Sakit Belakang: Keadaan Paling Biasa Berlaku selepas Bersalin

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sakit belakang adalah sebab seseorang terpaksa cuti daripada bekerja dan mendapatkan rawatan perubatan. Keadaan ini boleh menjadi sangat tidak selesa dan melemahkan. Masalah kesihatan ini boleh berlaku disebabkan oleh kesan kecederaan, aktiviti dan sesetengahnya adalah akibat keadaan perubatan. Sakit belakang boleh menjejaskan seseorang tanpa mengira peringkat umur, dengan alasan yang berbeza.

Sakit Belakang dan Kehamilan

sakit pinggang

Ia adalah perkara biasa bagi seseorang wanita mengalami masalah sakit belakang, terutamanya pada peringkat awal kehamilan. Sakit belakang pada simptom awal kehamilan boleh menjadi “sakit yang sebenar,” secara literal. Postur tubuh dan badan anda di luar penjajaran pada masa kehamilan, dan dengan berat badan kebanyakannya tertumpu di bahagian depan badan anda, ia menarik di belakang anda.

Rasanya lebih kurang seperti anda memakai beg galas di depan anda dan bukan belakang anda. Ini mengubah postur anda dan meletakkan ketegangan di belakang anda. Dalam erti kata lain, pusat graviti anda beralih.

Selain itu, perubahan hormon dan tubuh anda juga mempunyai kesan. Tubuh anda bersiap sedia untuk melahirkan dan sehingga beberapa sendi dan ligamen anda berlaku kelonggaran bagi membolehkan kelahiran. Semua perubahan ini bersama-sama, ia boleh menyebabkan sakit belakang sebagai simptom kehamilan. Dianggarkan bahawa kira-kira separuh daripada semua wanita hamil akan mengalami simptom kehamilan ini.

Tip mengelak dan meringankan sakit belakang semasa hamil

  • Bengkokkan lutut anda dan pastikan belakang anda lurus apabila anda mengangkat atau mengambil sesuatu dari lantai
  • Elakkan mengangkat objek berat
  • Gerakkan kaki anda apabila anda beralih untuk mengelakkan tulang belakang anda berpusing
  • Pakai kasut rata untuk menyebarkan berat badan secara merata
  • Cuba untuk mengimbangi berat antara 2 beg semasa membeli-belah
  • Pastikan belakang anda lurus dan disokong dengan baik semasa duduk di tempat kerja dan di rumah, cari bantal sokongan bersalin
  • Dapatkan rehat yang cukup, terutama selepas mengandung
  • Urut atau mandi panas boleh membantu
  • Gunakan tilam yang menyokong anda dengan betul
  • Sertai kelas penjagaan belakang secara kumpulan atau individu

Sakit Belakang selepas Bersalin

sakit belakang

Masalah sakit belakang dan sakit pinggang amat biasa didengari dalam kalangan ibu hamil. Namun, jangan terkejut jika masalah ini berlarutan dan melanda ibu selepas bersalin, tidak kiralah bagi ibu yang bersalin normal ataupun melalui pembedahan.

Punca sakit belakang

Antara punca-punca yang menyebabkan ibu mengalami masalah ini selepas bersalin ialah:

  • Berat yang berlebihan (semasa hamil dan selepas bersalin) menyebabkan otot anda bekerja lebih kuat sekali gus meningkatkan tekanan pada sendi anda
  • Perubahan hormon boleh melonggarkan sendi dan ligamen anda
  • Semasa proses kelahiran, anda menggunakan banyak otot yang tidak selalu diguna, jadi kesannya anda akan rasai selepas bersalin
  • Kecederaan pada otot-otot di belakang badan semasa proses bersalin boleh menyebabkan ibu mengalami rasa sakit di bahagian belakang badan
  • Postur tubuh semasa duduk atau berdiri tidak betul. Contohnya, semasa menyusukan anak, ibu membongkokkan badan ke arah bayi
  • Kurang rehat semasa berpantang menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang badan lambat pulih
  • Ibu yang melakukan kerja berat selepas bersalin boleh melambatkan proses penyembuhan badan ibu, termasuk juga masalah sakit belakang

Berapa lamakah ia akan bertahan?

Sakit belakang biasanya akan menjadi lebih baik dalam masa beberapa bulan selepas bersalin, walau bagaimanapun sesetengah wanita akan terus mengalami kesakitan dalam tempoh yang lebih lama.

Sekiranya anda mengalami kesakitan sebelum atau semasa mengandung, anda mungkin mengalami sakit belakang yang berterusan selepas kehamilan, terutamanya jika ia teruk atau bermula pada awal kehamilan. Berat badan juga meningkatkan risiko sakit belakang kronik.

Tip mengelakkan sakit belakang selepas bersalin

Anda mungkin berfikir bahawa sakit belakang akan hilang apabila anda melahirkan bayi. Nyata, sangkaan itu silap sama sekali. Ini kerana keadaan ini selalunya datang kembali. Hampir 50 peratus wanita yang mengalami sakit belakang semasa hamil biasanya hilang selepas seminggu atau dua minggu. Bagaimanapun, ia boleh datang kembali.

Berikut beberapa tip untuk anda menanganinya.

1. Bersenam

Mulakan senaman selepas bersalin bagi memulihkan abdomen dan otot belakang. Anda boleh bermula dengan 10 minit senaman regangan di atas lantai pada setiap hari bagi memulihkan fleksibiliti bahagian belakang badan dan pinggul. Walau bagaimanapun, dapatkan konsultasi daripada doktor dahulu sebelum memulakan sebarang senaman. Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan, disarankan untuk memulakan senaman selepas enam minggu bersalin, dengan konsultasi daripada doktor.

2. Kembalikan kelangsingan badan

Ya, ibu baru bersalin memang tidak digalakkan untuk berdiet. Namun, ini bukan tentang ‘diet’ yang anda fikirkan. Bagi mengelakkan masalah sakit belakang selepas bersalin, cuba untuk mendapatkan semula berat normal anda seperti sebelum hamil dalam tempoh enam minggu selepas melahirkan bayi.

3. Cara mengambil bayi

Elak daripada meregangkan lengan anda semasa ingin mengambil bayi. Sebaliknya, anda boleh cuba membawa bayi dekat dengan dada anda sebelum mengangkatnya. Elakkan juga daripada memusingkan tubuh anda.

4. Semasa menunduk untuk mengangkat bayi.

Jika anda ingin mengangkat bayi anda dari lantai, bengkokkan lutut anda dahulu, dan bukannya dengan membengkokkan pinggang. Cangkung dahulu dan dekatkan otot perut anda serta angkat menggunakan kekuatan otot kaki anda.

5. Masa makan bayi

Jika anda ingin mengangkat bayi anda keluar daripada kerusi makannya atau meletakkan bayi di dalam kerusi makan, tanggalkan atau ketepikan dahulu dulang atau meja pada kerusi makan bayi.

6. Waktu di buaian atau katil

Semasa ingin mengangkat bayi dari buaian ataupun katil bayi, elakkan daripada mengangkat si manja. Sebaliknya, tarik bayi anda mendekati anda sebelum mendukungnya.

7. Anduh bayi

Jika anda ingin memakai pengendong ataupun anduh bayi, pasangkan anduh di hadapan badan anda. Bukannya mengendong dengan cara meletakkan anduh bayi di belakang badan.

8. Posisi dukung

Selalunya kita akan lihat ibu-ibu gemar mendukung bayi mereka dengan meletakkan di bahagian pinggul. Jika anda mengikut cara ini, anda akan hanya menyebabkan bebanan di bahagian otot belakang badan anda. Jadi, tukar posisi mengendong bayi anda.

9. Penyusuan

Posisi penyusuan yang salah turut menjadi punca ibu mendapat sakit belakang. Bagi mengelakkannya, bawa bayi anda ke arah payudara semasa sesi penyusuan. Elakkan daripada badan anda membongkok ke arah bayi. Anda juga boleh menggunakan kerusi tegak semasa proses penyusuan berbanding memilih sofa lembut.

10. Pilihan kenderaan.

Kenderaan juga memainkan peranan dalam mengelakkan sakit belakang badan. Lebih baik jika anda menggunakan kereta empat pintu berbanding kereta dua pintu. Hal ini adalah supaya anda mudah meletakkan bayi anda di dalam kerusi keselamatan bayi. Semasa ingin meletakkan bayi, pastikan anda memasukkan badan anda ke dalam kereta dan dengan menggunakan otot lengan, anda dudukkan bayi anda di dalam kerusi. Elakkan daripada melutut di bahagian tempat duduk belakang kemudian meletakkan bayi pada kerusi keselamatan.

Sakit Belakang dan Anestesia Epidural

epidural

Anestesia epidural adalah kaedah yang paling popular untuk melegakan kesakitan semasa bersalin. Lebih daripada 50% wanita yang melahirkan di hospital menggunakan anestesia epidural. Walau bagaimanapun, bukan semua orang cenderung kepada epidural. Oleh itu, penting untuk setiap ibu memahami sepenuhnya akan manfaat dan risiko epidural kepada tubuh ibu, terutamanya selepas bersalin.

Apakah itu epidural?

Epidural membantu ibu mengurangkan kesakitan semasa proses kelahiran melalui suntikan anestetik ke dalam ruang epidural tulang belakang yang lebih rendah. Anestetik epidural, dadah yang berasal dari kokain, memasuki tubuh wanita dan mengebaskan saraf tunjangnya, menyekat penghantaran rasa sakit ke otak. Berbanding memberikan kekebasan sepenuhnya pada seluruh tubuh pesakit, anestesia epidural hanya menyebabkan sebahagian kehilangan rasa pada bahagian yang disuntik, yang membolehkan ibu untuk sedar sepenuhnya bagi menyaksikan kelahiran bayi.

Ibu boleh mendapatkan suntikan epidural bila-bila masa yang dia mahukan, tetapi masa yang paling disarankan untuk melakukan epidural adalah ketika si ibu berada dalam sebenar-benar fasa kelahiran aktif, bermakna servik wanita ketika itu sudah terbuka antara 4 hingga 5 sentimeter.

Kebaikan menggunakan epidural

Epidural telah terbukti menjadi pelega kesakitan yang paling berkesan dalam kalangan semua jenis perubatan lain. Sementara 28 daripada 100 wanita menggunakan jenis pelega kesakitan lain, yang memerlukan dos kedua atau ketiga ubat tahan sakit setelah mengambil suntikan pertama mereka, hanya 1 daripada 100 wanita memerlukan bantuan perubatan tambahan selepas pengambilan dos epidural pertama.

Selain itu, ibu boleh tetap berjaga sepanjang proses kelahiran memandangkan epidural hanya memberi kesan kepada bahagian bawah tubuhnya. Oleh itu, ibu boleh mempraktikkan teknik pernafasan dan kaedah keselesaan yang lain.

Memandangkan ibu tidak merasai kesakitan, anda boleh berehat pada bila-bila masa jika berasa letih, dan mempunyai lebih tenaga untuk meneran keluar bayi. Jika seseorang ibu itu bergelut dengan rasa sakit yang teramat sangat semasa bersalin, tubuhnya akan melepaskan hormon stres seperti epinephrine dan norepinephrine yang boleh menghalang kontraksi, sekali gus menjejaskan kesihatan bayi dan memanjangkan tempoh kelahiran.

Epidural dapat mengurangkan stres, kegelisahan, dan keletihan, mempercepatkan proses kelahiran dan menyediakan pengalaman bersalin yang positif untuk kedua-dua ibu dan bayi.

Kesan sampingan epidural

Kadangkala, anestesia epidural tidak berfungsi dengan betul. Dalam situasi ini, pakar bius anda mungkin mengesyorkan anda menggunakan pelega kesakitan yang lain atau melakukannya sekali lagi:

  • Mereka tidak dapat mencari ruang epidural anda.
  • Ubat-ubatan tidak tersebar ke dalam ruang epidural.
  • Kateter boleh terkeluar.

Walaupun ubat-ubatan berfungsi, risiko kadangkala tetap berlaku. Kajian telah menunjukkan bahawa anestesia epidural adalah selamat dalam kebanyakan kes. Tetapi seperti prosedur perubatan lain, ia mempunyai kesan sampingan. Berikut adalah beberapa kesan sampingan anestesia epidural:

1. Tekanan darah anda mungkin menurun semasa prosedur

Ia adalah kerana ubat-ubatan tersebut menjejaskan saraf yang pergi ke saluran darah. Dalam keadaan ini, anda mungkin perlu berbaring untuk membiarkan darah sampai ke seluruh tubuh anda atau pakar kesihatan anda mungkin memberikan anda beberapa ubat untuk meningkatkan tekanan darah anda dan mengekalkannya. Jadi jangan risau.

2. Anda mungkin kehilangan kawalan pundi kencing anda

Anda mungkin tidak tahu bila pundi kencing anda penuh kerana, di bawah anestesia epidural, deria rasa anda hilang. Jururawat akan meletakkan keteter ke dalam pundi kencing anda untuk membolehkan air kencing keluar. Fungsi pundi kencing anda akan kembali normal sebaik sahaja ubat-ubatan anestetik hilang kesan.

3. Kulit anda mungkin gatal

Ini mungkin disebabkan kandungan ubat-ubatan yang digunakan untuk anestesia ini. Tetapi keadaan ini akan hilang selepas beberapa hari atau mungkin dirawat dengan mudah.

Anda mungkin berasa letih atau sakit atau mengantuk selepas prosedur ini

Sekiranya tekanan darah anda tidak meningkat, ikut arahan doktor dan ambil ubat yang diarahkan.

4. Anda mungkin mengalami sakit belakang

Banyak kajian telah menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara anestesia epidural dan sakit belakang jangka masa panjang selepas bersalin. Sekiranya anda mengalami sakit belakang yang teruk, anda harus memaklumkan pakar kesihatan anda untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

5. Anda mungkin mengalami sakit kepala yang teruk

Ini jarang berlaku tetapi boleh terjadi kerana ubat bius yang disuntik ke dalam badan anda. Biasanya ia akan hilang setelah beberapa lama tetapi jika ia tidak hilang, maklumkan doktor anda.

6. Anda mungkin mengalami jangkitan

Anestesia epidural biasanya selamat untuk kebanyakan orang, tetapi masih ada risiko. Sebelum anda mendapat epidural, anda harus berbincang dengan pakar kesihatan anda dengan berhati-hati mengenai prosedur, bagaimana untuk mengambil langkah pencegahan dan bersiap sedia untuk mengurangkan risiko mendapat kesan sampingan.

Jenis anestesia yang diberikan kepada anda dapat dapat mempengaruhi keadaan anda. Tahap kesihatan dan usia anda turut mempengaruhi bagaimana anda bertindak balas dengan ubat-ubatan yang digunakan. Sekiranya anda mengalami masalah kesihatan, seperti penyakit jantung atau paru-paru, ini boleh meningkatkan risiko anda kepada anestesia. Pengambilan ubat lain, alkohol, merokok, dan pengambilan dadah juga boleh meningkatkan risiko anda.

Jangan risau tentang jenis anestesia yang akan anda ambil kerana doktor anda akan mengkaji manfaat, keberkesanan, dan risiko untuk menentukan ubat bius yang sesuai untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Baca juga: 10 Tips Elak Sakit Belakang Selepas Bersalin

Tarikh Reviu: Ogos 7, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Ogos 5, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut