Anggur: Fakta Menarik Mengenai Buah Ini

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anggur merupakan sejenis buah-buahan yang serba boleh. Ini kerana ia boleh dihasilkan dan digunakan dalam pelbagai jenis produk makanan popular, dari dikeringkan untuk menjadi kismis, dijadikan jeli sehingga diperah untuk dijadikan wain. Berdasarkan beberapa kajian yang telah dilakukan, anggur dipercayai sebagai buah yang membekalkan nutrien dan antioksidan  serta resveratrol phytonutrient yang baik untuk kesihatan jantung. 

Secara keseluruhannya, buah ini adalah buah yang baik untuk kesihatan anda. Dengan rasa yang manis, adakalanya masam, ia pastinya menjadi antara buah kegemaran ramai individu. Tetapi, adakah anda benar-benar mengetahui apakah manfaat kesihatan yang boleh diperolehi daripada gugusan buah ini? Untuk kupasan lebih mendalam, baca perkongsian dalam artikel ini.

Mengenali Anggur

Anggur adalah buah beri yang tumbuh secara gugusan. Disebabkan kepelbagaian jenis, ia boleh menghasilkan pelbagai produk makanan dan mudah dibawa ke mana-mana, buah ini merupakan antara buah yang popular di seluruh dunia. Lebih daripada 72 juta tan buah ini ditanam setiap tahun di seluruh dunia dan jumlah ini melebihi penanaman buah pisang, oren mahupun epal. Tetapi menurut University of Missouri Division of Plant Sciences, hanya 12% daripada jumlah keseluruhan buah yang ditanam dimakan secara segar dan selebihnya ‘bertukar wajah’ menjadi wain. 

University of Missouri turut menyatakan bahawa proses penanaman anggur, yang turut dikenali sebagai viticulture, dikatakan setua tamadun dunia. Ini kerana, dikatakan ahli arkeologi mempunyai bukti penanaman anggur pada tamadun dahulu, iaitu 6500 Sebelum Masihi, di tempat yang kini dikenali sebagai Georgia, Azerbaijan dan Armenia. Anggur dan wain merupakan antara hidangan penting ketika waktu makan dan juga ritual sosial di zaman Mesir, Yunani dan Rom Kuno. 

Fakta Menarik tentang Anggur

  • Nutrien yang terkandung di dalamnya boleh membantu melindungi dan menjaga kesihatan individu daripada kanser, masalah mata, penyakit kardiovaskular dan keadaan kesihatan lain.
  • Resveratrol adalah nutrien utama dalam buah ini yang boleh memberikan banyak manfaat kesihatan.
  • Buah ini merupakan sumber serat, kalium dan mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral yang baik untuk badan.
  • Ia dianggap sebagai buah-buahan yang sesuai untuk diambil oleh pesakit kencing manis, selagi mereka menjaga aspek diet pemakanan harian.

Kandungan Nutrisi

Anggur, terutama daripada jenis Concord, merupakan antara beberapa spesies anggur yang berasal dari Amerika, mengandungi fitonutrien, termasuk fenol, polifenol, resveratrol dan karotenoid.

Menurut pakar pemakanan dan jurucakap Academy of Nutrition and Dietetics, New York City, Alissa Rumsey, fitonutrien adalah bahan kimia yang dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan. Ia memberikan manfaat yang banyak dan baik kepada individu yang memakannya.

Selain merupakan sumber serat yang baik dan kalori yang agak rendah, ia juga membekalkan sumber vitamin K, tembaga dan banyak vitamin B yang baik.

Anggur Fakta Menarik Mengenai Buah Ini - nutrisi

Kepekatan nutrien dan antioksidan yang tinggi, termasuk resveratrol adalah terdapat pada kulit dan bijinya. Kebanyakan kajian atau penyelidikan saintifik mengenai buah ini kebiasaannya akan memfokuskan kajian ekstrak daripada dua bahagian utama ini. Namun, ia tidak bermakna hasil kajian yang diperolehi tidak terpakai bagi individu yang mengambil anggur secara keseluruhan atau menyatakan bahawa memakan anggur adalah tidak baik untuk kesihatan anda. 

Terdapat beberapa pilihan warna yang boleh didapati untuk buah anggur ini, antaranya, merah, hitam, ungu atau biru bagi jenis Concord, hijau yang sering digunakan untuk menghasilkan wain putih, merah jambu dan juga kuning. Kesemua jenis anggur adalah baik untuk kesihatan, walau bagaimanapun, anggur merah dan anggur Concord dikatakan mempunyai kandungan yang lebih tinggi bagi flavanoid dan fitonutrien serta resveratrol. 

Manakala kismis, iaitu anggur yang dikeringkan, tidak mengandungi sebanyak nutrien seperti anggur segar, tetapi ia mengandungi 4 kali jumlah gula. Ini kerana proses dehidrasi telah memekatkan kandungan gula dan kalori serta menyingkirkan beberapa jenis nutrien. Oleh itu, penyelidikan terhadap manfaat anggur, dianggap tidak boleh digunakan ke atas kismis. 

Nutrisi anggur

Menurut U.S. Department of Agriculture (USDA), satu cawan anggur merah atau hijau seberat 151 gram (g) mengandungi:

  • 1.09 g protein
  • 0.24 g lemak
  • 27.33 g karbohidrat, yang mana 23.37 g daripadanya adalah gula
  • 1.4 g serat
  • 288 mg kalium – merupakan mineral dan elektrolit utama yang terlibat dalam kebanyakan proses dan fungsi badan, termasuk sistem saraf serta pergerakan jantung dan otot.
  • 15 miligram (mg) kalsium
  • 0.54 mg besi
  • 11 mg magnesium
  • 30 mg fosforus
  • 3 mg natrium
  • 0.11 mg zink
  • 4.8 mg vitamin C – vitamin larut air yang bertindak sebagai antioksidan untuk melawan radikal bebas yang berpotensi merosakkan sel badan dan penyumbang penting dalam sintesis kolagen.
  • 22 mikrogram (mcg) vitamin K – merupakan vitamin larut lemak yang membolehkan pengaktifan enzim dalam proses pembekuan yang bertanggungjawab untuk pembekuan darah. Juga membina tulang dengan mengubah osteocalcin supaya ia dapat mengikat kalsium, sehingga membina ketumpatan tulang.
  • 3 mcg folat – sejenis vitamin larut air yang membantu dalam penghasilan DNA dan RNA serta memetabolisma asid amino.

Ia juga mengandungi vitamin B iaitu vitamin larut air yang berfungsi di belakang tabir sebagai koenzim (coenzyme) dalam banyak tindak balas penting dalam badan, termasuk metabolisma protein dan pembentukan sel darah merah, serta pelbagai fungsi badan yang lain dan vitamin A, serta tinggi kandungan air. Secawan anggur mengandungi lebih daripada 121 gram air. 

Selain itu, ia juga tinggi antioksidan seperti lutein dan zeaxanthin. Kulit anggur merah mengandungi resveratrol fitokimia, yang dipercayai melindungi beberapa penyakit dan keadaan kronik. 

Flavanoid myricetin dan quercetin juga terdapat dalam anggur. Ia membantu badan untuk melawan dan mencegah pembentukan radikal bebas yang berbahaya. 

Jenis-jenis Anggur

1. Moon Drops

Anggur Fakta Menarik Mengenai Buah Ini - moon drops

Spesies ini hadir dalam bentuk seakan bentuk jari dengan warna ungu gelap seakan hitam. Isinya agak keras dan rangup menjadikan ia sesuai untuk disimpan di dalam peti sejuk selama beberapa hari. Ia manis namun tidak keterlaluan rasa manisnya dan rasanya seakan jeli perisa anggur.

2. Concord

Jenis ini dipercayai dicipta pada tahun 1849, di Concord, Massachusetts. Mempunyai warna ungu yang berkilat dan manis rasanya. Kulitnya mudah untuk dikupas dan mempunyai biji yang besar. 

3. Pinot Noir

Sering digunakan dalam penghasilan wain. Mempunyai kulit yang agak nipis dan dalam buah ini agak rapat antara satu sama lain dalam satu gugusan. 

4. Lemberger

Anggur Fakta Menarik Mengenai Buah Ini - lemberger

Turut dikenali dengan nama blaufränkisch, ia digunakan untuk menghasilkan wain berwarna gelap. Dikatakan asal anggur jenis ini adalah dari Württemberg, Jerman. Kulitnya seakan warna biru berdebu.

5. Sweet Jubilee

Jenis ini dicipta pada tahun 2012. Ia dikatakan mempunyai saiz yang agak besar berbanding jenis anggur yang lain dengan bentuk oval warna ungu kehitaman. 

6. Valiant

Merupakan sejenis anggur yang tumbuh dan ditanam di Alaska, Kanada. Anggur biru besar ini digunakan untuk menghasilkan jus, jem dan dimakan secara segar. Kulitnya mudah untuk dikupas dan rasanya dikatakan hampir sama seperti jenis Concord. 

7. Champagne

Walaupun namanya sama seperti wain tetapi ia bukanlah jenis yang digunakan dalam penghasilan minuman beralkohol tersebut. Nama rasminya adalah Zante currant dan adakala ia dipanggil black corinth. Bersaiz kecil seperti saiz kacang, sesuai untuk dijadikan hiasan dalam pinggan hidangan atau sebagai makanan ringan untuk diberikan kepada anak-anak. 

8. Crimson Seedless

Anggur Fakta Menarik Mengenai Buah Ini - crimson seedless

Anggur dengan warna merah pucat ini, dihasilkan oleh USDA Fruit Genetics and Breeding Research Unit di Fresno, California dan mula dikenali oleh umum pada 1989. Ia merupakan antara jenis anggur yang sering didapati di pasaran.

9. Kyoho 

Merupakan antara jenis anggur yang bersaiz besar sebesar buah plum. Malah nama ‘Kyoho’ adalah berasal daripada Jepun yang bermaksud ‘giant-mountain grape’, dan ia berasal daripada Gunung Fuji. Jenis ini mula dibiakkan pada tahun 1930-an daripada persilangan jenis anggur jenis Ishiharawase dan Centennia.

10. Cotton Candy

Dikatakan sebagai antara jenis buah yang sangat popular. Ini kerana rasanya seperti gula-gula kapas tetapi dalam bentuk yang sihat dan semula jadi. Buat masa ini ia hanya tumbuh di California. 

11. Riesling

Anggur Fakta Menarik Mengenainya - Riesling

Jenis ini amat mudah ditanam di kawasan iklim sejuk seperti Austria, Jerman dan Finger Lakes di New York. ia mempunyai rasa manis dan kemasaman yang tinggi. 

12. Gewürztraminer

Anggur putih ini mempunyai warna kulit seakan merah jambu-kemerahan. Ia antara jenis anggur yang dijadikan wain. 

13. Moon Balls

Jika anda gemar membeli anggur, pasti anda pernah melihat jenama ‘Dole’. Jenis ini adalah antara spesis yang dihasilkan oleh jenama ini. Ia cuma tumbuh di Afrika Selatan dan penghasilannya adalah amat terhad. 

14. Sultana

Turut dikenali sebagai Thompson Seedless. Anggur putih kecil ini berasal dari Empayar Uthmaniyyah. Pada masa kini, ia lebih dikomersialkan sebagai kismis. Saiznya kecil, dengan warna sedikit kehijauan berbentuk oval. Walaupun anda mungkin melihat kismis berwarna gelap, ia masih dari jenis sultana. 

15. Fry Muscadine

Bersaiz hampir sama dengan saiz tomato ceri, dan buah ini bertukar warna seakan emas apabila masak.

Manfaat Anggur

Anda sudah mengenali antara jenis-jenis anggur yang wujud dan ditanam hampir di seluruh dunia. Kini apa kata kita mengetahui manfaat kesihatan yang boleh diperolehi daripada buah ini. Antaranya adalah:

1. Kanser

Buah ini mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai polifenol. Ia juga dikatakan bersifat antiradang. Salah satunya resveratrol dan ia ditemui pada kulit anggur merah.

Penyelidikan yang dilakukan terhadap resveratrol mencadangkan fungsinya sebagai untuk melambatkan atau mencegah pertumbuhan tumor di limfa, hati, perut, payudara, kolon, kanser kulit dan leukemia. 

Flavanoid quercetin juga antara bahan yang ditemui dalam anggur yang bersifat antiradang. Ia membantu mencegah atau melambatkan pertumbuhan kanser.

2. Kesihatan jantung

Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa quercetin dan resveratrol dapat mengurangkan risiko aterosklerosis dan melindungi terhadap kerosakan yang disebabkan oleh lipoprotein berkepekatan rendah (LDL) atau kolesterol tidak baik. Harus diingatkan bahawa kebanyakan dos flavanoid yang digunakan dalam kajian ini adalah jauh lebih tinggi daripada dos biasa yang diambil oleh manusia.

Polifenol dikatakan berfungsi seperti resveratrol, bersifat antioksidan, menurunkan lipid dan antiradang yang membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Keadaan ini boleh dicapai apabila ia berfungsi untuk mencegah pembentukan platlet dan mengurangkan tekanan darah dan risiko denyutan jantung tidak sekata. 

Buah ini mengandungi serat dan kalium, di mana kedua-dua nutrisi ini menyokong kesihatan jantung. Persatuan Jantung Amerika, mengesyorkan peningkatan pengambilan kalium dan dalam masa yang sama mengurangkan pengambilan natrium iaitu garam untuk memperbaiki tekanan darah dan kesihatan kardiovaskular. 

Pengambilan kalium yang tinggi telah dikaitkan dengan risiko penurunan strok, pelindungan terhadap kehilangan jisim otot dan pemeliharaan ketumpatan mineral tulang. 

3. Tekanan darah

Meningkatkan pengambilan kalium dipercayai boleh membantu mengurangkan kesan negatif yang disebabkan pengambilan natrium yang banyak dalam hidangan makanan harian. Anggur mempunyai kandungan kalium yang tinggi. Ini sekali gus membuktikan buah ini sangat membantu dalam mengurangkan kesan natrium pada individu yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi. 

Serat adalah amat penting untuk mengekalkan sistem kardiovaskular yang baik, ia termasuk kesihatan jantung dan tekanan darah. Dan semestinya buah ini adalah sumber serat yang baik. 

4. Sembelit 

Ia mengandungi air dan serat. Pastinya ia pilihan yang baik buat individu yang mengalami dehidrasi. Dalam masa yang sama, ia juga menjaga pergerakan usus biasa dan mengurangkan risiko sembelit. 

5. Alahan 

Ada yang menyarankan, memakan anggur dapat membantu mengurangkan simptom alahan, termasuk hidung berair, mata berair dan berdehit. Terima kasih kepada quercetin yang berfungsi sebagai antiradang. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tiada lagi kajian untuk membuktikan mengenainya. 

Anggur Fakta Menarik Mengenai Buah Ini - manfaat

6. Diabetes 

Dalam kajian yang diterbitkan dalam British Medical Journal (BMJ) pada tahun 2013, menunjukkan bahawa bua-buahan tertentu, dan bukannya jus, boleh mengurangkan risiko diabetes jenis 2 pada individu dewasa. 

Dalam kajian tersebut, ia melibatkan 187,382 peserta dan berlangsung selama 22 tahun. 6.5% daripada peserta telah mengalami diabetes. 

Walau bagaimanapun, mereka yang menggunakan tiga jenis hidangan buah-buahan seminggu seperti beri biru, anggur, kismis, epal atau pir, mempunyai risiko diabetes jenis 2 yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak.

7. Neuropati diabetes dan retinopati

Sesetengah kajian menunjukkan bahawa resveratrol boleh melindungi dan mencegah daripada neuropati diabetes, yang akan menjejaskan fungsi saraf. Penyelidik percaya ini mungkin disebabkan oleh kesan neuroprotective yang terkandung dalam buah ini. 

Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa resveratrol juga boleh melindungi daripada retinopati yang boleh menjejaskan penglihatan. 

Kedua-dua penyakit ini boleh berlaku sekiranya masalah kesihatan diabetes tidak dikawal dengan sebaiknya. 

8. Kesihatan mata

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, anggur mengandungi antioksidan lutein dan zeaxanthin, yang boleh membantu mengekalkan kesihatan mata. Ia dikatakan berfungsi untuk meneutralkan molekul yang tidak stabil yang dikenali sebagai radikal bebas. Dengan cara ini, ia membantu mengurangkan tekanan oksidatif dan kerosakan pada retina, membantu mencegah katarak dan keadaan kesihatan berkaitan mata yang lain. 

Berdasarkan ujian makmal, ia menyarankan bahawa resveratrol dapat melindungi terhadap pelbagai masalah mata, termasuk degerasi makula berkaitan usia, glaukoma, katarak dan lain-lain. 

9. Jerawat

Hasil kajian in vitro yang diterbitkan dalam jurnal Dermatology and Therapy, mendakwa bahawa resveratrol dapat membantu merawat jerawat, terutama jika ia digunakan dengan benzoyl peroksida sebagai rawatan topikal. 

10. Keadaan kesihatan lain

Beberapa keadaan kesihatan lain yang berkemungkinan dapat dibantu dengan wujudnya resveratrol adalah seperti:

  • Penyakit Alzheimer
  • Kawalan glukosa darah
  • Osteoarthritis
  • Meningkatkan sistem imun

Walau bagaimanapun, masih banyak kajian dan bukti yang diperlukan untuk membuktikannya. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.