Manfaat Kesihatan Daripada Diet ADF

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Pelbagai cara yang sering diamalkan oleh individu yang ingin menurunkan berat badan. Antaranya adalah seperti berpuasa. Antara amalan puasa yang sering dilakukan adalah seperti intermittent fasting ataupun diet ADF. Adakah tabiat seperti ini dapat membantu menurunkan berat badan? Dan apakah manfaat kesihatan lain yang boleh diperolehi?

Berpuasa merupakan satu amalan biasa bagi kebanyakan individu dan ia dianggap sebagai satu perbuatan yang baik untuk kesihatan. Puasa bermaksud seseorang individu itu tidak akan makan dan minum untuk satu tempoh masa tertentu. 

Sebelum ini, pelbagai kajian telah dilakukan untuk mengkaji kesan biologi pelbagai jenis diet puasa terhadap haiwan dan juga manusia. Diet ini adalah termasuk jenis diet kalori berterusan (continuous calorie restriction), puasa berselang (intermittent fasting) atau puasa bersilih ganti (alternate-day fasting, ADF).

Namun, terdapat satu kajian telah dilakukan untuk melihat kesan puasa bersilih ganti atau ADF yang dilakukan secara berterusan oleh individu sihat, yang dipercayai menawarkan beberapa manfaat kesihatan. 

Dalam kajian ini, peserta yang terlibat melakukan puasa ADF selama 36 jam tanpa sebarang pengambilan kalori bersama 12 jam waktu makan tanpa had. Dan hasil keputusan kajian telah  disiarkan dalam jurnal Cell Metabolism yang diterbitkan 27 Ogos lepas. 

Kajian rawak puasa dan diet kalori

Menurut seorang profesor dari Institute of Molecular Biosciences at Karl-Franzens University of Graz di Austria, Frank Madeo, “Diet kalori  ADF merupakan salah satu daripada intervensi diet yang dianggap ekstrem dan ia belum cukup dikaji dalam ujian terkawal secara rawak.”

“Jadi menerusi kajian ini, kami berhasrat untuk melakukan kajian daripada pelbagai aspek, dari sudut fisiologi sehinggalah melibatkan kesan-kesan molekul. Sekiranya  ADF dan jenis puasa lain adalah berbeza dalam kesan fisiologi dan molekul, maka kajian kompleks melibatkan manusia dalam perbandingan diet kalori yang berlainan perlu dilakukan,” jelas Madeo. 

Dalam penyelidikan ini, seramai 60 peserta telah mendaftar untuk tempoh empat minggu dan dibahagikan secara rawak kepada kategori kumpulan ADF atau kumpulan kawalan ad libitum, iaitu satu kumpulan yang dibenarkan untuk makan tanpa had.

Setiap peserta yang terlibat adalah individu yang mempunyai berat badan normal dan sihat. Bagi memastikan peserta dalam kumpulan ADF tidak mengambil sebarang kalori semasa diet kalori ADF, mereka diperlukan untuk menjalani pemantauan glukosa secara berterusan. Selain itu mereka turut diminta untuk membuat catatan mengenai hari puasa mereka. 

Sepanjang tempoh penyelidikan dijalankan, walaupun dibenarkan untuk meneruskan aktiviti harian seperti kebiasaan, namun setiap peserta perlu ke pusat kemudahan penyelidikan secara berkala untuk diberikan arahan sama ada mengikuti diet kalori ADF atau diet pemakanan biasa.

Manfaat diet kalori ADF

Dalam masa yang sama, penyelidik turut mengkaji seramai 30 individu yang telah mengamalkan puasa ADF untuk tempoh lebih daripada enam bulan sebelum kajian rawak dijalankan. Peserta dalam kajian ini pula telah dibandingkan dengan individu normal dan sihat yang tidak mempunyai pengalaman puasa. Untuk kajian ini, tujuan utama adalah bagi mengkaji kesan jangka panjang diet kalori ADF. 

Bagi profesor Harald Sourij yang bertugas di Medical University of Graz, “Hasil kajian, kami mendapati secara puratanya, ketika tempoh 12 jam dibenarkan makan secara normal, peserta dari kumpulan ADF mendapatkan kembali kalori yang hilang ketika melakukan puasa, tetapi bukan jumlah keseluruhan kalori.”

Tambah beliau lagi, secara keseluruhannya sepanjang tempoh kajian, peserta kumpulan ADF mencapai purata diet kalori antara 35%. Manakala sejumlah purata 3.5 kilogram kalori berjaya dikurangkan. 

Beberapa kesan biologi yang menjurus kepada manfaat kesihatan berjaya ditemui pada peserta dari kumpulan diet ADF, antaranya:

  • Setiap peserta menunjukkan tahap ketahanan badan keton (ketone), walaupun pada hari tidak berpuasa. Ini membuktikan puasa menggalakkan manfaat kesihatan dari pelbagai konteks.
  • Peserta turut menunjukkan pengurangan tahap sICAM-1, iaitu satu penanda aras yang dikaitkan dengan penyakit berkaitan dengan usia dan keradangan. 
  • Tahap triiodothyronine dapat diturunkan tanpa mengganggu fungsi kelenjar tiroid. Penurunan hormon ini sering dikaitkan dengan tahap kepanjangan usia manusia. 
  • Tahap kolesterol juga berjaya diturunkan.
  • Peserta kajian juga berjaya mengurangkan lipotoxic android trunk fat mass atau lebih dikenali sebagai lemak perut. 

Selain itu, setiap peserta turut mengalami penurunan asid amino, khususnya amino acid methionine. Dalam kajian melibatkan haiwan seperti tikus, sekatan asid amino menunjukkan dapat memanjangkan jangka hayat tikus. 

Tidak sesuai untuk semua

Bagi ketua endokrinologi di Medical University of Graz, Thomas Pieber, sememangnya bagaimana puasa dan diet kalori mendatangkan manfaat kesihatan masih belum dapat dijelaskan sepenuhnya. Tetapi perkara yang menakjubkan mengenai diet kalori ADF adalah individu yang mengamalkannya tidak perlu untuk mengira pengambilan makananan dan kalori mereka. Mereka hanya perlu puasa dan tidak makan selama tempoh satu hari.”

Manakala bagi peserta yang meneruskan diet kalori ADF ini untuk tempoh lebih daripada enam bulan, kesan manfaat yang diperolehi adalah ia menjadikan fungsi imunisasi mereka lebih stabil. 

Walaupun diet kalori ADF dikatakan dapat memberikan manfaat kesihatan, namun penyelidikan tidak mengesyorkan pengamalanan puasa ini untuk setiap individu. Rejim puasa ini mungkin sesuai untuk diamalkan bagi individu yang mempunyai masalah berat badan dan ia juga berkemungkinan sesuai sebagai intervensi klinikal bagi merawat pesakit yang didasari oleh keradangan. 

Jelas Madeo lagi, kajian lebih mendalam diperlukan untuk mengkaji jika amalan puasa ini sesuai sebagai amalan harian. Bagi individu yang mempunyai masalah jangkitan virus adalah dinasihatkan untuk tidak mengamalkan diet kalori seperti ini kerana mereka memerlukan tenaga bagi melawan virus. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut