada malam hari sebelum tidur.
  5. Bawa bayi anda berjumpa doktor gigi semasa gigi pertamanya tumbuh ataupun selewat-lewatnya semasa usia bayi setahun. Doktor gigi akan memberikan nasihat tentang cara-cara penjagaan gigi bayi kepada ibu bapa.
  6. Elakkan memberi bayi anda menghisap botol susu sambil tidur. Ini kerana kandungan kanji atau karbohidrat dalam susu akan membentuk lapisan plak pada permukaan gigi yang menyebabkan kerosakan gigi.
  7. Hindari dari mengisi air bergula dalam botol susu. Ia adalah satu tabiat yang seharusnya dielakkan.

Mencegah kerosakan gigi kanak-kanak

Puting Bayi Perlu Diberikan atau Tidak - mencegah kerosakan

Masalah gigi rongak, gigi hitam dan gigi berlubang bukan lagi perkara asing untuk kita lihat berlaku pada kanak-kanak. Gigi yang dahulunya putih dan tersusun rapi kini sudah menghilang. Masalah kerosakan gigi pada kanak-kanak ini berlaku disebabkan banyak faktor seperti pemakanan, penggunaan pacifier dan cara menggosok gigi yang salah. Bagi mengelakkan masalah kerosakan gigi, ibu bapa mesti memastikan penjagaan oral dan gigi kanak-kanak dilakukan secara berterusan setiap hari.

Bagaimana kerosakan gigi berlaku?

  • Plak gigi yang mengandungi bakteria akan terbentuk dan melekat pada gigi si manja anda.
  • Bakteria akan bertindak dengan gula menjadi asid dan menyerang serta mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ia akan membentuk karies gigi yang akan menyebabkan gigi mereput dan berlubang.
  • Jika masalah ini dibiarkan, kanak-kanak akan mengalami sakit gigi kerana bakteria di dalam karies akan terus merebak dan menjangkiti pulpa gigi.
  • Lebih teruk lagi, sekiranya ia tidak dirawat, si kecil bakal mengalami masalah bisul pada gusi dan radang muka.

Faktor gigi anak rosak

Faktor utama kerosakan gigi berpunca daripada cecair, minuman atau makanan bergula yang diberikan kepada anak. Minuman dan makanan ini mengandungi gula tersembunyi yang akan menyebabkan plak terbentuk sekali gus menyebabkan gigi rosak.

Selain itu, tabiat bayi dan kanak-kanak yang gemar menghisap botol dan puting bayi juga boleh menyebabkan kerosakan gigi berlaku. Apatah lagi jika si kecil menghisap botol yang berisi minuman manis ataupun minuman jus bergula.

Memantau aspek pemakanan

Penyusuan botol untuk tempoh yang panjang cenderung mengakibatkan kerosakan gigi atau karies di awal usia kanak-kanak. Salah satu cara yang berkesan untuk menghentikan penyususan botol yang berpanjangan adalah dengan menggunakan cawan. Minum dengan menggunakan cawan tidak akan menyebabkan air minuman terkumpul di sekitar gigi. Oleh itu, gunalah cawan jika minum minuman yang manis seperti jus buah-buahan.

uting Bayi Perlu Diberikan atau Tidak - tip penjagaan gigi

Pengambilan makanan bergula atau yang mempunyai kandungan gula yang tinggi secara kerap, lama-kelamaan akan menyebabkan bakteria terkumpul menghasilkan asid yang akhirnya menyebabkan kerosakan gigi. Adalah dinasihatkan supaya tidak menambah gula ke dalam makanan bayi seperti susu, minuman dan bijirin. Selain itu, berwaspadalah dengan gula tersembunyi di dalam makanan.

Galakkan tabiat pemakanan yang baik dengan menyediakan menu sihat dan seimbang. Hadkan makanan dan minuman yang mengandungi gula pada waktu makan sahaja. Tawarkan makanan ringan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di antara waktu makan.

Tip penjagaan gigi

Penyebab utama pereputan gigi bukanlah jumlah kandungan gula di dalam diet bayi anda, tetapi bergantung kepada kekerapannya makan makanan dan minum minuman yang bergula sepanjang hari. Hadkan makanan bergula semasa waktu makan sahaja dan tidak melebihi empat kali sehari. Ini termasuklah buah-buahan kering yang tinggi kandungan gula dan melekat pada gigi. Jika anda mahu memberi anak anda snek di antara waktu makan, pilih makanan yang tidak manis seperti keju atau sayur-sayuran.

Langkah pencegahan

Ibu bapa disarankan untuk mengehadkan pengambilan minuman bergula terutama di dalam botol untuk kanak-kanak. Selain itu, elakkan daripada memberikan anak menyusu botol sebelum waktu tidurnya.

Pilih ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi fluorida, iaitu sejenis bahan mineral yang membantu menghalang kerosakan gigi dan menguatkan lapisan enamel gigi. Fungsi fluorida juga adalah untuk membuatkan gigi bertahan daripada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria.

Elakkan meletakkan madu ataupun manisan pada pacifier atau puting kanak-kanak. Selain itu, minimumkan penggunaan puting kerana penggunaan yang kerap akan menyebabkan susunan gigi kekalnya nanti tidak cantik.

Pentingnya penjagaan gigi susu

Sememangnya gigi susu, iaitu gigi yang akan berada bersama anak anda sehinggalah usia seawal 6 atau 7 tahun, akan diganti dengan gigi kekal. Maka ada yang berpendapat bahawa penjagaan gigi susu ini adalah tidak begitu penting dan memandang remeh aspek penjagaannya. Tetapi tanpa anda sedari, gigi susu mempunyai pengaruh yang besar dalam aspek perkembangan bayi anda. Ini kerana, apabila gigi susu anak anda sihat dan terjaga, maka ia dapat menghindari anak anda daripada berdepan kesulitan untuk mengunyah makanan. Selain itu, mulut adalah pintu utama bagi makanan sebelum ia sampai ke dalam organ pencernaan dan diserap oleh usus. Seandainya cara penjagaan dan pembersihan gigi tidak dilakukan dengan betul, maka bakteria dan kuman pasti akan membiak dan akhirnya menyebabkan jangkitan yang menjejaskan kesihatan anak anda. Oleh itu, pastikan anda membantu dan menggalakkan anak anda menjaga kebersihan gigi mereka.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan