3 Penyakit Berjangkit Utama di Malaysia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penyakit dan beban kesihatan utama di dunia pada hari ini sudah beralih dari penyakit berjangkit kepada penyakit tidak berjangkit (NCDs) seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, dan strok. Namun, beberapa penyakit berjangkit tertentu masih lagi memberi impak kepada negara Malaysia.

Mari lihat 3 penyakit berjangkit utama di Malaysia.

1. Demam denggi

Siapa tidak kenal demam denggi di Malaysia? Pasti anda, ahli keluarga atau mana-mana kenalan anda pernah menghidap demam denggi. Pada tahun 2018 sahaja, lebih 77,000 kes telah dicatatkan, paling tinggi di negeri Selangor.

Demam berpunca dari virus denggi bawaan nyamuk aedes ini berpotensi menyebabkan komplikasi serius sehingga mengancam nyawa. Sehingga kini, masih tiada rawatan khusus bagi demam denggi. Hanya rawatan sokongan dalam bentuk air, ubat demam, dan tahan sakit diberikan untuk mengawal simptom.

Vaksin denggi walaupun terdapat di sesetengah negara, ia tidak diluluskan di Malaysia atas sebab-sebab tertentu. Iklim tropikal di Malaysia memberikan suasana yang paling kondusif bagi nyamuk aedes. Oleh sebab itu kes demam denggi di Malaysia sangat tinggi. Langkah mengawal pembiakan nyamuk aedes antara usaha utama yang dilakukan bagi mengurangkan bilangan kes.

2. Hepatitis A

Hepatitis A juga disebabkan oleh virus, iaitu virus hepatitis A (HAV). Berbeza dengan hepatitis B dan C yang tersebar melalui darah, hepatitis A didapati dari makanan yang tercemar. Mereka yang dijangkiti virus ini kebiasaannya mengalami simptom biasa keracunan makanan (sakit perut, muntah, cirit-birit) diikuti dengan simptom radang hati (jaundis, sakit bahagian kanan atas abdomen).

Dalam kebanyakan kes, simptom akan hilang dengan sendiri dan tidak menyebabkan komplikasi serius. Vaksin hepatitis A boleh diambil dan ia memberikan perlindungan seumur hidup.

3. Demam kepialu (tifoid)

Juga berpunca dari keracunan makanan, agen penyebabnya ialah bakteria Salmonella typhi/paratyphi. Antara simptom yang boleh dialami ialah demam, batuk, sembelit atau lebih kerap cirit-birit. Bintik-bintik merah juga kerap ditemui dalam kalangan mereka yang berkulit cerah.

Dalam kes yang lebih serius, pesakit boleh mengalami dehidrasi kerana kehilangan banyak cecair dari cirit-birit. Lebih parah lagi, bahagian usus yang dijangkiti boleh bocor sehingga jangkitan tersebar dan mungkin menyebabkan kematian.

Kebersihan ialah kunci kepada pengawalan bakteria ini terutamanya dalam kalangan penyedia makanan. Vaksin juga boleh didapatkan dalam bentuk oral atau suntikan. Ia sangat efektif serta selamat dan perlu diperbaharui setiap 3 tahun.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 21, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 21, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut