backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Semakin Celik Vaksin! Orang Malaysia Kini Ramai Sedar Kepentingan Vaksinasi- Kajian

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

Semakin Celik Vaksin! Orang Malaysia Kini Ramai Sedar Kepentingan Vaksinasi- Kajian

Cucuk vaksin merupakan cara mudah, selamat dan terbukti berkesan dalam mencegah serta melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit berbahaya.

Prosedur perubatan ini akan melatih sistem imun untuk membentuk antibodi, sama seperti apabila tubuh terdedah kepada jangkitan penyakit.

Vaksin secara umumnya dihasilkan daripada kuman – bakteria atau virus – yang telah lemah atau mati, serta tidak akan menyebabkan penyakit itu berkembang dalam tubuh manusia.

Walaupun terdapat banyak bukti menunjukkan vaksin adalah berkesan dan selamat, namun boleh dikatakan masih terdapat individu yang tidak nampak kepentingan untuk mendapatkan suntikan imunisasi.

Sempena dengan Minggu Imunisasi Sedunia (WIW), Hello Health telah menjalankan tinjauan untuk melihat persepsi dan pengetahuan individu awam mengenai vaksinasi dewasa.

Tinjauan ini melibatkan 2,051 pembaca Hello Health dari 8 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Kemboja, Taiwan dan India.

Jom kita ketahui lebih lanjut mengenai pendapat awam berkaitan program vaksinasi Malaysia.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

Mengenai vaksinasi

Apakah persepsi masyarakat mengenai cucuk vaksin?

Semasa ditanya apakah yang terlintas di fikiran apabila mendengar perkataan “Vaksin’, sebahagian besar daripada responden memahami secara positif fungsi dan tujuan untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Ini di mana mereka bersetuju matlamat vaksinasi Malaysia adalah untuk menguatkan sistem imun tubuh. Ia juga membantu memberikan perlindungan kepada diri daripada penyakit berbahaya, serta menghentikan penularan jangkitan.

cucuk vaksin

Bahkan, semenjak dunia dilanda COVID-19, kebanyakan responden teruja untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.

Ini kerana mereka percaya tindakan tersebut akan dapat membantu mengurangkan keterukan simptom jangkitan wabak tersebut.

Bagi penduduk Thailand, mereka beranggapan vaksin mampu membina imuniti dan mencegah daripada terkena pelbagai jangkitan penyakit.

Pun begitu, masih ada yang risau memikirkan kesan sampingan selepas suntikan, khususnya vaksin COVID-19.

Masyarakat Indonesia, masih ada yang takut kepada jarum suntikan. Namun demi kepentingan kesihatan diri dan bagi mengurangkan penularan jangkitan, mereka tetap memilih untuk cucuk vaksin. 

Sesetengah responden di Taiwan pula percaya bahawa kesan sampingan vaksin yang diperbesar-besarkan telah mencetuskan ketakutan untuk menerima vaksin. 

Untuk masyarakat Kemboja, mereka mengetahui bahawa vaksin baik untuk kesihatan. Namun, rata-ratanya masih bimbang akan kesan sampingan dan masalah kesihatan yang boleh berlaku selepas suntikan.

Sementara itu, terdapat rakyat Vietnam yang merungut mengenai harga vaksin yang agak tinggi di sana. Namun mereka percaya, vaksin penting dalam mencegah penyakit berbahaya.

Tujuan vaksin

Apakah sebab utama mendapatkan vaksinasi Malaysia?

Dalam tinjauan Hello Health ini juga ingin mengetahui apakah alasan di sebalik keputusan seseorang untuk menyertai atau tidak program vaksinasi.

Berdasarkan responden daripada kelapan-lapan buah negara, sekitar 56-84% memilih untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan individu di sekeliling mereka daripada penyakit berbahaya.

Jika tidak cucuk vaksin, seseorang itu akan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan berbahaya atau komplikasi yang boleh mengancam nyawa daripada penyakit seperti campak, polio dan hepatitis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa vaksin pada bayi dan kanak-kanak sahaja sudah boleh menyelamatkan lebih 4 juta nyawa setiap tahun.

Selain alasan tersebut, 4 daripada 5 individu di negara ini percaya bahawa suntikan vaksin dapat menguatkan sistem imun tubuh. 

Manakala 3 daripada 4 individu yakin dengan mendapat vaksin, ia boleh menghentikan penularan jangkitan berbahaya.

cucuk vaksin

Punca menolak cucuk vaksin

Responden juga ditanya mengenai alasan mereka untuk tidak mendapatkan vaksinasi.

Secara umumnya, 44-75% responden daripada semua negara terlibat menyatakan keengganan mereka untuk mendapatkan vaksin adalah kerana bimbangkan kesan sampingan yang mungkin terjadi.

Sebenarnya, jika difikirkan vaksin adalah sama seperti ubat yang lain.

Ia boleh menyebabkan kesan sampingan ringan seperti demam, sakit atau kemerahan di tempat suntikan dan biasanya akan hilang dalam masa beberapa hari.

Bahkan kesan sampingan yang teruk dan berpanjangan amat jarang untuk berlaku. Doktor biasanya akan membantu memantau keadaan pesakit selepas vaksinasi

Manakala 1 daripada 4 individu di Malaysia menolak untuk cucuk vaksin kerana beranggapan bahawa risiko adalah lebih besar berbanding manfaat yang akan diperolehi.

Selain responden negara ini sebanyak 17%, terdapat juga maklum balas dari negara lain seperti Vietnam (30%), Filipina (21%) dan India yang menyatakan punca tidak cucuk vaksin adalah kerana harganya yang mahal. 

Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana terdapat sesetengah vaksin, khususnya buat individu dewasa tidak diberikan subsidi oleh kerajaan.

Keadaan ini sekali gus mengakibatkan ada yang keberatan untuk mengambil vaksin, lebih-lebih lagi jika harganya agak mahal.

Vaksinasi Malaysia

Selain Program Imunisasi Kebangsaan lengkap yang disediakan untuk bayi dan kanak-kanak, individu dewasa juga perlu mendapatkan beberapa jenis suntikan vaksin secara berkala, seperti:

  • Influenza
  • Pneumokokus
  • Hepatitis A
  • Hepatitis B
  • Difteria, pertusis dan tetanus (DPT)
  • Campak, beguk dan rubella (MMR)
  • Haemophilus influenzae jenis B (HiB)
  • Varicella (cacar air)
  • Meningokokus 
  • Di Malaysia sahaja, hanya 1 daripada 3 individu (31%) mengetahui mengenai saranan cucuk vaksin dewasa ini.

    Angka ini adalah tidak jauh beza dengan negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia (29%), Vietnam (37%) dan Filipina (45%).

    Dan dianggarkan 5% daripada masyarakat negara ini yang masih belum mengetahui mengenai suntikan vaksin bagi dewasa.

    Baca juga:

    Daripada semua jenis vaksin yang disarankan untuk dewasa, pneumokokal, meningokokus dan haemophilus influenzae jenis B (HiB) adalah antara yang paling tidak diketahui oleh kebanyakan responden.

    Terdapat juga sesetengah jenis vaksin dewasa yang perlu diambil, kurang diketahui oleh kebanyakan individu.

    Berdasarkan tinjauan, 9 daripada 10 individu di Malaysia atau 8% sahaja yang mengetahui mengenai vaksin herpes zoster. Manakala 7 dalam 10 individu (31%) menyedari tentang suntikan HPV.

    Vaksin Zoster disyorkan untuk mereka yang berumur 50 tahun ke atas bagi mencegah kayap. Sementara vaksin HPV atau Human Papillomavirus yang bertujuan untuk mencegah kanser serviks disarankan kepada wanita berusia antara 18-26 tahun.

    Penting cucuk vaksin

    Pendapat rakyat Malaysia mengenai keperluan cucuk vaksin

    Melalui tinjauan yang dilakukan, 93% atau bersamaan 9 daripada 10 individu di Malaysia menyatakan bahawa vaksin dewasa juga perlu disediakan secara percuma oleh kerajaan, seperti Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak. 

    Bahkan maklum balas yang sama juga diterima daripada responden negara lain, di mana mereka bersetuju bahawa vaksin seharusnya diberikan dengan percuma oleh kerajaan. 

    Malahan, sebanyak 83% responden berpendapat bahawa vaksinasi Malaysia untuk dewasa juga sama pentingnya dengan imunisasi kanak-kanak. 

    Mereka juga percaya bahawa manfaat daripada suntikan vaksin adalah lebih banyak berbanding risikonya.

    Namun dalam masa yang sama, terdapat segelintir responden (11%) yang merasakan bahawa cucuk vaksin tidak diperlukan atau relevan bagi dewasa. 

    Vaksin COVID-19

    cucuk vaksin

    Pandangan umum mengenai cucuk vaksin COVID-19

    Malaysia telah memulakan program vaksinasi untuk COVID-19 secara percuma bermula Februari 2021.

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu diterajui oleh Perdana Menteri ketika itu, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu pertama di negara ini yang menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech.

    Walaupun begitu, sambutan dan maklum balas daripada individu awam ketika itu boleh dikatakan agak berbelah bahagi kerana sebahagian besar masih bimbang mengenai efek yang akan terjadi selepas vaksinasi COVID-19.

    Namun secara perlahan-lahan, pandangan masyarakat Malaysia akhirnya berubah. Ini apabila mereka melihat manfaat vaksin dalam mencegah penularan dan mengurangkan komplikasi akibat jangkitan virus Corona.

    Berdasarkan Data Vaksinasi COVID-19 di Malaysia, sehingga tarikh 27 April 2022, sebanyak 81.6% daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia atau bersamaan 70,197,502 dos suntikan telah diberikan.

    Kejayaan vaksin dalam memerangi pandemik COVID-19 sedikit sebanyak berjaya mengubah persepsi umum terhadap kepentingan vaksinasi untuk dewasa.

    Ini dapat dilihat menerusi maklum balas lebih 95% responden menyatakan mereka menyedari kepentingan vaksin selepas wabak yang melumpuhkan seluruh dunia tersebut.

    Kesedaran umum

    Hasil tinjauan Hello Health sempena memperingati Minggu Imunisasi Sedunia 2022 mendapati, 95% daripada 2,051 responden kini melihat kepentingan vaksin secara umum selepas pandemik COVID-19.

    Bukan sekadar itu, sebanyak 84% responden kini akan mempertimbangkan untuk mendapatkan vaksin dewasa pada masa hadapan.

    Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah vaksinasi Malaysia merupakan cara selamat dan berkesan untuk meningkatkan sistem imun terhadap penyakit berbahaya.

    Vaksin juga mampu melindungi diri daripada risiko terdedah kepada penyakit dan sebarang komplikasi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan