Kenali Tanda Kanser Paru-Paru, Jika Muncul Simptom Ini, Jangan Berlengah Untuk Berjumpa Doktor

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 17/09/2020 . 5 minit bacaan
Share now

Antara tanda kanser paru paru merupakan rasa sakit pada bahagian dada, batuk berdarah dan jangkitan yang tidak pernah sembuh. Namun, bukan itu sahaja tanda kanser yang perlu anda perhatikan. Ada juga tanda-tanda lain yang jarang berlaku, tetapi ia mungkin disebabkan oleh kanser paru-paru.

Tanda-tanda kanser paru-paru

Kebanyakan kanser paru-paru tidak mempunyai sebarang tanda-tanda sehinggalah kanser tersebut mula merebak.

Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh jadi berbeza mengikut keadaan individu.

Sesetengah pesakit telahpun mengalami simptom walaupun masih berada di tahap awal. Ada juga yang hanya mengalami simptom setelah dikesan sudah menghidap kanser tahap 3 atau 4.

Namun, ada juga individu yang mengalami tanda-tanda yang sama, tapi menghadapi penyakit lain yang tidak ada kaitan dengan kanser paru-paru.

Jika anda mengalami simptom-simptom di bawah, penting untuk anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera. Pengesanan awal amat penting untuk meningkatkan kejayaan rawatan kanser.

Individu yang mempunyai risiko paling besar untuk menghidap kanser paru-paru ialah mereka yang tidak dapat meninggalkan tabiat merokok.

Di Amerika Syarikat sahaja, tabiat merokok telah dikaitkan dengan 80 hingga 90 peratus kematian yang disebabkan oleh kanser paru-paru.

 

Simptom dan tanda lazim kanser paru-paru

tanda sakit paru paru

1. Batuk yang tidak berkurangan

Batuk yang tidak berkurangan boleh jadi salah satu simptom kanser paru-paru.

Batuk yang disebabkan oleh demam ataupun jangkitan pernafasan selalunya akan hilang dalam masa seminggu dua.

Namun, batuk yang berkaitan dengan kanser paru-paru sukar untuk sembuh dan kerap berulang.

Sebanyak 50% pesakit yang menghidap kanser paru-paru telahpun mengalami masalah batuk yang berpanjangan ketika diagnosis.

2. Sakit dada ketika melakukan sebarang aktiviti

Satu lagi simptom yang selalu terjadi di kalangan pesakit kanser ialah mudah sesak nafas ketika melakukan sebarang aktiviti.

Malah, disebabkan pesakit kanser paru-paru selalunya terdiri daripada golongan yang lebih berusia, maka simptom ini selalu diendahkan kerana ia dianggap normal ataupun sebahagian daripada proses penuaan. 

Ada juga pesakit yang yakin bahawa sakit yang dialami itu sebenarnya datang daripada tabiat mereka yang malas bersenam dan bukannya tanda kanser paru paru. 

Walau bagaimanapun, simptom ini amat lazim dalam kalangan mereka yang tidak merokok. 

Selain itu, sesak nafas juga akan jadi semakin teruk ketika pesakit tarik nafas, batuk atau ketawa.

Mereka juga alami rasa sakit pada kawasan dada ketika menarik nafas.

Sakit ketika tarik nafas merupakan salah satu gejala lazim kanser paru-paru. Seramai 25 peratus pesakit barah paru-paru mengalami rasa sakit pada bahagian dada ketika diagnos.

Kesakitan yang dirasai pesakit kanser juga akan jadi makin teruk apabila barah mulai merebak.

90 peratus pesakit megakui rasa sakit ini merupakan antara tanda kanser paru paru. Rasa sakit tidak hilang walaupun setelah menggunakan ubat tahan sakit.

3. Jangkitan pada paru-paru yang tidak sembuh atau berulang

Pesakit kanser mempunyai ketahanan imun yang rendah. Oleh itu, pesakit cenderung untuk mendapat jangkitan seperti penumonia ataupun bronkitis berulang kali. 

Ditambah pula dengan keadaan paru-paru yang sudah mula dijangkiti kanser, sukar untuk pesakit kanser sembuh daripada jangkitan yang mereka alami.

4. Batuk berdarah atau kahak berwarna gangsa

Hemoptysis, ataupun batuk berdarah merupakan gejala yang amat membimbangkan dalam kalangan pesakit barah paru-paru. 

Jika anda alami keadaan ini, penting untuk anda berjumpa doktor dengan kadar segera bagi menentukan punca darah tersebut. 

Kadang-kadang, darah tersebut bukan daripada kawasan paru-paru, tetapi boleh jadi dari hidung atau saluran pernafasan. Malah, muntah juga boleh menyebabkan pesakit alami batuk berdarah.

Oleh sebab itu, penting bagi pesakit yang alami batuk berdarah untuk tentukan punca sebenar gejala ini berlaku. 

Seramai 7 hingga 10 peratus pesakit kanser paru-paru mengalami batuk berdarah dan 20 peratus mula mengalaminya setelah didiagnos dengan kanser paru-paru.

 Simptom dan tanda kanser paru-paru yang jarang berlaku

1. Suara menjadi garau

Pesakit kanser paru-paru boleh mengalami perubahan dari segi suara akibat inflamasi pada bahagian kotak suara ataupun larinks (larynx). Kotak suara boleh terluka jika seseorang itu terlalu banyak bercakap dan menjerit.

Gejala ini juga boleh berlaku akibat kanser larinks (berbeza daripada kanser paru-paru) yang selalunya disebabkan oleh tabiat merokok.

Jika anda mengalami simptom ini selama lebih daripada dua minggu, ia mungkin bermaksud anda sedang mengalami masalah yang lebih serius dan perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

2. Muka dan leher bengkak (Superior vena cava syndrome – SVC)

Superior vena cava syndrome ataupun SVC merupakan sindrom yang selalu terjadi pada pesakit kanser paru-paru. Pesakit yang mengalami sindrom ini mempunyai masalah pernafasan yang serius.

Tumor yang terbentuk ketika kanser boleh menekan kawasan vena cava. Ini akan mengakibatkan pesakit mengalami bengkak pada kawasan muka, bahagian atas badan dan juga lengan.

3. Rasa penat atau lemah

tanda sakit paru paru

Rasa penat atau lemah merupakan salah satu gejala yang mempunyai impak besar terhadap kualiti hidup pesakit kanser. 

Selain kepenatan, pesakit kanser paru-paru juga alami rasa sakit, depresi serta rasa mual yang menambahkan lagi derita pesakit dari segi emosi.

Rasa penat yang dialami pesakit kanser kadangkala akan terus kekal dalam masa berbulan-bulan hingga bertahun setelah pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya.

Tambah lagi, simptom ini dialami oleh hampir semua pesakit barah paru-paru. Rasa penat yang dialami pesakit kanser tidak sama dengan orang biasa. 

Malah, kepenatan yang mereka alami selalunya membuatkan pesakit sukar untuk melakukan aktiviti harian. Bahkan, tidak melakukan apa-apa aktiviti juga boleh menjadi penat yang ketara. 

90 peratus pesakit yang dirawat dengan terapi radiasi dan 80 peratus pesakit yang mengalami kemoterapi akan alami rasa penat dan lemah selepas rawatan.

4. Sesak nafas dan nafas berbunyi (wheezing)

Sesak nafas merupakan salah satu simptom biasa yang dialami oleh pesakit kanser paru-paru.

Simptom ini merupakan sesuatu yang boleh membuatkan pesakit jadi stres dan gelisah kerana terpaksa bergelut untuk menarik nafas.

Dyspnea ataupun sesak nafas boleh disebabkan oleh kanser paru-paru secara langsung ataupun disebabkan oleh kesan rawatan kanser.

Selain itu, pesakit kanser paru-paru juga boleh mengalami masalah nafas berbunyi ataupun wheezing

Bunyi mendesah ini mungkin disalahertikan sebagai asma, namun ia sebenarnya merupakan antara tanda-tanda kanser paru-paru.

4. Darah beku

Darah beku kerap berlaku di kalangan pesakit yang menghidap kanser.

Walaupun rawatan kanser seperti pembedahan dan kemoterapi boleh meningkatkan risiko darah beku, namun keadaan ini boleh terjadi sebelum kanser paru-paru didiagnos.

Sakit pada bahagian kaki mungkin merupakan salah satu simptom darah beku. 

Sakit dada yang berlaku secara tiba-tiba diikuti dengan rasa sakit yang amat melampau juga boleh berlaku jika ada darah beku tersangkut pada saluran darah berdekatan dengan paru-paru.

 

Komplikasi yang mungkin berlaku

Metastasis kanser paru-paru

Apabila kanser paru-paru telahpun melalui metastasis, itu bermaksud kanser paru-paru tersebut telahpun mula merebak ke bahagian badan yang lain.

Sel kanser boleh terpisah daripada tumor dan bergerak ke organ lain melalui darah ataupun sistem limfa manusia dan menjangkiti bahagian lain pada badan.

Seperti kanser lain, kanser paru-paru tidak akan serta merta melalui metastasis. Ini kerana, Metastasis merupakan sebuah proses yang berlaku secara perlahan-lahan.

Malah, simptomnya juga tidak ketara pada awalnya. Namun, kanser paru-paru yang telah melalui metastasis selalunya telah mencapai tahap 3 atau 4 bergantung kepada sejauh mana kanser tersebut telah merebak.

Metastasis setempat (local metastasis) berlaku ketika sel kanser mula menjangkiti sel sihat lain yang berada disekelilingnya.

Walau bagaimanapun, jika sel kanser telah bergerak melalui darah ataupun nodus limfa, maka kanser boleh merebak ke bahagian lain dan secara tidak langsung membentuk kanser kedua pada organ lain.

Keadaan di atas turut dikenali sebagai metastasis jauh atau distant metastasis.

 

Kesimpulan

tanda sakit paru paru

Kanser paru-paru membunuh lebih ramai pesakit jika dibandingkan dengan kanser jenis lain. Menurut American Lung Association, 16 peratus daripada pesakit yang didiagnos pada tahap awal lebih mudah untuk dirawat.

Oleh sebab itu, penting untuk individu yang berisiko mendapat kanser paru-paru melakukan ujian saringan awal secara berkala.

Golongan yang dimaksudkan ialah mereka yang:

  1. Mempunyai tabiat merokok yang kuat 
  2. Sedang merokok atau sudah berhenti dalam masa 15 tahun lalu 
  3. Berumur di antara 55 hingga 80 tahun

Oleh itu, langkah paling efektif yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan kanser paru-paru ialah dengan cara berhenti merokok.

Tanpa ujian ini, ramai pesakit kanser didiagnos ketika mereka sudahpun menginjak ke tahap 3 atau tahap 4.

Tambah lagi, sukar untuk pesakit kenal pasti simptom awal kerana kebanyakan kanser paru-paru jarang menunjukkan apa-apa tanda atau rasa sakit hinggalah penyakit tersebut sudah mula merebak.

Jika anda merupakan golongan yang berisiko untuk menghidap kanser paru-paru, jangan tunggu hingga simptom muncul barulah anda hendak berjumpa doktor.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan