Buang Air Kecil SELEPAS Seks Untuk Cegah Kehamilan, Berkesan Atau Tidak?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pasangan suami isteri yang sedang merancang keluarga pasti akan mencuba pelbagai cara, teknik atau kaedah seks untuk elak daripada mengandung. Ada juga yang percaya bahawa perbuatan kencing selepas seks boleh cegah kehamilan! Persoalannya, berkesankah cara ini?

Kenapa anda perlu kencing selepas seks?

kencing selepas seks

Sebelum menjawab persoalan tersebut, kita harus tahu bahawa membuang air kecil selepas melakukan hubungan intim perlu dilakukan terutamanya bagi kaum Hawa. Kenapa?

Untuk pengetahuan anda, perbuatan ini dapat mencegah jangkitan saluran kencing (UTI). Ini kerana faraj lebih mudah terdedah dengan segala jenis virus dan bakteria semasa seks.

Dengan perlakuan ini, segala virus dan bakteria yang wujud di dalam faraj akibat seks mungkin akan terkeluar sekali bersama dengan air kencing. 

Jadi, perbuatan buang air kecil selepas hubungan kelamin mungkin boleh mengurangkan risiko UTI. Namun, adakah cara ini berkesan untuk cegah kehamilan?

Adakah kencing selepas seks boleh cegah kehamilan?

kencing selepas seks

Ada yang berpendapat bahawa perbuatan membuang air kecil selepas bersetubuh dengan pasangan boleh meminimumkan potensi untuk hamil. Adakah ia benar?

Ini kerana mereka berpendapat bahawa air mani dan sperma yang telah memasuki lubang faraj semasa seks akan keluar kembali mengikut air kencing ketika membuang air kecil.

TIDAK, ini adalah satu kepercayaan yang tidak benar. Ini kerana walaupun anda kencing selepas seks, ia tidak akan memberi kesan kepada keupayaan anda untuk hamil!

Faktor pergerakan sel sperma yang sangat laju

Untuk memahaminya, anda perlu faham terlebih dahulu mengenai konsep ejakulasi lelaki. Buat anda yang belum tahu, zakar sebenarnya boleh melepaskan kira-kira 200 hingga 400 juta sel sperma melalui air mani yang terpancut.

Bagi lelaki yang sihat dan subur, kira-kira 65 juta sel sperma akan berjaya dimasukkan ke dalam lubang faraj seterusnya menuju ke rahim. Namun, ada yang bertanya bagaimana jika ia tidak sempat sampai ekoran wanita itu kencing sejurus selepas seks?

Usah khuatir! Anda perlu tahu bahawa sel sperma sebenarnya boleh bergerak selaju 16 kilometer per jam. Sisa sel sperma yang tidak berjaya menuju ke rahim akan terjebak di sekitar mulut faraj dan hanya 1% daripadanya akan terjebak di luar faraj.

Disebabkan kuantiti sel sperma yang terlalu banyak serta kepantasan ia bergerak, sudah tentu ia akan berjaya sampai ke rahim dengan cepat. Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa kehamilan boleh terjadi dengan satu sel sperma dan sel telur sahaja!

Faktor anatomi tubuh badan manusia

Bukan itu sahaja, anda juga harus faham dengan anatomi tubuh badan manusia. Untuk pengetahuan anda, lubang pengeluaran air kencing dengan lubang kemasukan zakar pada faraj wanita adalah berbeza.

Wanita juga sebenarnya akan mengalami banyak pengeluaran cecair pada faraj sejurus sahaja selepas melakukan seks. Namun, jangan terlalu risau tentangnya kerana cecair yang terkeluar itu bukan sekadar zat air mani sahaja.

Sebaliknya, cecair yang meleleh keluar itu mungkin hanyalah sisa zat seperti protein atau vitamin dari air mani, dan bukannya sel sperma. Malahan, ia juga mungkin adalah air mazi atau air mani wanita itu sendiri.

Disebabkan itu, perbuatan buang air kecil sebaik sahaja selepas melakukan hubungan seks tidak akan menurunkan potensi anda untuk hamil. Jadi, sekiranya anda ingin merancang keluarga, cuba cari kaedah kontrasepsi yang lain!

Jadi, apa yang anda boleh buat untuk cegah kehamilan

kondom

Untuk suami isteri yang sedang merancang, ketahuilah bahawa perbuatan kencing selepas seks bukan merupakan kaedah untuk cegah kehamilan yang berkesan. Sebaliknya, anda mungkin boleh cuba cara yang berikut:

#1. Pil perancang

Pil perancang adalah antara alat kontrasepsi yang terbaik. Ia adalah selamat, berpatutan serta berkesan jika anda ambil tepat pada waktunya. Selain mampu cegah kehamilan, ia juga mempunyai banyak manfaat kesihatan yang lain.

Namun, pastikan anda telah berjumpa dan berbincang dengan doktor sebelum mengambilnya untuk mengelak sebarang kesan yang negatif.

#2. Kondom

Kenapa perlu pening memikirkan kaedah yang boleh meminimumkan kehamilan luar jangkaan jika anda boleh menggunakan kondom. 

Kondom adalah alat kontrasepsi yang boleh cegah kehamilan dan terbukti 90% berkesan.

Pun begitu, tahap keberkesanannya ini mungkin akan berkurangan akibat beberapa faktor. Jadi, sila hati-hati ketika membeli, menyimpan atau menggunakannya.

#3. Pancut luar

Sekiranya anda dan pasangan gemarkan sesuatu yang tidak dirancang, apa kata anda gunakan kaedah pancut luar ini? Senang sahaja, ia boleh dilakukan dengan menarik zakar keluar dari faraj ketika terasa hendak ejakulasi dan pancutkan air mani di luar.

Namun, ia adalah satu perkara yang agak sukar untuk dilakukan oleh pasangan terutamanya yang baharu berkahwin ekoran kurang pengalaman.

Dalam pada itu, terdapat banyak lagi cara, teknik atau kaedah yang boleh anda amalkan. Namun, kencing selepas seks bukanlah salah satu dari teori kontrasepsi yang berkesan!

Konklusi

Kesimpulannya, banyak alat kontrasepsi yang anda boleh gunakan untuk tujuan merancang keluarga. Namun, jangan percaya dengan kata orang yang mengatakan kencing selepas seks boleh cegah kehamilan. Ia adalah tidak benar sama sekali!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 27, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 26, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut