“Rayyan, nanti balik sekolah, panaskan semula nasi yang mama dah masak pagi tadi untuk makan tengah hari nanti ya?”, pesan seorang ibu kepada anaknya sebelum berangkat ke pejabat.
Hakikatnya, situasi sebegini sering dialami oleh banyak keluarga zaman sekarang ekoran para ibu yang sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Namun, ada kajian terbaharu yang mengatakan perbuatan panaskan semula nasi boleh menjadi punca keracunan makanan! Adakah ini benar?
Nasi adalah makanan ruji penduduk dunia
Nasi adalah makanan ruji penduduk dunia dan merupakan antara 3 jenis makanan utama di planet ini selain gandum dan jagung.
Nasi adalah makanan ruji untuk lebih separuh populasi di dunia. Hampir 3.5 bilion individu bergantung kepada nasi untuk 20% pengambilan kalori harian mereka.
Dalam erti kata yang lain, nasi adalah makanan ruji kepada hampir majoriti penduduk di dunia, menjadikan ia sebagai makanan yang paling berkuasa di muka bumi ini.
Tanpanya, manusia mungkin akan berasa resah dan gelisah kerana sudah terbiasa dengan diet pemakanan yang mengandungi nasi.
Namun, ada satu kajian terbaharu yang agak membimbangkan mengenai nasi. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan nasi boleh menyebabkan keracunan makanan jika ia dipanaskan kembali selepas tempoh yang agak lama.
Adakah kajian ini benar-benar terbukti?
Panaskan semula nasi boleh jadi punca keracunan makanan
Sesiapa sahaja pasti pernah melakukannya, bukan? Ini kerana walaupun anda sudah betul-betul mengagak jumlah orang di rumah, nasi yang anda masak itu mungkin masih akan tersisa.
Jadi, memanaskannya kembali adalah jalan terbaik untuk mengelak pembaziran.
Persoalannya, adakah memang tidak boleh langsung untuk memanaskan nasi? Jawapannya, ia masih boleh dilakukan tetapi anda harus lebih berhati-hati. Ini kerana nasi yang dipanas akan menyebabkan keracunan makanan!
Panaskan semula nasi boleh sebabkan keracunan makanan, bagaimana?
Menurut perkongsian di laman sosial Twitter rasmi kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), nasi yang dipanaskan semula boleh jadi punca keracunan makanan.
Pun begitu, ia bukan disebabkan oleh proses pemanasan semula nasi itu, tetapi ia berpunca dari cara kita menyimpan nasi itu sebelum dipanaskan.
Menurut KKM lagi, nasi yang ditinggalkan lebih 4 jam dalam suhu bilik akan menyebabkan spora yang wujud di dalam nasi itu menjadi aktif semula lalu mungkin mengakibatkan keracunan makanan jika dimakan.
Untuk pengetahuan anda, beras mentah yang belum dimasak mungkin mengandungi spora bernama Bacillus cereus. Ia masih boleh hidup walaupun selepas beras itu dimasak menjadi nasi.
Jika nasi itu sudah terbiar sejuk pada suhu bilik, bakteria masih boleh membiak kembali, lalu menghasilkan racun yang jadi punca keracunan makanan.
Semakin lama nasi dibiarkan pada suhu bilik (lebih dari 4 jam) sebelum dipanaskan, semakin banyak racun yang akan dihasilkan oleh bakteria ini sehingga menyebabkan nasi tersebut tidak lagi selamat untuk diambil.
Walaupun anda memanaskannya berkali-kali, bakteria ini tidak akan mati ekoran ketahannya yang sangat tinggi terhadap suhu yang tinggi.
Apa akibatnya jika makan nasi yang ada Bacillus cereus?
Jika anda memakan atau termakan nasi yang mengandungi bakteria ini, anda mungkin akan mengalami keracunan makanan dengan simptom-simptom seperti berikut:
- Sakit perut
- Muntah-muntah
- Cirit-birit
Simptom-simptom ini mungkin akan berlaku sekitar 1 hingga 5 jam selepas anda makan nasi yang tercemar. Namun, anda mungkin tidak perlu terlalu risau kerana simptomnya agak ringan dan biasanya berlangsung selama 24 jam.
Cara memasak, menyimpan dan memanaskan nasi dengan betul
Jadi, bagaimana untuk mengelak nasi anda dari tercemar dan mengelak terjadinya keracunan makanan? Jangan bimbang, ada caranya!
Sebenarnya, nasi perlu dimakan sejurus selepas ia dimasak dan dihabiskan dengan kadar segera. Nasi tidak bagus untuk disimpan dalam tempoh masa yang terlalu lama.
Oleh itu, cuba untuk makan nasi tersebut dan tidak meninggalkannya dalam keadaan yang terdedah pada suhu bilik lebih dari 1 jam.
Pun begitu, agak mustahil untuk kita terus makan nasi jika perut sudah terlalu kenyang, bukan?
Jadi, jika anda masih mahu menyimpan nasi yang tersisa tersebut, sila sejukkan dengan meletakkan ia ke dalam satu bekas makanan yang kecil lalu simpan ke dalam peti sejuk atau freezer.
Namun, penting untuk diingat bahawa anda boleh simpan ia tidak lebih dari 1 hari.
Jadi, bagaimana untuk memanaskan kembali nasi sebelum dihidangkan dalam usaha mengelakkan keracunan makanan? Bertenang, berikut adalah caranya:
#1. Memanaskan dengan ketuhar mikro
Caranya, letakkan nasi dalam bekas terbuka. Namun, pastikan bekas itu mesra untuk dimasukkan ke dalam microwave, ya? Selepas itu, tambahkan 1 atau 2 senduk air ke dalamnya dan panaskan selama 3 hingga 4 minit dengan suhu sekitar suhu 73 darjah celsius.
#2. Mengukus
Caranya, isi separuh alat pengukus nasi dengan air putih kemudian tunggu hingga ia mendidih. Kemudian, masukkan baki nasi yang sudah diletakkan di dalam mangkuk stainless steel.
Tutupkan dan panaskan ia dengan menyeluruh dan kacau sesekali. Namun, pastikan anda selalu memeriksa bahawa nasi anda benar-benar telah panas keseluruhannya sehingga ke bahagian bawah nasi dan bukannya bahagian atas sahaja.
#3. Menumis
Caranya, tumis nasi atas periuk dengan sedikit minyak pada suhu api yang sedang-sedang sahaja. Untuk pengetahuan anda, nasi yang sudah sejuk biasanya bergumpal.
Jadi, kacau nasi sehingga gumpalan tersebut terpisah. Bagaimana pula dengan suhunya yang sedang-sedang itu? Dalam erti kata yang lebih dalam, anda perlu pastikan suhu dalam nasi sekurang-kurag 73 darjah celcius. Akhir sekali, sajikan nasi tersebut sementara ia masih hangat.
Konklusi
Kesimpulannya, nasi boleh dipanaskan kembali namun tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana di dalamnya ada bakteria yang boleh jadi punca keracunan makanan. Jadi, ibu Rayyan dan para ibu yang suka sangat memanaskan nasi, sila ambil perhatian dan hati-hati, ya?
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-bmr]