Kanak-kanak Obesiti Harus Diberikan Rawatan Pintasan Gastrik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Masalah kegemukan boleh berlaku kepada sesiapa, malahan kanak-kanak juga tidak terkecuali. Namun, rawatan pilihan yang ada buat kanak-kanak obesiti adalah terlalu terhad berbanding individu dewasa.

Rawatan obesiti

Selalunya rawatan pembedahan merupakan pilihan terakhir buat individu dewasa dengan masalah kegemukan. Namun kini, rawatan pintasan gastrik (gastric bypasses) dicadangkan sebagai rawatan pilihan awal kepada kanak-kanak yang mengalami obesiti bagi menangani isu kegemukan, berbanding pilihan rawatan terakhir bagi individu dewasa.

Cadangan ini dibuat selepas beberapa kajian dilakukan dan menunjukkan bahawa rawatan pintasan gastrik ini merupakan satu pilihan yang selamat. Ia dapat membantu proses penurunan berat badan dengan lebih cepat dan bertahan lama. Malahan risiko untuk berdepan masalah diabetes dan tekanan darah tinggi juga tiada. 

Penyelidik memberitahu, walaupun kebanyakan pesakit yang terlibat dalam kajian ini adalah remaja dan hanya seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, tetapi kaedah rawatan pintasan ini tidak menemukan sebarang masalah negatif dalam tumbesaran mereka. 

Pilihan selamat

American Academy of Pediatrics (AAP) mengatakan lebih ramai remaja termasuklah kanak-kanak dengan obesiti, perlu diberikan pilihan untuk melakukan rawatan pintasan gastrik. Ini dapat membantu menghentikan tabiat makan secara berlebihan yang sering kali menjadi amalan gaya hidup harian.

AAP juga mengesyorkan bahawa pembedahan yang memakan kos sehingga USD20,000 (RM83,690) ini harus dianggap sebagai satu pilihan yang selamat. Malahan pihak AAP juga mencadangkan bahawa ia perlu menjadi antara masalah kesihatan yang mendapat perlindungan insurans bagi golongan belia remaja. 

Kesan sampingan

Menurut penulis utama kajian, seorang profesor pediatrik di Duke University, Dr Sarah Armstrong, sememangnya kanak-kanak yang belum akil baligh belum cukup memahami implikasi pembedahan yang akan mengubah hidup mereka.

“Individu yang menjalani rawatan ini mungkin akan berasa sakit secara fizikal jika mereka makan terlalu banyak atau mengambil makanan berlemak atau bergula dalam kuantiti yang tinggi,” jelas Dr Armstrong.

Walau bagaimanapun, bagi Dr Armstrong faktor usia tidak boleh dijadikan penghalang kepada rawatan yang berpotensi. Ini kerana kanak-kanak yang mengalami obesiti pada tahap kronik lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan apnea tidur.

Masalah utama

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC) di Amerika Syarikat, masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak merupakan masalah kesihatan utama yang mendatangkan kebimbangan ibu bapa, selain daripada penyalahgunaan dadah dan merokok.

Melalui data terkini, terdapat 4.8 juta kanak-kanak di Amerika berusia 10 hingga 17 tahun berdepan masalah berat badan berlebihan. Obesiti adalah faktor risiko utama yang membawa kepada beberapa keadaan kesihatan kronik seperti diabetes jenis 2, strok, serangan jantung serta beberapa jenis kanser.

Pencegahan 

Melakukan pencegahan sudah pasti merupakan perkara yang paling penting untuk dilakukan bagi mengelakkan kanak-kanak daripada mengalami masalah obes. Ini kerana berdasarkan kajian, kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dengan berat berlebihan adalah empat kali ganda akan mengalami obesiti pada usia 14 tahun.

Jadi sebagai ibu bapa, anda perlu memainkan peranan anda untuk mencegah masalah ini daripada berlaku kepada anak-anak. Berikan pemakanan seimbang dan serta amalkan gaya hidup yang sihat. Ini kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: Oktober 30, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 26, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut