backup og meta

Masalah Puting Semasa Menyusukan Bayi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 20/06/2022

    Masalah Puting Semasa Menyusukan Bayi

    Meskipun ibu bercadang untuk memberikan bayi penyusuan eksklusif selepas bersalin, namun bukan semua ibu mampu menghadapi cabaran sepanjang tempoh penyusuan. Antara cabaran yang ibu baru sering hadapi adalah berkaitan dengan puting dan payudara.

    Masalah puting pendek atau rata (Flat nipples)

    Puting susu pendek atau rata adalah salah satu cabaran yang membuatkan para ibu muda mengalah untuk terus menyusukan bayi mereka. Kebimbangan ini terjadi semasa hamil lagi apabila mereka melihat struktur puting mereka tidak dapat membantu bayi menghisap susu. Disebabkan itu, ramailah ibu baru yang sudah menyiapkan susu formula untuk diberikan kepada bayi mereka kerana ‘tahu’ mereka tidak boleh memberikan susu badan.

    Sebenarnya, semasa hamil, puting susu akan melentur ke bawah. Masalah puting pendek atau rata ini tidak perlu digusarkan kerana bayi akan menghisap susu daripada kawasan areola (kawasan hitam di sekeliling puting). Bagaimanapun, cara mengatasinya adalah dengan menarik puting menggunakan nipple puller sebelum proses penyusuan berlaku.

    Selain itu, bakal ibu juga boleh menggunakan nipple former semasa hamil di mana fungsinya adalah untuk membuatkan puting anda menonjol keluar.

    Masalah puting luka

    Kebanyakan ibu baru sering menganggap rasa luka pada puting mereka adalah sebagai pengalaman sewaktu awal-awal penyusuan. Namun jika rasa pedih berlanjutan, hal ini adalah tidak normal. Ibu mengalami luka pada puting kerana teknik penyusuan bayi yang salah. Ibu perlu memeriksa cara lekapan bayi semasa menyusu.

    Cara lekapan yang betul semasa penyusuan adalah:

    1. Pastikan anda berada dalam posisi selesa sebelum menyusukan bayi. Anda boleh gunakan bantal penyusuan, jika ada, untuk memberikan sokongan tambahan.
    2. Bawa bayi ke arah anda. Letakkan bayi pada kedudukan kepalanya berhampiran dengan payudara anda, di mana hidung bayi berhadapan dengan puting. Mulut bawah bayi pula perlu menyentuh bahagian bawah areola anda.
    3. Kemudian, sentuhkan mulut bayi pada puting atau areola bagi merangsang pencarian puting. Tunggu sehingga bayi membuka mulutnya dan barulah bawa mulut bayi berdekatan dengan puting anda.
    4. Lihat jika posisi bayi selesa untuk meneruskan penyusuan.

    Masalah payudara bengkak

    Payudara akan membengkak jika susu yang ada pada kantung payudara sudah penuh dan tidak diperah keluar.

    Bagi mengelakkan hal ini terjadi, para ibu perlu menyusukan bayi sekerap mungkin antara dua hingga tiga jam sekali. Semasa awal penyusuan, anda perlu mengejutkan bayi anda untuk menyusu dan tidak membiarkan bayi anda lena tidur bagi mengelakkan masalah payudara anda membengkak.

    Bagaimanapun, bagi wanita berkerjaya, mungkin anda boleh memerah susu menggunakan pam susu dan meletakkannya ke dalam botol untuk disimpan di dalam peti ais.

    Selain itu, anda juga mungkin boleh mengurut payudara anda ke arah puting semasa bayi sedang menyusu. Hal ini adalah bagi merangsang aliran susu pada payudara anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan