Warna Rambut: Sains Di Sebalik Keunikan Warna Rambut

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Warna rambut semula jadi

Pada permulaannya, rambut kita mempunyai warna yang putih. Namun yang demikian, ia diberikan warna ataupun pigmentasi hasil daripada kewujudan kompaun melanin yang dihasilkan oleh sel-sel khusus iaitu sel-sel melanocyte. Apa yang cukup menarik berkaitan dengan pembentukan melanin ini adalah ia telahpun bermula sebelum seseorang itu dilahirkan. Perbezaan warna semula jadi rambut seseorang itu bergantung kepada taburan, jenis, kadar dan juga kuantiti melanin yang terdapat dalam bahagian tengah korteks rambut atau batang rambut. Folikel rambut manusia boleh mengandungi dua jenis kompaun melanin iaitu eumelanin dan juga pheomelanin. Tambahan lagi, ia juga boleh untuk tidak mengandungi sebarang melanin. Perbezaan dan keunikan warna rambut semula jadi seseorang itu ditentukan oleh kuantiti dan kadar kewujudan dua jenis kompaun melanin ini. Eumelanin mengekspresikan warna hitam keperangan dan pheomelanin pula mengekspresikan warna merah keperangan. 

Dalam spesies manusia, terdapat pelbagai warna rambut semula jadi yang unik. Warna-warni semula jadi ini termasuklah warna hitam, perang muda (blonde), warna merah, warna perang ataupun warna putih. Di antara warna-warna tersebut, terdapat variasi dalam kepekatan dan juga tona warna. Dalam bidang antropologi fizikal, variasi tona warna rambut ini diukur menggunakan skala Fischer-Saller, dibangunkan oleh Eugen Fischer dan juga Karl Saller. Skala ini menggunakan beberapa huruf dan juga angka roman. Berikut merupakan pengelasan tona warna rambut berdasarkan skala tersebut:

A – Warna perang muda yang sangat terang/halus

B hingga E – Warna perang muda terang/halus

F hingga L – Warna perang muda

M hingga O – Warna perang muda yang pekat/gelap

P hingga T – Warna perang terang/halus

U hingga Y – Warna perang gelap/hitam

I hingga IV – Warna merah

V hingga VI Warna merah dan perang muda

Rambut berwarna hitam merupakan warna rambut yang paling lazim dan warna yang paling gelap. Jelasnya, rambut warna ini mempunyai kandungan eumelanin yang sangat tinggi. Dalam mereka yang mempunyai rambut berwarna perang pula, kadar eumelanin mereka adalah lebih tinggi sedikit berbanding paras pheomelanin. Variasi yang terdapat dalam tona warna rambut yang perang termasuklah rambut chestnut (mirip warna buah berangan) dan juga warna auburn (warna coklat kemerah-merahan). Warna rambut chestnut adalah tona rambut perang yang lebih merah manakala dalam rambut auburn, tona merah pada rambut perang tersebut adalah lebih gelap. Rambut chestnut lazimnya dilihat penduduk asli di kawasan Eropah Tengah dan Eropah Timur.

Rambut perang muda atau lebih dikenali sebagai blonde, boleh mempunyai apa jua kadar pheomelanin kepada eumelanin tetapi jumlah kedua-kedua kompaun melanin tersebut berada pada kuantiti yang sedikit. Rambut merah pula diturunkan kepada keturunan seterusnya secara resesif dan ia dipengaruhi oleh variasi dalam gen Mc1r. Rambut merah mempunyai kandungan pheomelanin yang paling tinggi dan lazimya dijumpai dalam kumpulan penduduk asli di kepulauan Britain. 

Rambut kelabu atau putih pula disebabkan kekurangan atau ketiadaan pigmen dalam folikel rambut. Perubahan warna rambut kepada warna kelabu atau putih adalah fenomena yang kerap dilihat dengan peningkatan umur dan disebut sebagai achromotrichia. Namun yang demikian, terdapat juga keadaan di mana seseorang yang berada dalam usia belia boleh juga mengalami pemutihan warna rambut atau pertumbuhan rambut yang berwarna putih kelabu. Keadaan ini disebut sebagai pemutihan rambut pramatang (PGH)

Perbezaan pigmentasi rambut dan pigmentasi kulit 

Terdapat pelbagai jenis perbezaan antara pigmentasi kulit dan juga pigmentasi rambut. Sebagai permulaan, di rambut, setiap sel melanocyte dikaitkan dengan 5 sel keratinocyte dalam akar rambut, membentuk satu ‘unit folikel rambut-melanin’. Unit pigmen rambut adalah struktur hitam berbentuk seperti buah pear, terletak pada bahagian hujung papila dermis. Dalam rambut yang sudah beruban, struktur unit pigmen ini tidak lagi mempunyai bentuk yang jelas dan sel-sel melanocyte menjadi sedikit dan berbentuk bulat. Di kulit pula, setiap sel melanocyte dikaitkan dengan 36 sel keratinocyte untuk membentuk satu ‘unit epidermis-melanin’. Perbezaan adalah di kulit, penghasilan melanin adalah proses yang berlaku secara berterusan manakala proses melanogenesis di bahagian rambut pula hanya berlaku pada fasa tertentu dalam kitaran pertumbuhan rambut. Lebih tepat lagi, pigmentasi rambut berlaku pada tahap yang aktif ketika fasa anagen, kemudian tidak wujud pada fasa telogen.  Antara permulaan pertumbuhan rambut dan juga keguguran rambut selepas beberapa tahun, terdapat empat fasa dalam kitaran tersebut. Kitaran pertumbuhan ini terdiri daripada fasa anagen, katagen, telogen dan juga fasa eksogen.

  1. Fasa anagen – Fasa anagen merujuk kepada fasa aktif pertumbuhan rambut yang boleh berlangsung selama dua hingga tujuh tahun. Fasa ini menentukan panjang rambut yang boleh dicapai seseorang. 
  2. Fasa katagen – Fasa katagen pula adalah fasa peralihan yang berlangsung sekitar tempoh 10 hari. Dalam fasa ini, folikel rambut mengecil dan tertanggal daripada papila dermis. 
  3. Fasa telogen – Fasa ini juga disebut sebagai fasa berehat. Ini kerana rambut lama akan kekal pada kulit kepala dalam tempoh tiga bulan. Sekitar 10 hingga 15% daripada kesemua rambut akan memasuki fasa ini dalam satu masa. Ketika rambut lama berada dalam keadaan rehat, rambut baru akan mula tumbuh. 
  4. Fasa eksogen – Ini merupakan fasa pengguguran rambut lama dan penggantian oleh pertumbuhan rambut baru.

Faktor-faktor yang mempengaruhi warna rambut

Kebanyakan perkara yang mempengaruhi perubahan warna rambut dalam senarai di bawah bertindak dengan menganggu penghasilan melanin. Untuk itu, selain faktor genetik, kebanyakan perkara dalam senarai ini membabitkan perubahan warna rambut kepada warna kelabu atau putih. 

Faktor genetik

Mutasi pada gen Mc1r menyebabkan warna seseorang itu boleh menjadi warna coklat kemerah-merahan atau merah sepenuhnya, seperti yang berlaku dalam kumpulan warna rambut merah semula jadi. Mutasi genetik ini kerap dilihat pada individu-individu berketurunan Eropah Timur di mana pendedahan kepada cahaya matahari sangatlah sedikit dan juga penduduk asli di kepulauan Britain. Variasi gen Mc1r ini diturunkan secara resesif kepada keturunan seterusnya. Terdapat juga kajian pada tahun 2012 yang menunjukkan berlakunya mutasi resesif pada protein TYRP1 dalam kalangan mereka yang berambut perang muda (blonde). Selain mutasi genetik, terdapat kewujudan beberapa gen yang berupaya untuk menghasilkan kesan pemutihan warna rambut juga. Antara gen yang dimaksudkan adalah gen Bcl2 dan juga gen Bcl-w. Kedua-dua peranan gen ini dikenal pasti pada tahun 2016. Terdapat juga satu gen yang turut dikaitkan dengan proses pemutihan warna rambut ini iaitu gen IRF4.

Teori pH melanocyte

Satu hipotesis yang turut dicadangkan adalah peranan nilai pH melanocyte dan juga paras cysteine. Menurut hipotesis ini, nilai pH dan juga paras cysteine dikatakan mempengaruhi warna rambut seseorang. Apabila nilai pH menjadi kurang (menjadi lebih bersifat asid) terdapat pengurangan beransur – ansur dalam aktiviti enzim tyrosinase yang akhirnya membawa kepada peningkatan paras kompaun pheomelanin, menjadikan warna rambut lebih ke arah warna merah atau perang muda (blonde).

Kekurangan vitamin B12

Kekurangan vitamin B12 berupaya untuk menyebabkan penukaran warna rambut menjadi putih. Dikatakan sekitar 55% daripada pesakit yang menghidap pernicious anemia menghidap masalah perubahan warna rambut menjadi warna putih sebelum mencapai usia 50-an. 

Kekurangan hormon tiroid 

Kekurangan hormon tiroid T3 dan T4 juga salah satu daripada punca yang dikenal pasti berupaya untuk menyebabkan perubahan warna rambut pramatang (PGH), selain masalah keguguran rambut. Hormon tiroid T3 dan T4 bertindak secara langsung terhadap folikel rambut dalam merangsang proses penghasilan melanin (melanongenesis).

Peranan ubat

Ubat Antimalaria

Chloroquine (CHL) adalaha sejenis ubat antimalaria. Pada dos 250mg/sehari, CHL dikatakan mempunyai kesan sampingan di mana pengguna ubat ini berupaya untuk mengalami perubahan warna rambut, bulu mata, kening, misai dan juga bulu pada badan. CHL dikatan menyebabkan warna rambut menjadi lebih halus dan terang. 

Ubat Penghalang Tyrosine Kinase (TKI)

Laluan isyarat tyrosine kinase c-kit terlibat dalam proses melanogenesis. Justeru, pengguna ubat TKI yang menghalang reseptor dalam laluan ini akan menyebabkan rambut kurang mendapat pigmen. Dalam kebanyakan kes, proses ini boleh diterbalikan selepas ubat tersebut dihentikan. Contoh ubat TKI adalah ubat antikaser seperti Imatinib, Sunitib, Pazopanib dan juba Dasatinib.

Ubat Antisawan

Terdapat juga ubat antisawan yang turut berupaya untuk menghasilkan perubahan warna rambut. Contoh ubat yang dimaksudkan adalah ubat asid valproik, phenytoin dan juga phenobarbital. Bergantung kepada individu dan indikasi penggunaan, ubat antisawan mampu untuk melunturkan warna rambut atau menggelapkan lagi warna rambut. 

Merokok

Merokok adalah aktiviti yang cukup terkenal sebagai faktor risiko dan punca pelbagai jenis penyakit berbahaya. Maka tidak hairanlah merokok termasuk dalam salah satu perkara yang menyumbang kepada pemutihan warna rambut. Kajian mendapati merokok mempunyai kaitan yang signifikan dengan PGH. Antara penjelasan yang diberikan untuk mengaitkan kesan rokok kepada pemutihan rambut ini adalah sifar prooksidan rokok yang meningkatkan kerosakan Spesies Reaktif Oksigen (ROS) kepada sel-sel melanocyte pada bahagian folikel rambut. 

Keadaan kesihatan tertentu

Albinisma adalah sejenis penyakit keabnormalan genetik di mana sedikit atau tiada langsung pigmen dalam tubuh badan seseorang itu. Ini menyebabkan rambut, mata, bulu kening dan juga kulit mereka menjadi sangat pucat dan putih. Selain itu, rambut berwarna putih juga boleh disebabkan oleh keadaan kesihatan seperti sindrom Chediak-Higashi, sindrom Elejalde dan juga sindrom Griscelli. Vitiligo pula adalah sejenis keadaan kesihatan di mana terdapatnya tompok-tompok pelbagai saiz pada permukaan tubuh badan yang menyebabkan keguguran rambut dan/ atau perubahan warna kulit dan/ atau rambut. Tompok ini disebut sebagai poliosis. Vitiligo ini mempunyai kaitan yang kuat dengan penyakit autoimun. Selain vitiligo, terdapat juga penyakit lain yang berupaya untuk menzahirkan kewujudan poliosis. Contoh penyakit yang dimaksudkan adalah sindrom Waardenburg, sindrom Woolf dan juga tuberous sclerosis. 

Warna rambut yang lebih terang boleh disebabkan oleh gangguan metabolisma seperti phenylketonuria, histidemia, penyakit Oasthouse dan juga homocystinuria.

Terdapat juga keadaan kesihatan yang boleh menghasilkan rambut yang bewarna kelabu khususnya dalam kanak-kanak. Penyakit yang dimaksudkan adalah sindrom Angelmann, sindrom Prader-Willi dan juga sindrom Cross.

Penggunaan pewarna rambut untuk warna – warni tiruan

warna rambut

Pewarna rambut adalah bahan yang cukup popular dalam kalangan pengguna yang ingin mencuba warna rambut baru atau warna rambut yang selalu mereka impikan. Selain untuk tujuan kosmetik, pewarna rambut juga turut digunakan oleh mereka yang mempunyai masalah pemutihan rambut pramatang (PGH) Pewarna rambut boleh dihasilkan melalui bahan semula jadi atau bahan sintetik. Selain itu, bahan pewarna ini juga boleh bertindak secara sementara ataupun kekal. 

Pewarna rambut semula jadi dihasilkan menggunakan ekstrak tumbuh-tumbuhan seperti pokok teratai (Zizyphus spina-christi), pokok henna (Lawsonia alba), pokok Indian gooseberry (Emblica officinalis) dan juga pokok spesies Eclipta alba. Kelebihan menggunakan pewarna rambut berteraskan bahan semula jadi ini adalah ia bersifat hipoalergenik dan juga tidak toksik. Lazimnya, bahan pewarna rambut semula jadi lebih cenderung untuk kekal lebih lama berbanding pewarna rambut yang berteraskan bahan sintetik. 

Pewarna rambut yang bertindak untuk tempoh sementara, tidak mampu untuk menembusi kutikel dan ia boleh hilang jika dibasuh dengan syampu. Selain memberikan warna rambut yang seragam dan menarik, bahan pewarna juga melindungi rambut anda daripada kerosakan akibat sinaran cahaya matahari. Pewarna rambut sementara akan pudar dengan sendirinya dalam tempoh masa 4 hingga 6 minggu. Disebabkan kebergantungannya pada ketelusan struktur rambut, warna asal rambut dan kadar pudar yang cepat, pewarna rambut sementara mampu menghasilkan tona yang sedikit tidak sekata yang menyebabkannya kelihatan lebih semula jadi. Namun yang demikian, kebergantungan kepada warna asal rambut ini juga mempunyai kelemahannya sendiri – ini bermaksud rambut yang berwarna putih (uban) tidak akan menyerap bahan pewarna yang disapu. Satu lagi kelemahannya adalah ia tidak mampu untuk menerangkan lagi warna rambut seperti yang dilakukan oleh pewarna kekal. Ini kerana untuk menerangkan warna rambut, peluntur akan digunakan, dan proses pelunturan merupakan proses yang bersifat kekal.

Pewarna rambut kekal adalah pewarna rambut yang paling popular di pasaran komersial. Pewarna rambut sebegini bertindak dengan melakukan perubahan struktur rambut melalui tindak balas kimia dan hanya akan hilang apabila ia dipotong atau ia digugurkan. Walau bagaimanapun, terdapat risiko kerosakan rambut akibat daripada proses oksidasi daripada bahan pewarna kekal. Dalam sesetengah individu, mereka berisiko untuk mengalami masalah keradangan kulit dan juga keguguran rambut akibat daripada penggunaan bahan pewarna rambut seperti ini. Pewarna rambut kekal juga memerlukan penjagaan yang kerap, sama ada sebulan sekali atau setiap 6 minggu, bagi menyeragamkan warna rambut yang baru tumbuh dengan warna rambut yang lain. 

Perbezaan warna rambut dalam spesies manusia adalah salah satu daripada ciri-ciri unik kita yang patut diraikan. Setiap warna rambut itu mempunyai peminatnya yang tersendiri. Sekiranya anda inginkan maklumat yang lebih lanjut tentang keadaan kesihatan yang mungkin menyebabkan warna rambut anda berubah ke warna tertentu, atau ingin mendapatkan nasihat perubatan berkaitan keselamatan penggunaan bahan kimia pada bahagian rambut anda, berjumpalah dengan doktor pakar supaya anda boleh mendapatkan jawapan yang sahih dan tepat. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.