Minggu demi minggu

5 Petanda Bayi Anda Sudah Cukup Minum Susu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Setiap bayi yang masih menyusu memerlukan amaun susu yang secukupnya bagi menjamin tumbesaran dan perkembangan mereka. Oleh itu, sudah menjadi tugas ibu bapa untuk memastikan perkara ini terjamin. Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui petanda bayi anda sudah cukup minum susu.

#1. Berat badan bayi meningkat

Pertama sekali, ibu bapa dapat mengetahui bahawa bayi sudah cukup minum susu sekiranya berat badan bayi meningkat dengan sihat. Ia boleh diukur melalui kenaikan berat badan mereka sebanyak 400 g sehingga 1 kg setiap bulan.

#2. Lihat pada jumlah dan warna najis bayi

Anda juga boleh menilainya dengan melihat kepada jumlah dan warna najis bayi yang dikeluarkan setiap hari. Bayi yang normal dan cukup minum susu selalunya akan mempunyai najis berwarna kuning cerah dan cair dan menggunakan sekurang-kurang 1 lampin dalam sehari. Jika bayi langsung tidak membuang air besar dalam satu hari, ia mungkin menunjukkan bahawa mereka tidak dapat susu yang cukup.

#3. Perhatikan gerak dan bunyi yang dibuat oleh bayi

Anda juga boleh lihat pergerakan bahagian antara leher dengan dagu bayi ketika mereka sedang menyusu. Perhatikan jika dagu bayi kelihatan turun lebih jauh ke bawah selama beberapa saat sebelum kembali ke posisi yang asal. Ini menunjukkan bahawa bayi cukup minum susu. Selain itu, cuba dengar bunyi yang dikeluarkan oleh bayi. Jika anda terdengar bunyi seakan “glug, glug, glug’’ atau “slurp, slurp, slurp’’ semasa mereka menyusu, ia juga merupakan petanda bayi cukup minum susu.

#4. Payudara menjadi lembut dan kempis

Para ibu juga boleh melihat perubahan pada diri anda. Untuk mengetahui bahawa bayi anda cukup minum susu atau tidak, perhatikan payudara anda. Sebelum menyusukan bayi, payudara selalunya berasa penuh dan kembung. Selepas menyusukan bayi, ia akan berubah menjadi lembut dan kempis. Selain itu, petanda bayi cukup minum susu adalah penyusuan badan tidak lagi menyakitkan bagi anda.

#5. Bayi kenyang akan tidur lena

Akhir sekali, bayi yang kenyang atau cukup minum susu akan tidur dengan lena. Bagi orang lama, keadaan ini dipanggil sebagai ‘mabuk susu’. Jika bayi anda kerap tertidur setiap kali selepas menyusu badan dan mereka kelihatan begitu nyenyak, ini menunjukkan bayi anda sudah cukup minum susu.

Pun begitu, ini semua hanyalah petanda asas yang dapat dilihat pada luaran sahaja. Untuk mendapatkan lebih kepastian, bawa bayi anda berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan yang lebih lanjut.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut