Risiko Mengandung Luar Rahim Yang Perlu Diketahui

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Setiap wanita pastinya mahukan fasa kehamilan berjalan lancar. Namun malangnya, terdapat komplikasi yang boleh berlaku kepada wanita hamil seperti mengandung luar rahim, dan ia sudah tentu mendatangkan risiko bahaya.

Apa itu mengandung luar rahim?

Mengandung luar rahim atau dalam istilah bahasa Inggeris dikenali sebagai ectopic pregnancy (kehamilan ektopik). Umumnya, ectopic membawa pengertian ‘di tempat yang salah’. Jadi dalam pemahaman yang mudah, kehamilan ektopik bermaksud, proses kehamilan yang berlaku di luar rahim ibu. Adakah keadaan ini bahaya?

Bagi kebanyakan kes kehamilan sebegini, implantasi berlaku di dalam tiub fallopio. Keadaan kehamilan ini boleh jadi berbahaya kerana bayi dalam kandungan yang sedang membesar boleh mewujudkan rasa sakit dan menyebabkan berlakunya pendarahan. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan, berisiko mengakibatkan tiub fallopio pecah dan seterusnya berlaku pendarahan dalaman

Apabila tiub pecah bagi kehamilan ektopik. Terdapat dua keadaan yang boleh berlaku didasari pendarahan dalaman, iaitu:

  1. Keadaan  boleh menjadi sangat teruk dan menyebabkan kematian ibu. 
  2. Embrio akan terlepas dari tiub fallopio atau uterus. Disebabkan tiada tempat untuk implantasi untuk membolehkan embrio menyerap nutrien dan bekalan darah, keguguran akan berlaku.

Bagaimana ia berlaku?

Untuk keadaan kehamilan normal, zigot akan bergerak melalui tiub fallopio dan memasuki ruang rahim – tempat di mana sperma dan ovum yang telah disenyawakan akan menempel dan proses tumbesaran janin akan berlaku.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu seperti tiub fallopio tersumbat atau sempit, keadaan ini menyebabkan zigot tidak dapat bergerak untuk memasuki rahim, sebaliknya terhenti di tiub fallopio. 

Jika keadaan kehamilan ini dibiarkan, ia berisiko tinggi untuk mengancam nyawa ibu. Dalam kebanyakan kes melibatkan kehamilan ektopik ini, pengguguran adalah jalan yang terbaik. 

Kehamilan di luar rahim biasanya dapat dikenal pasti pada minggu ke-4 hingga ke-10. Oleh itu, setiap individu wanita yang disahkan hamil perlu mendapatkan pemeriksaan dengan pakar perubatan di klinik kesihatan atau lawatan perinatal pada minggu ke-5 kehamilan. 

Pemeriksaan imbasan akan dilakukan untuk memastikan kehamilan tersebut bukanlah kehamilan ektopik. Malahan, dalam sesetengah kes, ujian darah perlu dilakukan bagi mengetahui tindakan selanjutnya yang boleh dilakukan jika ia melibatkan kehamilan ektopik.

Siapa yang berisiko?

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Columbia Asia, Setapak, Dr Sharmina Kamal Shamsul Kamal, masalah mengandung luar rahim boleh berlaku kepada mana-mana individu wanita. Akan tetapi, terdapat segelintir daripada mereka yang lebih berisiko untuk mengalaminya. 

Dr Sharmina turut memberitahu bahawa individu wanita yang pernah berdepan dengan situasi mengandung luar rahim ini juga, berisiko tinggi untuk mendapat masalah kehamilan yang berulang. Risikonya akan semakin bertambah seiring dengan pertambahan usia. 

Berikut adalah beberapa situasi tertentu yang boleh meningkatkan risiko untuk mengandung luar rahim:

  • Individu yang mempunyai masalah jangkitan kelamin klamidia (chlamydia) atau sebarang penyakit kelamin STD yang lain, boleh menyebabkan penyakit radang pelvik. Dan keadaan ini sekali gus meningkatkan risiko untuk mendapat kehamilan ektopik
  • Individu wanita yang pernah melakukan prosedur pembedahan pada bahagian perut, termasuk apendiks, caesarean atau sebarang pembedahan berkaitan tiub fallopio turut berisiko untuk mengalami kehamilan luar rahim
  • Risiko mengandung luar rahim juga boleh berlaku kepada mereka yang pernah mengalami masalah endometriosis
  • Mempunyai lebih daripada satu pasangan seksual
  • Ibu yang hamil lebih berusia
  • Mengalami masalah ketidaksuburan untuk lebih daripada dua tahun, sama ada dirawat atau tidak
  • Jika anda melakukan kehamilan melalui kaedah IVF, anda amat disarankan untuk membuat imbasan awal bagi memastikan embrio diimplantasikan pada bahagian yang betul
  • Bicornuate uterus
  • Individu wanita dengan tabiat merokok
  • Pernah menggunakan IUD yang mengeluarkan hormon progesteron atau jika anda mengambil pil mini pencegah kehamilan. Kedua-duanya boleh meningkatkan risiko kehamilan ektopik yang tinggi

Mengenal pasti simptom

Sejujurnya, timbul kesukaran untuk mengenal pasti sama ada kehamilan yang berlaku itu kehamilan luar rahim atau tidak. Ini kerana kebiasaannya, simptom yang dialami adalah sama seperti mengalami haid atau keguguran. Keadaan ini akan mewujudkan rasa sakit seakan-akan senggugut dan keluar sedikit darah. 

Berikut adalah beberapa simptom awal yang boleh membantu anda untuk mengenal pasti sama ada anda mengandung luar rahim atau tidak:

Pendarahan faraj

Biasanya pendarahan yang berlaku adalah tidak normal. Kuantiti darah yang keluar adalah berbeza berbanding keadaan haid normal, sama ada lebih banyak atau sedikit. Warna darah yang keluar juga dikatakan lebih gelap daripada darah haid dan bersifat cair. 

Sakit berterusan

Jika anda mengesyaki diri anda hamil dan mengalami rasa sakit yang teruk dan berterusan pada satu bahagian di bawah perut, anda dinasihatkan untuk berjumlah dengan doktor dalam kadar waktu yang segera. 

Jika keadaan kehamilan di luar rahim ini tidak dikesan dari awal, ia akan meningkatkan risiko untuk tiub anda menegang disebabkan proses tumbesaran embrio. Keadaan ini cenderung menyebabkan tiub fallopio anda untuk pecah. Apabila keadaan ini berlaku, berikut adalah beberapa gejala yang boleh anda alami, antaranya:

  • Sakit yang teruk secara tiba-tiba. Kesakitan itu mula merebak ke seluruh bahagian perut
  • Mengalami peluh, berasa seperti ingin pitam
  • Cirit-birit atau terdapat darah dalam najis
  • Berasa sakit pada hujung bahu. Keadaan ini boleh berlaku jika pendarahan dalaman itu menjejaskan organ lain seperti diagfragma (rusuk)
  • Jika keadaan pendarahan yang dialami serius, anda mungkin tidak sedarkan diri

Jika anda mengalami simptom yang dinyatakan, anda dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan segera dengan pakar sakit puan atau doktor perubatan. Pemeriksaan awal dapat membantu mengesan status kehamilan. Sekiranya tiub anda telah pecah, anda cenderung untuk terus menjalani pembedahan.

Kesuburan terjejas

Jika anda mengalami kehamilan ektopik, ia sememangnya berisiko untuk menjejaskan kesuburan anda. Walau bagaimanapun, jika keadaan tiub fallopio anda tidak rosak selepas berdepan dengan kehamilan luar rahim ini, maka peratusan kebarangkalian untuk anda kembali hamil tidak akan terjejas.

Tetapi jika salah satu tiub fallopio terjejas, seperti mengalami kerosakan teruk atau pecah, peluang untuk anda kembali hamil akan berkurangan. Peratusan untuk hamil semula akan jadi semakin berkurangan jika kedua-dua belah tiub fallopio terjejas.

Kebanyakan wanita yang mengalami kes mengandung di luar rahim cenderung untuk hamil kembali dalam tempoh 18 bulan selepas berlakunya kehamilan ektopik. Namun, jika kedua-dua tiub fallopio rosak atau terjejas, terdapat kemungkinan anda perlu mempertimbangkan untuk melakukan prosedur rawatan IVF.

Kesimpulan

Seperti yang dinyatakan, mana-mana wanita mempunyai risiko untuk mengalami kehamilan ektopik. Tiada apa yang boleh anda lakukan untuk menghindarinya daripada berlaku dan berulang. Patuhi jadual pemeriksaan doktor kerana ini merupakan jalan terbaik untuk membantu mengesan kehamilan luar rahim ini. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut