Eyelash Extension: Trend Cantik Berisiko Memudaratkan

Oleh

Mendapatkan bulu mata yang panjang dan lentik sudah pasti menjadi keinginan setiap wanita. Jika dahulu, maskara menjadi salah satu aksesori penting dalam beg solek bagi memastikan bulu mata kekal rapi, namun berbeza kebelakangan ini apabila wujudnya alternatif baru iaitu teknik sambungan bulu mata (eyelash extensions).

Apa itu sambungan bulu mata?

Terdapat pelbagai cara untuk memastikan penampilan bulu mata kekal lama. Penggunaan maskara adalah yang paling mudah dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Kaedah lain termasuk penggunaan bulu mata palsu, pemindahan bulu mata (eyelash transplants), solekan kekal atau farmaseutikal yang menggalakkan pertumbuhan bulu mata. Secara teknikal, sambungan bulu mata adalah berbeza dengan kategori ini.

Sambungan bulu mata adalah serat tunggal dan bukannya jaluran bulu mata yang dilekatkan satu per satu atau dalam kumpulan kecil ke bulu mata semulajadi anda untuk meningkatkan penampilannya yang panjang dan penuh.

Kebanyakan bulu mata diperbuat daripada serat sintetik seperti nilon yang diikat menggunakan pelbagai jenis gam professinal. Manakala sutera adalah bahan lain yang digunakan untuk sambungan bulu mata. Malah, ada juga bulu mata yang diperbuat daripada bulu haiwan.

Biasanya sambungan bulu mata menggunakan penyepit kecil dan gam separuh kekal yang dirumus khas. Prosedur ini boleh mengambil masa selama dua jam, dan mata anda kekal tertutup selama tempoh prosedurnya. Hasilnya biasanya kekal tiga hingga empat minggu dan kemudiannya kembali sebagai bulu mata semulajadi.

Risiko terhadap mata

Kesan sambungan bulu mata biasanya tidak disebabkan oleh penyepit kecil (tweezers). Sebaliknya adalah disebabkan oleh gam yang digunakan untuk mengikat sambungan sintetik di tempatnya. Ini kerana ia sering mengandungi formaldehid atau bahan kimia lain yang boleh menyebabkan kerengsaan dan reaksi alergi.

Artikel yang diterbitkan dalam Consumer Reports membincangkan mengenai beberapa kes yang mana pesakit mengalami jangkitan dan tindak balas alergi terhadap pelekat berasakan formaldehid yang digunakan untuk sambungan bulu mata. Akademi Oftalmologi Amerika (AAO) juga bertindak balas terhadap laporan yang memberi amaran kepada pengguna mengenai bahaya sambungan bulu mata.

AAO menyatakan sambungan bulu mata mengakibatkan:

  • Jangkitan kornea
  • Jangkitan kelopak mata
  • Kelopak mata bengkak
  • Kehilangan bulu mata sementara atau kekal

Selain itu, menggosok, sentakan atau menarik boleh mematahkan bulu mata semulajadi anda, dan juga menyebabkan kerosakan kekal pada folikel bulu mata. Walaupun jarang, sambungan bulu mata juga boleh membawa kepada serat yang teeperangkap di bawah tisu mata, yang mungkin memerlukan pembedahan untuk membuangnya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan