backup og meta

Betul ke Tidur Berdengkur Buat Anda Lebih Mengantuk?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/10/2019

    Betul ke Tidur Berdengkur Buat Anda Lebih Mengantuk?

    Kalau kena sebilik dengan individu yang tidur berdengkur, mesti tak boleh tidurkan? Rasa geram ‘aje’ tengok yang berdengkur tu tidur nyenyak. Tapi ada ura-ura yang mengatakan individu yang berdengkur ini sebenarnya tak dapat tidur yang berkualiti, betul ke? Hmmm…kalau nak tahu lebih, teruskan pembacaan anda.

    Pertama sekali, apa kata kita selami kenapa wujudnya masalah berdengkur ini kepada sesetengah individu.

    Dikatakan berdengkur ini berlaku disebabkan oleh bahagian badan seperti lidah, mulut, tekak atau saluran udara di hidung yang bergetar ketika anda bernafas. Keadaan ini boleh berlaku apabila otot pada bahagian-bahagian tersebut menjadi tenang ketika anda tidur dan menyebabkan laluan udara menjadi sempit.

    Punca berdengkur

    Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan kecenderungan untuk anda berdengkur, antaranya:

    • Berat badan berlebihan atau obesiti
    • Tabiat merokok
    • Pengambilan minuman beralkohol yang banyak
    • Tidur secara menelentang

    Anda juga boleh tidur berdengkur jika anda mempunyai masalah apnea tidur, iaitu satu keadaan di mana saluran pernafasan tersekat sementara ketika anda tidur. 

    Sekarang anda sudah mengetahui punca yang menyebabkan seseorang individu itu berdengkur. Tetapi adakah mereka tidur dengan nyenyak?

    Tidur berdengkur dan rasa mengantuk

    Satu kajian yang diterbitkan oleh American Journal of Otolaryngology baru-baru ini menafikan mitos bahawa tidur berdengkur akan menjejaskan kualiti tidur dan menyebabkan keletihan. Ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas 74 individu, dan individu yang mempunyai masalah apnea tidur obstruktif (OSA) telah dikecualikan daripada penyelidikan ini.

    Menurut ketua penyelidikan, Hisham Alshaer, berdengkur tidak mempunyai kaitan dengan kualiti struktur tidur ataupun tahap mengantuk selagi seseorang individu itu tidak mempunyai masalah tidur apnea.

    Jelas Dr Alshaer, walaupun data hasil kajian National Sleep Foundation daripada Amerika Syarikat menyatakan tidur berdengkur boleh mengakibatkan gangguan tidur dan menjadi punca kepada keletihan, namun kajian tersebut tidak membezakan individu yang hanya berdengkur dengan individu yang mempunyai masalah OSA.

    OSA dipercayai menjadi punca kepada peningkatkan risiko tekanan darah tinggi, kegagalan jantung, strok serta kemalangan kereta akibat rasa mengantuk pada waktu siang. Ia merupakan satu gangguan tidur yang kronik yang melibatkan simptom berdengkur yang menyebabkan anda berhenti bernafas untuk seketika ketika sedang tidur. 

    Individu yang terlibat dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Toronto Rehabilitation Institute di Kanada ini, diberikan peranti mengandungi mikrofon kecil yang dilekatkan pada wajah untuk merakam kekerapan mereka berdengkur.

    Tidak mengganggu kualiti tidur

    Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan bergantung kepada jumlah dengkuran dalam setiap jam. Kumpulan pertama, adalah individu dengan dengkuran kurang daripada 100 setiap jam, kedua untuk individu yang berdengkur antara 100-350 setiap jam dan yang ketiga adalah kumpulan individu dengan dengkuran lebih daripada 350 setiap jam.

    Kualiti dan kuantiti tidur mereka diukur dengan menggunakan polysomnography, iaitu satu alat yang digunakan untuk mendiagnosis gangguan tidur dengan merakam gelombang otak, denyutan jantung dan pergerakan mata. Keesokan paginya, kesemua mereka diminta untuk menilai tahap rasa mengantuk.

    Hasil keputusan menunjukkan individu yang berdengkur bersemangat sama seperti individu yang tidak berdengkur. Tabiat berdengkur ini juga tidak menjejaskan kuantiti tidur atau kekerapan bangun waktu malam. 

    Tidak perlu risau

    Tiada apa yang perlu dirisaukan sekiranya anda atau mungkin rakan sebilik mahupun pasangan anda merupakan individu yang tidur berdengkur. Ia adalah sesuatu yang normal kecuali masalah dengkuran tidur itu melibatkan gangguan apnea tidur, maka itu akan menjadi satu keadaan yang perlu dibimbangkan.

    Tapi kalau berdengkur sahaja, perkara biasa lah tu. Cuma kalau anda dapat pasangan atau rakan sebilik yang berdengkur, bersabarlah ye. Ini kerana peratusan untuk anda tidak cukup tidur dan mengantuk keesokan harinya adalah sangat tinggi. Lebih-lebih lagi kalau dengkuran itu sangat kuat. Kena sumbat telinga dengan kapaslah kot. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/10/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan