Kanta Lekap: Penjagaan Dan Risiko Pemakaiannya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jika dahulu pemakaian kanta lekap adalah untuk membantu mengatasi masalah penglihatan seperti rabun. Ini adalah pilihan alternatif buat individu yang tidak menggemari pemakaian kaca mata. Tetapi kini, pemakaian kanta lekap bukan lagi hanya berkaitan dengan masalah penglihatan semata-mata. Namun, disebabkan ia kini hadir dalam pilihan warna yang pelbagai, kanta lekap kini dilihat sebagai aksesori untuk menyerlahkan lagi kecantikan seseorang individu. Tidak kira apa pun alasan anda memakai kanta lekap, persoalan utama, adakah anda mengetahui cara penjagaannya dan risiko pemakaian yang mungkin anda hadapi? 

Apa itu Kanta Lekap

Kanta lekap atau turut dikenali sebagai kanta sentuh adalah sejenis kanta yang begitu lembut dengan ukuran ketebalannya 0.035 milimeter (mm). Ia diletakkan di permukaan mata bagi menggantikan cermin mata atau bertujuan untuk kecantikan mata.

Secara umumnya, terdapat dua kanta lekap iaitu jenis lembut (soft contact lens) dan kanta sentuh keras (rigid gas permeable). Namun, kini seiring dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi, terdapat beberapa pilihan tambahan kanta lekap seperti Orthokeratology (Ortho-K), kanta lekap hibrid, kanta lekap multifokal, kanta lekap berwarna dan kanta prostetik. Nanti anda akan diperjelaskan mengenai jenis-jenis kanta lekap ini.

Menggunakan atau memakai kanta lekap tanpa nasihat doktor atau rujukan pakar ia boleh berisiko untuk mendatangkan kesan kecacatan kepada mata, keradangan atau kecederaan pada mata hingga boleh membawa kepada barah kornea dan seterusnya parut (scar). Jadi sekiranya anda ingin memakai kanta lekap, pastikan anda mendapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

Jenis-jenis Kanta Lekap

Anda mungkin biasa mendengar kanta lekap jenis lembut atau soft contact lens ini. Tetapi bagaimana dengan kanta sentuh yang lain? Berikut adalah penjelasan ringkas mengenai kanta sentuh yang boleh didapati di pasaran.

1. Kanta lekap lembut (soft contact lens)

Kanta ini diperbuat daripada plastik jenis hidrogel yang lembut, fleksibel dan boleh menyerap air. Kebiasaannya kanta jenis ini menjadi pilihan ramai individu kerana keselesaan yang ditawarkannya. Tetapi kekurangan kanta lekap jenis ini adalah ia mudah koyak. 

Kotoran iaitu deposit protein mudah terbentuk di atas permukaannya. Oleh kerana ini, adalah penting untuk anda mencucinya dengan bersih selepas setiap kali pemakaiannya. Sekiranya masih kotor, anda perlu menggunakan protein remover seminggu sekali. Tetapi, mencuci kanta tidak boleh dilakukan dengan menggunakan air biasa. Sebaliknya anda perlu menggunakan contact lens solution, iaitu cecair kimia yang dihasilkan secara komersial untuk prosedur pembersihan dan pembasmian kanta lekap.

Saiz kanta sentuh jenis ini adalah terhad. Jika saiz yang digunakan tidak sesuai dengan mata anda, ia cenderung untuk menyebabkan masalah pada mata. Sebagai contoh, kanta lekap lembut yang ketat boleh menyebabkan mata menjadi sakit, malah terdapat kes di mana individu yang memakainya mengadu mata menjadi kabur. Oleh kerana ini adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan mata sebelum memakai kanta lekap. 

Wujud material baru untuk kanta sentuh jenis ini, iaitu dihasilkan daripada silikon hidrogel. Material ini dikatakan lebih baik daripada kanta sentuh yang lain kerana mempunyai ketelapan oksigen yang lebih tinggi. Apabila banyak oksigen dapat menembusi kornea, kesihatan mata akan lebih terpelihara, malah mata anda juga dapat ‘bernafas’. 

2. Kanta separa keras atau RGP (Rigid Gas Permeable)

Untuk individu yang mahukan mata untuk kekal sihat, RGP dikatakan sebagai pilihan yang terbaik. Ia dihasilkan daripada plastik tegar (rigid) dan tidak mengandungi air. Saiz kanta ini adalah lebih kecil berbanding kanta sentuh lembut. Diameternya adalah tidak lebih daripada 10 mm, ia sekali gus membenarkan banyak oksigen untuk masuk ke kornea mata. 

Berbanding kanta sentuh jenis lembut, risiko untuk mendapat jangkitan penyakit mata melalui pemakaian kanta ini adalah kurang disebabkan oleh deposit atau kotoran yang sukar untuk terbentuk di atas permukaan kanta ini. 

Tetapi dari aspek pemakaian, ia kurang memberikan keselesaan kerana sifatnya yang separa keras. Individu yang memilih kanta jenis ini memerlukan masa untuk dapat membiasakan diri dengan kanta jenis RGP ini.

3. Orthokeratology (Ortho-K)

Tidak mahu memakai kanta sentuh atau cermin mata pada waktu siang? Tidak mahu menjalani proses pembedahan Lasik? Tidak mengapa. Ada penyelesaian untuk anda. 

Anda boleh mencuba kanta Orthokeratology atau dikenali sebagai Ortho-K. Kanta ini menggunakan RGP khas yang membantu mengubah bentuk kornea. Menariknya, kanta khas ini perlu dipakai semasa tidur sahaja selama tempoh 8 jam. Selepas bangun daripada tidur, penglihatan anda akan kembali jelas. Tetapi ia hanyalah bersifat sementara, dan individu yang memilih kanta ini perlu memakainya setiap malam ketika tidur. 

Untuk makluman, Lasik adalah singkatan daripada rawatan laser assisted in situ keratomileusis yang dikaitakn dengan proses pembedahan laser pada mata. Ia juga merupakan satu prosedur untuk pembaikan daya penglihatan sama ada rabun jauh mahupun dekat. 

4.  Kanta lekap hibrid

Kanta lekap jenis hibrid adalah kanta yang menggabungkan dua material. Pada bahagian tengah kanta, material RGP digunakan dan sekelilingnya menggunakan material hidrogel.

Untuk kanta jenis ini boleh direka berbeza mengikut saiz dan bentuk kornea serta kuasa rabun. Misalannya, individu yang mempunyai saiz kornea kecil perlu memakai kanta sentuh dengan diameter kecil. Bagi individu dengan masalah rabun tua (presbiopia), mereka boleh mencuba kanta sentuh bifokal atau multifokal.

Berikut adalah jenis kanta mengikut reka bentuk :

  • Kanta lekap sferikal. Bentuknya bulat dan dapat membetulkan rabun jenis miopia dan hiperopia.
  • Kanta lekap torik. Jenis ini sesuai dipakai untuk rabun jenis astigmatisma.
  • Kanta lekap bifokal.

5. Kanta lekap multifokal

Kanta ini menawarkan fungsi seperti cermin mata di mana terdapat banyak zon kuasa untuk membolehkan penglihatan jauh mahupun dekat. Jadi ia sesuai untuk individu yang mempunyai masalah rabun jauh dan rabun dekat. 

Kanta Lekap Penjagaan Dan Risiko Pemakaiannya - kanta lekap berwarna

6. Kanta lekap berwarna

Ia lebih kepada mengikut trend semasa. Di mana kebanyakan individu yang memakai kanta jenis ini adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai masalah rabun tetapi ingin tampil bergaya dan menarik. 

7. Kanta prostetik

Kanta ini berwarna tetapi ia digunakan untuk tujuan perubatan. Ia digunakan oleh individu yang mengalami kecederaan pada mata atau sebarang masalah kesihatan mahupun penyakit yang menyebabkan kecacatan kepada mata. Ia bertujuan untuk memberikan keyakinan tambahan kepada individu yang memerlukannya. 

Panduan Pemakaian

Kanta sentuh membantu anda yang mempunyai masalah rabun untuk  kelihatan jauh lebih baik dan menikmati penglihatan luas dan jelas. Jika anda merupakan individu yang baru berjinak-jinak untuk memakai kanta sentuh, terdapat beberapa kesukaran memakainya yang mungkin anda akan hadapi.

Mata anda akan memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri tetapi lama-kelamaan anda akan lupa kewujudannya dan menjadi selesa. Jangan bimbang, ia tidak akan mengambil masa yang lama! Berikut adalah beberapa panduan untuk pemakai yang baru ingin mencuba.

Sejujurnya, pada permulaan, ia tampak agak rumit untuk mengambil kanta sentuh dan meletakkannya ke mata anda. Anda mungkin akan berasa takut dan risau. Ia mungkin agak kasar menyentuh mata pada mulanya, tetapi untuk pengetahuan anda, pengendalian kanta akan menjadi lebih mudah apabila anda sudah mula membiasakan diri.

Berikut adalah beberapa panduan yang mungkin dapat membantu anda.

  • Sentiasa bermula dengan mata yang sama apabila anda mengambil kanta dari bekasnya dan mengeluarkan kanta dari mata anda. Ini bertujuan mengelakkan ia daripada bercampur atau tertukar. 
  • Sekiranya anda ragu-ragu tentang cara pemakaiannya, anda boleh mendapatkan bantuan rakan atau ahli keluarga yang memakai kanta sentuh. Ia pasti dapat membantu anda untuk mengetahui cara pemakaiannya dan dalam masa yang sama mungkin dapat membantu mengurangkan kerisauan anda. 
  • Jika anda masih ragu-ragu, anda boleh mendapatkan bantuan daripada pengamal penjagaan mata untuk bantuan demonstrasi. Jangan malu untuk mendapatkan bantuan!

Tabiat yang Perlu Diamalkan

  • Anda perlu beri perhatian kepada self-check mata yang mudah sekali sehari. Anda perlu tanya diri anda: Bagaimana rasanya di mata saya? Bagaimana aspek pandangan anda selepas memakainya? Adakah boleh terus melihat dengan baik?
  • Pastikan anda sentiasa mencuci tangan dan mengeringkannya dengan tuala yang bersih sebelum anda menyentuh mata atau kanta sentuh.
  • Jangan gosok mata anda. Ia adalah mudah untuk menyentuh mata tanpa berfikir mengenainya, tetapi anda pastinya tidak mahu untuk apa-apa kotoran atau minyak dari jari anda melekat pada mata anda, atau ketika menanggalkan kanta sentuh anda.
  • Kekal tabiat kebersihan yang baik. Membersih, membasmi dan menyimpan kanta anda dalam bekas kanta yang dikhaskan sebagai petunjuk. Jangan sekali-kali mencuci kanta lekap atau bekas kanta dengan air paip. Seperti yang dikatakan pada awal tadi, cuci dengan contact lens solution. 
  • Berpegang kepada pelan penggunaannya dan ingat tempoh untuk menggantikan kanta  anda seperti yang dicadangkan oleh pengamal penjagaan mata anda. Jangan menggunakannya sehingga lebih daripada tempoh yang disarankan, ia berisiko untuk mendatangkan bahaya kepada mata anda

Jika kedudukan atau pemakaian kanta anda adalah tidak betul, anda pasti akan dapat berasa tidak selesa dan kanta anda akan terasa bergerak-gerak mengikut kerdipan mata anda. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu disemak:

  1. Adakah kanta berada dalam bulatan yang betul? Adakah anda memakai kanta terbalik, di mana bahagian luar berada di dalam dan sebaliknya? Anda akan berasa tidak selesa jika pemakaian kata anda salah. 
  2. Untuk memastikan kanta berada pada kedudukan yang betul, letakkan kanta pada jari anda, pastikan jari anda bersih, dan halakan jari anda ke cahaya, jika bentuknya melengkung seperti cawan, ia berada dalam kedudukan yang betul dan sedia untuk dipakai.
  3. Selepas memakai kanta terasa seperti ada sesuatu yang berada di dalam mata anda? Mungkin habuk, zarah kecil atau mungkin bulu mata anda. Dengan tangan yang bersih, gerakkan kanta dengan perlahan-lahan ke bahagian tepi dengan mata yang terbuka dan jari menekan kelopak mata atas dan bawah. Selepas itu, mungkin anda akan berasa lebih selesa. Tetapi jika keadaan masih sama, mungkin anda perlu mengeluarkan kanta dan mencucinya dengan contant lens solution.

Hindari dari memakai kanta yang rosak atau mengalami koyakan. Keadaan ini boleh mendatangkan kerengsaan kepada mata anda. Sebaiknya jika kanta anda sudah rosak, gantikan dengan yang baru. 

Kanta Lekap Penjagaan Dan Risiko Pemakaiannya - cara pemakaian

Mata Berasa Kering?

Kebanyakan individu yang memakai kanta sentuh akan berasa mata mereka menjadi lebih kering di sekitar penyaman udara, asap, habuk atau jika mereka menghabiskan tempoh masa yang panjang menggunakan komputer. Berikut adalah beberapa tip untuk membantu jika anda juga memakai kanta sentuh.

  • Menggunakan titisan pembasahan semula (rewetting) yang disyorkan oleh pengamal penjagaan mata untuk menjaga mata anda terhidrat. Jangan gunakan titisan mata yang tidak dikhaskan untuk kanta sentuh. 
  • Minum banyak air untuk memastikan bahawa tubuh anda juga terhidrat.
  • Kerap berkelip, untuk kekal sebagai lapisan kelembapan pada mata anda, terutamanya apabila bekerja dengan skrin komputer atau menonton televisyen.
  • Pilih untuk memakai kanta sentuh yang direka untuk mengekalkan kelembapan.

Tempoh Masa Pemakaian Kanta Lekap

Setiap kanta mempunyai tempoh pemakaian tertentu yang telah ditetapkan dan semua individu yang menggunakannya amat disarankan untuk mematuhi tempoh masa penggunaannya. Anda boleh merujuk kepada kotak kanta sentuh sebelum memakainya. 

Umumnya, kanta sentuh jenis lembut boleh dipakai sehingga tempoh 8 hingga 12 jam sehari. Terdapat dua jenis tempoh pemakaian kanta bagi jenis ini, iaitu:

  • Daily wear contact lenses. Kanta jenis ini biasanya dipakai pada waktu pagi dan ditanggalkan pada waktu malam. Ia merupakan jenis kanta yang paling banyak di jual di pasaran dan bertahan sehingga satu tahun. Ia wajib ditanggalkan sebelum tidur walaupun sekejap.
  • Extended wear soft contact lens. Kanta ini diperbuat daripada silikon lembut berkelembapan tinggi. Sifat ini benarkan kanta lekap jenis ini dipakai lebih 14 jam. Kanta ini juga boleh dipakai berterusan beberapa hari. Hanya perlu dibuka sekali dalam satu minggu untuk rehatkan mata.

Manakala kanta jenis RGP boleh dipakai sehingga tempoh 16 jam sehari. Tetapi harus diingatkan tidak semua mata individu boleh memakai kanta sehingga waktu maksimum. Jadi harus berhati-hati

Sekiranya anda mendapati mata menjadi merah selepas tempoh masa tertentu, tanggalkan kanta sentuh. Kemungkinan, ia adalah had tempoh masa yang boleh diterima mata anda untuk memakai kanta.

Adalah penting untuk merehatkan mata daripada memakai kanta sentuh sehari dalam seminggu. Sebaiknya pastikan cermin mata anda sentiasa berada dengan anda untuk kegunaan ketikan keadaan kecemasan. Ini bagi pastikan kesihatan kornea terjamin.

Masalah berkaitan mata akan berlaku apabila kornea pada mata tidak mendapat oksigen yang secukupnya. Kornea akan menjadi lemah dan bakteria akan mudah menembusi mata. Ia sekali gus meningkatkan risiko jangkitan. Komplikasi lain yang boleh berlaku adalah seperti parut, kornea jadi legap, tumbuhnya salur darah baru dan ulser kornea. Untuk sesetengah kes yang serius dan kronik, boleh menyebabkan mata menjadi buta secara kekal.

Cegah Jangkitan

Hampir semua individu boleh memakai kanta lekap tetapi dalam beberapa kes, anda disyorkan untuk tidak menggunakannya. Keadaan ini termasuklah jika anda:

  • Mempunyai jangkitan
  • Mempunyai tindak balas alahan yang teruk
  • Memiliki spesifik tentang masalah penglihatan
  • Terdedah kepada habuk atau asap

Anda perlu mengetahui risiko mengguna dan memakai kanta sentuh. Apabila objek asing berada pada mata anda, ia boleh menyebabkan mata anda cedera atau dijangkiti. Itulah sebabnya anda mesti mengikuti arahan doktor mata anda untuk mengetahui bagaimana untuk menjaga kanta sentuh anda. Sekiranya anda mengalami masalah termasuk ketidakselesaan mata, rasa sakit, kemerahan, mata berair, perubahan penglihatan, dan lain-lain, dapatkan ujian doktor anda secepat mungkin.

Risiko Bahaya

Tidak dinafikan terdapat sesetengah individu yang mengambil mudah aspek pemakaian kanta lekap ini sehingga berani memakainya ketika tidur. Tahukah anda terdapat beberapa risiko bahaya yang menanti jika anda tegar tidur dengan memakai kanta sentuh? Berikut adalah beberapa masalah kesihatan berkaitan mata yang berisiko untuk berlaku:

1. Mata merah (konjuktivitis)

Mata merah atau konjuktivitis adalah salah satu masalah mata yang paling sering dialami oleh pemakai kanta lekap. Ini disebabkan pemakaian kanta lekap dapat merangsang bakteria masuk hingga menyebabkan jangkitan pada konjuktiva mata (lapisan nipis di atas bahagian putih mata).

Kanta Lekap Penjagaan Dan Risiko Pemakaiannya - mata merah

Doktor biasanya akan memberikan ubat titis mata yang mengandungi antibiotik untuk mengurangkan simptomya. Anda mungkin juga disarankan untuk berhenti memakai kanta lekap untuk sementara waktu, setidaknya sehingga jangkitan mata berkurang.

2. Mata jadi sensitif

Kornea mata memerlukan oksigen untuk menjaga kelembapan dan mencegah jangkitan pada mata. Namun, tabiat  tidur memakai kanta lekap semalaman boleh menghalang oksigen menuju kornea mata dan membuatnya jadi sensitif, seperti yang disampaikan oleh Dr. Rebecca Taylor, M.D, seorang doktor mata sekaligus jurucakap American Academy of Ophthalmology (AAO), kepada Huffington Post.

Akibatnya, keadaan ini dapat menggalakkan pertumbuhan saluran darah baru di kornea dan menyebabkan keradangan. Kesan buruknya, anda mungkin tidak boleh lagi memakai kanta lekap meskipun masalah ini sudah diubati dan pulih.

3. Mata merah akut

Mereka yang mempunyai kebiasaan tidur memakai kanta lekap boleh mengalami CLARE atau Contact Lens Acute Red Eye. CLARE adalah jangkitan mata merah akut akibat pengeluaran racun oleh bakteria pada mata. Hal ini mengakibatkan sakit mata, mata merah, dan sensitif dengan cahaya.

4. Ulser atau luka pada mata

Gesekan antara kanta lekap dengan permukaan mata boleh melukakan mata dan membuatnya mudah terkena jangkitan bakteria atau parasit. Kemasukan bakteria acanthamoeba, contohnya, boleh menyebabkan ulser atau luka terbuka pada lapisan kornea. 

Jika tidak segera diubati, hal ini boleh meningkatkan risiko kebutaan kekal, bahkan sehingga memerlukan pembedahan pemindahan kornea untuk merawatnya.

Simptom awal luka pada mata meliputi mata merah, pandangan kabur, dan sakit mata. Jika anda mengalaminya, segera menemui doktor mata terdekat untuk mencegahnya semakin parah.

5. Benjolan pada mata

Giant papillary conjunctivities (GPC) adalah kondisi yang biasa ditemukan pada orang yang memiliki kebiasaan tidur memakai kanta lekap. Hal ini ditemui dengan munculnya benjolan dalam kelopak mata bagian atas dan membuat anda tidak lagi boleh memakai kanta lekap.

Jika tertidur memakai kanta lekap

Langkah pertama yang harus anda lakukan sewaktu tertidur memakai kanta lekap adalah menanggalkannya secepat mungkin. Setelah itu, sebaiknya elakkan menggunakan kanta lekap pada hari berikutnya dan ganti dengan kaca mata untuk menenangkan kornea mata anda.

Biarkan mata anda “bernafas” dan melembapkan dirinya terlebih dahulu untuk meredakan jangkitan yang mungkin terjadi. Anda juga boleh menggunakan ubat titis mata untuk membantu melembapkan mata anda yang meradang.

Yang lebih penting lagi, jangan lupa menjalani periksakan mata anda secara rutin dengan doktor mata terdekat. Doktor mungkin akan menyarankan jenis kanta lekap lain yang sesuai untuk kesihatan mata anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.