backup og meta

Ini Sebab Mengapa Anda Perlu Letak Pokok Berhijau Di Meja Kerja, Barulah Terasa Ringan OTAK!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/07/2020

    Ini Sebab Mengapa Anda Perlu Letak Pokok Berhijau Di Meja Kerja, Barulah Terasa Ringan OTAK!

    Ada sesetengah individu sukakan keadaan meja kerja yang minimal tanpa dipenuhi banyak barang dan ada juga individu yang gemar meletakkan pokok di meja kerja. Ada kebaikan ke berbuat demikian?

    Kebaikan meletakkan pokok

    Sejujurnya, penulis sendiri ada meletakkan pokok di meja kerja. Ini kerana penulis berpendapat, setelah penat mata menghadap laptop menyiapkan artikel, mungkin mata memerlukan sesuatu yang segar dan dapat menghilangkan tekanan. Tetapi itu adalah pandangan penulis sendiri, adakah ia betul? Haaa…jom selidik dengan lebih lanjut.

    Dalam satu penyelidikan yang dijalankan, meletakkan pokok di meja kerja seperti bonsai atau kaktus, dikatakan dapat membantu memberikan ketenangan kepada seseorang individu dan dapat mengurangkan stres akibat kerja. Melalui kajian ini, para penyelidik menyatakan meletakkan pokok dapat mencegah pekerja pejabat daripada tekanan kehidupan kerja 9-5.

    Menurut penulis utama kajian, Dr Masahiro Toyoda berkata, “Pada masa ini, tidak ramai individu memahami sepenuhnya mengenai manfaat pemulihan tekanan yang diberikan oleh tumbuhan di tempat kerja. 

    “Bagi mengubah tahap pemikiran sedemikian, kami selaku penyelidik membuat keputusan penting untuk mengesahkan dan menyediakan bukti saintifik berkaitan kesan pemulihan tekanan yang dibawakan oleh tumbuhan dan pokok yang berdekatan anda dalam suasana pejabat yang sebenar,” ujar Dr Masahiro.

    Penyelidikan dilakukan oleh saintis dari University of Hyogo di Awaji, Jepun ini mengkaji sama ada tumbuhan kecil benar-benar dapat membangkitkan emosi dan perasaan di tempat kerja. Ini kerana secara umumnya, alam semula jadi sudah diketahui dapat membantu meningkatkan kesejahteraan. 

    Kajian yang dilakukan

    Kajian ini melibatkan 63 sukarelawan yang bekerja di pejabat dan kurang pendedahan kepada kehijauan ketika waktu kerja. Setiap seorang daripada mereka diberikan beberapa jenis pokok yang sesuai diletakkan di dalam bangunan (indoor plant) seperti bonsai, san pedro cactus, echeveria, air plant, parlor palm atau kokedama. Sukarelawan tersebut juga perlu menjaga dan menguruskan tumbuhan tersebut untuk tempoh selama empat minggu. 

    Tahap kebimbangan (anxiety) serta kadar denyutan harian, yang merupakan dua ukuran bagi tekanan, diambil sebelum dan selepas eksperimen dilakukan. Selain itu, sukarelawan yang terlibat juga diarahkan untuk berehat selama tiga minit sambil duduk di meja kerja mereka apabila mereka berasa penat melakukan tugasan kerja.

    Dalam tempoh penyelidikan, setiap sukarelawan perlu melalui dua fasa kajian, iaitu fasa pertama dikenali sebagai tempoh kawalan yang berlangsung selama seminggu dan tidak melibatkan sebarang tumbuhan atau pokok.

    Manakala pada fasa kedua kajian, dikenali sebagai tempoh intervensi dan ia berlangsung selama empat minggu. Sepanjang tempoh ini sukarelawan diberikan peluang untuk menjaga pokok pilihan mereka yang diletakkan pada meja masing-masing. 

    Analisis kajian

    Ketika fasa pertama atau tempoh kawalan dijalankan, kesemua 63 sukarelawan hanya dibenarkan untuk menatap skrin komputer mereka semasa waktu berehat tiga minit. Dalam tempoh intervensi pula, setiap sukarelawan perlu menatap tumbuhan mereka. 

    Para penyelidik mengukur tekanan psikologi para sukarelawan dengan menggunakan State-Trait Anxiety Inventory sebanyak dua kali, iaitu sekali pada akhir tempoh kawalan dan sekali lagi pada akhir tempoh intervensi.

    Ia melibatkan 20 kenyataan dengan skala empat-mata yang perlu dipilih. Antara kenyataan yang diberikan adalah ‘Saya mengalami kebimbangan yang besar mengenai sesuatu perkara yang tidak penting’. Julat skor terkumpul adalah antara 20 hingga 80 mata dan skor yang tertinggi menunjukkan sukarelawan mempunyai kebimbangan yang lebih besar. 

    Berdasarkan analisis tersebut, keputusan yang diperolehi menunjukkan bahawa purata skor kebimbangan dapat dikurangkan daripada 47.9 dalam tempoh kawalan tanpa tumbuhan kepada 46.2 ketika tempoh intervensi dengan tumbuhan. 

    Angka yang diperolehi tersebut tidaklah begitu menarik bukan? Namun, menerusi kenyataan yang diterbitkan dalam jurnal HortTechology, penyelidik kajian mendakwa keputusan yang diperolehi itu adalah mengikut pengiraan matematik yang signifikan.

    Ukuran tekanan fisiologi

    Di samping itu, Dr Masahiro dan penyelidik lain turut mengukur tahap tekanan fisiologi, yang memberikan kesan terhadap bagaimana badan berfungsi dengan merakamkan kadar dengupan jantung sukarelawan. 

    Setiap sukarelawan telah diajar tentang cara untuk mengukur nadi mereka sendiri dan diminta melakukannya sebelum dan selepas setiap kali tempoh rehat tiga minit berlaku.

    Hasil bacaan ukuran tekanan fisiologi tersebut menunjukkan sejumlah 27 peratus sukarelawan memperlihatkan penurunan kadar dengupan jantung mereka semasa tempoh intervensi yang melibatkan tumbuhan. 

    Sebagai perbandingan, jumlah sukarelawan yang menunjukkan kadar penurunan degupan jantung ketika tempoh kawalan, di mana mereka perlu menatap skrin komputer ketika waktu rehat tiga minit hanyalah sebanyak lima peratus sahaja.

    Ubah pemikiran 

    Dr Masahiro dan pasukan penyelidikan mengatakan bahawa meletakkan pokok dapat mewujudkan sedikit ‘lencongan’ (distraction) daripada memikirkan mengenai tugasan kerja. Tetapi objek lain yang berada di atas meja seperti telefon, skrin komputer atau buku nota, tidak akan dapat membantu. 

    Berdasarkan laporan kajian, mereka berpendapat, objek semula jadi ini menggabungkan unsur-unsur yang dapat mewujudkan perasaan selesa, seperti daya hidup, keindahan, kasih sayang dan sebagainya. Keadaan ini dipercayai dapat membantu menjauhkan diri daripada pemikiran berkaitan pekerjaan semata-mata. 

    Menatap pokok yang diletakkan di meja kerja atau di dalam pejabat akan mewujudkan jarak pemisah berkaitan tekanan kerja. Keadaan ini juga dapat memberikan peluang kepada para sukarelawan untuk mengelakkan diri daripada ketegangan yang timbul disebabkan kerja, walaupun hanya untuk tempoh beberapa minit. 

    Malahan, Dr Masahiro dan pasukan penyelidikannya percaya bahawa meletakkan pokok pada meja atau persekitaran kerja adalah sangat bagus untuk kemajuan syarikat. Ini kerana pokok akan membantu mengurangkan tekanan seterusnya meningkatkan produktiviti pekerja.

    Penemuan dan hasil kajian ini menambahkan bukti yang menunjukkan bahawa pendedahan kepada kehijauan adalah bermanfaat untuk emosi dan perasaan setiap individu, walaupun ia hanyalah pemandangan dari tingkap atau berjalan kaki di sekitar taman selama 20 minit setiap hari.

    Kesimpulan 

    Jika pekerjaan anda sering menyebabkan anda mengalami tekanan, solusi terbaik yang boleh anda lakukan adalah dengan meletakkan pokok pada meja anda. Walaupun saiz pokok yang diletakkan kecil, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu meredakan tekanan yang dihadapi dan membuatkan anda berasa lebih baik dari segi emosi dan mental. Tetapi anda juga boleh meluangkan masa berjalan melihat pokok dan tumbuhan hijau di luar bangunan pejabat anda, jika anda tidak gemar meletakkan pokok di meja. Selamat mencuba!

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan