Kesihatan Seksual Dan Reproduktif: Sudut Pandang Malaysia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kesihatan reproduktif atau kesihatan seksual, bukan sahaja merujuk kepada ketiadaan penyakit atau kelemahan, ianya juga membabitkan kesempurnaan fizikal, mental dan kesejahteraan sosial yang berkaitan dengan proses, fungsi dan sistem reproduktif manusia, merentasi pelbagai lapisan umur.

Konsep kesihatan reproduktif ini mengimplikasikan seseorang itu berhak untuk mempunyai kehidupan seks yang selamat dan memuaskan, tanpa perlu mengorbankan kebebasan mereka untuk menentukan berapa, bila dan bagaimana mereka ingin menggunakan keupayaan reproduktif mereka. Dari sudut hak, di bawah peruntukan hak asasi seksual dan kesihatan reproduktif, setiap lelaki dan juga wanita itu berhak untuk menerima maklumat yang mencukupi berkaitan kesihatan seksual mereka dan akses terhadap servis kesihatan reproduktif yang berkualiti dan berpatutan. Ini penting bagi menjamin keselamatan masyarakat daripada stigma, penyakit jangkitan kelamin dan juga untuk memastikan seorang ibu mengandung itu mendapat penjagaan yang berkualiti sekali gus, meningkatkan peluang untuk kelahiran bayi yang sihat.

Antara skop penyakit-penyakit dan isu-isu di bawah tajuk besar kesihatan reproduktif adalah:

  • Kesihatan reproduktif wanita
  • Kesihatan reproduktif lelaki
  • Kesihatan ibu mengandung
  • Kesuburan dan keadaan-keadaan berkaitan
  • Bantuan Kehamilan
  • Kontraseptif
  • Penyakit jangkitan kelamin
  • Kehamilan dalam remaja
  • Pengguguran/Pembuangan bayi
  • Perkahwinan kanak-kanak

Kesihatan reproduktif wanita

Kesihatan reproduktif wanita membabitkan penjagaan sistem reproduktif, tabiat seksual wanita dan juga penyakit dan keadaan yang berkaitan dengan sistem reproduktif mereka. Hal seperti masalah kitaran haid dan penyakit sistem reproduktif seperti barah pangkal rahim, semuanya termasuk dalam kumpulan ini. Antara masalah kitaran haid yang dihidapi oleh kebanyakan wanita, termasuk di Malaysia adalah Endometriosis, Polycystic Ovarian Syndrome dan juga Cysts dalam rahim dan ovari. Penyakit-penyakit ini bukan sahaja menyebabkan simptom seperti rasa sakit di bahagian abdomen, senak dan gangguan mood, ianya juga mempengaruhi keupayaan reproduktif wanita dan juga kehidupan seks mereka.

Endometriosis misalnya, mempengaruhi 5 hingga 10% wanita pada usia reproduktif namun penyakit ini boleh bermula seawal usia pra-baligh sehinggalah pasca-menopaus. Di sebalik insidens yang secara relatifnya tinggi, impak penyakit endometriosis terhadap kesuburan menyebabkannya menjadi satu topik yang tabu dalam kalangan masyarakat di Malaysia kerana bimbang ianya akan mempengaruhi layanan daripada keluarga mertua dan juga lingkaran sosial mereka. Dari sudut penyakit sistem reproduktif pula, lebih 1600 wanita di Malaysia didiagnos menghidap barah pangkal rahim setiap tahun dan lebih 900 kematian akibatnya direkodkan setiap tahun. Di sebalik angka yang membimbangkan ini, hanya 1 dalam 4 wanita berjaya disaring dan didiagnosis awal dengan peluang sembuh yang tinggi.

Kesihatan reproduktif lelaki

Kesihatan reproduktif lelaki majoritinya melibatkan keadaan berkaitan kesuburan dan prestasi seksual mereka. Ini termasuklah kegagalan untuk mendapatkan ereksi (disfungsi ereksi), ejakulasi pramatang dan juga masalah anatomi zakar. Penyakit-penyakit ini berkait rapat bukan sahaja dengan keupayaan lelaki untuk memberi zuriat, namun ia juga mempunyai kesan yang berat ke atas keyakinan dan kesihatan mental mereka. Lebih malang lagi, penyakit-penyakit ini diselubungi tabu yang sangat kuat, kesan daripada idealogi sifat maskulin lelaki. Justeru, kaum lelaki jarang bercerita tentang masalah reproduktif mereka atau pergi mendapatkan rawatan, bimbang ditertawakan dan dilabel dengan gelaran yang tidak maskulin.

Kesihatan ibu mengandung

Kesihatan ibu mengandung melibatkan penjagaan kesihatan mereka ketika sebelum mengandung, semasa mengandung dan juga pasca bersalin. Antara dimensi kesihatan ibu mengandung adalah perancangan keluarga, penjagaan sebelum bersalin dan juga selepas bersalin, di mana kesemuanya bermatlamat ke arah memastikan pengalaman mengandung dan melahirkan itu selamat, positif dan juga agar kadar kematian akibat proses kehamilan berjaya dikurangkan.

Menurut data dari Pertubuhan kesihatan Dunia (WHO), seramai 830 orang wanita mati akibat punca yang mampu dicegah, berkaitan dengan kehamilan dan proses melahirkan anak. 99% daripada kes kematian ini berlaku dalam negara-negara membangun. Melihat kepada statistik yang merisaukan ini, matlamat WHO melalui pelan pembangunan lestari mereka, ingin menurunkan kadar kematian global ibu mengandung kepada paras bawah 70 per 100 000 kematian.

Kesuburan

Kesuburan adalah isu kesihatan seksual yang relevan baik kepada lelaki mahupun wanita. Dianggarkan sekitar 60 hingga 80 juta manusia seluruh dunia terjejas dengan masalah kesuburan. Dalam kaum lelaki, selain masalah fisiologi dan juga masalah anatomi zakar, masalah berkaitan sperma turut menyumbang kepada masalah kesuburan lelaki. Ini melibatkan masalah morfologi (bentuk) sel-sel sperma dan juga masalah berkaitan bilangan sel-sel sperma (sama ada kurang atau tiada langsung). Untuk wanita, penyakit Endometriosis menyumbang kepada masalah kesuburan daripada pelbagai sudut – selain kesan Endometriosis ke atas persekitaran dalaman rahim yang tidak menyokong proses perkembangan janin, kesakitan yang dialami wanita ketika bersama dengan pasangan mereka akibat Endometriosis turut menyumbang kepada masalah kesuburan kerana ianya mengurangkan kekerapan bersama.

Bantuan kehamilan

Bantuan kehamilan adalah cabang kesihatan reproduktif yang kian pesat membangun akibat permintaan yang tinggi. Bidang ini meneroka alternatif dan pilihan rawatan kepada pasangan yang ingin memiliki zuriat namun mempunyai masalah dalam mendapatkan zuriat secara semula jadi. Kaedah paling popular dalam bidang ini adalah persenyawaan in-vitro (In-Vitro Fertilisation) dan sejak pengenalannya pada tahun 1978, sekitar 8 juta bayi telah dilahirkan melalui kaedah ini. Di Malaysia, servis IVF ini semakin banyak ditawarkan dan kosnya adalah sekitar RM 16,000 hingga RM 20,000, bergantung kepada prosedur tambahan yang dijalani dan juga keadaan pesakit. Antara cerita kejayaan rawatan kesuburan di Malaysia adalah kisah penyanyi termahsyur tanah air – Dato’ Seri Siti Nurhaliza, yang berjaya mendapatkan zuriat melalui kaedah IVF.

Kontraseptif

Kontraseptif atau pencegahan kehamilan merupakan topik yang semakin mendapat liputan. Ianya merupakan salah satu komponen penting dalam perancangan keluarga. Perancangan keluarga yang baik adalah penting bagi memastikan pembangunan keluarga itu harmoni tanpa stres dari faktor emosi dan juga kewangan, di samping menjamin perkembangan psikososial yang baik dan perhatian yang cukup diberikan kepada setiap anak yang dimiliki.

Kontraseptif kini disediakan dalam pelbagai bentuk yang boleh dilaraskan mengikut citarasa dan kesesuaian pesakit. Faktor kesesuaian ini penting bagi memastikan pesakit selesa menggunakan kaedah tersebut sekali gus meningkatkan peratusan kejayaan kaedah tersebut dalam membendung kehamilan. Kaedah kontraseptif dapat dikelaskan mengikut jangka hayat (sementara, jangka panjang, tetap) dan juga mekanisma mereka (bersifat hormon, mekanikal atau kedua-duanya).

Kaedah yang paling popular adalah dengan penggunaan kondom, sejenis kaedah kontraseptif mekanikal sementara. Namun begitu, terdapat stigma yang bahaya terhadap kondom dalam masyarakat setempat. Sebagai contoh, memiliki atau membeli kondom sering dikaitkan dengan prasangka negatif oleh orang sekeliling biarpun seseorang itu menggunakannya sebagai kaedah perancangan keluarga bersama pasangan mereka. Stigma ini menyebabkan perang melawan penyakit jangkitan kelamin menjadi sukar dan kadar pembuangan bayi dan kehamilan dalam kalangan remaja menjadi tinggi. Kini, semakin banyak pendidikan seks dan penggunaan kondom diberikan kepada golongan remaja bagi membendung gejala sosial yang tidak diingini.

Apa yang perlu difahami masyarakat adalah mendidik golongan ini tentang penggunaan kondom bukan bererti menggalakkan mereka untuk melakukan seks, sebaliknya, berdepan dengan ketidakberkesanan halangan agama dan ibu bapa dan juga keinginan seks yang tinggi dalam remaja, mengajar mereka menggunakan kondom bertindak sebagai perlindungan terakhir dalam membendung penyebaran jangkitan kelamin atau kehamilan sekiranya mereka berjaya juga untuk mencari ruang untuk menjalinkan hubungan seks.

Penyakit jangkitan kelamin

Penyakit jangkitan kelamin adalah salah satu cabang kesihatan seksual yang penting kerana ianya membabitkan penyakit yang boleh berjangkit, memberi beban kesihatan jangka masa panjang dan juga kematian. Menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, lapan jangkitan kelamin yang paling lazim adalah:

  • Chlamydia
  • Gonorrhea
  • Virus Hepatitis B virus (HBV)
  • Virus Herpes Simplex jenis 2 (HSV-2)
  • HIV
  • Virus Human Papillomavirus (HPV)
  • Sifilis
  • Trichomoniasis

Terdapat 600 juta kes penyakit jangkitan kelamin di seluruh dunia dan di Amerika Syarikat sahaja, insiden kes baru adalah sekitar 20 juta kes setiap tahun. Di Amerika, kos yang dikeluarkan untuk merawat penyakit jangkitan kelamin pada tahun 2010 adalah sebanyak USD 16 bilion. Di Malaysia, amalan seks yang tidak selamat menyumbang kepada 80% daripada kes keseluruhan. Kes HIV pertama yang dilaporkan di Malaysia adalah pada tahun 1986 dan sejak itu, terdapat lebih 100,000 kes HIV di seluruh Malaysia dan lebih 16,000 kematian telah dicatatkan pada Disember 2013.

Dalam negara kita, epidemik HIV kebanyakannya tertumpu dalam komuniti lelaki homoseksual, transgender, pekerja seks dan juga mereka yang berkongsi jarum. Majoriti kes baru HIV berlaku dalam golongan berusia 20 hingga 29 tahun, dan hubungan kelamin merupakan kaedah penyebaran yang paling tinggi (74%) berbanding berkongsi jarum suntikan (22%).

Isu-isu kontemporari kesihatan seksual

Isu-isu seperti perkahwinan kanak-kanak/remaja bawah umur, kehamilan dalam remaja dan juga pembuangan bayi adalah isu kesihatan seksual yang semakin diberi perhatian di seluruh dunia.

Setiap tahun, 12 juta kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun dilaporkan berkahwin dan fenomena ini berlaku merentasi benua, budaya dan agama. 1 dalam 5 perempuan dikahwinkan di bawah usia 18 tahun dan sehingga kini, dianggarkan sekitar 650 juta wanita di dunia ini pernah berkahwin bawah usia. Menurut data dari tahun 2000, terdapat sekitar 6800 kanak-kanak perempuan dan 4600 kanak-kanak lelaki di bawah usia 15 tahun terlibat dengan perkahwinan bawah usia. Daripada angka-angka ini, kaum Melayu membentuk majoriti dengan jumlah 2450, diikuti oleh bangsa-bangsa lain. Data ini tidak berjaya diperoleh pada tahun-tahun berikutnya kerana kesukaran dalam menentukan sejauh mana amalan ini berlaku dalam setiap komuniti. Pada tahun 2010, laporan pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) melaporkan bahawa lebih 82 ribu wanita di Malaysia adalah mereka yang pernah berkahwin pada usia 15 hingga 19 tahun. Namun yang demikian, hakikat sebenar bilangan perkahwinan bawah umur ini tidak boleh ditentukan dengan pasti kerana sebahagian besar daripadanya adalah daripada amalan berkaitan agama, di mana perkahwinan-perkahwinan ini tidak didaftarkan dengan badan pendaftaran.

Di Malaysia, budaya setempat, sokongan tradisi dan juga seks sebelum nikah merupakan faktor-faktor penting yang mendorong kepada berlakunya perkahwinan bawah umur. Sekiranya sepasang remaja itu telah terlanjur sehingga hamil, ibu bapa kedua-dua belah pihak lazimnya akan memilih untuk mengahwinkan mereka bagi menutup malu dan juga untuk mengelakkan masalah di masa hadapan. Budaya setempat, khususnya dalam masyarakat Melayu lazimnya akan memilih untuk mengahwinkan anak perempuan mereka pada usia awal dengan alasan untuk memelihara kehormatan dan agama anak perempuan tersebut. Terdapat juga sokongan yang dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli politik konservatif setempat yang menggunakan isu ini untuk meraih sokongan.

Bagi remaja yang hamil namun tidak berkahwin, keadaan mereka adalah kurang bernasib baik – mereka biasanya akan menggugurkan kandungan mereka dengan kaedah yang tidak selamat atau akan meneruskan kandungan sehingga cukup tempoh, kemudian membuang bayi tersebut. Isu kehamilan dalam kalangan remaja dan pembuangan bayi bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Menurut Kementerian Kesihatan, 4000 remaja perempuan hamil setiap tahun, dan sejak tahun 2008, terdapat lebih 1000 kes pembuangan bayi di seluruh Malaysia. Daripada jumlah tersebut, hanya 40% sahaja yang hidup apabila ditemui.

Kes-kes pembuangan bayi ini dilihat tertumpu di negeri Selangor, di mana 25% kes keseluruhan adalah daripada negeri tersebut. Seperti yang dibincangkan dalam seksyen kontraseptif di atas, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Hannah Yeoh, turut mengatakan bahawa kurangnya kesedaran dan pendidikan seks terhadap kanak-kanak adalah punca mengapa berlakunya kehamilan dalam kalangan remaja dan akhirnya, pembuangan bayi. Kanak-kanak, baik lelaki mahupun perempuan, perlu dididik tentang organ reproduktif mereka, proses persenyawaan dan juga kaedah-kaedah untuk mengelakkan berlakunya seks bagi membendung gejala sosial. Kaedah ini tidak bersifat eksklusif kerana ianya mampu melengkapi kaedah pencegahan sedia ada. Selagi mana kita tidak memberikan mereka kesedaran dan pendidikan, selagi itu perkara seperti pembuangan bayi dan kehamilan remaja akan menjadi isu kesihatan seksual.

Kesihatan reproduktif jelasnya adalah satu topik yang meliputi sebahagian besar populasi kita tanpa mengenal usia, jantina mahupun budaya dan agama. Justeru, pentingnya untuk kita cakna tentang keadaan-keadaan berkaitan kesihatan seksual agar kita tahu bagaimana untuk melindungi diri kita dan juga bagaimana untuk mendapatkan bantuan dan rawatan sekiranya perlu.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut