Penjagaan Kuku, Penting Untuk Cegah Masalah Kuku

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kuku hitam dan kotor, rasa geli apabila melihat keadaan kuku yang sebegitu, bukan? Aspek penjagaan kuku sering kali dianggap remeh. Tetapi kuku yang tidak terjaga berisiko untuk mengalami masalah kuku.

Masalah kuku biasa

Masalah berkaitan kuku merupakan satu isu yang biasa berlaku, terutamanya melibatkan jangkitan atau berlaku akibat penyakit radang kulit yang dialami. Antara tanda atau simptom yang sering dihadapi adalah seperti perubahan warna pada kuku, kecacatan, penebalan, pecah dan rapuh. 

Menurut Pakar Perunding Dermatologi, Unit Dermatologi, Jabatan Perubatan di Universiti Malaya (UM), Dr Kwan Zhenli, “Berdasarkan pengalaman, pesakit yang selalunya mengalami masalah kuku akan mempunyai kuku dengan tompok kuning, putih, hitam atau coklat. Manakala terdapat juga sesetengah daripada mereka mempunyai garisan gelap pada kuku.”

Masalah kuku boleh terjadi bersama jangkitan seperti paronychia, yang menyebabkan kemerahan dan pembengkakan pada kulit di sekeliling kuku. Masalah ini sering terjadi kepada individu yang terdedah kepada pekerjaan basah. Kuku boleh berubah kepada warna kehijauan disebabkan jangkitan bakteria Pseudomonas aeruginosa.

Jangkitan kulat

Dr Kwan yang juga merupakan Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan UM memberitahu, jangkitan kulat merupakan masalah berkaitan kuku yang paling selalu dihadapi oleh kebanyakan individu di Malaysia, yang biasanya disebabkan oleh dermatophytes atau Candida albicans. Keadaan ini dipanggil onychomycosis.

Masalah lain berkaitan kuku yang kerap berlaku adalah seperti kuku yang tumbuh ke dalam (ingrown nail), jangkitan kuku Pseudomonas serta keadaan kuku yang berkait dengan penyakit kulit yang lain seperti psoriasis, ekzema, lichen planus dan alopecia areata.

Antara keadaan kesihatan bahaya yang boleh menjejaskan kuku adalah acral melanoma, iaitu masalah kanser kulit yang agresif. Individu yang menghidapi masalah kesihatan ini boleh mengalami keadaan kuku dengan tompok atau garisan gelap terutamanya jika melibatkan lipatan kuku (nail fold).

Faktor risiko

Dr Kwan menjelaskan bahawa masalah kuku bukan semestinya melibatkan faktor keturunan walaupun keadaan kesihatan seperti ekzema atopik dan psoriasis atopik mempunyai kaitan dengan keturunan. 

Masalah jangkitan kulat pada kuku mungkin dikaitkan dengan sistem imun yang lemah, keadaan kulit berkaitan seperti ekzema atopik atau psoriasis, kencing manis, kasut yang tidak bersesuaian (untuk kuku kaki), peredaran udara yang tidak bagus, persekitaran yang lembap atau panas serta perkongsian bilik air atau bilik loker. 

Pilihan rawatan

Antara pilihan rawatan untuk merawat jangkitan onychomycosis, adalah agen topikal seperti amorolfine lacquer atau agen sistematik seperti terbinafine, itraconazole dan fluconazole (bagi jangkitan Candida).

Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan penggunaan laser dan terapi photodynamic juga boleh membantu mengatasi masalah jangkitan pada kuku. Namun, masih banyak bukti dan kajian yang perlu dilakukan untuk menyarankan ia sebagai satu kaedah rawatan harian. 

Prosedur mengeluarkan kuku boleh dipertimbangkan jika keadaan kuku menjadi tebal dan tidak mempunyai sebarang tindak balas terhadap rawatan oral. Namun, kebarangkalian kadar penyembuhan selepas membuang kuku tidak seimbang dengan ketidakselesaan atau kesakitan yang dialami ketika prosedur. 

Langkah pencegahan selepas mengubati jangkitan onychomycosis adalah  penggunaan ubat topikal antikulat seperti krim, losyen atau bedak, gel antiseptik dan penggunaan alatan yang disteril atau membawa alatan sendiri ketika melakukan rawatan merias kuku (manicures / pedicures). 

Bagi keadaan kuku yang tumbuh ke dalam (ingrown nail), beberapa kaedah konservatif boleh dilakukan seperti memotong kuku dengan potongan lurus, menyelitkan cebisan kapas atau tiub plastik pada bahagian bawah kuku dan menarik lipatan kuku lateral (lateral nail fold) menggunakan pita. Jika masih berlaku, prosedur pembedahan mungkin perlu dilakukan.

Sekiranya perubahan pada kuku berlaku disebabkan penyakit kulit yang lain, keadaan ini perlu ditangani secara khusus. Jika doktor mengesyaki masalah melanoma, pengimbasan lanjutan dan pembedahan merupakan langkah yang akan disyorkan. 

Perubahan gaya hidup

Untuk memgurangkan risiko masalah kuku seperti jangkitan kulat, anda perlu memastikan kuku sentiasa dalam keadaan pendek, kering dan bersih. Jika mempunyai masalah pada kuku tertentu, sebaiknya sediakan pemotong kuku yang berlainan dan tidak bercampur dengan kuku yang lain.

Kulit sekitar kuku yang terjejas juga perlu diletakkan krim antikulat. Hindari daripada memotong kutikel. Manakala bagi kuku kaki, disarankan menggunakan kasut yang selesa dan hindari daripada memakai kasut bertumit tinggi atau kasut yang meruncing pada bahagian depan. 

Keadaan kaki perlu dipastikan sentiasa kering. Tukar dan pakai stoking bersih setiap hari dan terdapat sesetengah individu meletakkan bedak antikulat pada stoking dan kasut. Jika anda berkongsi bilik air, elakkan daripada berkongsi selipar tandas.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 25, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut