home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Mitos tentang Kaedah Perancang Keluarga

Mitos tentang Kaedah Perancang Keluarga

Terdapat pelbagai cara untuk mencegah kehamilan yang mungkin anda sudah pun ketahui. Jika anda telah mendirikan rumah tangga, kaedah rancang keluarga pasti bukanlah sesuatu yang asing bagi anda.

Walaupun begitu, terdapat juga banyak maklumat yang salah tentang cara sebenar menggunakan kaedah rancang keluarga. Malah, ada juga cara atau tanggapan yang salah dan perlu diperbetulkan.

Berikut adalah beberapa mitos umum mengenai hubungan kelamin dan pencegahan kehamilan:

1. Saya menyusu jadi saya tidak boleh hamil

Walaupun penyusuan kebiasaannya melambatkan ovulasi, ia bukanlah satu jaminan.

Ovulasi boleh berlaku walaupun dalam tempoh menyusu. Ibu yang menyusu masih perlu menggunakan kaedah rancang keluarga untuk mencegah kehamilan.

2. Saya tidak akan hamil jika tidak mencapai klimaks

Kehamilan boleh berlaku apabila sperma daripada lelaki menyuburkan telur daripada wanita. Walaupun lelaki tersebut perlu mengalami ejakulasi untuk mengeluarkan sperma, wanita tidak perlu orgasme atau mencapai klimaks untuk hamil.

Seorang wanita biasanya melepaskan telur/ovum setiap bulan sebagai sebahagian daripada kitaran haid yang normal. Ini berlaku tanpa mengira sama ada wanita itu mengalami orgasme atau tidak.

3. Saya tidak akan hamil jika saya buang air kecil, menjirus atau mandi selepas hubungan kelamin

Douching atau menjirus bukanlah satu kaedah pencegahan kehamilan yang berkesan. Selepas ejakulasi, sperma memasuki serviks dan tidak dapat dijirus keluar dengan semburan air.

Selain itu, membasuh atau membuang air kencing selepas hubungan kelamin tidak akan menghalang air mani dan sperma yang telah memasuki rahim melalui serviks.

4. Saya tidak memerlukan kaedah perancang keluarga kerana kami hanya melakukan hubungan kelamin pada masa ‘selamat’. Waktu subur saya hanya sehari dalam sebulan

rancang keluarga

Mitos seperti ini kemungkinan besar timbul akibat kurang pemahaman tentang kitaran haid.

Terdapat empat hormon utama (bahan kimia yang merangsang atau mengawal aktiviti sel atau organ) yang terlibat dalam kitaran haid: hormon stimulasi folikel (FSH), hormon luteinizing (LH), estrogen, dan progesteron.

Keseimbangan hormon-hormon ini mengawal pembebasan telur (ovulasi) dan – jika telur tidak disenyawakan – haid.

Walaupun kitaran haid wanita kebiasaannya teratur, keseimbangan hormon ini boleh terganggu oleh pelbagai faktor, termasuk umur, tekanan, ubat-ubatan, dan sebagainya.

Oleh itu, menentukan masa ovulasi dan meramalkan mana-mana hari yang “selamat” boleh menjadi sukar . Pasangan yang menggunakan kaedah waktu subur ini mesti memantau dengan teliti kitaran haid wanita dan menilai tanda ovulasi, serta faktor luaran.

5. Saya tidak akan hamil jika kami mengadakan hubungan seks secara berdiri atau jika wanita berada di atas

Sesetengah orang percaya bahawa melakukan hubungan seks dalam posisi tertentu, seperti berdiri, akan memaksa sperma keluar daripada vagina wanita. Jadi, ada jugalah yang gunakan posisi seks sebegini sebagai kaedah rancang keluarga.

Sebenarnya, kedudukan semasa hubungan seks tidak ada kaitan dengan sama ada persenyawaan berlaku atau tidak.

Apabila lelaki mengalami ejakulasi, sperma didepositkan ke dalam faraj. Sperma akan, secara semula jadi, mula bergerak melalui saluran serviks sebaik selepas ejakulasi.

Tidak kiralah apa jua posisi anda ketika melakukan hubungan seks, ada risiko untuk anda hamil usai bersenggama.

6. Anda boleh menggunakan balutan plastik atau belon jika anda tidak mempunyai kondom.

rancang keluarga

Bungkusan plastik dan belon tidak sebaik kondom untuk digunakan. Ia tidak sesuai digunakan dan mudah terkoyak semasa hubungan seks. Oleh sebab itu, jangan sesekali gunakan belon sebagai kaedah perancang keluarga menggantikan kondom!

Kondom dibuat secara khusus untuk muat dan memberikan perlindungan yang baik semasa hubungan kelamin dan telah diuji untuk keberkesanan.

7. Dua kondom mengurangkan lagi risiko kehamilan

Kondom adalah 98% berkesan, tetapi penggandaan tidak mengurangkan risiko kehamilan. Malah, dua kondom mungkin tergosok bersana dan sebenarnya lebih cenderung untuk terkoyak berbanding satu kondom.

8. Saya tidak akan hamil jika pasangan saya pancut luar

Mengeluarkan zakar sebelum ejakulasi, yang dikenali sebagai withdrawal atau pancut luar bukanlah satu kaedah rancang keluarga yang berkesan untuk mencegah kehamilan.

Sesetengah air mani mungkin dibebaskan sebelum lelaki tersebut mencapai klimaks. Di samping itu, sesetengah lelaki mungkin tidak dapat menarik diri pada masa yang tepat.

Mengeluarkan zakar sebelum ejakulasi memang boleh mengurangkan peluang kehamilan tetapi belum tentu mencegah sepenuhnya.

9. Saya tidak akan hamil kerana ini adalah kali pertama saya melakukan hubungan kelamin

Seorang wanita boleh hamil bila ovulasi berlaku walaupun tidak pernah melakukan hubungan kelamin sebelum ini. Jangan sesekali melakukan seks tanpa sebarang perlindungan jika anda tidak mahu mengandung.

10. Pil perancang berkesan sejurus selepas mula mengambilnya

rancang keluarga

Dalam kebanyakan wanita, satu kitaran haid yang lengkap diperlukan untuk hormon dalam pil perancang mula berfungsi dengan hormon semula jadi wanita untuk mengelakkan ovulasi.

Pastikan anda mengambil pil seperti yang diarahkan untuk memastikan keberkesanan.

11. Saya WAJIB mengambil pil perancang pada masa yang sama setiap hari

Ini adalah benar untuk kaedah rancang keluarga menggunakan pil mini (progesteron) yang lama, tetapi tidak semestinya untuk pil perancang keluarga hari ini.

Pun begitu, mengambil pil pada masa yang tetap akan membantu anda ingat dan mengurangkan risiko terlepas hari. Tetapi jika anda terlewat beberapa jam berbanding waktu biasa tidak akan memberi kesan kepada keberkesanannya.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Contraception Myths, https://my.clevelandclinic.org/health/articles/9137-contraception-myths, Accessed June 4 2021.
  2. Myths and facts about contraception and long-acting reversible contraception (LARC), https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/myths-and-facts-contraception, Accessed June 4 2021.
  3. Contraception Myths and Facts, https://www.ndsu.edu/fileadmin/studenthealthservice/Contraception_Flyer.pdf, Accessed June 4 2021.
  4. Birth Control Myths, https://www.nationwidechildrens.org/specialties/bc4teens/resources/birth-control-myths, Accessed June 4 2021.
  5. 10 contraceptive myths you should stop listening to, https://www.netdoctor.co.uk/healthy-living/sex-life/a28623/contraception-advice/, Accessed June 4 2021.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada seminggu lalu
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
x