Ubat Gugur: Selamatkah?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pengguguran perubatan atau menggugurkan kandungan menggunakan ubat gugur yang dilakukan dalam 9 minggu pertama kehamilan mempunyai risiko komplikasi yang sangat rendah. Risikonya sama seperti ketika seorang wanita mengalami keguguran secara semula jadi. Risiko yang mungkin dihadapi boleh dirawat oleh doktor dengan mudah.

Daripada setiap 100 wanita yang melakukan pengguguran perubatan, 2 atau 3 wanita perlu bertemu doktor atau ke rawatan kecemasan atau hospital untuk menerima rawatan perubatan lanjut. Di negara dengan kelahiran selamat, 1 dalam setiap 10,000 wanita meninggal semasa melahirkan anak. Sedangkan kurang daripada 1 dalam setiap 100,000 wanita yang menggunakan pengguguran perubatan meninggal. Ini menjadikan pengguguran perubatan lebih selamat daripada melahirkan anak dan selamat seperti keguguran yang berlaku secara semula jadi. Ini bermakna pengguguran yang selamat boleh dilakukan engan Mifepristone dan Misoprostol.

Apa itu ubat gugur?

“Pil pengguguran” adalah nama popular untuk 2 ubat yang digunakan untuk mengakhiri kehamilan – mifepristone dan misoprostol. Secara umum, ia boleh digunakan sehingga 70 hari (10 minggu) – selepas hari pertama haid terakhir wanita tersebut. Wanita yang memerlukan pengguguran sewaktu usia kehamilan lebih daripada 10 minggu perlu menjalani pengguguran dalam klinik.

Anda boleh merasa yakin kerana pengguguran perubatan dengan pil pengguguran sangat berkesan. Anda akan menjalani pemeriksaan lanjut dengan jururawat atau doktor anda selepas pengguguran anda untuk memastikannya berkesan. Sekiranya ia tidak berkesan, anda mungkin perlu mengambil satu lagi dos ubat atau menjalani pengguguran dalam klinik untuk mengakhiri kehamilan.

Apa yang berlaku sewaktu pengguguran perubatan?

Adalah biasa bagi wanita untuk merasa gugup tentang pengguguran perubatan atau sebarang prosedur perubatan lain. Anda mungkin akan berasa lebih baik jika anda tahu apa yang bakal berlaku. Pakar kesihatan anda akan bercakap dengan anda dan menjawab soalan anda. Berikut merupakan gambaran umum bagaimana ia berfungsi dan apa yang akan berlaku.

Sebelum mengambil pil pengguguran, anda perlu

  • berbincang tentang pilihan anda
  • memaklumkan sejarah perubatan anda
  • menjalani ujian makmal
  • menjalani peperiksaan fizikal. Ini biasanya melibatkan ultrabunyi.
  • membaca dan menandatangani kertas

Anda juga akan diberikan panduan perubatan, arahan, dan maklumat lain untuk dibawa pulang dengan anda, termasuk nombor telefon yang boleh dihubungi pada bila-bila masa jika anda mempunyai sebarang soalan atau kebimbangan.

Pengguguran perubatan adalah proses yang bermula sebaik sahaja mengambil pil pertama.

Terdapat tiga langkah:

Langkah satu – Mifepristone

Pakar kesihatan anda akan memberi ubat pertama di klinik. Anda juga akan diberikan beberapa antibiotik.

Mifepristone berfungsi dengan menghalang hormon progesteron. Tanpa progesteron, lapisan rahim akan terjejas, dan kehamilan tidak dapat diteruskan

Langkah kedua – Misoprostol

Anda akan mengambil ubat kedua – misoprostol. Ia menyebabkan rahim dikosongkan.

Anda akan mengambil ubat kedua 24-48 jam selepas mengambil mifepristone. Pakar kesihatan anda akan memberi arahan tentang bagaimana dan bila waktu untuk mengambil ubat kedua.

Ubat kedua – misoprostol – akan menyebabkan anda mengalami kekejangan dan mula berdarah banyak. Sesetengah wanita mungkin mula berdarah sebelum mengambil ubat kedua. Tetapi bagi kebanyakan, pendarahan dan kekejangan bermula selepas mengambil pil kedua. Ia biasanya berlangsung beberapa jam. Anda mungkin melihat gumpalan darah atau tisu yang besar sewaktu keguguran.

Lebih separuh daripada wanita mengalami keguguran dalam masa empat atau lima jam selepas mengambil ubat kedua. Bagi yang lain, ia mengambil masa yang lebih lama. Tetapi kebanyakan wanita mengalami keguguran dalam masa beberapa hari.

Adalah normal untuk mengalami pendarahan atau tompokan darah selama empat minggu selepas pengguguran. Hanya gunakan pad untuk pendarahan selepas pengguguran.

Bagi kebanyakan wanita, pengguguran perubatan adalah seperti keguguran sewaktu awal kehamilan. Adalah normal bagi anda untuk mengalami pendarahan dan kekejangan. Anda mungkin juga mengalami:

  • rasa pening
  • merasakan kekejangan yang kuat
  • berasa mual atau muntah
  • mengalami cirit-birit
  • berasa kesakitan perut sementara
  • mengalami demam ringan atau menggigil secara sementara

Acetaminophen (seperti Tylenol) atau ibuprofen (seperti Advil) boleh mengurangkan kebanyakan simptom ini. Jangan mengambil aspirin.

Anda mungkin akan berasa lebih selesa jika anda mempunyai orang yang tersayang bersama anda sewaktu tempoh keguguran.

Langkah ketiga – pemeriksaan lanjut

Anda perlu menjalani pemeriksaan lanjut dalam masa 1-2 minggu. Pemeriksaan lanjut adalah penting untuk memastikan pengguguran anda selesai dan anda dalam keadaan baik. Anda perlu menjalani ujian ultrabunyi atau ujian darah.

Walaupun jarang berlaku tetapi sekiranya anda didapati masih mengandung, pakar kesihatan anda akan membincangkan keputusan yang perlu anda pilih. Jika disebabkan ubat tidak berkesan, anda mungkin memerlukan satu lagi dos ubat atau menjalani pengguguran dalam klinik untuk mengakhiri kehamilan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca Juga:

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut