Normal Ke Jika Alami Keputihan Semasa Mengandung?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Fasa mengandung adalah satu tempoh yang paling membimbangkan seseorang wanita terutama sekali jika berlaku sebarang perkara atau perubahan pada tubuh. Sebagai seorang wanita yang sedang hamil, anda mungkin tidak begitu pasti jika perubahan yang berlaku itu adalah sesuatu perkara yang biasa atau tidak. Salah satunya adalah keputihan semasa mengandung, adakah ia normal berlaku kepada ibu hamil?

Keputihan semasa mengandung adalah perkara biasa

Ramai wanita mengalami keputihan tidak kira sama ada semasa mengandung atau tidak, tetapi ramai juga yang masih tidak pasti apakah sebenarnya keputihan ini. Untuk pengetahuan anda, keputihan atau cecair keputihan yang dihasilkan daripada kelenjar dalam vagina dan serviks akan membawa keluar sel-sel mati dan bakteria daripada tubuh. Ini bertujuan bagi memastikan kebersihan vagina anda selain mengelakkan sebarang jangkitan yang tidak diingini. Keputihan semasa mengandung yang normal juga disebut sebagai leukorrhea dan sifatnya adalah cair, putih dan mempunyai bau yang ringan. 

Menurut Dr. Sheryl Ross yang berkhidmat di Providence Saint John’s Health Center, California, salah satu petanda jika seseorang wanita itu hamil adalah berlakunya peningkatan cecair keputihan dan ia akan berlaku sepanjang tempoh kehamilan.

Perubahan dalam keputihan yang berlaku boleh bermula seawal seminggu atau dua minggu selepas konsepsi, bahkan sebelum anda berhenti mengalami haid. Seiring dengan fasa kehamilan, keputihan yang berlaku akan menjadi lebih jelas atau ketara, dan ia akan menjadi lebih ketara pada fasa akhir kehamilan anda. Pada minggu-minggu terakhir kehamilan, anda akan mendapati keputihan anda mengandungi lendir yang pekat dengan beberapa garis darah yang disebut sebagai “show”. Ini adalah tanda awal untuk melahirkan anak dan anda tidak perlu risau jika ia berlaku.

Apakah yang menyebabkan perubahan pada keputihan semasa mengandung?

Pengeluaran cecair keputihan akan menjadi surut dan naik di sepanjang kitaran haid seseorang wanita yang disebabkan oleh faktor turun naik tahap hormon tubuh. Apabila anda hamil, hormon akan turut memainkan peranannya dalam sebarang perubahan pada keputihan yang berlaku. Selain itu, perubahan pada bahagian serviks semasa kehamilan turut memberi kesan terhadap keputihan. Apabila bahagian serviks dan dinding menjadi lembut, tubuh akan menghasilkan lebih banyak cecair keputihan bagi membantu mengelakkan sebarang jangkitan. Kepala bayi anda juga akan mula menekan bahagian serviks apabila saat kelahiran hampir tiba, yang juga menyebabkan peningkatan penghasilan keputihan. 

Apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan jika mengalami keputihan semasa mengandung?

Terdapat beberapa perkara yang disarankan untuk anda lakukan dan elak semasa mengandung. Antara perkara yang perlu anda lakukan adalah memakai seluar dalam sekiranya ia boleh membuatkan anda berasa lebih selesa. Selain itu, nyatakan kepada doktor jika berlaku sebarang perubahan semasa pertemuan anda bersama doktor. 

Anda juga disarankan untuk tidak melakukan perkara-perkara seperti berikut semasa kehamilan:

  • Jangan menggunakan tampon kerana ia akan menyebabkan kuman baharu memasuki vagina anda
  • Jangan menggunakan douche. Douche akan mengganggu keseimbangan normal bakteria sihat dalam vagina dan boleh menyebabkan jangkitan
  • Jangan sesekali merawat diri sendiri jika anda berasa bahawa anda mengalami jangkitan pada vagina

Adakah saya perlu berjumpa dengan doktor?

Jika anda menyedari sebarang perubahan yang tidak normal terhadap keputihan anda, anda perlu berjumpa doktor dengan segera. Ini kerana mungkin berlakunya tanda-tanda jangkitan atau masalah yang berkaitan dengan kehamilan anda. Berikut merupakan antara tanda-tanda keputihan yang tidak normal:

  • Berwarna kuning, hijau atau kelabu
  • Mempunyai bau yang kuat dan busuk
  • Mengalami kegatalan, kemerahan atau pembengkakan vulvar

Keputihan yang tidak normal mungkin menjadi salah satu tanda jangkitan. Sebagai contoh, jangkitan yis adalah sejenis jangkitan yang sering berlaku semasa kehamilan. Sekiranya anda mempunyai jangkitan yis semasa hamil, doktor mungkin akan menyarankan penggunaan krim vagina atau suppository. Berikut merupakan antara cara untuk anda mengelakkan jangkitan yis.

  • Pakai pakaian yang longgar yang membolehkan tubuh anda bernafas
  • Pakai pakaian dalam yang diperbuat daripada kapas
  • Keringkan kemaluan anda setelah mandi, berenang atau bersukan
  • Tambahkan yogurt atau mana-mana makanan yang difermentasi ke dalam diet harian anda bagi menggalakkan pertumbuhan bakteria sihat

Selain itu, keputihan yang tidak normal juga boleh disebabkan oleh faktor penyakit kelamin atau STD. Sekiranya anda menyedari bahawa anda mempunyai sebarang jangkitan berkaitan penyakit kelamin atau STD, nyatakan kepada doktor dengan segera bagi mengurangkan risiko pemindahan jangkitan tersebut kepada bayi anda yang akan dilahirkan kelak. 

Bagaimana doktor mendiagnosis keputihan yang tidak normal?

Doktor akan mula menjejaki sejarah kesihatan anda dan bertanya mengenai simptom yang anda alami. Antara soalan yang mungkin akan ditanyakan kepada anda ialah:

  • Bilakah anda menyedari keputihan yang tidak normal ini berlaku?
  • Apakah warna cecair keputihan yang keluar?
  • Adakah terdapat sebarang bau pada cecair tersebut?
  • Adakah anda mengalami sebarang kegatalan, kesakitan atau rasa seperti terbakar pada bahagian dalam atau sekitar vagina anda?
  • Adakah anda mempunyai lebih daripada seorang pasangan intim?
  • Adakah anda melakukan sebarang douche pada vagina anda?

Doktor juga mungkin akan mengambil sampel cecair keputihan tersebut atau melakukan ujian Pap bagi mendapatkan sel-sel daripada bahagian serviks anda bagi pemeriksaan lanjutan.

Tip bagi mengelakkan jangkitan vagina yang boleh menyebabkan keputihan yang tidak normal

Di sini kami kongsikan beberapa langkah yang boleh anda ikuti bagi mengelakkan sebarang jangkitan pada vagina sekali gus mencegah berlakunya keputihan yang tidak normal terutamanya semasa kehamilan.

  • Pastikan vagina anda sentiasa bersih dengan mencucinya menggunakan sabun yang bersifat ringan dan air bersuhu suam
  • Jangan sesekali menggunakan sabun atau pencuci dengan wangian atau sebarang produk pencuci wanita. Selain itu, elakkan juga penggunaan penyembur wanita dan mandian buih
  • Lap bahagian tubuh anda dengan kering terutamanya pada bahagian vagina selepas mandi

Kesimpulan

Jelas sekali, keputihan semasa mengandung adalah satu perkara yang normal dan cecair keputihan tersebut akan semakin bertambah apabila anda semakin hampir dengan saat melahirkan bayi anda. Walau bagaimanapun, jika terdapat sebarang tanda keputihan tidak normal seperti yang dinyatakan di atas, teruslah berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan lanjut. Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada berlakunya keputihan yang tidak normal terutama sekali semasa fasa kehamilan. Perhatikan sebarang perubahan pada keputihan yang keluar dan bertindak segera dengan mendapatkan nasihat doktor.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut