Contoh penyakit bawaan air
Air yang tidak bersih boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit termasuklah bawaan air.
Penyakit ini bukan sahaja mendatangkan pelbagai simptom, tetapi ia juga membawa mudarat kepada ahli keluarga kita.
Antara contoh penyakit yang merebak melalui air ialah:
1. Cirit-birit
Cirit-birit merupakan penyakit yang sangat lazim berlaku disebabkan penggunaan air yang tidak bersih. Selain itu, pesakit yang terkesan dengan diarea juga selalunya akan mengalami simptom lain seperti rasa loya dan muntah-muntah.3
Antara komplikasi cirit-birit ialah dehidrasi. Kekurangan air boleh membahayakan kesihatan dan perlu dirawat dengan segera.4
Lindungi ahli keluarga anda dan bekalkan mereka dengan air bersih. Selain penggunaan penapis air, anda juga boleh masak dahulu air sehingga mendidih sebelum minum.
2. Kolera

Kolera atau taun juga merupakan antara penyakit yang disebabkan bawaan air yang utama di negara kita. Walau bagaimanapun, penyakit ini lebih mudah merebak di kawasan yang tidak bersih atau tidak mempunyai kemudahan tandas yang sempurna.5
Punca wabak taun ialah jangkitan bakteria Vibrio cholerae. Ia boleh merebak melalui makanan atau air yang tercemar dengan tinja atau muntah individu yang dijangkiti.5
Untuk mengelakkan taun, kita digalakkan untuk minum air yang telah ditapis atau dididihkan. Walaupun anda menetap di kawasan bandar, jangkitan melalui air masih boleh berlaku.
Penyakit bawaan air #3. Hepatitis A
Hepatitis A merupakan sejenis keradangan yang berlaku pada kawasan hati. Virus Hepatitis A (HAV) boleh merebak melalui makanan atau air. Ia juga boleh menjangkiti orang lain melalui sentuhan.6
Risiko penyakit ini paling tinggi di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih. Walau bagaimanapun, ada vaksin yang selamat dan sangat efektif untuk merawat penyakit ini.6
Selalunya, hampir semua pesakit yang pernah dijangkiti Hepatitis A tidak akan mengalami jangkitan semula. Mereka juga akan mendapat imuniti sepanjang hayat.7
4. Demam kepialu (tifoid)
Sama seperti penyakit-penyakit di atas, demam kepialu juga berlaku disebabkan pengambilan makanan dan minuman yang tidak bersih. Penyakit ini berlaku disebabkan bakteria Salmonella typhi.8
Di negara kita, kes demam kepialu yang dicatatkan sangat rendah. Ia berlaku kepada 0.76 daripada 100,000 orang. Penyakit ini lebih lazim berlaku di negara-negara Asia Selatan.9
5. Malaria
Malaria merupakan sejenis penyakit zoonotik yang berlaku disebabkan nyamuk betina yang membiak di dalam air bertakung. Penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti pneumonia, anemia dan juga kematian.10
Malaria sangat lazim terjadi di kawasan yang beriklim panas dan lembap. Pada tahun 2021, hampir 241 juta kes malaria dicatatkan di seluruh dunia. Kebanyakan kes ini berlaku di Afrika dan Asia Selatan.10
Cara mengelakkan penyakit bawaan air

Antara langkah yang boleh anda lakukan untuk memastikan sumber air di rumah bersih dan bebas kuman ialah:11
- Jaga kebersihan kawasan rumah. Bersihkan tandas menggunakan air panas dan sabun.
- Amalkan penjagaan kebersihan diri. Cuci tangan sebelum dan selepas makan dengan sabun dan air yang mengalir.
- Sediakan makanan dalam persekitaran yang bersih. Masak daging sepenuhnya. Basuh semua sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum makan.
- Minum air yang bersih. Pasang penapis air di rumah. Alat ini boleh menapis kebanyakan mikroorganisma dan juga kotoran yang terampai dalam air. Selain itu, masak air sehingga mendidih sebelum diminum.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen