Sukan Tinju BUKAN Hanya Untuk Melatih Otot, Ketahui 6 Lagi Manfaatnya Terhadap Kesihatan!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ramai yang tertanya-tanya, apa manfaat sukan tinju terhadap kesihatan? Tenang, Hello Doktor akan mengupasnya dengan lebih mendalam menerusi artikel ini.

Setiap kali berbicara mengenai sukan tinju atau boxing, kita mungkin akan terbayang ia hanya dimainkan oleh individu yang berbadan besar dan berotot bukan? Pun begitu, sukan ini kini sudah sangat popular dalam kalangan golongan belia yang gemarkan aktiviti lasak

Tentu sekali, sukan ini dapat melatih otot yang terdapat pada tubuh badan kita. Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi manfaat sukan tinju terhadap kesihatan yang sangat mengujakan! Untuk tahu mengenainya dengan lebih lanjut, jom sama-sama kita ikuti artikel ini. 

manfaat sukan tinju

Apa definisi sebenar sukan tinju?

Sebelum pergi lebih lanjut mengenai manfaatnya terhadap kesihatan, apa kata kita berkenalan terlebih dahulu tentang sukan lasak ini?

Untuk pengetahuan anda, tinju adalah sejenis sukan kompetitif yang melibatkan dua orang dengan memakai sarung tangan tinju di atas satu gelanggang.

Acaranya sangat lasak tetapi mudah, dua peninju akan melemparkan tumbukan demi tumbukan dan pengadil akan mengadili pemenangnya melalui jumlah tumbukan yang dapat dihasilkan.

Pun begitu, pemenang juga dapat diketahui jika lawannya menyerah diri atau secara total knock out (TKO). Ya, ia memang satu sukan yang sangat ekstrem.

Seiring dengan peredaran zaman, sukan ini telah berevolusi dan bervariasi. Antara variasi yang popular dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia adalah kick boxing, muay thai dan mixed martial arts (MMA).

Walau apa pun variasinya, ia tetap sukan tinju yang mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan kita. Jadi, apakah manfaat sukan tinju yang digembar-gemburkan?

manfaat sukan tinju

Manfaat sukan tinju yang anda mungkin tidak percaya

Baiklah, berbalik kepada persoalan utama artikel ini. Apa manfaat sukan tinju terhadap kesihatan selain dapat melatih otot pada tubuh badan? Berikut adalah jawapannya:

#1. Melatih kesihatan & kekuatan jantung

Kekuatan jantung boleh diukur melalui jumlah darah dan oksigen yang dapat dipam oleh organ ini. Sekiranya ia dilatih dengan lebih kerap, semakin banyak darah dan oksigen yang boleh dibekalkan kepada tubuh badan kita.

Kesannya, degupan jantung akan menjadi lebih teratur walaupun ketika melakukan sebarang aktiviti yang memerlukan banyak tenaga. Bagaimana untuk melatih jantung? Jawapannya adalah dengan melakukan aktiviti kardiovaskular seperti sukan tinju. 

Ini kerana sukan ini akan memerlukan tubuh badan anda sentiasa bergerak bagi menumbuk dan menangkis serangan lawan. Pada saat inilah jantung akan bekerja lebih keras untuk mengepam darah dan oksigen ke seluruh tubuh badan kita!

#2. Melatih paru-paru dan sistem pernafasan

Bukan sahaja jantung, paru-paru juga mungkin akan mendapat manfaat kesan daripada sukan tinju. Ini kerana sukan lasak ini memerlukan corak pernafasan yang sangat stabil agar peninju tidak mudah penat ketika berada di atas gelanggang.

Dengan bertinju secara kerap, ia secara tidak langsung dapat melatih paru-paru dan sistem pernafasan anda agar ia menjadi lebih baik daripada sebelum ini. 

Kesannya, anda mungkin dapat melakukan sebarang aktiviti fizikal selepas ini tanpa perlu berehat terlalu lama ekoran tubuh badan terlalu penat.

#3. Meningkatkan kestabilan tubuh badan

Seperti yang telah kita ketahui, sukan tinju memerlukan kita untuk banyak bergerak. Disebabkan itu, kemampuan motor dalam tubuh badan yang berfungsi mengawal kestabilan juga dapat dilatih semasa melakukan sukan lasak ini.

Disebabkan ini, anda mungkin dapat merasakan bahawa tubuh badan anda mungkin akan menjadi lebih stabil sekiranya kerap bertinju. Mungkin selepas ini, anda tidak lagi mudah untuk jatuh atau rebah secara tiba-tiba sekiranya berlaku perkara tidak terduga.

manfaat sukan tinju

#4. Meningkatkan koordinasi tubuh badan

Manfaat sukan tinju bukan sahaja akan meningkatkan kestabilan malah dapat meningkatkan koordinasi tubuh badan.

Ini kerana sukan lasak ini sangat memerlukan pergerakan yang cepat dan tangkas. Dengan kerap melakukan sukan tinju, anda sudah pasti dapat melatih pergerakan tangan, kaki dan seluruh tubuh badan agar ia lebih selaras, tepat dan jitu!

Bukan itu sahaja, sukan tinju juga berkemampuan meningkatkan naluri dan refleks yang sangat diperlukan dalam kehidupan seharian kita.

#5. Membakar lebih banyak kalori

Buat anda yang belum tahu, sukan tinju memerlukan banyak tenaga agar tubuh badan kita dapat bekerja dengan lebih baik. Disebabkan itu, ia memerlukan banyak kalori untuk dibakar bagi menjana tenaga.

Berita baiknya, kalori yang anda ambil dalam makanan dan minuman seharian anda dapat dibakar dengan sukan tinju

Dalam satu kajian yang dijalankan, wanita yang bertinju dapat membakar sekitar 400 kalori dalam masa satu jam dan lelaki pula dapat membakar kira-kira 500 kalori.

Adakah anda mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti? Tenang, mungkin sukan tinju ini sangat sesuai untuk anda!

#6. Menguatkan daya tahan tubuh badan

Jika dikumpulkan kesemua manfaat sukan ini, anda dapat menyimpulkan ia sebenarnya mampu melatih otot, jantung dan paru-paru, kestabilan dan koordinasi tubuh badan serta membakar lebih banyak kalori.

Kesannya, daya tahan tubuh badan anda dalam melawan sebarang jenis penyakit juga akan menjadi lebih kuat. Dengan ini, mungkin penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, diabetes dan darah tinggi dapat dilawan? 

Pendek kata, manfaat sukan tinju memang sangat berbaloi untuk kesihatan tubuh badan kita!

manfaat sukan tinju

Konklusi

Kesimpulannya, terdapat banyak manfaat sukan tinju terhadap kesihatan kita. Bukan sahaja ia bagus untuk melatih otot, ia juga sangat bagus untuk organ dalaman, pergerakan dan daya tahap tubuh badan juga dapat ditingkatkan!

Siapa sahaja yang tidak mahu kesemua manfaat ini bukan? Jadi, mari mula bertinju!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Februari 9, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 7, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut