Cuaca Panas Terik Di Luar Buat Badan Lesu? AWAS! Ini 15 Tanda Anda Dehidrasi Masa Berpuasa

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 18/05/2020
Share now

Berbanding dengan rasa lapar, tanda dehidrasi (kehausan) jauh lebih penting ketika umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadan.

Hal ini kerana manusia mempunyai komposisi air setinggi 75%. 

Bayangkan, setiap celah sel, kandungan sel itu sendiri dan kandungan salur darah terdiri daripada air.

Oleh sebab durasi berpuasa tidak sama di seluruh dunia, umat Islam mempunyai risiko yang berbeza untuk mengalami masalah dehidrasi. 

Perkara ini terutamanya jika aturan pengambilan air tidak ditetapkan dengan betul.

Terdapat pelbagai jenis faktor yang boleh mempengaruhi perkara ini. Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca.

Tanda tanda dehidrasi ketika sedang berpuasa

Badan manusia beroperasi menggunakan konsep homeostasis. 

Ia merupakan satu bentuk keseimbangan fisiologi yang melibatkan pelbagai jenis faktor bagi menyeimbangi keadaan persekitaran dalam badan. 

Ini bermakna, jika dilihat pada konteks dehidrasi, jumlah air yang hilang perlu seimbang dengan jumlah air masuk.

Sepanjang tempoh berpuasa, semua umat Islam tidak boleh minum. 

Ini bermakna, keseimbangan di antara air keluar dan masuk terganggu.

Perubahan pada corak pengambilan makanan dan air ini boleh menyebabkan penurunan berat badan, pengurangan kadar pengambilan sumber tenaga dan meletakkan individu tersebut dalam fasa dehidrasi.

Pelbagai jenis tanda tanda dehidrasi boleh dialami. Antaranya adalah:

  1. Kehausan
  2. Kurang kencing
  3. Air kencing berwarna pekat
  4. Bibir kering
  5. Kelesuan
  6. Lemah otot
  7. Pening kepala

Secara amnya, mereka yang tidak minum air cukup akan mengalami simptom-simptom di atas.

tanda tanda dehidrasi

Namun, jika berterusan dan keadaan menjadi semakin parah, individu terlibat boleh mengalami tanda tanda dehidrasi seperti berikut:

  1. Tidak berpeluh
  2. Mata tenggelam
  3. Tekanan darah rendah
  4. Demam
  5. Delirium
  6. Pengsan
  7. Berdebar-debar
  8. Kulit kering

Durasi bagi waktu berpuasa tidak mendatangkan risiko bahaya kepada mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan.

Namun, pengambilan air seperti yang disarankan oleh pakar, penting, bagi memastikan anda tidak mengalami masalah dehidrasi.

Setakat ini, kebanyakan kajian saintifik menunjukkan kesan positif berpuasa terhadap tubuh badan.

Kajian yang mengukur risiko dehidrasi ketika umat Islam sedang berpuasa

Pelbagai jenis parameter ujian makmal pernah diukur oleh saintis bagi memahami kesan dehidrasi terhadap proses fisiologi badan ketika sedang berpuasa.

Pada tahun 2003, Dr Susan M Shirreffs dari Universiti Loughborough telah menerbitkan kajian terhadap 12 orang Islam yang berpuasa.

Parameter yang digunakan adalah haematocrit, serum albumin dan serum creatinine subjek.

Kesemua ukuran tersebut meningkat menandakan subjek sedang mengalami proses dehidrasi.

Perkara yang sama turut dilihat pada kajian melibatkan subjek Muslim berbangsa Tunisia.

Namun, dapatan ini berbeza sedikit dengan kajian yang dijalankan di Kuwait.

Mereka yang hidup tidak aktif, lebih cenderung untuk mengalami masalah dehidrasi.

Keadaan ini menunjukkan, kadar pengeluaran air yang tinggi pada orang aktif semasa melakukan sebarang aktiviti telah membuatkan proses fisiologi mereka lebih bersedia menghadapi masalah dehidrasi.

Sudah hampir dua dekad semenjak kajian terhadap tindak balas badan dan berpuasa dijalankan menggunakan molekul isotop oksigen.

Setakat ini, tiada lagi kajian yang menunjukkan kesan buruk terhadap mereka yang menunaikan ibadah berpuasa jika dilihat pada konteks dehidrasi.

Punca dehidrasi menjadi semakin teruk sepanjang Ramadan

tanda tanda dehidrasi

Asas kepada proses patologi dehidrasi berteraskan kepada konsep badan kehilangan banyak air, kita tidak mengambil air yang cukup atau kedua-duanya.

Sepanjang bulan Ramadan, terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan tahap dehidrasi anda menjadi semakin teruk.

Sebagai contoh, keracunan makanan. Bulan puasa, sememangnya sinonim dengan bazar Ramadan.

Oleh sebab kita cenderung untuk makan makanan yang dibeli dari lokaliti tersebut, justeru terdapat risiko untuk anda mengalami masalah itu.

Simptom seperti cirit-birit, muntah dan perpeluhan boleh memburukkan lagi keadaan.

Bayangkan, anda sudah hilang air daripada proses fisiologikal normal, kini ditambah pula dengan cirit-birit, muntah dan sebagainya.

Jika badan mengeluarkan air yang banyak sehingga sukar untuk diganti, anda berisiko untuk mengalami dehidrasi teruk.

Walaupun perkara tersebut jarang berlaku, tidak bermakna ia tidak akan berlaku.

Individu yang tinggal di kawasan bercuaca panas juga mudah untuk menunjukkan simptom dehidrasi.

Perkara yang sama turut berlaku pada mereka yang mengalami masalah kencing manis tidak terkawal.

Semakin banyak gula di dalam darah anda, semakin banyaklah atau keraplah anda akan berasa hendak terkencing.

Kesan ini turut dirasai oleh mereka yang mengambil ubat merangsang penghasilan air kencing (diuretik) atau ubat-ubatan lain.

Konklusi

Masalah dehidrasi bukanlah satu keadaan kesihatan yang boleh dipandang ringan.

Jika tanda tanda dehidrasi tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan komplikasi serius.

Anda perlu memanfaatkan tempoh seusai berbuka untuk mengambil air mengikut aturan yang ditetapkan.

Ia bagi menjamin anda mengambil sejumlah air mengikut saranan pakar walaupun terpaksa menahan diri daripada minum air pada waktu siang.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
  1. Dehydration. (https://www.nhs.uk/conditions/dehydration/). Diakses pada 12 Mei 2020.
  2. Effect of Ramadan Fasting on Body Water Status Markers after a Rugby Sevens Match. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3289207/). Diakses pada 12 Mei 2020.
  3. Effects on health of fluid restriction during fasting in Ramadan. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/14681711). Diakses pada 12 Mei 2020.
  4. Markers of hydration status. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/14681707). Diakses pada 12 Mei 2020.
  5. Hydration in sport and exercise: water, sports drinks and other drinks. (https://onlinelibrary.wiley.com/doi/full/10.1111/j.1467-3010.2009.01790.x). Diakses pada 12 Mei 2020.

 

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

Makan Guna Tangan Baik Untuk Kesihatan? Ada Lagi 4 Tradisi Melayu Bagus Diamalkan

Mungkin anda tidak tahu, ada beberapa tradisi Melayu yang sebenarnya baik untuk kesihatan anda. Apakah antara amalan budaya kaum Melayu ini?

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Melancap Ketika Puasa? Ini Yang Anda Perlu Tahu!

Jika anda ingin berhenti melancap pada bulan puasa, inilah masanya. Anda boleh ikut 9 tip yang dikemukakan dalam artikel ini.

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Puasa Terbatal Jika Buat Ujian Swab COVID-19? Ini 17 Perkara Boleh & Tidak Boleh Dilakukan Jika Berpuasa

Adakah ujian swab COVID-19 boleh dilakukan semasa puasa Ramadan? Ketahuinya di sini dengan lebih lanjut sama ada ia boleh sebabkan batal puasa ataupun tidak

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Perayaan 04/05/2020

Selalu Sakit Semasa Berpuasa? Ketahui 5 Penyakit Lazim Berlaku Di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan sudah tiba! Jika anda tidak berpada-pada ketika makan berbuka, anda boleh mendapat 5 penyakit bulan puasa lazim ini. Ketahuinya.

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli