Keluarga Bahagia: Rahsia Mengecapinya

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 18/06/2020 . 9 minit bacaan

Setiap pasangan suami dan isteri sudah pasti mengimpikan untuk mempunyai sebuah keluarga bahagia. Impian ini selalunya sudah dipasang dalam hati oleh individu sejak zaman remaja lagi untuk memiliki rumah tangga dan cahaya mata yang akan menyerikan kehidupan mereka kelak. Namun begitu, anda perlu tahu bahawa tidak semua keluarga itu adalah bahagia.

Pernahkah anda terdengar atau terbaca mengenai “toxic family”? Ia adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada seseorang individu dalam kalangan ahli keluarga yang menjadi toksik, racun atau perosak dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Disebabkan mereka juga, kehidupan sebagai keluarga bahagia yang anda impikan boleh musnah begitu sahaja.

Bagi individu yang tidak pernah mempunyai masalah keluarga, mereka mungkin tidak tahu betapa sukarnya untuk menghadapi hidup sedemikian. Bayangkan, ibu bapa anda bercerai-berai, adik-beradik anda tidak bertegur sapa dan anda sendiri tidak mempunyai hala tuju. Adakah anda mahu menghadapi hidup yang begitu?

Tiada siapa yang mahukan institusi kekeluargaan yang bermasalah. Ia mungkin boleh dielakkan dan dengan sedikit perancangan, impian untuk mengecapi keluarga bahagia mungkin boleh dicapai. Ingin tahu apa rahsia mengecapi keluarga bahagia? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

keluarga bahagia

Keluarga bahagia

Memelihara institusi kekeluargaan bukan mudah. Jika tidak kena caranya, kemanisan dalam perhubungan suami dan isteri termasuk juga dengan anak-anak akan luntur dengan sewenang-wenangnya. Apatah lagi dalam setiap perhubungan pasti akan timbul pelbagai masalah yang berkaitan dengan persefahaman, kewangan, cara didikan anak dan banyak lagi.

Terdapat banyak petua atau pedoman untuk membina sesebuah intitusi kekeluargaan yang bahagia. Disebabkan itu, banyak pakar telah mengkaji dan meneliti isu ini lalu mengesyorkan tip-tip berikut bagi mengekalkan kemanisan rumah tangga sekali gus membina sebuah keluarga bahagia.

#1. Hormat antara satu sama lain

Perkara paling utama dan penting dalam membina sebuah keluarga bahagia adalah apabila setiap orang menghormati antara satu sama lain dan cara layanan mereka sesama sendiri. Kebanyakan individu akan beranggapan bahawa hanya anak-anak perlu hormat kepada ibu bapa dan tidak sebaliknya. Ini adalah sama sekali salah kerana ibu bapa juga perlu menghormati anak mereka dalam segala hal termasuklah rahsia peribadi mereka.

#2. Saling bertukar cerita

Ibu bapa perlu meringankan mulut untuk bertanyakan pada anak-anak tentang perkembangan mereka baik di sekolah mahupun aktiviti mereka bersama kawan-kawan. Menurut Rabbi Shmuley Boteach yang merupakan seorang kaunselor keluarga dan perhubungan dan penulis beberapa buah buku berkaitan keibubapaan, termasuklah buku Shalom in the Home berkata, ibu bapa perlu mengetepikan hal lain apabila berada di rumah, dan lebih mementingkan anak-anak untuk mengecapi keluarga bahagia.

#3. Utamakan pasangan

Ramai ibu bapa yang akan mengutamakan keperluan anak-anak berbanding diri mereka sendiri. Namun begitu, dari sudut perkahwinan sebenarnya setiap pasangan perlu mengutamakan pasangan mereka berbanding anak-anak untuk menjadi keluarga bahagia. Sebenarnya, perbuatan mengutamakan anak sebenarnya adalah tidak baik untuk ikatan keluarga, kerana kelak nanti anak-anak pasti akan meninggalkan rumah dan yang tinggal hanya anda dan pasangan dalam meniti hari tua kelak.

#4. Makan bersama

Makan malam keluarga amat penting kerana ketika itulah masa untuk seisi keluarga bersama-sama. Boteach menyarankan supaya setiap keluarga mengadakan makan malam bersama sekurang-kurangnya empat kali dalam seminggu.

Selain itu, ada juga kajian yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang turut serta dalam aktiviti makan malam bersama keluarga mereka kurang berpontensi untuk melakukan gejala sosial yang sangat membimbangkan seperti merokok, minum arak, mengandung bawah umur ataupun membunuh diri. Mereka juga cenderung untuk mempunyai diet yang seimbang, adab dan bahasa yang baik serta keyakinan diri yang tinggi.

Menurut kajian yang dilakukan oleh University of Michigan terhadap kanak-kanak di Amerika pada tahun 1981 hingga 1997 pula, kanak-kanak yang gemar dan kerap makan di rumah berpotensi mempunyai tahap akademik dan kelakuan yang baik di sekolah. Ini menunjukkan masa dan ruang yang diperuntukkan untuk makan bersama ahli keluarga sangat mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Jika anda terlalu sibuk dan tidak mampu untuk mengumpulkan kesemua ahli keluarga anda, tidak mengapa. Ini kerana anda tidak semestinya berkumpul pada waktu makan malam sahaja. Waktu lain seperti sarapan, makan tengah hari atau minum petang juga sudah memadai untuk anda menghabiskan masa sekeluarga bagi mencipta memori keluarga bahagia.

keluarga bahagia

#5. Main bersama

Lakukan satu atau dua aktiviti bersama-sama keluarga pada setiap malam. Contohnya, melakukan aktiviti ‘bedtime stories’ sebelum tidur dengan anak kecil anda ataupun membacakan satu bab dalam novel kepada anak yang lebih tua. Jika anda dan pasangan adalah individu yang gemar bermain permainan video, apa salahnya jika anda gunakan ia sebagai satu aktiviti bersama untuk mengeratkan lagi hubungan anda dan pasangan. Jika anak anda sendiri minat bermain permainan video, anda boleh mengajak anak untuk bermain sekali dengan anda. Ini sekali gus akan mencipta sebuah ritual keluarga bahagia anda sendiri.

#6. Ajar anak untuk utamakan keluarga

“Keluarga bahagia akan mengutamakan ahli keluarga dahulu sebelum kawan-kawannya,” kata Boteach. Bagi mengajar anak mengutamakan ahli keluarga, ibu bapa perlu menerapkan keseronokan semasa penjagaan anak. Beri peraturan pada anak, namun anda perlu ingat bahawa kanak-kanak juga perlukan keseronokan. Jika kanak-kanak berasa bosan dan murung, mereka akan mula mencari keseronokan di luar rumah, jadi di situ, rakan akan menjadi lebih penting bagi kanak-kanak.

#7. Rancangan aktiviti luar waktu sekolah anak anda

Ramai ibu bapa moden kini yang berlumba-lumba memasukkan anak mereka ke dalam pelbagai aktiviti luar kelas. Menurut Boteach, ini bukanlah resipi untuk menjadi keluarga bahagia. “Tidak mengapa jika anak anda membesar tanpa mengetahui bagaimana untuk menari balet. Tidak melakukan aktiviti luar sekolah adalah tidak baik, dan terlalu banyak aktiviti luar sekolah juga lagi tidak baik. Jadi, sebaik-baiknya adalah bersederhana,” katanya. Boteach menyarankan supaya setiap keluarga mencipta sendiri aktiviti lepas sekolah bersama keluarga seperti bermain kasut roda, berbasikal ataupun berenang.

Pun begitu, ibu bapa masih perlu mengutamakan aktiviti sukan anak. Menurut Jim Thompson yang merupakan pengasas Positive Coaching Alliance, ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyemai semangat cintakan aktiviti sukan dalam diri anak-anak. Sebagai contoh, anak anda telah melakukan satu kesilapan dalam satu pertandingan sukan yang disertai. Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda tidak sepatutnya memarahi atau kecewa terhadap kesilapan anak anda itu. Sebaliknya, anda boleh melegakan mereka dengan mengatakan mereka telah bermain dengan baik dan jangan sesekali putus asa.

#8. Mengekalkan tradisi keluarga

Bagi individu yang beragama Islam, terapkan upacara keagamaan dalam keluarga seperti melakukan sembahyang berjemaah atau mengaji bersama ahli keluarga. Selain itu juga, anda juga boleh mengajak ahli keluarga anda untuk menjalani aktiviti wajib bersama-sama. Sebagai contoh, anda boleh memulakan tradisi keluarga anda seperti masak bersama ahli keluarga pada malam minggu atau mencipta satu tradisi unik keluarga seperti ungkapan atau kata semangat yang hanya anda dan ahli keluarga anda ketahui.

Menurut Richard Eyre yang merupakan penulis bersama buku bertajuk Happy Family: Restoring the 11 Essential Elements That Make Families Work, tradisi keluarga memberikan kanak-kanak satu identiti diri yang boleh dibanggakan. Meskipun tradisi ini dilihat remeh bagi kebanyakan ibu bapa, ini sebenarnya sangat penting untuk anak-anak.

Menurut Barbara Fiese, PhD yang merupakan profesor dan pengerusi psikologi di Syracuse University, New York pula, keluarga yang bahagia mempunyai tradisi yang berbentuk ritual yang sangat bermakna bagi mereka. Antara contoh ritual yang boleh dilakukan adalah mencipta lagu tema untuk keluarga anda dan mencipta rutin yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga pada setiap minggu seperti menonton wayang atau bermain boling.

Tradisi-tradisi yang dilakukan secara berulang kali ini akan secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga lalu melahirkan sebuah keluarga bahagia.

keluarga bahagia

#9. Jaga bahasa semasa berkomunikasi

Ingatlah bahawa anak anda mengalami perkembangan pesat semasa alam kanak-kanak. Jadi, mereka memerlukan persekitaran yang tenang di rumah untuk membantunya membesar dengan sihat. “Bercakap dengan anak anda, beritahu mereka peraturan yang perlu diikuti, dan hukum mereka jika perlu, tetapi jangan hilang kawalan dan menjerit. Jika anda menjerit kepada anak, ini menunjukkan anda hilang kawalan dan sekali gus mencipta persekitaran yang tidak tenang,” kata Boteach.

Selain itu, jangan sesekali mencarut atau menggunakan perkataan kesat sesama ahli keluarga anda. Untuk mengelakkan ini daripada terjadi, apa kata anda dan ahli keluarga anda merancang untuk menghukum sesiapa sahaja yang melakukannya dengan memasukkan sejumlah wang ke dalam sebuah tabung khas? Ini bukan sahaja akan mendatangkan gelak tawa dalam kalangan ahli keluarga, ia juga akan menyemai sikap berjimat cermat dan menabung sekali gus mencipta sebuah peraturan keluarga bahagia yang unik dan menarik.

#10. Jangan berkelahi di hadapan anak-anak

Pertelingkahan dan perselisihan pendapat adalah lazim dalam sesebuah perkahwinan. Namun begitu, cuba untuk tidak melakukannya di hadapan anak-anak anda. Walau bagaimanapun ia mungkin terlepas daripada kawalan anda sendiri. Sekiranya ia terjadi, minta maaf kepada anak anda kerana berkelahi di hadapan mereka dan minta mereka untuk tidak risau tentang keadaan anda dan pasangan. Yakinkan anak-anak bahawa anda dan pasangan masih mempunyai kesedaran dan perancangan untuk mengecapi keluarga bahagia bersama-sama mereka.

#11. Jangan keterlaluan bekerja

Kerja, kerja dan kerja hanya akan menjadikan institusi kekeluargaan anda pudar. “Jika anda sibuk dan tidak ada di rumah setiap masa, serta tidak mengutamakan anak, kelak mereka akan rasa tidak selamat dan tidak dihargai,” kata Boteach.

Ya, kerja sememangnya penting untuk memastikan segala keperluan dan kemahuan setiap ahli keluarga dipenuhi. Namun begitu, adakah berbaloi mengabaikan impian untuk memiliki keluarga bahagia semata-mata kerana wang ringgit?

#12. Keakraban adik-beradik

Walaupun anda lahir daripada benih dan telur yang sama, pergaduhan antara adik-beradik masih boleh berlaku dan memecah-belahkan hubungan kekeluargaan. Jadi, bina keakraban hubungan pada anak-anak anda dan beritahu mereka betapa beruntungnya mereka mempunyai adik-beradik yang boleh berkongsi susah dan senang bersama dalam sebuah keluarga bahagia.

keluarga bahagia

#13. Bergurau-senda sesama ahli keluarga

Keluarga bahagia mempunyai jenaka mereka sendiri. Anda dan keluarga boleh cipta jenaka keluarga yang hanya anda dan seisi keluarga memahaminya. Sebagai contoh, gunakan perut bapa yang memboroi atau ibu yang gemar membebel sebagai bahan usikan. Sudah pasti seisi keluarga anda akan ketawa terbahak-bahak mendengar jenaka tersebut.

#14. Jadi fleksibel

Anda perlu terapkan dalam kalangan ahli keluarga anda bahawa perubahan dalam sesebuah institusi kekeluargaan itu adalah lazim dan semula jadi. Setiap keluarga bahagia akan mengalaminya. Jadi, anda dan ahli keluarga perlu terbuka dalam menerima perubahan seperti penambahan atau pengurangan ahli keluarga dan penambahan umur. Ajar ahli keluarga anda untuk terima bahawa seseorang dalam ahli keluarga akan berkahwin, meninggal, berkahwin lain dan juga kanak-kanak kelak akan menjadi remaja.

#15. Berinteraksi sesama ahli keluarga

Menurut Boteach lagi, salah satu peneraju keluarga yang bahagia adalah keberkesanan interaksi dan pergaulan antara ahli keluarga. Menurut beliau lagi, melalui interaksi ini hubungan antara keluarga akan menjadi lebih erat sekali gus mewujudkan suasana gembira dalam kalangan ahli keluarga anda. Beliau yang merupakan ayah kepada lapan orang anak turut berkata interaksi yang baik antara anak dengan ibu bapanya akan menjadi indikator kepada reaksi gembira mereka apabila bertemu.

Rose J. Perkins, EdD, Profesor Madya dalam bidang Psikologi di Stonehill College in Easton, Mass., berkata, keluarga bahagia akan berkomunikasi antara satu sama lain. “Selalunya, setiap orang dalam keluarga akan memberitahu sesuatu perkara pada ibu mereka dan kemudian, ibu yang akan menyampaikan mesej kepada ahli keluarga lain. Namun, dalam keluarga bahagia, mereka adalah lebih fleksibel dan terbuka dalam berkomunikasi,” katanya. Setiap ahli keluarga terbuka untuk bercakap.

#16. Pembahagian tugas dalam pekerjaan

Penggunaan senarai semak ketika melakukan kerja-kerja rumah akan mencipta kesaksamaan dalam keluarga. Anda boleh bahagikan senarai semak ini kepada tiga bahagian iaitu perkara yang perlu dilakukan, perkara yang sedang dilakukan dan perkara yang sudah dilakukan.

Dengan pembahagian senarai semak ini, ahli keluarga anda dapat bersama membahagikan tugas sesama mereka. Ini sekali gus akan menyemai sifat kerjasama dalam kalangan ahli keluarga anda.

keluarga bahagia

#17. Beri autonomi kepada anak

Kanak-kanak akan lebih mematuhi arahan apabila mereka merancang sesuatu sendiri atau pandangan mereka diterima dalam perancangan. Membenarkan mereka menentukan hukuman ke atas kesalahan mereka juga boleh menjadi motivasi untuk mematuhi peraturan. Contohnya, tanya anak anda jika sesuatu peraturan dilanggar, mereka patut dikenakan hukuman A atau B. Jika mereka lebih berusia, tanyakan mereka apa hukuman yang layak dikenakan kepada mereka jika mereka melakukan kesalahan tersebut.

Dengan memilih hukuman mereka sendiri, kanak-kanak menjadi lebih terdorong untuk mengelakkannya. Dengan memilih ganjaran mereka sendiri, kanak-kanak menjadi lebih bermotivasi untuk mencapai matlamat mereka. Oleh itu, biarkan anak anda mengambil peranan yang lebih besar dalam mendidik diri mereka sendiri.

#18. Penglibatan datuk dan nenek

Penglibatan datuk dan nenek juga memainkan peranan yang sangat penting. Dalam satu ringkasan pada tahun 1992 yang melibatkan 66 kajian, para ibu yang mempunyai sokongan para nenek didapati mempunyai anak yang kurang tertekan dan lebih pandai menyesuaikan diri. Kajian lain turut mendapati bahawa apabila datuk dan nenek melibatkan diri dalam hidup si anak, mereka menjadi lebih pandai bersosial, lebih melibatkan diri di sekolah dan lebih bersimpati kepada orang lain.

Oleh itu, sekiranya anda tidak mempunyai hubungan baik dengan orang tua anda, mungkin inilah masa yang sesuai untuk anda kembali berbaik-baik dengan mereka. Tanpa mereka, anak-anak anda telah kehilangan sistem sokongan yang penting dalam hidup mereka. Bahkan hubungan buruk ini mungkin kelak akan berulang pula dalam hubungan anda dengan anak anda sewaktu anda sedang meniti usia senja kelak.

Konklusi

Konklusinya, impian untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia sebenarnya tidak mustahil untuk dikecapi. Apa yang penting, adalah kerjasama, kasih sayang, tolak ansur dan keprihatinan dalam kalangan ahli keluarga. Jadi, jangan sesekali anda mengabaikan walau seorangpun ahli dalam keluarga anda biar seteruk manapun peribadi mereka. Sebaiknya, bimbing mereka semula ke jalan yang lebih baik kerana ahli keluarga adalah tetap ahli keluarga yang telah diatur oleh Tuhan dan tiada apa yang mampu mengubahnya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Makan Morning After Pill Jika ‘Terbabas’ Bersama Suami, Tapi Berapa Kali Boleh Ambil?

    Ramai yang fikir kita boleh ambil pil morning after tanpa had. Persoalannya, berapa kali boleh ambil pil perancang kecemasan?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Kehamilan, Rancang Kehamilan 10/07/2020 . 3 minit bacaan

    Apa Rahsia Di Sebalik 7 Warna Hingus? Kalau Hitam, Kena Jumpa Doktor Cepat!

    Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana hingus terhasil bukan? Selain itu, artikel ini juga akan menerangkan tentang rahsia 7 warna hingus!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Fakta Menarik 10/07/2020 . 3 minit bacaan

    Mak Buyung Selalu Kemurungan? BAHAYA Bukan Pada Ibu Saja Tapi Juga Bayi

    Ibu mengandung sememangnya akan mengalami perubahan secara fizikal atau emosi. Namun ia boleh menyebabkan kemurungan dan memberikan kesan kepada kandungan.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Kehamilan, Penjagaan Ibu hamil 10/07/2020 . 3 minit bacaan

    Encik Suami Minta Senggama Tapi Isteri Period! Apa Je Boleh Buat? (Ini Cara Halal)

    Alamak, anda period tapi mahu buat seks? Tenang, ini petua untuk isteri cuba cara melayan suami ketika haid. Jom klik untuk tahu!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Gaya Hidup Sihat, Seks Hubungan 10/07/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    rabun warna

    Orang Lelaki Lebih Ramai Yang Buta Warna Berbanding Kaum Wanita, Apa Sebabnya?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 10/07/2020 . 3 minit bacaan
    kesihatan awam

    Dunia Berdepan Dengan 4 Isu Kesihatan Awam Tahun 2020, Bukan Cuma COVID-19!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 10/07/2020 . 3 minit bacaan
    penyakit fobia

    Jangan Permainkan Orang Yang Takut Kepada Badut! Ini Bukan Dibuat-buat!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 10/07/2020 . 3 minit bacaan
    oral seks

    Orang Muda Jangan Anggap Oral Seks Tak Bahaya, Boleh Terkena HIV Jika Alami Keadaan Ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nana Muhammad
    Diterbitkan pada 10/07/2020 . 3 minit bacaan