Wira tidak didendang: kanser bukan alasan, selagi bernyawa bakti terus disemai

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 27/11/2019
Share now

Sempena November – Movember, Bulan Kesedaran Kesihatan Golongan Lelaki, kami menemubual Dass Santhanam, Presiden Kumpulan Sokongan Kanser Prostat yang juga seorang pejuang kanser prostat.

Dalam bidang penjagaan kesihatan, terdapat insan-insan berhati besar, wira yang tidak didendang —  memberi sokongan dan menenangkan pesakit di bawah jagaan mereka. Salah seorang insan yang tidak pernah kenal erti jemu, lelah dan penat demi meningkatkan kualiti hidup pesakit adalah Dass Santhanam, di mana beliau turut sama berjuang untuk hidup setelah didiagnosis dengan kanser prostat ibaratnya, selagi bernyawa, bakti akan tetap disemai. 

Dass Santhanam adalah seorang yang sangat ramah dan cukup senang membuatkan orang cepat selesa dengannya. Bukan sahaja keramahan beliau menjadi penarik utama untuk kami lebih mengenalinya, malah beliau juga kaya dengan sumber dan jaringan dalam bidang penjagaan kesihatan, terutama hubungannya yang baik dengan doktor, pakar-pakar, penyedia penjagaan kesihatan dan para sukarelawan yang banyak menabur bakti dalam kalangan komuniti kanser yang terdiri daripada pesakit dan pejuang kanser.

Mesra disapa dengan panggilan Mr. Dass, beliau merupakan pesara di sebuah agensi antarabangsa dan turut memiliki pengalaman selama 12 tahun sebagai penjawat awam sebelum melakukan penghijrahan beliau ke agensi tersebut.

Memulakan temubual ini, Dass mengimbau kembali bagaimana hidupnya berubah kerana kanser.

[BACA: Mengenai Kanser Prostat]

Kerana Baucer, Kutemui Kanser

“Kawan baik saya datang melawat saya dan beliau memberi kepada saya sekeping baucer bagi menjalani ujian darah di sebuah makmal perubatan. Namun saya langsung tidak mengendahkan pemberian baucer oleh kawan saya dan letaknya di atas meja sahaja,” Dass memulakan kata-katanya kepada kami.

“2 minggu kemudian, kawan saya datang untuk bertemu saya lagi, tapi kali ini beliau sangat marah dan kecewa pada saya. Beliau memberi saya RM120 untuk saya menjalani ujian darah tersebut. Saya berasa seperti terhina dengan tindakannya itu. Maka, selepas didesak oleh kawan saya buat kali kedua, saya pun akur menurut kehendaknya.”

“Semasa di kaunter perkhidmatan makmal perubatan itu, gadis yang menjaga kaunter itu mencadangkan saya untuk menambah satu lagi ujian tambahan yang tidak termasuk dalam baucer diskaun yang diberi oleh kawan saya. Ujian itu adalah Ujian Antigen Spesifik Prostat atau PSA, di mana saya tidak tahu apakah objektifnya. Jadi, saya berkata pada diri, cuma tambah RM30 sahaja lagi, mengapa tidak? Keputusan ujian keluar dalam masa 10 hari.”

“Bacaan PSA saya adalah 77.5 tapi bacaan normal sepatutnya adalah di bawah empat. Keputusan ujian saya sangat membimbangkan sehingga kawan-kawan dan biras saya paksa saya untuk pergi mendapatkan rundingan daripada pakar kesihatan. Saya pun menjalani biopsi untuk mengambil sampel tisu daripada kelenjar prostat saya di HUKM dan kemudian dirujuk ke HKL bagi mendapatkan pandangan kedua. Diagnosis mengesahkan kehadiran tumor T2-3A, sah saya menghidap kanser prostat tahap 2.”

“Ketika saya diberitahu yang saya menghidap kanser, saya berasa seperti putus harapan, dan soalan pertama saya kepada doktor adalah, ‘Berapa lama lagi boleh hidup?’ Bagi saya, mendapat kanser seperti dijatuhi hukuman mati. Tapi doktor tertawa dengan soalan saya dan beliau memberikan kaunseling serta menasihati saya untuk menjalani beberapa jenis ujian lagi sebelum menentukan pilihan rawatan terbaik. Doktor juga memberi satu risalah berjudul “ABC of Prostate Cancer”, di mana saya rasa ia adalah sebuah bahan bacaan terbaik bagi memahami kanser prostat,” tambahnya lagi.

Ketika itu, pada usia 63 tahun, Dass merasakan yang dia sebenarnya adalah contoh ideal bagi mereka yang sudah memasuki usia emas tapi masih aktif, sihat dan bertenaga. Apatah lagi baru sahaja bersara dan sangat teruja untuk luangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dan cucu. Sudah semestinya beliau tidak pernah membayangkan akan bergelut dengan kanser pada usia emasnya itu.

[BACA: Adakah Kanser Prostat Mempunyai Tanda Awal?]

Gambar Ihsan PCSM

Rawatan Kanser bukannya ‘one size fits all’

Cabaran pertama dalam melawan kanser adalah untuk memilih rawatan yang sesuai untuk keadaan kansernya itu.

“Saya bernasib baik kerana menerusi keputusan ujian menunjukkan kanser belum merebak dan Gleason Score yang digunakan bagi memberi gred untuk menilai prognosis kanser prostat menunjukkan keadaan saya adalah pada 3+3, di mana saya diberitahu bahawa kanser tidak begitu agresif. Seterusnya, saya dirujuk oleh pakar urologi saya kepada dua pakar onkologi dan kedua-dua mereka mencadangkan pelan rawatan dan penjagaan yang sama.”

Setelah menjalani ujian MRI dan pengimbasan tulang (bagi memastikan kanser belum merebak ke tulang), Dass diberi 3 pilihan rawatan. Pertama, prostatektomi yang memerlukan pembedahan untuk membuang kelenjar prostat dan beberapa tisu sel di sekelilingnya. Kedua, ‘tunggu dan lihat’, di mana rawatan ini memerlukan doktor dan pesakit untuk membuat pemerhatian kepada perkembangan kanser sebelum intervensi perubatan dan terapi ditentukan. Ketiga, rawatan radiasi dan hormon. Rawatan ini memerlukan pesakit menjalani radioterapi yang menyerang tepat pada tumor serta rawatan hormon jangka pendek (dalam masa 2-3 tahun) bagi menghalang pertumbuhan tumor.

Memilih rawatan ketiga, Dass menjalani rawatan radiasi intensif dan rawatan hormon di sebuah pusat perubatan swasta. Keadaan kanser beliau dipantau dengan pemberian dos ubat bulanan iaitu goserelin acetate (3.6mg). Ini disusuli dengan suntikan hormon setiap tiga bulan. Dass mengalami tindakbalas yang sangat tidak selesa seperti badan menjadi bahang secara tiba-tiba, berpeluh, berat badan bertambah dan gangguan saluran kencing.

Namun begitu, Dass tetap sabar mengharungi kesan sampingan akibat rawatan dan akhirnya beliau berjaya menghentikan perkembangan kanser dalam tubuh beliau.

Gambar Ihsan PCSM

Menerusi Kanser, Kutemui Tujuan hidupku

Diibaratkan seperti mendapat nyawa baru, Dass berasa sangat bersyukur dan terpanggil untuk menyumbang kepada komuniti kanser. Peluang itu tiba pada tahun 2002, beliau menghadiri satu temujanji di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan bagaikan sudah tertulis perjuangan Dass bagi membantu pesakit kanser prostat yang lain apabila NCSM membantu beliau menubuhkan Kumpulan Sokongan Kanser Prostat.

“Doktor saya telah merujuk saya kepada NCSM untuk melakukan imbasan tulang yang disediakan oleh pihak NCSM. Sementara menunggu giliran, kakitangan NCSM mencadangkan agar saya menunggu di pusat sumber mereka, sementara menunggu saya boleh membaca. Ketika di pusat sumber tersebut, saya bertemu dengan sukarelawan NCSM yang mencadangkan agar saya menyertai aktiviti kumpulan sokongan kanser yang dianjurkan oleh mereka.”

“Beberapa ketika selepas imbasan tulang di NCSM, saya pun sertai kumpulan sokongan tersebut buat pertama kalinya. Saya berasa sangat teruja kerana dapat bersama rakan-rakan senasib yang berjuang untuk hidup selepas menghidapi kanser. Kisah dan pengalaman mereka merupakan satu inspirasi dan pemberi semangat kepada saya.”

“Sepanjang aktiviti kumpulan sokongan berlangsung, saya dapati ada jurang emosi dalam kalangan kami. Kebanyakkan kaum wanita yang menyertai aktiviti tersebut adalah mereka yang menjadi mangsa kanser payudara. Ada yang sudah menjalani pembedahan membuang payudara mereka. Walaupun begitu, semangat mereka sangat kuat dan tidak malu untuk memberitahu semua orang yang mereka mempunyai kanser dan biarpun kanser telah merampas kewanitaan mereka, namun mereka tetap akan meneruskan kehidupan dengan sepenuhnya.”

Gambar Ihsan PCSM

Jurang Emosi di antara pesakit kanser lelaki dan wanita

“Tapi halnya berbeza dengan pesakit kanser lelaki terutamanya kanser prostat. Ini kerana, mereka berasa malu untuk bercerita mengenai keadaan mereka apatah lagi memberitahu orang ramai mengenai hilangnya keupayaan mereka sebagai seorang lelaki sepertimana lelaki normal yang lain. Ini kerana, apabila anda sedang menjalani rawatan hormon bagi menghalang perkembangan kanser, anda akan disuntik dengan hormon estrogen dan hormon tersebut merencat hormon testosteron yang menjadi punca kehadiran kanser prostat. Suntikan hormon estrogen telah membuatkan pesakit kanser prostat hilang minat terhadap kehidupan seksual kerana tiadanya libido. Jadi, tak macho lah untuk lelaki bercerita hal sedemikian!” kata Dass lagi.

Melihatkan kepada jurang ini, Dass merasakan perlunya satu kumpulan sokongan khas untuk pesakit kanser lelaki terutamanya kanser prostat.

Beliau dan rakan-rakan seperjuangan yang lain di NCSM, merintis penubuhan Kumpulan Sokongan Kanser Prostat yang memberikan sokongan emosi dan mental kepada pesakit yang didiagnosis dengan penyakit tersebut. Kumpulan ini juga berfungsi dengan memberi sokongan kepada keluarga pesakit menerusi bimbingan dan nasihat bagaimana mereka boleh menjadi lebih kuat dan efektif dalam memberi penjagaan kepada pesakit.

Kumpulan Sokongan Kanser Prostat terdiri daripada pesakit dan pejuang kanser, berjumpa setiap dua bulan sekali pada hari Khamis ketiga pada bulan tersebut, berkongsi mengenai pengalaman mereka berjuang melawan kanser, menjalani rawatan dan berfikiran positif walau apa sekalipun cabaran yang mendatang.

[BACA: Manfaat Kumpulan Sokongan]

Terima kenyataan hidup, lebih tenang di hati

Sudah hampir 20 tahun Dass dan perjuangannya menentang kanser. Beliau sangat befikiran positif dan tidak pernah menyerah kalah. Pada ketika beliau bertarung dengan kanser, beliau turut menjalani pembedahan kecil akibat serangan jantung. Dass mendapatkan rawatan untuk keadaan jantung beliau di Institut Jantung Negara (IJN) dan di atas sikapnya yang sentiasa positif, pihak IJN sering menjemput Dass untuk berkongsi pengalaman dan memberikan semangat kepada para pesakit menerusi organisasi Rakan IJN.

“Sewaktu menjalani rawatan untuk kanser, terdapat kesan sampingan lain yang turut memberi cabaran kepada saya. Saya mula mendapat diabetes, ostopenia di mana kadar ketumpatan mineral dalam tulang yang rendah daripada biasa serta pembengkakan buah dada.”

Saya sudah lama menerima kenyataan hidup saya dan jika saya boleh membantu para pesakit bagi menghadapi kesan sampingan sepertimana yang saya alami, saya harus bantu mereka! Selepas pembedahan pintasan jantung, saya memberikan komitmen saya kepada Rakan IJN setiap hari Jumaat dengan bertemu para pesakit secara peribadi dan berkongsi pengalaman saya berdepan dengan penyakit dan kesannya.” Dass menambah lagi mengenai kesungguhannya untuk membantu mereka yang senasib dengannya.

Ditanya bagaimana beliau sentiasa mengekalkan pemikiran positif sepanjang masa, beliau menjawab, “Saya selalu membuatkan diri saya sibuk. Dan saya tidak mahu terlalu memikirkan masalah saya, tapi menumpukan tenaga saya untuk membantu orang lain. Dengan cara itu, saya akan lupa mengenai kesakitan saya.”

Kami difahamkan sehari sebelum temubual ini berlangsung, Dass telah kehilangan abangnya yang meninggal dunia akibat sakit tua. Namun begitu, tidak sedetik pun di wajah beliau menampakkan kesedihan dan kemuraman. Yang terpancar hanya kemesraan dan semangat membara untuk teruskan kehidupan.

“Yang hidup pasti akan mati. Yang pergi tetap pergi, kita yang masih hidup, kenalah teruskan perjuangan kita dengan penuh semangat dan fikiran positif. Memang sedih kehilangan ahli keluarga, tapi dengan pemergian mereka, sekurang-kurangnya mereka dapat pergi dengan aman setelah bertarung dengan keadaan kesihatan mereka untuk sekian lamanya. Pemergian mereka juga menjadi penguat untuk kita terus menghargai kehidupan,” pesan Dass lagi.

Sebelum mengakhiri temubual, Dass memberi panduan berguna terutamanya kepada mereka yang mempunyai faktor risiko mendapat kanser prostat.

[BACA: Kehidupan Selepas Kanser]

Dengar! Dengar! Dengar!

Jika anda berusia lebih 45 tahun ke atas, jadikanlah satu kewajipan untuk anda membuat pemeriksaan tahunan bersama ujian saringan PSA.”

“Lebih awal anda menyedari anda menghidapi kanser prostat, lebih tinggi peluang untuk anda sembuh.”

“Jangan pandang ringan simptom utama – segeralah berjumpa doktor jika anda mengalami kesukaran untuk buang air kecil, kencing berdarah atau kegagalan anda mengawal pundi kencing.”

“Jika anda didiagnosis dengan kanser prostat tahap 4, jangan risau, jangan panik. Hadapilah penyakit ini dengan penuh kekuatan dan ketabahan serta dapatkan bantuan perubatan dengan segera.

“Sebelum memulakan rawatan bagi sesuatu penyakit, pastikan anda mendapat nasihat dan pandangan tentang kesesuaian dan keberkesanannya kepada keadaan anda. Dan sentiasa positif, hadapilah kehidupan ini satu per satu!” Dass Santhanam, Presiden Kumpulan Sokongan Kanser Prostat di bawah naungan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) mengakhiri temubual.

Di minit-minit akhir perbualan kami yang mencecah satu jam tempohari, seakan tidak terasa masa berlalu mencemburui kami yang menikmati aura positif daripada sosok “lelaki besi” warga emas namun kudrat dan semangat setanding orang muda.

Kisah perjuangan beliau melawan kanser, pengorbanan beliau dalam menyediakan kumpulan sokongan yang ampuh, kata-kata yang keluar dari mulutnya hanya yang membina sahaja, senyuman dan tangan dihulur penuh keikhlasan merupakan penawar paling mujarab menentang kanser dan segala jenis penyakit yang lain.

Diharapkan pengalaman beliau dapat menjadi inspirasi yang mampu menggerakkan golongan lelaki yang berada dalam kumpulan faktor risiko kanser prostat untuk melakukan ujian saringan demi memastikan anda bebas kanser tersebut. Jangan berlengah lagi, bertindaklah sekarang!

Kami di Hello Doktor mendoakan agar kesihatan beliau sentiasa dalam keadaan terbaik agar beliau dapat meneruskan bakti kepada masyarakat Malaysia menerusi kerja-kerja murni dalam usaha menentang kanser.

Bagi anda yang ingin turut serta dan menyumbang kepada Kumpulan Sokongan Kanser Prostat Malaysia, sila layari laman Facebook mereka di https://facebook.com/NPCSG/.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

Nak Elak Kanser Serviks? Buat Ujian Pap Smear Sekarang!

Wanita perlu menjalani ujian pap smear bagi menyaring risiko untuk mendapat kanser serviks. Bagaimana prosedur tersebut dilaksanakan?

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Anda Pilih Sweetener Berbanding Gula? Ada 8 Jenis Pemanis Tiruan, Malah Lebih Manis Dari Gula Biasa

Ada 8 jenis pemanis buatan yang sering digunakan dalam industri makanan, malah lebih manis dari gula. Namun, benarkah gula buatan ini sebabkan kanser?

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Ini 7 Golongan Berisiko Dapat Kanser Rahim- Termasuk Wanita Yang Tak Pernah Hamil, Jaga-jaga!

Tahukah anda, ada 7 golongan berisiko untuk mendapat kanser rahim. Adakah tanda kanser rahim jelas untuk pesakit kanser rahim ini? Boleh kesan lebih awal?

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

AWAS, Ini 5 Penyakit Kronik Berisiko Tinggi Terjadi Akibat Psoriasis Yang Tidak Dirawat!

Terdapat banyak kesan penyakit psoriasis. Selain mengakibatkan keradangan pada tubuh badan, ia juga berisiko menyebabkan 5 penyakit kronik ini!

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Ahmad Farid