backup og meta

Jangkitan Kuman, Serebral Palsi; Ada Lagi 13 Komplikasi Jika Bayi Lahir Pramatang

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/08/2020

    Jangkitan Kuman, Serebral Palsi; Ada Lagi 13 Komplikasi Jika Bayi Lahir Pramatang

    Gangguan perkembangan bayi melalui kelahiran pramatang boleh memberikan kesan negatif kepada tahap kesihatan mereka.

    Majoritinya terpaksa dipantau dan dirawat di unit jagaan rapi neonatal (NICU) bagi mengelakkan komplikasi masa panjang yang boleh mempengaruhi kualiti hidup kelak.

    Berbeza dengan bayi yang lahir matang, bayi pramatang berisiko untuk mengalami masalah kecacatan perkembangan dan intelektual dalam jangka masa panjang.

    Pemantauan perlu dibuat secara berkala bagi memastikan perkembangan mereka sejajar dengan usia.

    Artikel ini berkisar tentang kesan kesihatan terhadap bayi yang lahir pramatang.

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Tentang kelahiran pramatang

    pramatang

    Bayi yang lahir sebelum usia kandungan mencecah 37 minggu dianggap sebagai bayi pramatang.

    Mereka berisiko untuk mengalami komplikasi kesan daripada perkembangan fungsi organ yang terbantut.

    Akibatnya, bayi tersebut terpaksa tinggal di hospital lebih lama.

    Bayi pramatang boleh dibahagikan kepada 4:

    1. Pramatang lewat: bayi lahir di antara 34 hingga 36 minggu.
    2. Pramatang sederhana lewat: bayi lahir di antara 32 hingga 34 minggu.
    3. Pramatang awal: bayi yang lahir kurang daripada 32 minggu.
    4. Pramatang sangat awal: bayi yang lahir sebelum berusia 28 minggu.

    Secara amnya, semakin awal bayi itu dilahirkan semakin banyak masalah kesihatan yang berisiko dialami oleh mereka.

    Tanpa alat sokongan, hampir mustahil untuk mereka hidup seperti bayi lain.

    Komplikasi yang boleh dialami oleh bayi pramatang

    Pelbagai jenis komplikasi yang boleh dialami oleh bayi kelahiran pramatang memandangkan kebanyakan organ belum berkembang sepenuhnya.

    Antaranya adalah:

    1. Masalah kecacatan otak
    2. Buta
    3. Pekak
    4. Kadar tumbesaran perlahan
    5. Perkembangan otak yang lambat
    6. Masalah pada aspek pembelajaran
    7. Sawan
    8. Serebral palsi
    9. Masalah pernafasan dan kecacatan lain berkaitan dengan organ peparu
    10. Mudah mendapat jangkitan
    11. Pendarahan dalam otak
    12. Masalah kecacatan jantung seperti duktus arteriosus terbuka
    13. Masalah pada organ usus menyebabkan proses penghadaman terganggu (necrotizing enterocolitis)

    Anda mungkin berminat:

    Bantuan khas bagi perkembangan bayi yang lahir pramatang

    pramatang

    Terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi sebelum bayi dibenarkan untuk dibawa pulang ke rumah.

    Jika tidak, penjagaan am perlu diberikan kepada bayi di unit jagaan rapi hospital.

    Antara aspek penjagaan yang akan diberikan kepada bayi pramatang adalah:

    1. Kawalan suhu badan oleh mesin inkubator atau di bawah alat pemanas radian.
    2. Pemeriksaan kadar gula dalam badan.
    3. Pemberian pemakanan mengikut keperluan nutrisi semasa.
    4. Perlindungan daripada jangkitan memandangkan sistem imun bayi pramatang belum berkembang dengan baik.
    5. Rawatan khas mengikut keperluan perubatan bayi pramatang seperti alat ventilasi untuk mereka yang mengalami masalah pernafasan, pemeriksaan otak menggunakan alat ultra bunyi bagi mengesan pendarahan dalaman dan sebagainya.

    Langkah pencegahan yang boleh diambil ketika hamil

    Walaupun tiada jaminan boleh dibuat berkaitan dengan aspek pencegahan bagi kelahiran pramatang, namun ada beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko:

    1. Elakkan daripada mengambil alkohol, dadah terlarang atau merokok semasa hamil.
    2. Penjagaan antenatal perlu ditekankan bagi mengurangkan risiko ibu untuk mengalami komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi dan sebagainya.
    3. Jika pasangan dirawat dengan rawatan kesuburan in vitro fertilisation (IVF), minimumkan kadar pemindahan janin bagi mengurangkan risiko kehamilan kembar.

    Jika kelahiran pramatang tidak dapat dielakkan, doktor kebiasaannya akan memberikan ubat bagi memastikan komplikasi bayi pramatang dapat dikurangkan.

    Antaranya adalah:

  • Penggunaan ubat kortikosteroid bagi menggalakkan proses kematangan paru-paru. Perkara ini boleh melindungi bayi daripada masalah pernafasan dan kematian mengejut.
  • Ubat tocolytic akan diberikan bagi melambatkan proses kelahiran. Ia penting bagi memaksimumkan kesan ubat kortikosteroid untuk mematangkan peparu.
  • Pusat kelahiran perlu dilengkapi dengan alat teknologi perubatan yang mencukupi bagi memastikan keadaan persekitaran kondusif buat bayi baru lahir.
  • Masalah dari sudut pandang global

    pramatang

    Jangka hayat bagi sesuatu populasi sangat dipengaruhi dengan kadar kematian bayi. 

    Masalahnya, di seluruh dunia, lebih daripada 15 juta kelahiran pramatang (lebih daripada nisbah 1:10) berlaku di seluruh dunia.

    Kematian disebabkan oleh kelahiran pramatang merupakan punca kematian utama global bagi kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan ke bawah.

    Bayi pramatang yang lahir di negara berpendapatan rendah lebih berisiko untuk mati memandangkan mereka tidak mempunyai keupayaan dari segi teknologi perubatan.

    Kesan daripada kekurangan tersebut, kadar kematian disebabkan oleh bayi pramatang kekal tinggi melebihi 1 juta setiap tahun disebabkan oleh komplikasi perubatan.

    Konklusi

    Di Malaysia, bayi yang lahir pramatang masih mempunyai peluang yang tinggi untuk hidup.

    Mereka mungkin memerlukan penjagaan rapi dan keperluan tambahan namun kualiti hidup mereka sama dengan bayi lain jika dijaga dengan baik.

    Pastikan anda mengikut nasihat doktor jika mempunyai bayi lahir pramatang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 12/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan