Mudah Lupa? Memori Anda Mungkin Bergantung Kepada Masa

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Banyak kajian berkaitan dengan memori telah dijalankan oleh para pengkaji. Memori bukan sahaja penting untuk menjalani urusan seharian, malah ia merupakan kunci kepada pencapaian akademik individu. Kajian terbaru menunjukkan masa mungkin mempengaruhi kekuatan memori anda.

Bagi merungkai isu yang selama ini menjadi tanda tanya, kita perlu memahami konsep memori itu sendiri. Ia bukanlah satu topik yang mudah memandangkan ia melibatkan interaksi di antara pelbagai jenis faktor seperti tahap kesihatan, usia, kematangan, keinginan untuk mengingati sesuatu perkara dan sebagainya.

Artikel ini berkisarkan berkenaan dengan hubungan di antara memori dan masa seharian. Adakah manusia susah untuk ingat pada waktu pagi, petang ataupun malam? Baca untuk tahu dengan lebih lanjut.

Sepintas lalu mengenai memori 

Keupayaan untuk belajar dan mengingati sesuatu perkara merupakan fungsi kognitif yang merangkumi lebih daripada satu komponen. Walaupun pembahagian memori boleh dibuat berdasarkan beberapa jenis sifat, namun struktur kogntitif yang memberi keupayaan kepada seorang individu untuk mengingati itu sangat kompleks.

Memori yang berbeza menggunakan fungsi bahagian otak yang berbeza. Sebagai contoh, memori yang berkait dengan prosedur seperti menaiki motor dan memandu kereta disimpan pada beberapa bahagian otak seperti serebelum, korteks neo dan sistem limbik. Memori ini digelar sebagai memori bukan deklaratif kerana ia melibatkan aspek pergerakan.

Memori yang melibatkan perkara seperti pengetahuan am dan pengalaman pula disimpan pada struktur bahagian lobus temporal tengah (medial temporal lobe). Memori ini digelar sebagai memori deklaratif memandangkan ia melibatkan memori semantik dan episodik (pengalaman, ingatan berkenaan sesuatu peristiwa). Mereka yang mengalami hilang ingatan mempunyai kerosakan pada struktur ini.

Walaupun pada suatu ketika dahulu, definisi bagi memori deklaratif sering dikaitkan dengan sesuatu yang mesti dipelajari secara aktif dan memori bukan deklaratif kebiasaannya dipelajari secara separuh sedar, tetapi ia adalah tidak tepat. Definisi itu merupakan satu bentuk ringkasan yang tidak menggambarkan fungsi sebenar.

Sebagai contoh, memori peristiwa yang melibatkan emosi seperti kematian orang tersayang, kemalangan dan sebagainya tidak dipelajari secara aktif. Ia merupakan komponen memori deklaratif. Pergerakan individu yang melibatkan aspek kecekapan seperti menunggang basikal, mempelajari sesuatu sukan dan bermain alat muzik, perlu dipelajari secara aktif. Ini merupakan komponen memori bukan deklaratif.

Pelbagai jenis faktor boleh mempengaruhi memori namun dalam artikel ini, kita akan memberikan keutamaan kepada masa dalam seharian. Sebelum itu, mari kita kenal dengan komponen memori yang lain dahulu.

Memori prosedur dan memori kerja

Ini merupakan memori yang berada di bawah memori bukan deklaratif. Ia adalah sejenis memori yang menyebabkan perubahan saraf dalam jangka masa panjang melalui penambahbaikan fungsi pergerakan. Perkara ini kebiasaannya melibatkan latihan. 

Kebanyakan perkara atau perbuatan boleh ditambahbaik dengan latihan intensif. Memori ini bergantung kepada fungsi korteks motor primer, premotor dan bahagian otak lain yang melibatkan pergerakan. Ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu pembelajaran bersekutu dan pembelajaran bukan bersekutu.

Pembelajaran bersekutu (associative learning) melibatkan memori pergerakan berdasarkan latihan, emosi dan tindak balas otot terhadap sesuatu pergerakan. Pembelajaran bukan bersekutu pula (non-associative learning) melibatkan refleks, pengadaptasian terhadap sesuatu situasi dan pergerakan rutin.

Bagaimana pula dengan memori kerja? Adakah ia sama dengan memori prosedur? Ramai individu sering keliru dan menyamakan memori jangka masa pendek dan memori kerja. Namun, kedua-duanya mempunyai definisi yang berbeza.

Memori kerja (working memory) adalah proses mengawal atur atau pengubahsuaian sesuatu maklumat bagi melaksanakan sesuatu perbuatan/ pekerjaan. Berbanding dengan memori jangka masa pendek, memori kerja melibatkan penggunaan pelbagai jenis sistem dan jenis maklumat seperti bunyi dan pergerakan yang dikawal selia oleh kawalan eksekutif berpusat.

Sistem ini memberikan keupayaan untuk seseorang itu menentukan prioriti dan tahap kepentingan sesuatu aktiviti. Sebagai contoh, jika anda bercakap dengan individu lain sewaktu memandu kereta, ia melibatkan bunyi, penglihatan dan gerak geri otot.

Sistem kawalan eksekutif berpusat akan memberikan daya tumpuan lebih kepada pemanduan memandangkan jika tidak diberi prioriti, terdapat kebarangkalian tinggi untuk anda mengalami kemalangan. Ini merupakan salah satu contoh hasil daripada memori kerja.

Memori jangka masa pendek (short term memory, STM) dan memori jangka masa panjang (long term memory, LTM)

Ini merupakan komponen kognitif yang penting buat setiap individu. Menurut William James, bapa psikologi, memori jangka masa pendek akan mengawal atur maklumat secara sedar dalam masa beberapa saat setelah stimuli berkenaan dengan maklumat tersebut hilang dari pandangan mata. Manakala memori jangka masa panjang pula bergantung kepada pengalaman atau peristiwa lepas.

Konsep tersebut dianggap lemah memandangkan ia seperti mengatakan bahawa STM dan LTM mempunyai sistem yang berbeza. Secara mudahnya, perkara yang anda perlu tahu berkenaan dengan memori adalah ia terbahagi kepada tiga fasa, fasa deria, STM dan LTM. Perkara ini penting memandangkan bukan semua perkara yang kita hadapi setiap hari perlu disimpan dalam stor simpanan LTM.

Secara asasnya, memori mula tercipta tatkala kita mengesan sesuatu menggunakan deria sedia ada. Maklumat berkenaan dengan perkara tersebut akan didaftarkan dan kebiasaannya hanya berlegar-legar dalam sesaat. 

Perkara inilah yang membolehkan anda merasa sentuhan, bunyi atau gambaran seketika sesudah sesuatu stimulus itu hilang. Sebagai contoh setelah anda dicucuk, anda masih terasa sakit walaupun anda tidak lagi dicucuk, namun perkara tersebut hanya kekal untuk seketika.

Perkara ini akan menyebabkan memori tersebut disimpan dalam kotak STM. STM mempunyai kapasiti yang sangat terhad. Ada yang menyatakan STM hanya mampu menyimpan 7 objek (maklumat) dalam satu masa namun perkara tersebut boleh ditingkatkan dengan pelan tindakan memori yang sering diajukan oleh pakar.

Sebagai contoh, nombor kad pengenalan anda sukar untuk diingati sekiranya anda ingin menghafalnya sebagai 001006106789. Namun, jika dipecahkan kepada 001006-10-6789, anda berupaya untuk mengingat perkara tersebut dalam jangka masa pendek, cukup untuk anda menulisnya dalam kertas pendaftaran. 

Jika perkara tersebut kerap didaftarkan ke dalam kotak STM, secara separuh sedar, anda menganggap maklumat tersebut sebagai penting. Ini akan membolehkan ia dipindahkan secara perlahan-lahan ke dalam kotak LTM. Oleh sebab itulah, mereka yang kerap mengulang kaji kebiasaannya mendapat markah tinggi dalam peperiksaan.

Memori manusia teruk pada sebelah pagi?

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Tokyo pada tahun 2019, individu pelupa kebiasaannya mempunyai memori yang lebih teruk pada sebelah pagi terutamanya selepas bangun daripada tidur.

Konklusi ini dicapai selepas kajian yang dijalankan terhadap gen tikus putih yang menunjukkan kebolehannya untuk mengingati sesuatu kelihatan teruk pada sebelah pagi. Menurut Profesor Satoshi Kida, ia merupakan satu penemuan penting kerana gen yang dikaitkan dengan kebolehan untuk mendapatkan semula memori (memory retrieval) sudah dapat dikenal pasti. 

Kesukaran untuk mendapatkan semula memori ini dikaitkan dengan kitaran tidur jaga yang boleh mempengaruhi keupayaan seseorang itu untuk belajar dan menghasilkan memori. Ini bermakna, kadangkala kecenderungan anda untuk lupa bukan disebabkan oleh perkara tersebut dianggap sebagai tidak penting, tetapi anda tidak mempelajarinya dengan betul.

Bukan mudah untuk memahami sains di sebalik mengapa kita lupa. Ini kerana terdapat perbezaan di antara tidak tahu atau anda hanya tidak berupaya untuk mengingatinya. Apabila ditanya berkenaan dengan perkara yang baru sahaja anda baca, dan anda tidak mengingatinya, frasa “saya tidak tahu itu” adalah tidak tepat.

Dalam kajian tersebut, tikus putih jantan dan betina telah melalui fasa pembelajaran sebelum uji kaji berkenaan ingatan dilakukan. Mereka akan diberikan beberapa objek baru untuk beberapa minit. Apabila tiba masa untuk mereka mengingati semula, tikus tersebut hanya menyentuh seketika objek yang telah mereka kenali. Perkara tersebut diuji pada masa yang berbeza dalam masa sehari.

Kajian yang serupa diulang dengan menggunakan tikus putih yang sihat dan tikus putih tanpa gen BMAL1. BMAL1 merupakan protein yang mengawal pengeluaran gen-gen lain. Ia kebiasaannya rendah pada saat ketika kita bangun dan tinggi sebelum tidur.

Tikus putih yang dilatih selepas bangun tidur dan diuji sebelum mereka tidur mengenali objek tersebut. Tikus putih yang dilatih selepas bangun tidur dan diuji selepas bangun tidur pada keesokan harinya tidak mengenali objek tersebut. Tikus tanpa gen BMAL1 mengalami kelupaan yang jauh lebih banyak.

Kitaran tidur jaga kawal atur kebolehan mengingati sesuatu maklumat?

Kajian terdahulu kebanyakannya beranggapan bahawa sistem sirkadian memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kebolehan untuk mengingati semula sesuatu perkara. Menurut Profesor Kida, perkara ini telah terbukti melalui kajiannya.

Peranan gen BMAL1 dalam pengambilan semula sesuatu memori tertumpu kepada satu kawasan otak yang dinamakan sebagai hipokampus. Ia berperanan dalam mengaktifkan reseptor dopamin dan membuat pengubahsuaian pada sistem pengisyaratan kecil dalam otak yang lain.

Jika perkara ini boleh dimanipulasi, pengaplikasiannya meluas dalam konteks penyakit manusia yang berkaitan dengan masalah memori seperti demensia dan penyakit Alzheimer. Walau bagaimanapun, sebab kepada keupayaan manusia berbeza mengikut masa masih lagi samar-samar dan tidak diketahui. Apakah kebaikan yang terselindung di sebalik perkara tersebut? Dapatan kajian Prof Kida dan kumpulannya telah diterbitkan di Laman Jurnal Nature.

Konklusi

Subjek memori bukanlah suatu topik yang mudah difahami. Ia kompleks dan mempunyai interaksi yang pelbagai bergantung kepada faktor yang boleh mempengaruhi kebolehan untuk membentuk atau mengambil semula memori tersebut. Tustasnya, kajian terhadap memori boleh memberikan manfaat kepada manusia dalam konteks memahami penyakit yang kebiasaannya dikaitkan dengan masalah lupa. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 8, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 8, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut